Selasa, Disember 08, 2009

C.A.M : Cerita Anak Manja (Bukan) Cerita Artis Malaysia

Aku anak bongsu.
Anak bongsu biasanya dikatakan anak manja. Anak mak. Anak emas. Atau seumpamanya.

Biasanya bila ada orang tanya aku aku anak yang keberapa, aku akan berasa sedikit segan.
Sebab aku dah tahu respon orang yang bertanya tu.
"Anak bongsu? Manja lah ni ya."

Aku tak malu mengaku yang aku adalah anak emak.
Sebab aku memang dilahirkan oleh emak aku.

Dulu masa aku masih di bangku sekolah rendah, mak aku kejutkan aku bangun pagi.
Mak aku siapkan air panas yang dijerang menggunakan cerek antik untuk bagi aku tak sejuk mandi pagi supaya anaknya ini rajin pergi sekolah dan belajar.

Aku memang anak manja.
Aku masih ingat lagi waktu aku darjah dua kalau tak silap, aku sedikit sebak dan sedih bila mak aku balik selepas menghantar aku ke sekolah.
Mungkin waktu tu ada benda atau perkara yang aku tak suka sedang berlaku pada diri aku di sekolah... Aku tak ingat.

Sejak tadika sampai sekolah rendah, mak aku hantar aku ke sekolah naik basikal.
Kadang-kadang aku malu juga dengan kawan-kawan aku yang lain.
Sebab benda-benda macam ni lah aku selalu diejek.

Tiap-tiap hari sekolah mak aku sediakan aku sarapan.
Tapi dulu aku tak lalu makan pagi. Jadi aku hanya minum air.
Sarapan abang aku yang bedal. Masa tu abang aku dah sekolah menengah.
Jadi aku bawak bekal mak aku ke sekolah.
Biasanya burger. Burger daging, burger ayam, burger telur.
Kalau roti atau daging burger dah habis, mak aku buat sandwich.
Itu sajalah menu kebiasaan aku.
Mak aku dah siap potongkan burger atau sandwich kepada dua bahagian. Kadang-kadang dia potong kepada empat bahagian.

Waktu rehat di sekolah.
Biasanya aku akan makan bekal tu.
Dan kawan-kawan aku akan 'pau' bekal aku tu sikit.
Kalau ada empat bahagian yang dipotong. Aku makan satu bahagian saja. Tiga bahagian lagi tiga orang kawan aku yang makan.
Kebanyakan masa begitulah.

Aku dulu mula belajar solat agak lambat.
Umur 7 atau 8 tahun baru aku mula sembahyang.
Mak aku suruh pergi masjid waktu umur aku 9 tahun.
Kawan-kawan sekampung aku yang lain dah lama selalu ikut ayah diaorang pergi masjid.
Aku baru terkial-kial.
Walaupun kawan-kawan aku tu main-main waktu solat Jumaat di masjid.

Waktu aku sekolah agama petang, aku selalu beli jajan di kedai Minai, depan simpang Parit Karjo tu. Ada lagi kedai tu sampai sekarang.
Kedai Cina yang boleh hidup dalam komuniti Melayu.
Sama saja macam kedai timbang sawit Ah Chat, gelaran Chop Guan Ann di Parit Kaspan tu.
Bapak aku sampai sekarang hantar timbang kelapa sawit pada dia.
Dulu pernah cuba hantar kat Peladang niat untuk tolong orang kita.. tapi... hmm.. biasalah, kerja orang Melayu, faham-faham sajalah... pernah kena curi timbang rasanya.
Orang Cina pun jujur tak curi timbang.
Maaf kalau berbunyi atau berbau rasis di sini.
Tapi ini adalah kisah benar.

Berbalik kepada aku beli jajan tadi.
Aku akan beli banyak. Dalam RM2. Banyak tu. Macam-macam ada. Gula-gula, coklat, asam dan macam-macam lagi jajan-jajan pelik.
Bila di sekolah agama petang, aku akan makan sikit jajan tu buat hilang mengantuk belajar waktu petang dan selebihnya aku akan jual pada kawan aku dengan harga RM2. Jadi aku dapat untung sikitlah.

Aku dulu pernah menduduki Peperiksaan Tahap Satu (PTS).
Tapi aku tak berjaya lompat darjah pun.
Lagipun aku tak nak lompat darjah pun.
Takut kena buli dengan budak darjah atas.

Waktu di sekolah rendah juga.
Pada satu perhimpunan sekolah hari Isnin.
Aku pernah hampir jatuh pitam.
Mata berpinar-pinar.
Dan pernah juga aku terduduk.
Di sekolah menengah pun pernah.

Tak banyak kisah di sekolah rendah yang aku teringat sekarang ni.
Cerita biasa-biasa saja.
Kisah seorang budak yang sangat pendiam dan senyap tetapi berjaya cemerlang dalam pelajarannya.
Mungkin tak ramai yang tahu, waktu UPSR dulu, aku seorang saja yang dapat 5A.
Walaupun waktu percubaannya, aku gagal subjek Sains sebab aku tak pandai jawab soalan yang tanya pasal inferens, hipotesis dan segala mak nenek. (Satu petunjuk awal yang aku akan menceburi bidang seni. Mungkin aku jawab soalan inferens dan hipotesis tu dengan sungguh abstrak dan berseni.)

Tiba di sekolah menengah.
Situasi yang lebih kurang sama juga. Kecuali aku dah tak bawak bekal pergi sekolah. Hanya dapat duit belanja daripada ayah aku.
Kisah hidup aku di sekolah menengah tak banyak yang dapat aku ingat.
Banyak yang sudah hilang dan luput dalam ingatan.
Ada yang samar-samar. Tapi ada juga yang masih jelas.

Titik pusing hidup aku bermula sewaktu aku di tingkatan 3. Berusia 15 tahun.
Banyak perkara yang ajaib berlaku.
Yang paling ketara. Aku sudah mula berkata-kata.
Bila sudah berkata-kata ni faham-faham sajalah, semakin banyak dosa yang dilakukan.
Sebab tu aku lebih gemar berdiam.

Titik pusing hidup aku yang seterusnya berlaku pada tahun 2007.
Aku menjadi orang seni.

Apa pun, prinsip aku sejak dulu lagi:
"Diam Ubi Berisi."

Aku tak nak cakap banyak.
Aku tak nak cakap kencang.
Aku tak nak cakap hebat.
Aku tak nak cakap lebat.

Kau nak cakap banyak?
Kau nak cakap kencang?
Kau nak cakap hebat?
Kau nak cakap lebat?

Silakan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan