Jumaat, November 20, 2009

Black Box TTS

Biasanya bila aku sedang belajar dan ulang kaji pelajaran, ada saja idea teater yang muncul.

Plan konsep ABL sudah hampir siap sepenuhnya. Tekniknya, setnya, kostumnya. Cuma harus diteliti lagi. Sebab aku hanya conteng-conteng saja pada salinan skrip asal tu. Guna pen merah. Bersemangat sikit. Konon sajalah. Lagipun ABL guna warna hitam putih merah saja. Kalau boleh lah. Kalau tak boleh tak apa. Guna warna warni. Tak jadi masalah.

Kalau Bangsawan Jebat tak boleh dianjak dari Mac ke Jun 2010, penat juga nanti. Mungkin hanya dapat pentaskan ABL pada sebelum study week, macam sebelum-sebelum ini. Bulan Mei lah tu. Itu pun kalau ada orang yang sudi nak berlakon. Dan ada orang yang sudi nak nonton. Tapi di kampus ni paling cikai orang datang pun lebih daripada 20 orang. Harap-harap suatu hari nanti TTS dapat miliki sebuah bilik kecil di UTP yang boleh dijadikan black box. Jadi kalau purata audiens yang datang dalam 30 orang, black box tu boleh dikatakan nampak penuh. Maklumlah pelakon ni semua selalu mengharapkan audiens yang ramai baru perform bagus. Tapi ada benarnya juga. Ia satu faktor eksternal. Ada macam satu hubung kait antara bilangan audiens dengan energi pelakon. Macam sajalah. Tak tahulah betul ke tak? Ada kertas kerja ke? Entah.

Sebenarnya aku tersekat di perpustakaan kampus ini. Sedang tunggu hujan teduh. Tadi pergi pinjam beberapa buah buku tentang teater. Ada juga buku pasal teater di sini. Banyak dari Barat. Tak kisahlah. Asalkan boleh baca waktu cuti semester nanti. Buku pasal teater Melayu tak ada. Adalah sekeping dua. Itu pun tak banyak kandungannya. Mungkin waktu cuti nanti aku akan singgah KL untuk pergi lawat kedai buku DBP. Sah-sah banyak buku-buku lama pasal teater yang murah. Nak cari pasal bangsawan. Biar pun aku tak ada pegang apa-apa jawatan penting dalam produksi bangsawan nanti. Eh, ada. Pereka set. Kot? Bersama pasangan seni aku, SEFA. Dah dia pun mengaku dia pasangan seni aku. Aku pun dengan berfikiran terbuka dan tanpa rasa bersalah menerimanya. Sekurang-kurangnya, selain bertemankan Seni, ada juga teman berbicara tentang seni.

Melalui pembacaan artikel-artikel dalam internet dan blog-blog peribadi penggiat bangsawan, dapatlah sedikit gambaran macam mana bangsawan dipentaskan. Walaupun skop tugas aku hanya pada set tetapi aku ingin tahu secara keseluruhannya. Barulah seronok dan menarik. Mengikut kehendak produser dan pengarah dan diktator, aku dan SEFA perlu mereka set yang unik, pelik dan berbeza dengan set-set yang pernah dibuat oleh kumpulan bangsawan lain. Ya, aku boleh katakan idea itu satu idea berani. Berani untuk mencuba sesuatu yang baru, yang boleh menjadi isu pertikaian penggiat mahupun tokoh bangsawan yang aku rasakan berpegang teguh pada pendirian seni bangsawan mereka bagi mengekalkan adat tersebut. Tapi, dunia sekarang semakin mencabar bukan? Keterbukaan minda menjadi salah satu aspek penting yang dinilai oleh masyarakat. Ya, seni bangsawan asli perlu dikekalkan tapi dalam masa yang sama perlu mengikut arus kemodenan. Sama saja dengan asal usul sejarah teater dari zaman dulu dan berevolusi mengikut zaman kesan daripada situasi zaman tersebut. Well, aku tak arif lagi tentang sejarah teater. Mungkin lepas baca buku-buku yang aku pinjam tu, aku boleh tahu serba sedikit.

Hmm.. hujan masih belum berhenti sepenuhnya. Renyai-renyai masih. Membasahi bumi. Dan isi-isi bumi. Aku boleh dikatakan alergik dengan hujan renyai. Boleh jatuh sakit. Demam. Kalau kena hujan renyai kena cepat-cepat basuh kepala atau mandi terus. Itu pesan mak dulu-dulu. Tapi sekarang mungkin dah tak.

Hujan juga disifatkan seolah-olah satu sistem scrubber. Kalau ada partikulat mencemar pada udara, hujan memainkan peranannya seperti sebuah sistem scrubber, macam dah disebut tadilah. Malah, ada kira-kira berasaskan satu model berkenaan hujan sebagai scrubber. Aku rasa aku dah tertekan suis OFF otak seni pula. Maklumlah. Kadang-kadang aku begitu. Ini mesti sebab sepatutnya tengah ulangkaji benda tu sekarang tapi tak bawa nota kuliahnya pulak. (Walaupun boleh saja kalau nak buka di e-learning...)

Oh ya, aku akan balik kampung Selasa depan 24 hari bulan. Petang lepas Asar. Balik seawal mungkin selepas peperiksaan. Naik bas ke KL petang tu. Kalau keadaan tak mengizinkan aku untuk bermalam di KL, aku akan terus balik kampung. Dah lama juga tak balik kampung sejak Hari Raya tempoh hari. Entah apa jadi dengan projek pembesaran jalan depan kampung tu. Dah besar dah. Empat lorong. Tapi sebab kawasan situ kawasan kemalangan maut. Jadi kena besarkan lagi sikit jalan untuk buat simpang nak masuk ke dalam kampung dan pusingan U sekali. Kawasan Jalan Kluang tu memang kawasan maut. Kereta pun boleh tahan laju. Lebih teruk lagi, kenderaan besar dan berat jauh lebih laju berbanding kereta.

Nampaknya hujan macam dah berhenti. Lebih baik aku berhenti di sini. Redah sajalah pulang ke bilik. Kalau buku-buku ni basah lantaklah. Yang basah boleh dikeringkan. Yang kering jangan suka-suka nak basahkan. Jangan subtekskan ya, terutamanya buat Encik Mad (I tahu you baca blog I, macam ada seorang Profesor Bersekutu tu juga...)

Salam seni.



Akin M.

dari UTP IRC

Tiada ulasan:

Catat Ulasan