Jumaat, Februari 19, 2010

Bangsawan THJ : Hari 4 / Latihan 3 / Babak 3

Khamis 18 Feb 2010. 5.30 - 7.00 petang.
Semua pelakon yang diperlukan hadir.
Kecuali Zaid sebagai Tun Utama yang ada main bola.
Bola?! Oh dear. Walaupun aku tak merasai situasi sebenar tetapi masih ia.. masih boleh memberi kesan tempias pada aku.
Tetapi tak mengapa. Harap-harap komitmennya terbina secara kukuh melalui produksi bangsawan ini. InsyaAllah.


Untuk progres kali ini, aku hanya suka menyentuh hal ehwal 'permainan emosi' para pelakon.

Tun Teja.
Dalam babak ini permainan emosi Tun Teja HARUSLAH MESTILAH baik sebaik-baiknya.
Itu adalah perkara yang aku tekankan kepada pemain watak ini iaitu Nisa.
Dari rasa gelisah kemudian ada shift apabila berjumpa dengan Tuah dan kemudian meluahkan perasaan kasihnya pada Tuah. Rasa cinta yang kuat, rasa sedih bila Tuah tidak mahu membalas kasihnya, rasa geram, dan akhir sekali rasa cinta yang kuat itu seharusnya terbina dengan kukuh dari awal permainan hingga menggoda Tuah. Dan bila berdiaog dengan Patih Karma Wijaya pula ada shift lagi kepada mempertahankan dirinya kerana tidak bersalah dan telah dituduh.

Dan.. sepertimana aku mengenali pelakon yang bernama Nisa ini, dia cenderung untuk bergerak ke sana ke sini sesuka hati atas pentas. Tapi tugas direktorlah nak mengarahkan blocking dan spacing semua. Cuma harus diketahui bahawa bila pelakon disuruh supaya menggunakan seberapa ruang (space) yang ada, tidak bererti pelakon boleh bergerak sesuka hati ke sana ke sini atas pentas. Oleh sebab itulah adanya plan blocking.

Blocking juga merupakan satu kerja yang seharusnya menerapkan seni dalam mengerjakannya. Sememangnya tujuan utama blocking adalah untuk memastikan kedudukan pelakon atas pentas tidak terhalang atau dihalang oleh subjek atau objek lain di atas pentas. Tetapi dalam masa yang sama blocking juga boleh memberi impak atau kesan khas kepada perasaan dan keadaan babak tersebut berlangsung. Ia juga satu hasil seni kepala otak pengarah dan percayalah, blocking yang baik boleh menjadi satu faktor kepada keseluruhan pementasan yang baik. Sebab itulah kat mana-mana pun dalam bidang teater, blocking adalah perkara yang selalu disebut.

Datuk Patih Karma Wijaya (PKM).
Aku mengingatkan pada Nik supaya mencari satu karakter yang lebih ringan olah suara dan tubuhnya, lebih ringan lagaknya atau dalam bahasa pasarnya, karakter yang lite. PKM juga boleh bermain dengan baik dalam karakternya. Bila menghadap Sultan, dia menghasut dan membatu api. Bila berbicara dengan Tun Teja, dia mahu menyerang dan menjatuhkan moralnya, bila berbicara dengan Tuah pula dia sangat benci dan dalam masa yang sama sudah berasa puas kerana dapat memerangkap si Tuah.

Sultan.
Hussein sebagai pelakon baru masih perlu belajar asas lakonan secara tak langsung dan tak formal. Misalnya 45-degree rule.
Sesi latihan kali itu juga aku mengajarnya supaya memasukkan perasaan ke dalam dialog yang disebutnya. Iaitu bila Sultan murka dengan perbuatan Tuah, bila Sultan seperti tidak mempercayai Tun Teja dan bila Sultan menitahkan sesuatu kepada Datuk Bendahara. Kesemua perasaan ini perlu dihayati, bukan sekadar dipelajari bagaimana hendak melakukannya. Dan kesemua inilah yang aku maksudkan sebagai 'permainan' seorang pemain (pelakon).
Tapi makin lama aku makin suka dengar suaranya sebagai Sultan walaupun waktu audition dulu aku berasa ragu-ragu. Makin lama makin sesuai aku rasa.
Ah, dalam teater memang begitu. Makin lama seorang pelakon itu berlatih membawa watak yang didukungnya, makin serasi dan sebati dalam diri. Malah, ada juga pelakon yang akan terbawa-bawa karakternya itu walaupun show dah habis dan mempengaruhi karakternya dalam show yang lain selepas itu. Entah siapalah tu ya....

Watak lain aku tiada komen lagi setakat ini.

Semua 'permainan' ini harus dikuasai dengan baik oleh para pelakon. Barulah lakonan mereka boleh disifatkan sebagai sebuah lakonan mantap.
Dan sudah pasti, kerja karakter adalah tugas utama para pemain/pelakon.
Nak berlakon? Tunjukkan potensi kau orang semua. Jadi karakter itu. Masukkan jiwa dan seluruh perasaan kau ke dalam jiwa karakter itu. Caranya untuk percaya apa yang kau orang cakapkan. Namun memaksa diri untuk mempercayai bukanlah cara terbaik. Boleh, dan boleh berkesan dan menjadi, tetapi cara yang terbaik adalah untuk merasai dan menghayati watak itu secara keseluruhannya. Keseluruhannya dengan maksud, dari atas sampai bawah, di setiap sudut.

Malamnya pula, lepas Maghrib aku bersama Am, Syakir, Zizi, Khairil, Nuzul dan Pojan (Ya! Pojan) pergi Silibin. Jumpa bro Kamal Sabran, kenalan kepada kenalan Dr Shark.
Bincang-bincang pasal muzik dan kesan bunyi yang boleh diterapkan dalam teater bangsawan ni. Setelah beberapa lama, TTS dan Kamal Sabran masing-masing dah dapat berkongsi idea asas kerja muzik yang boleh dilakukan. Ada peluang untuk dapatkan band yang main muzik Melayu tradisional (Dewangga Sakti) selain sentuhan eksperimental noise dari Kamal Sabran yang pada pandangan aku menarik kalau dapat diterapkan dalam bangsawan ini.

Apa-apa pun TTS masih lagi mencari seberapa banyak alternatif bagi muzik untuk teater bangsawan ini. Alumni Gamelan, Paan juga ada berminat untuk turut bekerjasama. Namun begitu, TTS harus membuat keputusan secepat mungkin, tentang pilihan lagu-lagu, muzik latar dan apa-apa lirik yang ingin dicompose menjadi lagu, khususnya bahagian penamat si Tuah menyanyi meratapi kematian Jebat.

Semoga segala urusan dipermudahkan olehNYA!

Sekian untuk kali ini.

1 ulasan: