Ahad, November 08, 2009

Monolog KAMAL

Bukanlah niat aku nak tulis monolog berjudul KAMAL, mengambil nama watak suami dalam drama Payung Siti Fatimah yang aku tonton malam semalam, tetapi sekadar cuba berimaginasi meletakkan diri aku di tempat KAMAL.

Semalam aku dan separuh daripada semua stagemate aku pergi berkelah ke pantai Teluk Batik. Konsep berkelah tradisional tak adalah sangat. Macam biasalah. Masuk air. Keluar air. Tengok air. Tengok langit. Tengok orang. Duduk-duduk. Bawah pokok. Hirup udara pantai. Rasa bayu pantai. Main-main pasir. Main-main air. Lompat duduk. Duduk lompat. Lompat lompat. Baling masuk dalam air. Gelak gelak. Senyum senyum. Makan kek hari jadi. Jadi jadi. Sampai satu tahap - KEGEMBIRAAN.

Asalnya aku tak mahu masuk air. Ada hidrofobia kononnya. Tapi masuk air juga. Asalnya mahu cari ilham. Di pantai pantasi senang dapat ilham sebenarnya. Kalau duduk-duduk tu senang bagi aku untuk dapat ilham. Tengok orang lalu lalang. Tengok burung burung berterbangan bebas. Tengok bot pisang.

Di pantai pantasi sampai lewat petang. Terus bergerak ke Ipoh untuk menonton penilaian johan Festival Teater Perak tempoh hari. Dinilai semula untuk tentukan yang mana layak masuk ke peringkat kebangsaan. Sempat tengok teater IMBAS sekejap saja tak sampai habis sebab kena bergegas untuk nonton cerekarama di TV3 berjudul PAYUNG SITI FATIMAH. Cerita asal dan skrip oleh Dr Shark. Tak nak komen teater IMBAS. Sebab aku tak ada kelayakan teater pun. Tak ada degree teater. Memang bukan profesional pun. Tapi ia profesion aku.

Payung Siti Fatimah (PSF) pula cuba melontarkan idea yang melawan arus pemikiran masyarakat kita sekarang. Kes poligami. Tak perlu banyak sampai empat. Dua sudah cukup untuk sampaikan idea berkaitan kes poligami ini. Biasanya dalam kebanyakan drama Melayu seorang isteri sukar hendak terima perempuan yang lain sebagai madunya dengan penuh rela dan redha. Namun dalam drama PSF ini, nilai redha beserta dengan lumrah naluri wanita yang cemburu ditonjolkan dengan seimbang. Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa naluri wanita yang akan merasa cemburu apabila berkongsi kasih suaminya, tetapi apabila wujudnya rasa redha yang kukuh dalam hati, dipacakkan dengan asas ketaatan kepada Allah yang mana menuju kepada satu mesej penting dalam drama ini iaitu cinta kepada Allah adalah jauh lebih hebat berbanding cinta sesama manusia, dalam konteks ini cinta yang halal antara suami isteri.

Dari segi penghayatan aku pula, drama ini mampu membuatkan jiwa aku berasa sebak hingga mencetus air mata yang bergelinangan di kelopak mata (tak mengalir ke pipi). Mungkin tidak cukup untuk menyentuh hati aku yang masih keras ini pada satu bahagian walaupun lembut pada satu bahagian yang lain. Sepanjang drama ini ditayangkan, aku memasukkan diri aku ke dalam watak Kamal, si suami. Dan meletakkan diri aku di tempatnya. Hasilnya? Tengoklah reaksi muka aku ni. Oh tak nampak ya.

Sa perkara lagi yang cuba ditonjolkan dalam drama ini adalah rahmat dan hikmat. Satu dugaan ditimpa pada hambaNYA. Mungkin satu nikmat ditarik. Orang yang tersayang dipanggil menghadapNYA. Seninya adalah hikmah di sebalik.

Aku namakan entri ini monolog KAMAL sebab aku memasukkan dan meletakkan diri aku sebagai Kamal sepanjang menonton drama tersebut.

Dan, sudah pasti. Monolog aku tetap monolog QALAM bersama ZILA dan ANNIS.

Oh ya, tentang skrip AKU BUKAN LOSER! pula. Sekarang pandangan aku terhadap cerita tersebut semakin berkembang. Ada sesuatu yang aku rasa ia menarik untuk dipentaskan. Apa dia? Syyyy.. Tunggu saja bila sudah siap nanti.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan