Jumaat, November 06, 2009

P&P

Assalamualaikum.

Alhamdulillah. Sekarang sudah selesai semua urusan. Semua kerja dan tugasan. Semua pementasan. Semua dugaan. Semua, semuanya. Yang tinggal, hanyalah cebis-cebis kenangan yang sudah aku simpan rapi dalam peti fikiran dan perasaan. Ya, fikiran dan perasaan. Kedua-duanya adalah elemen terpenting dalam hidup aku. Dan, hidup manusia lain juga lah.

Apa yang menarik minat aku untuk berseni adalah seni itu sebenarnya indah. Seni itu membolehkan kita meneroka apa-apa saja. Diri kita. Alam kita. Orang sekitar kita. Ya, orang sekitar kita. Sememangnya aku asyik memperkatakan tentang manusia. Melihat manusia. Memerhati manusia. Meneroka manusia.

Dalam penerokaan seni ini, jalannya bukan mudah. Lebih-lebih lagi sebagai seniman. Artis. Pelakon ke. Penari ke. Penyanyi ke. Pelukis ke. Penulis ke. Pengukir ke. Pembaca ke. Dan banyak lagi. Persepsi orang bukan seni terhadap orang seni berbeza-beza. Penerimaan juga berbeza-beza.

P&P.
Persepsi, dan
penerimaan.

Persepsi kedua orang tuaku pada golongan artis dan pelakon adalah, mereka melihat golongan sebegitu teruk dari segi akhlak, banyak melakukan maksiat dan dosa. Pendek kata, kedua orang tuaku tidak menerima golongan artis sebagai golongan yang boleh dijadikan contoh tauladan dalam hidup. Ya, ini adalah hakikatnya. Aku pasti, ramai lagi diluar sana yang ada persepsi dan penerimaan yang sebegitu.

Namun, penglibatan aku dalam bidang seni yang mana aku juga, hendak atau tidak, tergolong dalam golongan berlabel pelakon, artis, seniman dan seumpamanya itu tidak ditentang oleh kedua orang tuaku. Kenapa? Kerana unsur seni yang dibawa. Bawaan seni. Asas seni yang dipegang, yang menjadi tiang tujuan dan matlamat. Tiang sebatang semata-mata tidak cukup. Kalau ada apa-apa perkara yang boleh menjatuhkan tiang itu, tanpa ada sokongan yang lain, tiang itu tetap akan jatuh runtuh. Jadi, perlu cara yang betul untuk pastikan tiang itu sentiasa tertanam dalam tanah, meskipun tidak sepanjang masa akan berdiri tegak.

Terima kasih kepada emak dan ayah aku sebab memahami dan menerima kehidupan seni anakmu ini.

Aku pun tidak pernah sangka bahawa aku akan jadi orang seni. Walaupun seni aku sekarang hanya tertumpu pada pentas, tetapi sudah pasti aku menyimpan hasrat untuk mengembangkan sayap seni aku. Banyak lagi yang boleh diteroka. Yang penting, tiang yang aku pegang kini perlu sentiasa berdiri. Dan kalau boleh, darah seni yang meresap ke dalam salur darah aku kini akan diturunkan kepada zuriat aku nanti. Bila aku sudah tiada.

Ya, sampai bila aku sudah tiada.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan