Khamis, November 26, 2009

Aku Bukan Kasanova Baca Kasanova

Kota Lumpur banyak sudah berubah. Sedikit demi sedikit. Pudu Raya. Stesen LRT. Sudah agak lama aku tidak menjenguk kota besar itu. Kali terakhir adalah sewaktu show teater bulan lepas. Baru sebulan. Tapi rasa macam lama. Ternyata bayangan kenangan itu masih jelas terpampang pada layar minda. Bila aku terjaga dari tidur yang lena dan panjang dari sebelum memasuki Batu Gajah dalam perjalanan menaiki bas itu, sudah dapat aku lihat cahaya lampu bangunan bangunan pencakar langit. Lantas aku tersenyum dalam hati. Walaupun jiwa aku bukan di kota. Tetapi aku tetap akan tersenyum setiap kali aku memasuki kota itu. Mungkin dalam kota itu ada isi-isi yang memberi makna kehidupan aku.

Begitulah kota. Sekejap benar akan berubah.

Mak dan ayah aku sudah berada di Putrajaya sejak Jumaat yang lalu. Isteri abang sulong aku baru saja melahirkan anaknya yang ketiga. Pada 2 Zulhijjah 1430H. Berjantina lelaki sejati. Diberikan nama Lukman Al-Rayyan bin Mohamad Faizal bin Amat. Jadi aku bermalam di Putrajaya sebelum pulang ke kampung bersama mak dan ayah pada keesokkan harinya. Sebelum pulang dapat juga singgah di rumah abang aku yang nombor dua di Seksyen 18 Shah Alam.

Singgah sana sini. Nampaknya.

Kampung tak banyak berubah. Boleh kata tak berubah apa pun. Cuma projek pembesaran jalan raya di depan kampung aku tu baru nampak ada progres sedikit. Tapi masih belum siap. Umpama budak tahun akhir yang buat FYP tapi tak ada progres tiga hingga bulan. Malah lagi teruk daripada perumpamaan itu. Yang lain masih sama. Parit yang tidak cantik yang sama. Rumput-rumput yang semak samun yang sama. Orang-orang kampung yang masih sama.

Begitulah kampung. Sememangnya berbeza daripada kota.

Aku masih lagi dalam mood ingin berehat. Tidak mahu berbuat apa-apa yang memerlukan aku berfikir. Okay, mungkin main game komputer perlu fikir sikit-sikit. Mungkin bila dah cukup rehat nanti aku akan pergi mengembara. Sama ada mengembara secara real mahupun imaginari.

Masa di rumah abang aku di Putrajaya, aku sempat baca satu buku teater yang aku pinjam tempoh hari. Kemudian anak buah aku sibuk juga mahu bukak dan baca buku cerita. Bagus juga macam tu. Kalau tak asyik main saja memanjang. Memanglah budak kecik selalu dan suka main tapi tak boleh lah asyik nak main saja kalau dah bersekolah tu. Aku tak buat keputusan lagi aku nak pakai topeng mana satu bila aku jadi ayah nanti.

Aku baca buku Pegangan Pementasan Drama oleh Kalam Hamidi. Ada sedikit asas-asas teater tapi aku malas nak baca sebab sedikit bosan. Maklumlah, orang lama yang tulis. Jadi aku terus baca skrip-skrip yang ada disertakan dalam buku tu. Skrip pertama, Nyiur Gading Puncak Mahligai. Genrenya tidak dijelaskan oleh penulis. Tapi bila baca macam bangsawan. Aku tak baca habis sebab sedikit membosankan. Terus aku baca penamatnya. Happy ending.

Kedua, skrip berjudul KASANOVA. Aku baca sinopsis... menarik!


Cerita rekaan ini berbentuk komedi. Ia mengisahkan seorang guru agama yang fanatik. Punya seorang anak bernama Zulkifli. Zulkifli mendapat pendidikan sekolah agama di Kelantan. Zulkifli baru sebulan bekerja sebagai ustaz di Sekolah Agama Datok Keramat, Kuala Lumpur.
Kerana minat dan berbakat, Zulkifli melibatkan diri dalam kumpulan teater dan terpilih sebagai pelakon utama dalam teater berjudul "KASANOVA".
Ketika gambar Zulkifli tersiar dalam akhbar dan majalah untuk publisiti, ia menggemparkan penduduk kampungnya terutama keluarganya dan keluarga tunangnya.
Untuk mengatasi masalah agar jangan sampai Zulkifli jatuh hati kepada heroin teater yang bernama Siti Norbaya seperti tersiar dalam akhbar, maka keluarga dua belah pihak bersetuju memanggil Zulkifli pulang segera dengan alasan ayahnya "mati" melalui telegram.
Ketika Zulkifli pulang nanti mereka merancang menangkap dan memaksa Zulkifli dinikahkan dengan tunangnya Siti Maryam.
Namun rancangan "kahwin tangkap" itu digagalkan oleh sahabat karib Zulkifli bernama Lebai Kidam dengan cara lebih dahulu mengirim telegram kepada Zulkifli.
Ketika Zulkifli pulang dengan Siti Norbaya semua terperanjat besar. Lebih-lebih lagi Zulkifli mengisytiharkan "Siti Norbaya" itu isterinya. Majlis gempar. Ayah pengsan dan tunang lari.



Apa yang menarik adalah isu-isu yang cuba disampaikan oleh penulis di dalam karya ini. Kalau TTS mahu pentaskan satu teater realism nanti, karya ini boleh jadi salah satu pilihan yang recommended. Tidak membosankan dan tidak terlalu kosong dari segi seni dan isi. Mungkin aku patut fotostat skripnya untuk simpanan masa depan.

Atau aku patut fotostat otak aku?

1 ulasan:

  1. hmm...
    wat teater realism bagus.. sesuai dengan arus perdana.. eh.. arus moden skang...
    aku teringin nk join pementasan (dlm TTS) yg menggunakan set BESAR! bukan costume yg banyak~~
    tp SET!! baru nmpk live.. hehe

    BalasPadam