Rabu, Disember 29, 2010

PRA 19 - Filem Pendek Nasi Lemak 0.1

Hala tuju teater aku semakin jelas dengan bermulanya karya Nasi Lemak 10 Sen aku. Daripada sebuah karya boleh hasilkan karya-karya lain lagi. Misalnya, filem pendek. Aku sedang tulis skrip untuk filem pendek Nasi Lemak 0.1. Jika Namewee sedang dapatkan bajet bikin filem Nasi Lemak 2.0, aku teruskan kerja filem pendek aku tanpa memikirkan perihal bajet. Kalau nak shooting dekat gerai nasi lemak tepi jalan pun paling kurang kena beli nasi lemak mak cik tu untuk tumpang shooting kat gerai dia.

Sepatutnya aku sambung edit skrip teater penuh Nasi Lemak Seposen aku tu, tapi aku pergi buat skrip filem pendek pulak. Tak apalah, pendek je pun. Teater penuh tu leceh sikit nak edit. Mungkin kalau dah terdesak aku potong saja babak yang masih tak terisi dengan dialog tu. Namun begitu aku tekad untuk release sahaja skrip penuh tu pada 1.1.11 nanti.

Tema dalam karya-karya aku mungkin lebih menjurus kepada golongan bawahan. Dalam teater penuh Nasi Lemak Seposen, ada watak Tukang Sapu atau Mak Cik Cleaner. Mak Cik Cleaner merupakan satu subjek yang tidak pernah gagal menarik pemerhatian aku. Jika di apartmen UTP dulu, bila aku nak naik tangga ada mak cik cleaner duduk di dalam ruang kecil bawah tangga, di tempat aku kerja juga aku seorang kakak cleaner yang duduknya di sebalik peti sejuk, bertabirkan kerusi pejabat sahaja.

Situasi realiti kehidupan membantu aku berkarya. Seperti mak cik yang mengumpul sampah di dalam tong sampah di sebuah masjid besar. Seperti pak cik beca yang mengucup sehelai wang kertas seperti sesudah membaca al-Quran. Seperti seorang ayah yang ternampak anak perempuannya yang memegang skateboard keluar dari lif kemudian memaki hamun anak perempuan itu sehingga masuk di dalam lif dan menyondol kepala budak perempuan itu hingga dia terjatuh sedang orang lain dalam lif tak berani nak tegur bapak budak tu yang dah hilang timbang tara dan kewarasannya. Dan banyak lagi situasi realiti kehidupan yang menarik pemerhatian aku.

Aku ada satu tanggapan. Jika seni juga memerlukan pemerhatian, sains juga memerlukan pemerhatian. Oleh sebab itu dan sebab-sebab lain yang aku tak jumpa lagi, aku kuat merasakan bahawa seni dan sains merupakan bidang yang boleh diintegrasikan. Lagipun, otak kanan dan kiri adalah dalam satu otak manusia yang sama, bukannya otak kanan pada lutut, otak kiri kat kepala. Dua-dua belah otak ada pada bahagian atas tubuh manusia, sebagai simbolik akan tingginya nilai otak (akal) pada manusia.

Aku sedar aku tak ada degree teater. Aku sedar aku masih baru dalam bidang seni. Sebab itu aku masih belajar tentang teater secara tak formal. Buat kerja teater untuk TQA satu pembelajaran bagi aku juga. TQA adalah sambungan 'nyawa' aku dalam TTS. Aku bersyukur sebab ini hikmah aku tak dapat kerja dengan PETRONAS. Kalau aku dapat sekalipun kemungkinan besar aku tak akan ditempatkan di Kota Lumpur. Hikmahnya aku dapat memberikan lebih masa untuk menggerakkan TQA (dan teman hidup aku). Aku dah tak mengharap Aini untuk pindah ke KL dalam masa terdekat. Mungkin 10 tahun akan datang dan waktu tu aku dah jadi seniman betul. Sekarang baru wannabe je...

Aku mengaku kegagalan AEROSOUL aku, kegagalan watak Azman dalam TRANSIT, kegagalan memikul watak playboy ROY Festival Teater KL, dan banyak lagi kegagalan aku.


Ahad, Disember 26, 2010

PRA 18 - Aku Kena Lebih Kuat Buat Projek dan Main

bagi aku,
orang kuat cakap, (cakap berapi-rapi)
tapi tak kuat kerja, (malas, beralas-alasan)
itu loser.

lebih baik.
kerja kuat-kuat dulu. (rajin, bersungguh-sungguh)
dan cakap perlahan-lahan kemudian. (tak cakap besar, tak besar kepala bila dah berjaya)
itu winner.


kalau kau tak nak jadi loser pada pandangan aku (sekurang-kurangnya, tapi aku yakin pada pandangan lebih ramai orang),
kerjalah kuat-kuat.
buktikan pada diri sendiri terlebih dahulu (dan tak perlu pun nak buktikan pada orang lain, ia akan berlaku secara automatis) yang kau mampu buat kerja dan pikul tanggungjawab.

hidup ini realiti.
bukan fantasi.
hidup ini nyata.
fantasi hanya rekaan imaginasi manusia.
yang tak nyata.


aku cakap tengok lumrah.
bukan angan-angan.
kerana angan-angan hanya angan-angan (ha ha)

bagi aku,
orang kuat main,
orang kuat buat projek,
itu bagus.
sebab dia kerja keras.
dia kuat semangat.
di dalam.
mahupun di luar.
untuk dapatkan duit.
untuk hidup.
untuk survive.

ya, survive.


aku kena lebih kuat buat projek,
untuk jadi lebih maju diri sendiri,
dan memajukan the qum actors.

aku kena lebih kuat main peranan aku,
sebagai pelakon, pengarah, penulis dan pengurus, (dan perekabentuk)

cadangan aku untuk 2011, yang berkenaan sila komen.

Januari
bengkel mime (intro) percuma

Februari
bengkel mime (penuh) fasa 1

Mac
teater penuh nasi lemak seposen
black comedy (earth hour 2011)

April
solo mime show ASH(TM) dan Cairel(TM)
monolog pondok tok ayah
monolog aku bukan loser

Mei
filem pendek nasi lemak 0.1

Jun
festival teater (agaknya?)


Julai
festival teater (agaknya?)

Ogos
puasa - rehat

September
raya - sebulan

Oktober
show amal - teater kanak-kanak?

November
persiapan grand finale shows
(aku kahwin?)

Disember
bengkel mime (penuh) fasa 2
grand finale shows (various genre)


tidak termasuk aktiviti-aktiviti jemputan atau party crasher event lain.

saja cari pasal sibuk-sibukkan diri sendiri.
aku memang suka cari pasal.

Khamis, Disember 23, 2010

PRA 17 - TQA Label (TM) : The Mime

Label (TM) adalah pada produk/servis yang ditawarkan oleh sesebuah kompeni. The Qum Actors (TQA) juga tidak ketinggalan dengan mencipta satu label untuk mime iaitu (TM) merujuk kepada The Mime selain merujuk kepada trademark TQA.

Antara label-label TQA adalah ASH(TM), Cairell(TM) dan A.Noisef(TM). Untuk show mime penuh pada tahun hadapan, TQA merancang untuk menampilkan ASH(TM) dan Cairell(TM) di Kuala Lumpur. Kemungkinan besar ASH(TM) akan diberi slot solo mime show yang lebih banyak sedikit berbanding Cairell(TM) (70-30), atau mungkin juga 50-50 bergantung kepada budi bicara Pengurus Projek dan CEO, dan bergantung kepada persetujuan kedua-dua artis mime ini.

Aku hanya memberikan saranan berdasarkan pemerhatian dan pandangan aku terhadap kualiti persembahan mime oleh ASH(TM) dan Cairell(TM) pada Art For Grabs X-Mas dan Rantai Art Festival yang lalu.


ASH(TM)


ASH(TM) atau nama sebenarnya Asyraf Nazmie Abdul Halim merupakan artis mime yang telah memulakan persembahan mime untuk TQA bermula suku ketiga tahun ini. Antara pengalaman solo mime show ASH adalah di dalam acara-acara berikut:
  • Lorong Seni Putrajaya di Menara Kementerian Belia & Sukan, Putrajaya.
  • Pekan Frinjan Edisi 15 di Dataran Shah Alam.
  • Buy Nothing Day di MAP KL, Solaris.
  • Art For Grabs X-Mas di Annexe Gallery, Central Market.
  • Majlis Hadiah eSastera.com di Laman Budaya, Galeri Shah Alam.
  • 1st Malaysian African Art Tourism di Galeri Dunia Seni Lukis, Cheras.
  • Rantai Art Festival "GRAVITY" di Balai Seni Lukis Negara.
Sama ada di dalam auditorium atau di pentas terbuka, ASH telah banyak berpengalaman di dalam lakonan mime. ASH juga telah banyak berlakon mime sewaktu penglibatannya di dalam Tronoh Theatre Shop, UTP sama ada persembahan anjuran TTS sendiri ataupun persembahan yang dijemput oleh persatuan/kelab yang lain.

ASH dilihat sebagai seorang artis mime yang interaktif dengan reaksi penonton dan sentiasa memperbaharui karya mimenya. Antara mime ciptaan ASH sendiri yang popular adalah "Mencari Cinta" dan yang terbaru "The Housewife". Selain itu ASH juga telah melakonkan karya mime yang ditunjuk ajar oleh guru mimenya, Dr.Shark seperti "The Magician", "The Archery" dan "The Juggler".

ASH dilihat berpotensi untuk pergi lebih jauh dan menjadi seorang artis mime di Malaysia. Matlamat utama TQA adalah untuk mempromosikan seni lakonan mime ini pada khalayak ramai supaya lebih ramai yang menyedari bahawa teater bukan hanya muzikal dan bukan hanya ada di Istana Budaya, tetapi banyak lagi cabang teater yang perlu diketahui oleh masyarakat Malaysia, dan banyak lagi tempat-tempat seni persembahan.

Cairell(TM)

Cairell(TM) atau nama sebenarnya Khairil Nizam Mohd Darus juga tidak kurang hebatnya. Mula berlakon mime sejak tahun 2008 dan merupakan salah seorang perintis mime di Tronoh Theatre Shop, UTP, Cairell juga baru sahaja mula membuat persembahan mime untuk TQA pada bulan Disember 2010 ini.

TQA juga sedang merancang untuk mempromosi label Cairell(TM) bersama-sama dengan ASH(TM) pada tahun 2011. Selain persembahan mime secara solo oleh kedua-dua artis mime ini, TQA merancang untuk membuat persembahan mime penuh yang membentuk sebuah cerita yang lengkap yang dilakonkan oleh dua atau lebih pelakon mime. Tambahan itu, TQA juga merancang untuk menjemput pemuzik untuk mengiringi persembahan mime tersebut secara langsung.

Mime boleh dilakonkan oleh semua orang yang cukup anggota tubuh badan. Oleh itu jika ada di antara anda yang berminat untuk melakonkan aksi mime di atas pentas, boleh mempelajari teknik-tekniknya melalui sesi-sesi bengkel mime yang akan TQA adakan mulai tahun 2011. Dr.Shark yang telah berpengalaman lebih 20 tahun dalam teater dan mime, akan menjadi tenaga pengajar bagi bengkel tersebut. Siapa tahu anda akan menjadi salah seorang label artis mime kami nanti?

Selasa, Disember 21, 2010

PRA 16 - Skit Skit Tipu

Dalam setiap karya drama mesti ada dialog yang kuat atau lebih pasar, 'ayat power'. Drama TV, filem, apa-apa cerita dalam apa-apa bentuk media sekali pun, mesti ada 'ayat power' masing-masing.

Ayat power dalam karya Nasi Lemak 10 Sen aku:

"Kau fikir orang yang kaya dan berniaga macam kau lebih mulia daripada aku?" - Pengemis

"Kau fikir orang yang mengemis macam kau lebih mulia daripada kami yang kaya dan berniaga ni?" - Orang Kaya(p)

Dua dialog ini adalah asas yang paling awal dalam terhasilnya naskhah Nasi Lemak 10 Sen aku tu. Daripada dua dialog ini, baru aku buat ceritanya.

Dua dialog ini pun sebab aku ikut temanya iaitu Conflict/Resolution. Jadi, dialog tersebut lebih kepada Konflik.

Sebenarnya (sejujurnya), penamat Nasi Lemak 10 Sen aku itu, aku buat Pengemis bunuh Orang Kaya(p) dan Kak Zee sebab aku tak ada idea. Kerja orang pemalas macam tu lah. Tak ada idea nak buat ending macam mana, buat mati saja. Malas nak buat twist-twist ni. Orang kan suka twist. Tapi orang pun suka klise jugak. Apa pun, untuk teater Nasi Lemak Seposen yang penuh, aku tak nak buat kerja pemalas. Aku rasa aku nak tukar ending dia, tapi aku tak nampak lagi apa-apa.

Jadi, skrip teater penuh masih rahsia ya. Lepas selesai uruskan show terakhir TQA nanti boleh lah aku fokus sambung balik kerja karya Nasi Lemak Seposen penuh aku. Mudah-mudahan lah ya.

Khamis, Disember 16, 2010

PRA 15 - Kalau Aku Tak Kerja Lagi Sekarang Ini, Aku Mungkin Jadi Seekor Kucing

Rasanya aku tak pernah kongsi cerita fasal apa-apa berkaitan dengan kerja aku. Jadi kali ni aku nak cerita fasal pengalaman kerja aku sebagai jurutera yang belum berdaftar dengan Lembaga Jurutera Malaysia.

Aku dah kerja sebagai jurutera khusus dalam bidang flow assurance (tak jumpa istilah dalam Bahasa Melayu yang sesuai) selama hampir 5 bulan. Lepas aku gagal untuk mendapat tempat dalam syarikat penaja aku belajar dulu, aku terus serta-merta mencari peluang pekerjaan. Aku tak terfikir pun nak lepak-lepak kat rumah dulu. Yang aku fikir aku kena cari kerja.

Aku tak ada lah cita-cita tinggi sangat nak jadi jurutera ni. Belajar pun main-main. Rasanya kat UTP tu aku lebih banyak belajar teater berbanding engineering. (Aku tak nak salahkan sesiapa, salahkan diri sendiri sudah.) Tapi aku memang minat buat kerja-kerja process simulation ni. Nak dipendekkan cerita (malas nak tulis panjang-panjang), setelah beberapa temuduga aku pergi, aku ditawarkan bekerja di salah sebuah syarikat konsultan gas dan minyak di Kuala Lumpur. Memang elok sangatlah tu dapat kerja di KL. Walaupun aku terasa klise kejap, tapi tempat kerja di situ lah yang paling strategik bagi aku untuk mencapai matlamat hidup aku.

Kerja aku tidaklah susah sangat, tidaklah senang sangat. Buat analisis aliran minyak/gas dalam paip guna perisian khas. Bila ada projek baru, aku kena baca dokumen dan ekstrak data untuk analisis. Dah cukup data aku bina model guna perisian. Kemudian simulasikan model tu. Dapat hasilnya, kena buat interpretasi. Bila bab interpretasi memang sedikit mencabar otak. Macam nak interpret teater jugak lah. Bila keputusan simulasi itu memuaskan dan betul analisa yang dibuat, aku kena tulis laporannya sampai siap semua, hantar pada klien untuk semak laporan itu, kalau ada apa-apa komen daripada klien, aku kemaskini sahaja laporan itu, kalau klien mahu keputusan yang lebih bagus, aku akan buat ulangsemula simulasi dan kemaskini laporan dan ada sedikit pengulangan (rutin) di situ, macam salah satu elemen dalam karya sastera iaitu repitisi (pengulangan).

Hari demi hari aku makin belajar bagaimana tekanan, suhu, isipadu, ketumpatan, dan kelikatan itu dipraktikkan dalam industri minyak dan gas yang sebenar. Gerak kerja aku dipantau secara longgar oleh manager aku. Aku sendiri yang kena lebih independent dan bertanggungjawab dengan kerja aku. Yang penting bila bos aku tanya progres kerja aku, jawapan aku tidak menghampakannya.

Bos aku baru mula cuti panjang hujung tahun ini. Sebelum dia balik semalam, dia pesan pada semua engineer dia supaya bekerja keras tetapi jangan terlalu keras, kena lembut-lembut sikit, atau bak kata Dr.Shark, kena 'light' sikit dan 'enjoy the character, enjoy the line', 'feel' hah, kan asyik termasuk line teater saja aku ni. Pendek kata, buat kerja seefisien mungkin dalam masa bekerja 8pagi-5ptg/6ptg, dapat siapkan kerja dalam jangka masa yang ditetapkan, tak perlu balik lewat malam atau pergi awal pagi atau tidak keluar makan tengah hari atau perihal seumpamanya yang kadang-kala menyeksa diri sendiri atau pergi pejabat hari Sabtu Ahad, pulang dari kerja dengan senyuman, pergi kerja dengan senyuman, seronok dengan kerja. Kalau dapat melayari internet, tulis skrip, update blog, muat turun waktu kerja (multi-tasking), itu satu bonus lah!

Dalam kehidupan aku yang satu lagi, aku juga sedang sibuk dan giat berusaha menggerakkan The Qum Actors sebaik mungkin. Alhamdulillah, apa yang aku rancangkan setakat ini berjalan baik dan untuk The Qum Actors, aku akan kurangkan penglibatan aku sebagai pelakon, tetapi lebih kepada memberi ruang kepada ex-UTP dan ex-TTS untuk berlakon di KL. Aku akan lebihkan penglibatan aku sebagai pengurus dan pengarah. Terima kasih juga kepada rakan-rakan teater aku yang turut sama membantu dan memberi sokongan dalam gerak kerja The Qum Actors.

Hei Bujang, ta-ta! Bye-bye! (Hint hint!)


p/s: Tahun depan lebih ramai rakan sebaya akan berkahwin! Semoga semuanya dilimpahkan rezeki yang mencurah-curah kepada anda semua olehNYA. Tak, tak perlu masuk MLM untuk hidup senang! Hidup senang itu definisinya lebih meluas daripada hidup kaya ya. Hidup kaya ada saja yang tak senang hidupnya. Cool kan hidup ni? Variabelnya subjektif.

Isnin, Disember 13, 2010

PRA 14 - Akan Datang: "The Dia's Dilemma"

Judul: "The Dia's Dilemma"
Karya: Akin Muhammad
Medium: Digital


"The Dia's Dilemma" merupakan sebuah hasil seni visual + textual yang terganggu oleh elemen keenam. Hasil kerja seni ini (lebih senang aku sebut sebagai 'artwork') dihasilkan melalui medium digital, sama ada lakaran komputer mahupun suntingan fotografi. Artwork ini membawa tema keraguan dalam mencari hala tuju hidup. sudah sedia adanya 5 elemen atau rukun, namun gangguan elemen keenam ini menyebabkan si pencari keliru dan ragu, mana kiri mana kanan, mana atas mana bawah. akhirnya pencari gagal di tengah jalan (digambarkan melalui artwork ini yang sengaja dibiarkan separuh siap). kerana mengikut gangguan elemen keenam itu. moralnya mudah, pegang kukuh pada 5 elemen atau rukun yang sedia ada itu, anda berjaya.



Ahad, Disember 12, 2010

PRA 13.3 - Skit 4

skrip nasi lemak seposen aku yang penuh yang rancangnya nak guna untuk dipentaskan tahun 2011 tak disambung lagi kerja suntingannya.
entahlah para pelakon nanti boleh terima dan percaya dengan skrip aku atau tak?
mungkin aku patut tanya terus secara langsung nanti.
aku tak nak ada pelakon yang tak boleh terima skrip aku nanti berlakon jadi terpaksa-paksa pulak.

sebab aku pernah hadapi situasi pelakon mempertikai dan memperlekeh skrip orang lain tanpa adanya penulis skrip didepannya pada waktu itu.
"apa punya skrip lah ni?"
"entah apa-apa lah yang dia tulis ni?"
dan seumpamanya lah.

mungkin perangai dan pemikiran pelakon itu sendiri yang tidak wajar.
atau memang penulis menulis tak bagus langsung.

aku akan masih memberi ruang untuk consider mementaskan karya orang lain seperti karya sasterawan negara atau karya yang ditulis oleh penulis yang bertauliah.
atau mungkin sahaja karya Dr.Shark. karya dia lebih menghiburkan penonton disamping menyampaikan maksud dan mesej yang tersirat.
karya aku tidaklah sebegitu. tidaklah menghiburkan sangat. kalau ada yang terhibur pun itu sebab pelakon itu sendiri yang pandai menghiburkan. mesej dan maksud tersirat aku lagilah susah nak faham. memang patut pun kalau ada orang kata, "entah apa-apa lah yang dia tulis ni?"

dan aku juga akan masih memberi dan membuka peluang kepada pengarah lain yang ingin mengarah nanti. aku tak nak pelakon tak suka dengan pengarahan yang aku macam sial ni. sikit-sikit nak marah. sikit-sikit nak emo. aku tak nak pelakon dan krew berasa kurang senang.

jadi sesiapa yang ada cadangan karya yang bagus untuk dipentaskan dan dipertandingkan nanti, serta pengarah yang lebih bagus mahu mengarah, silakan lah.

tapi kalau tak ada orang lain dan tak ada cadangan lain. nampaknya aku harus teruskan tanggungjawab aku. cuma yang penting, aku harap para pelakon dan krew memberikan kepercayaan kepada aku nanti. walaupun aku pengarah yang celaka.

PRA 13.2 - Skit 3 "kerana aku seorang pendiam..."

memang orang ramai akan suka berkawan dengan orang yang peramah.
kita akan rasa selesa bila bergaul dengan orang yang peramah dan ringan mulut.
pendek kata disenangi ramai orang dan memang seronok bila bergaul dengan orang yang peramah.
itu lumrahnya.

sebaliknya pula, orang yang tak peramah atau tak pandai berkawan atau pendiam atau pemalu kurang digemari oleh ramai orang.
hanya orang-orang yang terdekat sahaja yang bergaul dengan orang sebegitu. ahli keluarga sahaja barangkali. kalau ada pun hanya seorang dua kawan baik.
dengan rata-rata orang lain, orang sebegitu akan dipandang 'first impression' sebagai orang yang sombong, kera sumbang dan seumpamanya.
dan itu juga lumrah.

itu kuasa Allah mencipta manusia pelbagai.

aku?

aku tergolong dalam golongan yang kedua yang aku sebut tadi.
itu adalah diri aku yang sebenar.
kalau di atas pentas itu bukan diri aku. itu hanya lakonan semata-mata. alah, lakonan aku pun bukannya best. sebab itu sekarang aku dah makin kurang hendak berlakon. aku sedar kemampuan aku bukan untuk berlakon. jadi memang dapat dilihat sekarang ni aku lebih suka menulis atau mengarah. tapi aku tetap mahu bergiat dalam bidang seni.

aku tak mengharapkan semua orang untuk faham diri aku yang pendiam ini.
sebab itu kalau ada orang menegur yang aku hanya banyak diam sahaja, kalau ada orang cakap aku tak pandai berkawan, tak pandai bersosial, sombong dan seumpamanya, aku terima. sebab memang itu diri aku.

di rumah bersama keluarga aku pun banyak berdiam.
dengan rakan-rakan teater aku pun tak adalah banyak sangat cakap. banyak diam juga.
di tempat kerja aku juga seorang pendiam.
di mana-mana aku juga seorang pendiam.

kerana aku seorang pendiam...


p/s: 'dalam mulut ada emas', orang kata. kalau ada emas betul tak apa juga.

Isnin, Disember 06, 2010

PRA 13.1 - Skit 2

sejak kebelakangan ini aku hadapi sedikit masalah untuk menulis
orang panggil Writer's Block
tulis sikit, aku padam
tulis banyak sikit, aku terus padam semua
nak kata tak ada ilham, ada saja ilham
mungkin penat kerja - (tapi ini satu alasan)
mungkin tak ada masa - (lagilah alasan ni tak boleh pakai)
mungkin juga malas - (alasan juga)
mungkin tak ada mood - (alasan juga, tapi munasabah juga bagi seorang penulis yang ikut mood)
mungkin sebab aku bukan penulis yang ada dateline macam penulis skrip drama atau filem
atau mungkin saja aku bukan dilahirkan untuk menjadi seorang penulis yang baik

kerja aku sebagai jurutera tidaklah begitu membebankan atau menekan
sememangnya aku lebih menggemari kerja-kerja upstream iaitu di kerja di pejabat
pandai-pandai ikut kreativiti masing-masing bagaimana hendak menjadikan rutin pejabat itu sesuatu yang menarik
dan memulakan kerja pada hari Isnin dengan senyuman, pulang dari kerja juga dengan senyuman

11 disember ini ada show di Central Market
kemungkinan besar aku tak akan berlakon
pelakon pun dah cukup
cukuplah sekadar mengurus projek itu agar berjalan dengan lancar
aku harap dengan projek ini nanti, TQA dapat meluaskan lagi promosinya untuk projek-projek akan datang
20 dan 21 disember juga ada show di Balai Seni Lukis Negara
harap semua berjalan lancar

sejujurnya, aku mudah letih
letih bila aku buat dan fikir banyak sangat benda
namun aku tetap teruskan langkah tanpa menghiraukan fikiran-fikiran negatif
aku anggap itu semua sebagai satu cabaran yang akan mendidik aku untuk menjadi seorang yang lebih matang dan kuat, khususnya dalam bidang teater
aku cuba buat terdaya mampu
kadang-kadang ada saja kerja yang aku tak mampu siapkan
itu kelemahan aku

aku mengagumi dan menghargai ASH(tm) - (tm tu "the mime")
dari dulu lagi aku merasakan bila aku melihat ASH(tm), aku dapat lihat sebahagian daripada diri aku
mungkin sebab aku pun seorang yang pendiam
dia ada berkata kita memainkan peranan masing-masing dalam kerja di dunia ini
bagi aku, kata-kata itu cukup matang
matang bukan diukur pada usia, kemampuan seks, ada pakwe/makwe, boleh merokok, atau seumpamanya
matang yang sebenar datang dari cara kita berfikir serta budi bicara kita
namun begitu, emosi adalah salah satu elemen yang mampu mengganggu kematangan fikiran kita
nafsu amarah.

aku ada siapkan sedikit draf sinopsis untuk sebuah drama
judulnya "Air Mata Umi" atau "Air Mata Ibu"
itu pun aku paksa diri aku untuk tulis
kalau tak aku hanya akan baring dan membiarkan fikiran aku melilau-lilau tanpa hala tuju
dan terus dibuai mimpi

dan begitulah yang telah berlaku sejak kebelakangan ini

Rabu, Disember 01, 2010

PRA 13 - Skit 1

tiap hari pergi balik kerja aku akan nampak pengemis yang sama dekat kawasan laluan pejalan kaki itu

kadang-kadang sahaja ada pengemis lain tapi seorang pengemis itu sahaja yang memang setia di situ

suatu hari ada seorang yang aku kira bukan pengemis tetapi lebih kepada seorang yang terbiar kehidupan asasnya

berkata dia kepada pengemis itu

"biar muka hodoh, tapi hati budi mulia."

lantas aku terus berlalu dari situ seperti biasa

tetapi kali ini hati aku mengucapkan kesyukuran

kerana masih ada manusia di muka bumi ini

adakah anda seorang manusia?

Rabu, November 10, 2010

'Berehat' Sebentar

'Berehat' sebentar walaupun sebenarnya tak adalah berehat-rehat hingga bermalas-malasan.

Walaupun aku malas nak melayan kerenah diva, primadiva, primadona handalan ataupun seniman agung ataupun pejuang royalti dan kebebasan hak asasi manusia, tapi aku tak adalah malas sangat nak bergiat dalam teater.

Akan sibuk dengan beberapa projek seni berkaitan dengan teater. Seperti yang terpampang di kolum tepi blog ini.

Kerja Nasi Lemak Seposen aku sedang tergendala. Beri ruang untuk gerak kerja TQA buat masa sekarang. Bulan Disember banyak benda gila.

Namun tiap kali aku pergi balik kerja, aku tetap menambahkan input terhadap Nasi Lemak Seposen aku. Waktu ini aku harus berterima kasih kepada semua pengemis di stesen LRT Masjid Jamek (tak termasuk orang buta penjual tisu dan pena mata bulat).


"Komitmen kepada kerjaya, keluarga dan seni."

Ahad, Oktober 31, 2010

PRA 12 - Menelusuri Lubang Arnab : Interpretasi Pada Persepsi & Situasi Nasi Lemak Seposen

Ada ubi kayu pada sebuah ruang
Ada tin perak berhampiran
Aku adalah orang
Aku juga adalah ubi kayu
Tin perak itu patung orang
Tin perak itu tiba-tiba bergolek bising
Walaupun ubi kayu tiada berbuat apa

Ubi kayu yang kayu 
yang tiada berbunyi kuat 
bila jatuh dilenyek
atau terpenyek dipijak 
kaki berlapik getah moden




Aku sudah mula buat rujukan untuk Nasi Lemak Seposen aku. Itu pun sebab aku tak ada mood nak edit skripnya. Tak ada mood nak edit skrip, mood untuk buat benda lain mesti ada. Asalnya aku saja-saja mahu cari hasil kekata kunci "nasi lemak seposen" atau "nasi lemak sepuluh sen" atau "nasi lemak 10 sen" tapi akhirnya ada elok juga aku jadikan hasil carian Google ini sebagai salah satu sumber rujukan aku untuk Nasi Lemak Seposen aku nanti.

Walaupun tajuk entri ini dah macam tajuk tesis, entri hanya sekadar sesuatu yang ringan. Aku akan paparkan imbasan skrin dalam hasil carian aku tersebut. Kesasihan pernyataan dalam hasil carian ini mungkin benar mungkin salah. Dan, jangan fikir negatif sangat. Fikiran negatif mendorong cas-cas negatif untuk melekat pada sel-sel otak lantas membuatkan kita seorang yang negatif. Orang yang negatif tak boleh dekat dengan orang yang negatif satu lagi. Nanti masing-masing berlawan. (Orang keras kepala / degil tak boleh duduk dekat dan borak-borak pasal sesuatu perkara yang provokatif nanti dua-dua bergaduh bertikam lidah bertekak bertengkar berkelahi seumpamanya.) Orang negatif akan dekat dan rapat dengan orang positif. Dan ini adalah salah satu teori aku dalam sesebuah hubungan suami isteri. Maaf jika tulisan aku sejak kebelakangan ni dan pada masa akan datang lebih berbunyi kepada sesorang lelaki yang mahu jadi suami yang mengahwini bakal isteri aku yang kini. Aku bangga dengan bakal isteri aku dan menyanjunginya sebagai seorang wanita yang tidak dapat tidak, memerlukan seorang lelaki yang tepat untuk dirinya sebagai teman hidup dunia akhirat.

Itu sedikit tentang negatif dan positif. Dan kali ini aku tidak merapu, memang ada kaitan dengan paparan gambar-gambar di bawah.
























Maka tidak mustahil adanya isi teater Nasi Lemak Seposen (NSL) berkenaan isu sosial dan ekonomi yang juga menjurus kepada hal politik walaupun ia hanya cerita tentang seorang pengemis. Pada masa hadapan, aku mahu ada seseorang yang tak masuk akal untuk buat kajian karya aku ini. Teater NSL boleh jadi lucah, boleh jadi sadis, boleh jadi serius, boleh jadi kelakar.


p/s: Ada tali nafsu setan di dalam ini.

Selasa, Oktober 26, 2010

Teaser Nasi Lemak Seposen

Secara tak rasminya, kerja produksi The Qum Actors sebagai persediaan untuk Festival Teater Kuala Lumpur 2011 akan datang sudah pun bermula. Ia masih tidak rasmi sebab masih belum diumumkan pun tentang festival teater tersebut. Tapi kalau tak ada festival teater sekalipun tahun depan, TQA tetap akan menjalankan sebuah produksi teater secara sendiri tanpa perlu menggunakan nama TTS untuk mendapatkan ruang show secara percuma.

Bagi pihak aku pula, aku sedang menyunting skrip Nasi Lemak Seposen yang aku akan pertaruhkan dalam festival itu. Ini pun atas saranan Dr.Shark sendiri. Mungkin juga ada ahli TQA yang kurang yakin untuk membawa skrip aku itu. Mungkin ia tidak mampu menghiburkan penonton sebagaimana karya-karya Dr.Shark. Mungkin juga ia sukar difahami kerana gaya tulisan aku sendiri yang tidak bagus dan tunggang langgang. Atau mungkin kerana ada yang takut-takut. Atau mungkin juga kerana 'gagalnya' Aerosoul tempoh hari? (Gagal kah? Aku pun tak menontonnya.) Ya, Aerosoul gagal jika ia hanya dibikin seperti melepaskan batuk di atas tangga.

Apa pun, Dr.Shark juga menyarankan aku sendiri yang mengarah karya aku sendiri. Dan mungkin itu yang lebih baik. Dan memang itu pun yang aku rasa lebih baik. Sudah tentu aku lebih memahami karya aku sendiri berbanding orang lain.

Skrip aku memang bosan lagi membosankan. Akan tetapi skrip yang menghiburkan pun boleh jadi bosan, dan skrip yang bosan boleh jadi menghiburkan. Kerana kerja teater ini menyeluruh. Daripada penulisan skrip, pembinaan karakter oleh pelakon, pengarahan dan sebagainya.

Untuk Nasi Lemak Seposen kali ini, aku tidak mahu buat kerja sambil lewa atau cincai-cincai. Skrip akan aku baca dan semak berkali-kali dan sunting berkali-kali sampai betul-betul cantik. Hanya selepas aku yakin dengan kekemasan karya aku itu, baru aku akan edarkannya pada Dr.Shark untuk suntingan terakhir dan seterusnya pada para pelakon untuk script reading.

Kerja pengarahan aku juga bermula selari dengan penulisan skrip. Apa-apa lintasan idea aku akan terus tulis dan masukkan dalam skrip. Aku juga sudah dapat gambaran konsep yang aku ingin bawa dalam Nasi Lemak Seposen. Berdasarkan konsep ini, baru aku yakin untuk teruskan kerja pengarahan aku secara terperinci dan membuat rujukan serta rangka pementasan dalam kepala otak mahupun kertas. Konsep Nasi Lemak Seposen setakat ini adalah experimentalism-suggestive-realism. Dan mungkin aku masih mahu teruskan idea sebelum ini untuk mewujudkan watak-watak dalam karakter binatang. Dalam Nasi Lemak Seposen ini juga aku mahu tampilkan stail KORUS dan teater-dalam-teater. Tidak dilupa juga cubaan untuk menampilkan scene grabber dan X-factor.

Aku mahukan watak jahat itu betul-betul jahat sampai orang tengok kau rasa macam nak bunuh kau. Dan aku mahu watak hina itu betul-betul nampak hina sampai kau tak sampai hati nak tengok kalau kau tak tolong apa-apa. Nah, ini sahaja yang akan aku pesan nanti sebaik selepas script reading dan sebermulanya latihan lakon.

Sebagai teaser, ingin aku senaraikan mukasurat pertama dan kedua skrip penuh Nasi Lemak Seposen aku.




Uploaded with ImageShack.us



Dan sekarang, aku perlu kira bajet untuk aku beli stok paracetamol.

Ahad, Oktober 24, 2010

PRA 11 - Puisi "Menara Debu Tinggi"

menara debu itu tinggi
debu yang keras diawet
langit tercakar luka oleh hujung telunjuk menara
ada yang terpacak sendiri
ada yang berkembar berpasangan berpegangan tangan
ada yang bergaduh bertengkar
ada yang berbaik-baik
masing-masing gah dengan ego
walau bertubi-tubi pesawat merempuh
tetap tegak terpacak
tidak seperti lalang ditiup angin lalu
kali ini kuku besi tidak cair pada suhu tiga ribu darjah sekalipun
kebal dan tidak lut dengan apa-apa serangan
kecuali air

debu tewas lemah dengan air
menara debu itu tinggi dan keras
hancur lebur musnah dan amat rendah
apabila air menyembur

tapi zaman itu air diperangi
air tulen sudah tiada lagi
yang ada hanya air palsu
makhluk-makhluk yang memakai air itu pun jadi palsu
dunia itu penuh dengan kepalsuan
dari rambut palsu hingga ke hidung palsu
mata palsu nampak pocong
mulut lidah palsu kena pancung
tangan palsu kena potong
kaki palsu kena potong

dari debu berterbangan ditiup angin lalu
lalang-lalang kini senyum kegembiraan

Rabu, Oktober 20, 2010

PRA X - PRA Perkahwinan, Bangsawan Shakespeare, Woyzeck Yang Sakit Jiwa, Piala Mad Haris II

Syukur.
Segala puji-pujian kepada Allah.

Ini Entri X.
Ini entri khas.

Chin Chin telah membelah rotan kepada sembilan ratus kerat lebih.
Tapi itu tidak cukup hebat kerana Allah sahaja Yang Maha Hebat.

Terima kasih kepada ahli keluarga.
Dan para tetamu yang dihormati yang hadir.

Pertunangan suatu persetujuan kedua belah pihak.
Juga bukti komitmen kedua belah pihak.

Sesama manusia mendoakan kebaikan.
Itu sahaja yang manusia mampu pohon pada Tuhan.
Doa.

Aku masih bujang.
Mungkin suku bujang.
Mungkin separuh bujang.
Mungkin tiga suku.. bujang.
Dan akhirnya aku tidak bujang.

Bujang lapok adalah satu isu sosial.
Lihat betapa geniusnya P.Ramlee dalam berkarya.
Isunya sampai sekarang masih relevan.
Kerana sekarang ini orang lelaki dilihat sebagai makin susah hendak kahwin.. kalau tak ada duit.
Duit dilihat sebagai penghalang utama.
Walaupun sebenarnya tidak.

Tiada tragedi Oktober.
Hanya lakaran memori manis nan indah pada langit kehidupan membiru.
Pra-perkahwinan.
Konvokesyen.
Ulang tahun ke-3 kami.
Dan diakhiri dengan tamatnya tempoh percubaan aku sebagai jurutera muda.
Semoga semuanya baik-baik belaka.
Buat semua manusia.

Bulan Oktober ini juga meriah dengan teater.
Inilah aku. Asyik-asyik teater.
Teater, teater, teater.
Tak jemu-jemu.

Kalau dah minat yang mendalam memang tak jemu.
Hari-hari mesti ada fikir pasal teater.
Nasi Lemak Seposen versi panjang aku dah siap.
Memang kena sunting banyak banyak kali nanti.
Tak nak panjang-panjang sangat.
Ngam-ngam satu jam paling lama pun.

Apa pun, aku ada beberapa kritikan teater yang aku hendak buat tapi tak sempat lagi!
Bangsawan "Bunga Sakti Cinta Malam" adaptasi A Midsummer Night's Dream, dan
Teater adaptasi "Woyzeck".
Dan teater-teater pendek dalam Piala Mad Haris II.

Oh mungkin aku patut tulis kritik ringkas sekarang?
Hal tangguh tangguh memang tak jadi.
Nak buat, buat terus.
Masa tak akan menunggu kita.
Macam lelaki nak kahwin lah.
Nak kahwin, kahwin je.
Ah sudah, terus dengan kritik.



KRITIK 1
Bangsawan "Bunga Sakti Cinta Malam"

Macam biasa, ada pandangan secara keseluruhan. Ada pecahan mengikut turutan babak-babak.

Sayang sekali, aku tak pernah baca lagi karya Shakespeare "A Midsummer Night's Dream". Jika tidak tentu ulasan ini boleh jadi lebih bagus. Oleh sebab itu selepas menonton bangsawan ini, aku tanamkan azam untuk baca paling kurang satu karya Shakespeare sebelum tahun 2010 ini berakhir. Mungkin aku patut mula dengan karyanya yang paling pendek antara banyak, dan yang paling popular. Mungkin aku patut sahaja baca A Midsummer Night's Dream dapat aku faham sedikit walaupun aku hanya menonton adaptasi bangsawannya sahaja.

Secara keseluruhannya, pementasan bangsawan ini sudah tentu telah menonjolkan elemen-elemen penting dalam bangsawan. Yang paling utama adalah lengguk bahasanya. Atau ada seorang kawan baik Dr.Shark kata, 'kiuk'. Aku memang geram dengan bangsawan yang lengguk bahasanya memang berkiuk-kiuk. Terasa sangat indah mendengarnya. Mungkin itu seni dalam bangsawan yang paling indah selain keindahan latar-latarnya. Mungkin kena berguru baru boleh dapat ilmu kiuk itu. Memang kalau nak menuntut ilmu, kena ada sifu juga. Tak boleh menuntut ilmu dari buku atau bahan pelajaran lain sahaja tanpa ada guru yang menunjuk ajar.

Itu yang pertama, kiuknya yang sangat terbukti kekiukkannya pada watak Raja dan Menteri dan watak-watak yang seharusnya berketurunan bangsawan. Bagi watak-watak bukan dari golongan istana, lengguk bahasanya pula lebih kepada kebiasaan. Ini berdasarkan pandangan aku selepas menonton beberapa bangsawan. Mungkin pandangan aku ini salah. Mungkin semua watak dalam bangsawan harus mengikut kiuk bangsawan. Aku kata harus sahaja. Tak semestinya perlu atau wajib. Kerana seni itu sendiri adalah luas, mendalam, indah dan SUBJEKTIF.

Yang kedua yang paling menonjol dalam bangsawan ini adalah kekuatan muziknya yang sangat indah dan mengasyikkan. Tiada ketukan cymbal banyak banyak kali cheng cheng cheng cheng cheng cheng mungkin tempoh hari bangsawan Laksamana Cheng Ho banyak sebab nama pun Cheng Ho kenalah Cheng Cheng Cheng Ho ho ho. Apa pun, pemain muziknya sangat mantap. Dibantu dengan sistem audio panggung bandaraya yang kedap bunyi, sudah pasti mampu membuat peha kaki aku bergoyang-goyang. (Sejuk pun ya jugak sampai rasa nak terkencing tergoyang-goyang peha kaki.)

Ketiga, banyak tasmat. Inilah yang biasanya yang aku cari-cari dalam sebuah pementasan bangsawan. Tasmat. Yang aku kira sebagai penyumbang kepada WOW-Factor.


Babak 1 - Istana Raja
Semuanya biasa sahaja. Cuma ada seorang watak yang seperti tidak masuk ke dalam dunia cerita itu. Mungkin kerana kiuknya yang tidak sekata dengan watak-watak lain.

Babak 2 - Kamar Puteri Raja
Ternyata bangsawan sememangnya teater kaya. Letaklah set cantik-cantik, besar-besar atas pentas. Dan semuanya itu tidak digunakan dengan baik. Set tidak dimanfaatkan dengan baik. Sama sahaja perihalnya sewaktu aku mengarah Bangsawan Tuah Hang Jebat dulu. Banyak set yang hanya sekadar menghiaskan rupa paras pementasan itu semata-mata, tanpa dipergunakan oleh para pelakon.

Babak 3 - Kediaman Raja Pari-pari
WOW Factor 1 : Raja Pari-pari muncul dengan fizikal yang tinggi. Dia berdiri di atas pembantunya dan diangkut. Dari segi keselamatan pentas agak membahayakan kalau-kalau Raja Pari-pari itu terjatuh. Akan tetapi dengan kemahiran dan teknik sudah tentu dapat dilakukan, asalkan tidak terlalu membahayakan pelakon.
Watak pembantu Raja Pari-pari iaitu Kundang pula adalah menarik dengan olah suara dan tubuh yang animated. Banyak kali juga penonton merasakan gaya Kundang itu kelakar, dan memang Kundang tidak banyak bermain dengan emosi, sesuai dengan karakternya sebagai seorang makhluk suruhan.
Latar bagi babak ini juga mampu memberikan mood para penonton untuk turut sama berimaginasi dan masuk ke dalam dunia pari-pari. Ditambah lagi dengan muzik ambient yang kena, sudah tentu bangsawan ini menepati piawai bangsawan moden. Ya, ini adalah bangsawan moden.

Babak 4 - Hutan (1)
Tasmat utama yang aku tunggu-tunggu iaitu bunga sakti cinta malam keluar akhirnya pada babak ini dari atas. Bunganya besar tetapi hanya satu kuntum yang dipetik oleh Kundang.

Babak 5 - Hutan (2)
Ada adegan pementasan di dalam pementasan. Ada sekumpulan pemuda yang menjalani rehearsal untuk pementasan mereka di hadapan Raja sempena perkahwinan Raja nanti. Pementasan itu dinamakan Pungguk Rindukan Bulan.
Pementasan kecil ini menarik kerana kegilaan dan keghairahan kesemua karakter yang ada.
Satu lagi tasmat adalah kepala keldai yang dipasang sebagai head gear. Lebih elok jikalau head gear itu tidak menampakkan muka pelakon dan suara pelakon pun berubah menjadi suara seperti seekor keldai.

Babak 6 - Istana Raja
Babak penamat ini menonjolkan emosi Memanda Menteri yang sangat mantap. Emosi sedihnya disampaikan dengan penuh jiwa dan eskpresi sehingga menyentuh jiwa penonton. Watak Raja pula seperti sudah semakin hilang, mungkin kerana pelakonnya juga baru sahaja berlakon babak pementasan dalam pementasan tadi yang gila-gila, tiba-tiba pula di babak ini dia menjadi Raja. Pertukaran watak memang ada risiko kehilangan karakter.

Apa pun, ulasan ini tidak begitu bagus sebab ia sudah agak lama terperuk dalam ingatan aku. Seharusnya lepas balik menonton aku terus tulis.



KRITIK 2
Teater adaptasi "Woyzeck"
Karya George Buchner

Secara keseluruhannya, gaya pementasan di bawah arahan Roselina Khir ini membuatkan aku terbayang-bayang akan persamaannya sedikit dengan gaya pementasan Dr.Shark. Mungkin juga benar kerana Dr.Shark sendiri pernah berada di bawah arahan Roselina Khir.
Ini kerana;

(1)
Banyak kali blackout setiap pertukaran adegan. (HA HA) Blackout itu juga agak lama tempohnya. Memandangkan berdasarkan pengalaman aku dan komen balas daripada penonton terhadap show TTS selama ni, penonton tidak suka blackout banyak kali sangat dan lama sangat. Dan terbukti benar apabila sewaktu pementasan Woyzeck ini, penonton berasa kurang senang dan gelisah apabila asyik blackout, dan tempoh blackout itu lama.

(2)
Akan ada campur aduk antara sesuatu yang abstrak dan sesuatu yang langsung tampaknya. Ada elemen eksperimental bercampur dengan realism.

(3)
Nak minimal, tapi taklah minimal sangat. Ini ditunjukkan melalui set yang digunakan ala-ala teater Bedah yang juga baru dipentaskan.

Permulaan teater ini menarik minat aku dengan audio muzik berbahasa German sebagai latar adegan latihan kawad tentera-tentera German dan pengenalan watak utama Woyzeck yang nampak lurus bendul dan naif serta loser. Pengenalan watak ini cukup berkesan walaupun hanya aksi-aksi sahaja yang ditunjukkan tanpa perlu dialog.

Kedua yang menarik bagi aku adalah watak Doktor yang aku rasa dimainkan oleh orang Sabah atau Sarawak? Aku pun tak berapa pasti. Slang yang dimilikinya itu digunakan dan dimanfaatkan oleh pelakon untuk membentuk karakter yang unik dan tersendiri.

Watak Kapten juga sebenarnya seperti sengaja dimainkan sebegitu rupa, atau mungkin juga pelakonnya tidak pandai berlakon. Tapi pada pandangan awal aku, pelakon watak Kapten itu tidak pandai berlakon. Monoton. Emosi kosong. Mungkin sengaja dibuat sebegitu.

Woyzeck pula kedengaran seperti pelakon terkenal Shaheizy Sam (popular dalam Adnan Sempit). Permainan karakternya baik. Emosinya berkembang dari awal hingga akhir cerita. Kekacauan jiwanya berkesan membuatkan penonton tidak senang menonton dan ingin teater ini cepat habis.

Ada adegan mabuk-mabuk dan berpelukan lelaki perempuan. Walaupun yang terlibat berpelukan itu berbangsa Cina dan India, tetapi aku tetap tidak setuju adegan tersebut dilakukan. Kecuali jika pelakon itu suami isteri yang betul berpelukan.

Watak utama perempuan tak sedap suaranya sewaktu menyanyi. Kalau aku jadi pengarah, aku tak akan bagi pelakon itu menyanyi kalau tak sedap suaranya. Lakonannya juga menjengkelkan. Begitu juga dengan seorang lagi watak pembantu perempuan. Tak pandai berlakon dan gagal dalam semua aspek asas lakonan teater. Yang aku maksudkan bila 'tak pandai berlakon' ini adalah apabila aku tak percaya yang pelakon tu maksudkan dialog yang dikatakannya.

Teater ini secara keseluruhannya berada di paras sederhana. Aku tiada masalah dengan skrip dan isu yang disampaikan walaupun skrip itu sebenarnya asalnya hanyalah fragmen-fragmen yang tidak disusun malah tak disiapkan pun oleh penulis.

Apa pun, satu cubaan yang bagus kerana ini adalah teater adaptasi German pertama yang aku tonton.




KRITIK 3
Pertandingan Teater 10 Minit Piala Mad Haris - Musim Kedua


"Ini Tak Boleh, Ni!"
Karya Rosheen Fatima

Karya ini memang cukup menarik serba-serbinya. Oleh sebab itu aku akuinya sebagai pemenang Kakiscript 2. Dengan tema utamanya berteraskan konflik, cerita ini mudah dan sangat dekat dengan masyarakat. Isu khalwat, isu pegawai agama serkap jarang, isu Melayu selalu lambat tak tepati masa, dan sedikit isu politik.


"Pratt Prett Prutt"
Karya SEFA

Teater pendek ini ringkas, mudah tetapi menarik. Mengikut pengetahuan aku skrip ini ditulis oleh SEFA sebagai salah satu penyertaan Short + Sweet Theatre Festival 2010 tetapi tidak terpilih.
Sejujurnya ini kali pertama aku melihat SEFA cuba melarikan dirinya daripada klise atau kebiasaannya sendiri. Teater ini cuba memudahkan sesuatu yang tidak semudah itu. Misalnya kehidupan seorang insan itu digambarkan hanya sebagai menaiki dan memandu sebuah kereta permainan. Oleh kerana ia hanya permainan dan aturan jalannya ditetapkan sebagai LURUS sahaja dan pemandu perlu memandu lurus sahaja, idea cerita ini masih aku dapat terima walaupun hakikatnya, semua manusia di dunia ini tidak mampu melalui jalan yang lurus sepanjang masa. Pasti akan ada bengkang bengkoknya, pasti akan ada terbabasnya. Jadi pada hemah aku, cerita ini idealistik, tetapi tidak realistik. Ia hanya sekadar mahu mengajak manusia supaya mengikut jalan yang lurus dan mematuhi arahan yang ditetapkan. AMAR MAKRUF NAHI MUNGKAR adalah kata-kata kuncinya.


"The Witty Mouse & The Bear That Don't Care"
Karya SEFA

Karya ini berat dengan isu sosial, ekonomi dan politik. Agaknyalah. Dan oleh kerana lumrah manusia itu sendiri, karya yang berat sukar untuk difahami oleh penonton dalam masa yang singkat. Tambahan pula, ia dilakukan dalam bahasa Inggeris. Penonton perlu menggandakan deria mereka untuk memahami karya ini. Jika tidak, karya ini hanya sia-sia begitu sahaja. Ditambah lagi dengan aku yang sibuk menangkap gambar, sudah tentu aku hanya dapat faham isi cerita ini melalui watak yang dimainkan oleh Mohd Mekhi, pelakon baru dari Sudan.



Mime Monolog "Haram Jadah"
Karya SEFA

Karya SEFA yang ini setahu aku adalah antara yang terbaru. Jadi, aku dapat lihat perkembangan yang lebih matang dan menarik dalam karya-karyanya, dan terbukti menerusi monolog + mime Haram Jadah ini.
Mime-Monolog ini bercorak, seperti monolog Kemarau Musim Tengkujuh yang aku baru tonton tempoh hari. Dengan adanya pattern atau corak ini, tiada plot cerita yang membentuk cerita dari awal hingga akhir, tetapi membentuk cerita daripada sesuatu elemen. Misalnya dalam Haram Jadah ini, elemen setiap huruf dalam kalimah "ALLAH" (Alif, Lam, Lam, Ha) dibentuk menjadi sebuah cerita dengan isu-isunya yang berlainan. Walaupun isu-isunya tidak berkait, akan tetapi monolog ini ditamatkan dengan perkaitan kesemuanya, iaitu kealpaan manusia kepada pencipta iaitu ALLAH. Mesej monolog ini amat jelas dan terus kepada penonton. Kerana ada penulis yang sengaja tidak menjelaskannya.



Dual-log "Bapak"
Oleh Dr.Shark

Show ini adalah dedikasi untuk graduan-graduan TTS, ahli-ahli TTS yang lama dan yang baru.

Baju batik lengan panjang warna hijau adalah satu simbol yang cukup mendalam maksudnya.
(Walaupun aku yakin Dr.Shark tak fikir sedalam ini pun, tapi aku fikir sedalam ini lah)
Baju lengan panjang itu adalah sesuatu yang kita pakai sehari-hari dalam hidup kita. Jika kita berlenggeng tidak pakai baju, kita akan berasa malu di khalayak ramai. Boleh nampak perut kita yang buncit, puting tetek kita yang hitam dan berbulu, lemak-lemak berlebihan, tompok-tompok hitam atau sebagainya. Ya, baju lengan panjang itu adalah sebagai ilmu dan amal untuk seorang manusia.
Warna hijau adalah seperti kebiasaan simbol terjemahan daripada warna bendera Arab Saudi, mahupun Parti Islam Semalaysia. Ya. ISLAM.
Lagu Ayah & Ibu itu maksudnya Dr.Sharklah ayah, Dr.Shark jugalah ibu. Ha ha!
Ayie sebagai anak Bapak, mula sebagai bayi yang baru lahir. Si Bapak menjaganya, mengasuhnya, menyusukannya dengan segala keperluan bagi bayi itu bersedia untuk hidup apabila sudah besar nanti.
Si anak yang sudah besar akhirnya sudah bersedia untuk hidup berdikari di dunia luar.
Si anak sudah pandai bermain emosi.
Bayi itu adalah niat perjuangan seni TTS yang tulus dan suci.
Baju itu adalah ilmu seni teater.

Penamat dual-log ini sedikit tragis tetapi ia juga sebahagian daripada realiti. Si anak pergi meninggalkan bapaknya.. dengan cara yang kasar.

Dialog-dialog dedikasi khas adalah sebagai penghargaan kepada jasa dan bakti graduan-graduan TTS sepanjang berada di TTS sejak dari dulu sampai sekarang.


Aku tak pandai berlakon.
Aku tak reti menulis.
Aku tak bagus mengarah.
Kerana aku adalah seorang manusia.
Seorang manusia sudah pasti tidak sempurna 100%.

Ahad, Oktober 03, 2010

PRA 10 - 10 - 10 - 10

Kebetulan ini adalah entri PRA ke-10.
Jadi pada 10-10-10 ini, aku akan melalui fasa PRA-perkahwinan.
Bertunang lah senang kata.

Semakin sibuk dengan kerja.
Sememangnya perlukan art treatment - rehat dan rawat seni - setelah perah otak logik yang tak berapa logik ni. Pameran seni percuma dan persembahan teater percuma atau yang berharga rendah adalah sasarannya buat masa sekarang.

Ada bengkel dikendalikan oleh The Qum Actors untuk Tronoh Theatre Shop secara percuma pada hujung minggu ini. Aku yang cadangkan tarikh pada hujung minggu ini tapi aku sendiri yang tidak dapat hadir.
Ironik. Tetapi tak mengapa.

Masih ada lagi persediaan pertunangan yang perlu diselesaikan.
Lepas selesai PRA-perkahwinan ini, dan lepas selesai konvokesyen nanti mudah-mudahan aku punya hujung minggu boleh diisi dengan kegiatan seni, sama ada di luar atau di dalam rumah sahaja.

The Bundle Show pada 9 dan 10 Oktober ini pula kemungkinan besar aku tidak dapat hadir menonton lagi.
Jadi selamat berjaya kepada semua cast dan crew.
Dan aku doakan semoga AEROSOUL berjaya dipentaskan dengan baik.

Selain RAMBANG, aku baru mula menulis RAPOLOG, sebuah siri monolog dengan bait-bait dialog rentak rap dan ada juga puisi.
MANBINTANG juga perlu dimulakan untuk tahun hadapan.
NASI LEMAK 10 SEN versi panjang juga perlu dimulakan. Juga untuk tahun hadapan.
Filem pendek NASI LEMAK 10 SEN juga boleh dibuat. Kalau ada kamera boleh rakam video dalam tangan aku.
Baru keluar dari ketuhar pula adalah teater NYA, yang mencari-mencari sesuatu untuk mengisi kekosongan hidup. Jadi apakah yang boleh mengisi kekosongan hidup para hamba sekalian?

Malam ini pula aku telah menonton monolog berjudul KEMARAU MUSIM TENGKUJUH di Taman Budaya KL. Sempena Manifestasi Teater Malaysia 2010. Dan monolog ini adalah johan di KL tahun lalu.

(Ya, sewaktu Muzikal Tun Mahathir sedang hangat dipentaskan di Istana Budaya, di Taman Budaya yang serba rendah diri ini tetapi penuh erti, sebuah monolog yang juga merendah diri dipentaskan. Mana satu yang lebih berbaloi? Itu semua terpulang kepada individu. Jika bertuah dapat menonton dua-dua, boleh nilai sendiri...)

Aku pergi lepas Maghrib. Sengaja tak bawa payung walaupun aku tahu sekarang musim TENGKUJUH. Bukan sebab payung aku hilang diambil orang, bukan bukan! Tapi sebab aku nak berlenggang pergi ke Taman Budaya. Hanya pakai baju-T lusuh dan jeans lusuh. Rambut tak bergel. Dan tak gunting lagi. Tunggu nak tunang baru nak gunting nak trampil kononnya. Dan pakai selipar kotor. Selipar Crocs dah hilang buat apa nak meratapi lagi pemergiannya?

Aku gembira duduk di KL ini sebab aku senang nak pergi tonton teater atau tengok pameran seni apa-apa. Sebab tempat-tempatnya pun banyak yang strategik dekat dengan stesen LRT. Dengan masa lebih kurang setengah jam, aku sudah boleh sampai di Taman Budaya atau Panggung Bandaraya. Kalau di tempat lain tu mungkin sedikit jauh nak pergi menapak seperti ISTANA BUDAYA yang GAH itu, Stor Teater yang memang macam stor itu, Black Box ASWARA atau ET ASWARA yang aku tak pernah-pernah sampai lagi, MAP Solaris, PJ Live Arts, KLPAC yang memang susah nak pergi kalau tak naik kereta, The Actors Studio di Lot 10 yang akan berusia setahun di situ pada 10-10-10 ini, Auditorium DBP, Audi. DBKL, Annexe Central Market, mana lagi? hah mana lagi? mana mana?

Aku masuk Taman Budaya tepat pukul 8.30 malam. Tak ramai orang pun. Memang tak hairan. Semua pergi Istana Budaya. Rakyat Malaysia kaya raya. Alhamdulillah syukur nikmat. Apa kelas pergi nonton teater percuma? Kat TAMAN Budaya pulak tu... Ada Istana, buat apa pergi taman? Walaupun biasanya bila ada Istana, adalah Tamannya... Tapi tak mengapa, itu isu yang tak perlu diisu-isukan pun.

Nostalgia. Memori menggamit.
Jun 2010. Adalah kali terakhir aku berteater. Dah agak lama.
Yang pasti itu bukanlah kali terakhir. Selagi ada ruang nafas dan pentas, akan aku hidupkan teater dalam hidup aku dan teaterkan hidup aku dalam teater aku.

Dah panjang lebar sangat aku melalut. Jadi ini sedikit hasil tontonan aku pada malam itu.


Monolog "KEMARAU MUSIM TENGKUJUH"
Produksi KELAB KILAT KUALA LUMPUR
Karya dan arahan NAZRI AHMAD
Lakonan NAZRI AHMAD

Sinopsis:
Hujan adalah nikmat keramat tanda tanah air ini subur dan mewah di bumi merdeka. Manusia bersaing mencari kehidupan. Berlumba mencapai cita. Negara maju makmur rakyat menikmati sejahtera. Tapi sayang masih ada anak bangsa yang merempat di bumi bertuah ini. Lupa daratan, lupa diri, mengikut kata hati, kerana takdir barangkali, atau mungkin terjerumus ke arah itu. Kemarau adalah barah yang mencengkam tamadun kemakmuran. Ia dipengaruhi persekitaran dan keadaan semasa. Ketentuan takdir juga menentukan watak-watak dalam realiti kehidupan. Ada yang mahu menjadi seperti itu. Ada yang tidak mahu menjadi itu, dan ada yang tidak tahu apa-apa yang dia mahu itu. Manusia menggunakan fikiran untuk berfikir, tapi ada juga yang tidak menggunakan fikiran. Ada yang menjadi tuan ada yang menjadi hamba. Dalam kemewahan dan kestabilan, ada yang sengaja menyeksa diri. Ada yang gila, ada yang mahu gila. Ada yang tergila-gila. Manusia bergerak mengikut kata orang lain, dan ada yang hanya mengikut kata hati......


Technical glitch - termain audio sewaktu emcee sedang membaca sinopsis monolog. Mungkin bagi sesetengah orang pandang perkara ini sebagai spoiler atau bad start atau seumpamanya, tapi bila tirai mula buka aku dah lupa dah pasal glitch itu. Waktu tulis ni lah baru ingat balik.

Tetapi hanya satu itu sahaja tech. glitch yang berlaku. Lagipun ia berlaku sebelum tirai dibuka. Tak payah kiralah!

Suka untuk aku ulas monolog ini secara umum. Monolog ini secara keseluruhannya menampilkan sebuah gaya pementasan yang berulang, ada pattern (corak) dan tiada plot cerita yang jelas dan biasa seperti adanya permulaan, perkembangan, klimaks dan penamat. Gaya monolog ini mengingatkan aku kepada monolog terpanjang dalam Malaysia Book of Records yang aku tonton di Pulau Pinang awal tahun ini. Gaya pementasan sebegini sesuai untuk monolog yang pendek berdurasi kurang satu jam. Ya lah, kalau dah ulang banyak kali sudah tentu akan wujudnya rasa bosan.

Monolog ini bermula dengan sedikit perlahan akan tetapi semakin rancak dan menarik sehingga tamat. Setnya pula sederhana (produksi ini memang rendah diri tapi tinggi nilai budi), akan tetapi sedikit kompleks dari sudut pandang pengamal minimalism, dan sedikit ringkas dari sudut pandang pengamal teater kaya atau bangsawan (kah kah?). Ah, apa pun, aku tak pentingkan set dalam menilai sesebuah teater. Aku pentingkan NILAI dalam MENILAI sesebuah teater. Dah nama pun kau nak MENILAI, mestilah cari NILAI.

Dalam pattern (corak) yang sama, aku dapat cungkil beberapa bahagian yang terasing tetapi di bawah satu perasaan yang sama : MARAH BERONTAK.

Tiada senarai watak yang ditulis atau disebut di akhir pementasan, jadi aku anggap watak pelakon memakai serba putih itu sebagai ELEMEN SUCI. haha.

(0)
ELEMEN SUCI masuk membawa sebuah kotak. Kotak itu berisi pakaian untuk pemain menukar pakaian terus di atas pentas untuk watak-watak berlainan sepanjang pementasan. Gaya sebegini juga pernah aku tonton sebelum ini dalam teater KL : Peluang, Impian, Harapan. Gaya buka baju juga pernah aku tonton. Gaya bogel (literally) saja aku belum pernah tonton di Malaysia ini.
Apa pun, ELEMEN SUCI ini seperti buntu dan mencari-mencari, penat dan lelah dalam pencarian. ELEMEN SUCI membongkar pakaian-pakaian yang ada dalam kotak itu dan mengenakannya satu per satu, seolah-olah pada setiap pakaian itu, terdapat sesuatu yang menggamit memori silam ELEMEN SUCI itu, atau pakaian itu memberikan imbasan akan kisah-kisah kehidupan sang pemakai pakaian itu di dunia... Yang pasti, aku tidak pandang ELEMEN SUCI ini sebagai manusia.

(1)
ELEMEN SUCI kini jadi ORANG MABUK. ORANG MABUK tak ingat apa balik rumah lewat malam marah-marah bini dan akhirnya halau bini keluar rumah. Kemudian ORANG MABUK marah-marah pada penonton (orang ramai) mengatakan yang dia berhak buat apa yang dia suka. Dan dia juga ada bangkitkan isu lama dia sewaktu dia susah dulu tak ada pun orang tolong dia, bila dia dah senang baru orang nak dekat-dekat. Aksi minum arak (bukan arak betul) dan hisap rokok secara betul di atas pentas mungkin kurang sesuai untuk budak kecil yang ada hadir menonton yang masih bertanyakan pada pengiringnya (kakak atau mak entahlah) apa maksud 'TENGKUJUH'.
Lepas tu ORANG MABUK pergi ke sebuah pohon di tengah pentas berwarna merah kelam dengan lima lilin dan meniup memadamkan satu lilin. Dan pattern ini berterusan untuk watak-watak berikutnya.

(2)
ELEMEN SUCI kini jadi PENGEMIS. PENGEMIS mengemis tetapi dihalau oleh pegawai kuatkuasa. Kemudian PENGEMIS marah dan memberontak dengan takdirnya sendiri dan yang paling menarik apabila dia membaling duit-duit syiling dari bekas duitnya ke arah penonton.

(3)
ELEMEN SUCI kini jadi EKSTRIMIS AGAMA. EKSTRIMIS AGAMA hendak keluar berdakwah selama dua bulan dan meninggalkan isterinya di rumah bersama anak-anaknya. Si suami memesan isterinya supaya jangan keluar rumah tanpa izin suami kerana itu perbuatan yang berdosa. Dan memesan kepada isterinya supaya jangan melayan jiran-jiran kerana pada pandangannya kata-kata jiran-jiran mendorong kepada umpatan dan fitnah dan akhirnya menjerumus ke neraka dan suami tidak mahu isterinya masuk neraka. Nampak apa isu sebenarnya? Dan dia akhirnya menghadap ke arah penonton (orang ramai) yang mempersoalkan caranya yang dilihat sebagai melupakan dunia 100% tetapi dibidas semula olehnya yang dia juga menjaga kebajikan keluarganya. Menarik bukan? Mesej islami bagi bahagian karakter ini adalah terang dan jelas. Tahniah untuk usaha yang murni ini. (Produksi ini juga selamat kerana tiada pelakon perempuan yang membuka aurat dan sekaligus melenyapkan kemungkinan persentuhan antara pelakon lelaki dan perempuan.)

(4)
ELEMEN SUCI kini jadi ORANG GILA. Okay. Aku memang suka karakter orang gila kerana asas aku sendiri pun adalah kegilaan. ORANG GILA dalam monolog ini jadi kononnya polis trafik suruh orang jalan dan ada dialognya yang menarik: "Kau tak nak jalan? Kalau tak nak jalan, aku yang jalan! Kau tak nak bodoh? Kalau kau tak nak bodoh, biar aku yang bodoh! Kau tak nak mati? Kalau tak nak mati, biar aku yang mati" Lebih kurang macam inilah.

(5)
ORANG GILA kemudian terus tukar pakaian jadi MAK NYAH. Karakter MAK NYAH yang ditonjolkan tidak terlalu menonjol. Macam aku kata tadi, produksi ini secara keseluruhannya rendah diri tapi tinggi nilai budi. Aksi MAK NYAH tidak keterlaluan atau sengaja dibuat-buat keterlaluan. Malah, watak ini pun bukan untuk penonton bergelak ketawa terhibur, tetapi untuk menonjolkan isu dan permasalahan sebenarnya.

(6)
MAK NYAH terus bertukar semula menjadi ORANG GILA. ORANG GILA kini konon-konon seorang cikgu, seorang lelaki lembut. Nak mengajar budak-budak 1, 2, 3 dan A, B, C. Yang paling menarik bila dia suruh penonton sebut huruf dari J sampai A. Kalau kira terbalik dari 10 ke 1 senanglah. Tapi kalau sebut huruf terbalik dari Z sampai A, boleh ke sebut laju-laju tanpa fikir dulu? Cuba buat. Haha.
Kemudian, ORANG GILA menghadap dan berdialog dengan penonton (orang ramai) tentang GILA. Tagline monolog ini yang ditulis di brosur dan juga kain rentang berbunyi "GILA itu apa sebenarnya.. gila itu adalah nafsu, nafsu ada pada semua orang yang mengaku tidak gila.. tapi sebenarnya mereka memang gila, gila melayan nafsu yang tidak pernah puas". Tagline inilah kekuatan monolog ini. Ada lagi dialog ORANG GILA yang mempersoalkan KEGILAAN dan juga ada provokasi pada orang yang siuman yang orang siuman ini sebenarnya GILA, dan orang gila ini sebenarnya yang tidak gila. GILA DUNIA lah maksudnya tu.. ORANG GILA katanya tidak gila mengejar dunia. Hidupnya ringkas tidak perlu berumah katanya, tidak perlu perempuan cantik katanya. Menarik bukan?

Dan akhirnya lilin terakhir ditiup.

ELEMEN SUCI kini sedar dan bertambah gundah dan lelah. Mungkin risau dengan permasalahan atau pun 'kemarau' yang melanda walaupun musim tengkujuh (hujan itu rahmat, iaitu negara aman makmur dan maju) tetapi sudah pasti akan ada kemarau (ada penyakit sosial). Dan inilah yang menyebabkan ELEMEN SUCI tidak senang duduk, tidak senang tidur.

Penamat monolog ini:
ELEMEN SUCI tersedar dan amat takut. Mungkin dunia sudah hampir kiamat. Dan akhirnya ELEMEN SUCI mati. Pohon-pohon dunia mati. Dan yang tinggal, pohon di tengah pentas itu yang menempatkan lilin-lilin. Yang berwarna merah itu.

Secara umumnya, aku dapat lihat penulis dan pengarah cuba tonjolkan isu-isu yang membabitkan penerimaan dan persepsi masyarakat terhadap golongan-golongan yang dikarakterkan dalam monolog ini.

Soalan:
Apakah persepsi masyarakat kita terhadap golongan-golongan ini:
Orang Islam yang minum arak.
Pengemis yang mengemis di tepi jalan.
Pendakwah yang meninggalkan keluarga dalam tempoh masa yang lama.
Orang kurang siuman.
Mak nyah.

Lima karakter yang memang wujud nyata dalam dunia realiti inilah yang telah ditonjolkan dalam monolog ini. Lima karakter / lima isu ini adalah lima batang lilin yang dinyalakan pada awalnya, dan ditiup padam oleh ELEMEN SUCI. Kontradiknya, lilin menyala menerangi kegelapan, akan tetapi dalam monolog ini, lilin yang menyala adalah satu masalah dalam masyarakat, dan ELEMEN SUCI memadam lilin itu sebagai satu perlambangan yang ELEMEN SUCI dapat menyelesaikan masalah tersebut.

Pada hemah aku juga, monolog ini kuat dan mesejnya sampai pada diri aku sendiri. Variasi mesej yang tersurat dan tersirat ini menjadikan monolog ini cukup indah serinya.

Dua ibu jari untuk monolog ini!


p/s: Mungkin esok akan dapat rawatan seni lagi. Teater "Sirih Bertepuk Pinang Menari". Karya SN Noordin Hassan. Arahan Norzizi Zulkifli. Di Audi DBP. Hujung minggu depan pula, 8 Oktober aku cadang mahu nonton bangsawan "Bunga Sakti Cinta Malam", adaptasi Shakespeare "Mid Summer's Night Dream", produksi Alumni ASWARA. (Alumni TTS bila lagi nak buat show sendiri???)

Jumaat, September 24, 2010

PRA 9 - AEROSOUL

Malam ini baru sedikit tenang. Jadi sudah baca semula skrip AEROSOUL yang aku baru siapkan tempoh hari. Seperti biasa, ada compang-camping sana sini. Boleh disunting dan diperbaiki lagi. Tapi aku rasa lebih asli jika ia dibiarkan begitu sahaja. InsyaAllah, karya ini akan hidup pada 9 & 10 Oktober ini di Taman Budaya KL. Arahan Primadona Pacelele dan lakonan para pelakon The Qum Actors yang tak seberapa. Aku tak tahu macam mana Primadona Pacelele nak realisasikan karya itu. Banyak benda juga yang perlu diperincikan supaya persembahan itu nanti dilihat sebagai sebuah persembahan yang mempersembahkan, bukan persembahan yang menyembahkan.

AEROSOUL sejujurnya adalah eksperimen pertama aku dalam melarikan tangan daripada menulis mengikut gaya dan irama kebiasaaan. Jika dilihat dialog-dialog dalam masterpiece Nasi Lemak 10 Sen aku adalah dialog-dialog perbualan biasa manusia, namun dalam AEROSOUL, aku cuba lari daripada kebiasaan itu. AEROSOUL sedikit puitis gaya bahasanya kerana asalnya pun adalah daripada puisi. Aku cuma gubah menjadi sebuah cerita pendek dengan dialog-dialog berkarakter.

Seperti biasa, intipati karya AEROSOUL aku hanya memaparkan sesebuah perkara secara abstrak, sukar dilihat secara sekali pandang. Ia perlu ditafsir beberapa kali terlebih dahulu oleh penulis dan pengarah dan pelakon dan diberikan jiwa dan makna sebelum mementaskannya pada khalayak.

Suka untuk aku kongsi sedikit sinopsis AEROSOUL yang akan dipentaskan nanti.

TEATER "AEROSOUL"
BAHAGIAN 1 – KEMANISAN

SINOPSIS:
"Bahagian 1 – Kemanisan" mengisahkan Semut yang mencari gula dan manisan dalam dunia manusia. Dunia manusia waktu itu bercuaca kurang baik dan hujang sepanjang masa. Ramai manusia yang sudah lari meninggalkan dunia manusia sendiri. Yang tinggal, hanya seorang Perempuan dan seorang Lelaki. Dalam perjalanan, Semut bertemu dengan Perempuan dan Lelaki dan bertanyakan tentang gula dan manisan. Lelaki pelik dan mencurigai kedatangan Semut. Namun Perempuan merasakan bahawa ada sesuatu yang istimewa pada Semut. Semut berehat dan bermalam di dunia manusia. Semut didatangi mimpi kisah perit kehidupan koloni Semut yang dilanda bencana. Ramai kaum kerabat Semut yang sudah mati. Semut terjaga. Perempuan cuba mendekati Semut untuk mengenalinya degan lebih lagi. Semut kemudian berkongsi kisah duka hidup semut-semut dan tujuan sebenarnya ke dunia manusia. Semut dan Perempuan sama-sama menangis. Sewaktu itu, Lelaki muncul cuba untuk menghalau semut dan membunuhnya dengan aerosol. Namun, Semut bijak melawan Lelaki dan berjaya menumpaskannya. Akhirnya, Semut dan Perempuan bersama-sama pergi mencari ’kemanisan’ kemanusiaan.

Ya. Sedang aku menulis sinopsis ini, aku terfikir untuk memanjangkan AEROSOUL. Lalu aku terilham untuk tetap menggubah puisi-puisi aku untuk Bahagian 2 dan 3.


BAHAGIAN 2 - TERBANG
Berdasarkan puisi “Pop Ular / Ular Pop"
BAHAGIAN 3 – KEMANUSIAAN
Berdasarkan puisi “Humanusia”


Aku cuba untuk tulis dua bahagian yang lain supaya setiap bahagian dapat berdiri dengan sendiri dan tak bergantung. Namun bila digabungkan, ia tetap dapat membentuk sebuah cerita yang lengkap.

Kepada warga KL atau sekitarnya, AEROSOUL akan dipentaskan di auditorium Taman Budaya Kuala Lumpur pada 9 Oktober 2010 (9.00 malam) dan 10 Oktober 2010 (3.00 petang). Masuk RM10.



p/s: Bakal penonton semua mungkin sukar untuk faham AEROSOUL. Tapi ia masih boleh difahami kerana masih ada cerita yang berplot jelas. Aku pun masih penulis amatur, jadi aku tak dapat lagi nak hasilkan karya abstrak yang lebih power. Jadi kalau AEROSOUL ni pun kau orang tak faham, aku syak, kau orang mesti tak suka belajar KOMSAS waktu sekolah dulu. (Aku dulu pun tak suka belajar KOMSAS waktu sekolah.)

Khamis, September 16, 2010

PRA 8 - Hari Malay Sia

Hari ini Hari Malaysia. Jadi, Salam 1Malaysia.
Pertama kali disambut pada tahun ini. Dan sudah pasti warga pekerja dan budak-budak sekolah suka sebab hari ini cuti umum di seluruh Malaysia.

Aku juga pulang ke kampung setelah seminggu 1 Syawal berlalu. Sudah tentu bukan untuk beraya sebab suasana raya sudah pun tiada. Malah, ada yang sudah berpuasa enam hari. Mungkin aku boleh sifatkan kepulangan aku ke kampung kali ini adalah untuk merehatkan dan menenangkan minda dan fikiran. Walaupun baru bekerja 3 hari selepas cuti Raya tempoh hari, aku sudah jadi sibuk dengan tugasan di tempat kerja. Apa pun aku harus terima dan bersyukur. Begitulah situasinya bila bekerja dalam syarikat konsultan kejuruteraan.

Karya AEROSOUL aku sudah pun siap. Ia ditulis dengan sedikit terburu-buru. Jadi penamatnya dilihat seperti macam nak cepat habis. Teater AEROSOUL ini teater pendek dan aku harap TQA dapat pentaskannya dengan sehabis baik memandangkan kemungkinan besar karya itu sukar untuk difahami, lebih sukar berbanding Nasi Lemak 10 Sen. Akan tetapi aku percaya Pacel dapat cungkil sesuatu daripada AEROSOUL, meskipun penulisnya sendiri pun masih mencari-cari satu jiwa yang sebenar dalam karya itu. Ya, macam aku selalu kata, aku menulis ikut jiwa dan rasa dan tangan aku hanya mengikut rentak irama jiwa, selepas selesai menulis, aku membacanya beberapa kali dan baru selepas itu aku dapat bertemu dengan satu jiwa yang sebenar. Tetapi jika ditanya kenapa aku menulis AEROSOUL? Aku akan jawab, kerana ia berdasarkan puisi "Aerosoul (Bukan Gas Pemedih Mata) Semut-semut". Dan jika ditanya kenapa aku menulis puisi itu?
Sebab masa aku tulis tu, musim hujan dan banyak semut dalam rumah dan aku punya suatu perasaan kurang enak ataupun geli melihat serangga dalam kumpulan kuantiti yang banyak, dan kebiasaannya mak aku akan sembur semut-semut tu dengan Ridsect atau seumpamanya, dan aku membayangkan situasi demonstrasi aman yang dileraikan dengan cara membaling bom gas pemedih mata. Walaupun demonstrasi aman tu tak ada buat kacau, tak ada memusnahkan harta benda awam, (sama dengan situasi semut yang naik ke dalam rumah sebab nak buat sarang kat tempat yang orang tak nampak pun, tapi sebab semut-semut keluar BERARAK untuk pindah ke sarang atau bawa makanan ke sarang..)
Senang kata, aku samakan situasi semut-semut yang disembur dengan aerosol, dengan para pendemo aman yang dibaling dengan gas pemedih mata.
Dalam masa yang sama juga, dalam puisi itu aku menunjukkan bahawa manusia yang memegang aerosol itu yang berkuasa. Manusia yang ada pangkat itulah yang berkuasa terhadap orang-orang awam. Nah, persoalannya, macam mana manusia boleh halau semut-semut tanpa menggunakan Ridsect? Atau seharusnya manusia membiarkan sahaja semut-semut itu, kerana lambat laun semut-semut itu akan masuk ke dalam sarangnya juga dan tidak akan mengganggu manusia (okay, mungkin ada semut-semut yang nakal 'mencuri' gula atau manisan manusia) akan tetapi DI MANA ADA GULA, DI SITU ADA SEMUT. Nah, persoalannya pun menuju kepada persoalan yang lain.
Dalam kemanusiaan, harus adanya kebinatangan? Begitukah?

Dalam masa yang sama aku terilham untuk menulis sebuah lagi karya abstrak iaitu RAMBANG. RAMBANG adalah cerita yang seharusnya tiada cerita yang tetap. Ceritanya harus rambang. Idea asal aku adalah untuk mengosongkan isi teater RAMBANG, dan menyerahkan 100% tugasan teater kepada para pelakon untuk menjayakan dan mengisi kekosongan RAMBANG. Makanya, para pelakon dan watak-watak juga rambang dan tidak tetap. Tiada skrip. 100% improvisasi para pelakon handalan. Dan ceritanya tidak dirancang terlebih dahulu. Kerana RAMBANG ini adalah 100% rawak dan rambang. Aku cuba gunapakai teori Gerakan Brown ke dalam teater. Bunyinya berlandaskan sains? Ya! Sebab halatuju teater aku kini lebih jelas ke arah mengintegrasikan sains dan seni. Kerana dengan sains juga manusia boleh lebih mengenali Pencipta. Dengan seni juga manusia boleh lebih mengenali Pencipta. Kenapa tidak kita gabungkan kedua-duanya?

Akan tetapi, idea itu adalah idea asal. Aku juga ada menulis skrip untuk RAMBANG, juga menyebut tentang 'kekosongan'. Kekosongan inilah yang perlu diisi oleh pelakon. Malah, boleh jadi juga penonton. RAMBANG ditulis di bawah pengaruh "Waiting For Godot" oleh Sameul Beckett. Masa aku berada dalam ruang Pox tempoh hari, aku sempat layan Waiting For Godot. Dan beberapa lagi karya absurd oleh Samuel Beckett. Antara yang paling tidak boleh diterima akal logik tetapi menarik bagi aku adalah "Play", "Act Without Words II".

Syukur sekarang sudah boleh stabilkan otak. Otak kiri juga jalan. Otak kanan juga jalan. Dua-duanya selari. Baru seimbang!

Malas nak cakap banyak lagi. Lagipun aku memang tak cakap banyak. Lebih gemar fikir banyak walaupun aku bukan pemikir sosio-ekonomi atau falsafah. Lebih gemar tulis walaupun aku bukan sasterawan negara.

Salam 1Malaysia.
Selamat Hari Malay Sia.
Betulkan aku, jangan jadi Malay Sia (Melayu yang sia-sia), jadilah Malaysia.
Selamat Hari Malaysia!

Khamis, September 09, 2010

PRA 7 - Prayaan Praish

Jika dilihat judul-judul entri PRA kebanyakannya bermula dengan 'pra' dan aku telah modifikasi perkataan Bahasa Melayu, misalnya Perayaan jadi Prayaan, dan aku gubah dua ayat menjadi satu, misalnya Pragut (Peragut) dan Prakus (Perakus) menjadi Pragkuts.

Aku memang suka buat begitu. Tapi itu tak bermakna aku tak cinta Bahasa aku. Dan aku tak berniat hendak merosakkan Bahasa aku. Cuma aku kenal diri aku sebagai seorang yang sebegitu, yang pelik dan lain. Tak tahulah macam mana orang lain kenal aku. Tapi aku kenal aku sebegitulah.

Baru sahaja tiba di kampung halaman dari kota lumpur tempat aku cari wang sara hidup. Alhamdulillah sakit demam campak aku sudah hampir pulih, terima kasih kepada Pox kerana telah memberi aku erti sebuah ruang yang luas tapi sempit. Dan kerja aku sebagai seorang jurutera juga semakin diberikan petunjuk dan ilham daripadaNYA. Mungkin makin lama nanti aku boleh kenal diri aku dengan lebih yakin sebagai seorang jurutera dan juga seorang seniman. Dan mungkin hajat aku untuk buat kajian integrasi sains dan seni boleh tercapai.

Cuti raya aku yang singkat ini juga aku ingin sempat-sempatkan menulis karya untuk The Qum Actors pentaskan di KL pada 9 & 10 Oktober nanti. Menumpang (Menempek) lagi bersama Tronoh Theatre Shop yang akan mementaskan The Bundle Show. Memandangkan aku tak dapat beraksi bersama di atas pentas kerana ada urusan yang lebih utama, aku mahu sahaja hidupkan karya aku yang belum hidup lagi. Barangkali karya "B.J.", ataupun "AEROSOUL" yang baru siap satu per tiga. Karya "TERO PING PONG" yang abstrak itu juga boleh tahan, dan boleh tahan sentuhan sensitivitinya, tapi perlu disunting dan diubah sedikit beberapa ayat yang boleh buat aku kena gam. B.J. juga begitu, boleh buat aku kena gam kalau aku tak ubah beberapa ayat atau tapis beberapa ayat.

Antara tiga kemungkinan ini,

B.J. menonjolkan suara hati aku tentang orang baik dan orang jahat, adakah orang baik itu benar-benar baik dan yang jahat itu betul-betul jahat dan selamanya baik atau jahat? Jadi judulnya memang seharusnya Baik Jahat.

AEROSOUL pula adalah tentang kemanusiaan. Subjek yang klise tetapi tak mengapa, kemanusiaan itu penting dan seharusnya sentiasa menjadi klise.

TERO PING PONG pula adalah tentang kestabilan sebuah sistem. Sistem yang aku gambarkan punya 3 elemen, jika hilang satu, sistem tidak stabil dan gagal berfungsi. Nah, bunyinya macam logik sains tapi aku cuba sampaikan secara seni iaitu secara abstrak. Sistem terdiri daripada TERO yang duduk di bawah sebuah meja ping pong, dan PING dan PONG adalah dua lagi elemen.

Tapi kalau tersilap gaya, silap-silap yang siap dan dipentaskan nanti adalah karya lain seperti "BEDAH" misalnya. Bukan Bedah nama orang, tetapi Bedah (bedah badan manusia).

Salam Aidilfitri kepada semua.

Sabtu, September 04, 2010

PRA 6 - Pox, PantArt

Pox

masa untuk salin kulit
baru tercampak keluar dari ruang Pox
setelah tercampak masuk ke ruang Pox
meredah malam-malam avant garde dan absurd
menurut aliran alam secara putaran
yang keluar akan masuk
yang masuk akan keluar
di perantaraan itu
proses yang sakit
dan yang sakit itu
adalah kebahagiaan

Pox adalah suatu ruang yang sukar digambarkan fizikalnya
tetapi aku tetap dengan imaginasi aku membayangkan
suatu ruang yang definite
yang punya sempadan
punya bentuk yang fleksibel
Pox juga ruang yang memberikan penuh rasa pada deria manusia
jika sebelum ini mata tidak berhati
setelah sel-sel hidup Pox meruap dan diserap oleh deria
hati kian menjadi mata

Pox memerangkap titis-titis air debu-debu kaisan
ke dalam satu ruang kecil dalam ruang besarnya
memaksanya padat buat satu masa yang matang
sehingga cukup kering
dan boleh dibuang merata

Pox juga boleh dibayangkan
berada di atas angin kosong
padanya penuh dengan kesesakan gelombang hama yang beralun lembut
lutsinar, ya, tiada apa yang dilihat pada Pox
tetapi ia semakin menggelembung
mengutip dan menyedut zarah-zarah yang energetik
bagi membentuk satu tenaga yang lain lebih kuat

jika Pox adalah kebahagiaan
ruang Pox adalah umpama sebuah bilik tiada metriks
tiada garis ufuk
tiada sempadan


PantArt

di kesempatan ini aku ingin kongsi idea aku
yang dah lama aku fikirkan:

"PANT-ART : Seni Seluar"
dengan tagline "Keluar dari seluar"

mencari apa-apa jenis seluar yang orang dah tak pakai
sebagai bahan utama artwork dalam PANT-ART aku

antara intipati PANT-ART:

nilai sifat malu,
kesesatan dalam mencari jalan kebenaran,

dalam PANT-ART juga aku mahu bentukkan sebuah instalasi hidup,
sama ada diperagakan oleh orang hidup atau makhluk-makhluk ciptaan Tuhan lain yang hidup

juga ada puisi-puisi bertemakan 'seluar'

Keluar dari seluar
sarung seluar terbalik pada kepala
badan berbajukan seluar
kaki berseluarkan baju
lengan berstokin
kaki bersarung lengan



p/s: Sedang menulis AEROSOUL, karya yang berjiwa terbang melayang dalam tin kemanusiaan.

Jumaat, Ogos 27, 2010

PRA 5 - Prkasgut

Sebuah filem Iran berjudul "The Shoe" adalah antara sebuah filem yang paling aku ingati hingga kini walaupun hanya menontonnya sekali.

Objek kasut sebenarnya sangat dekat dengan diri aku.

Bila aku nak beli kasut, aku akan pilih kasut yang betul-betul sesuai dengan kaki aku. Dan macam biasalah, kalau kasut yang cantik dan sedap dipakai sudah pasti harganya agak mahal.

Sewaktu kasut Crocs masih belum berlambak ciplak dijual, aku sanggup beli yang mahal. Hilang, aku beli lagi yang original satu lagi. Dan baru hilang lagi. Memang aku tiada jodoh dengan kasut Crocs agaknya. Atau mungkin aku terlalu berbaik sangka sewaktu hendak pergi masjid. Takkan aku nak buruk sangka?

Aku sengaja tulis pasal kehilangan kasut Crocs aku sebab macam aku kata tadi, objek kasut memang dekat dengan diri aku.

Kasut kerja yang aku pakai sekarang adalah kasut kerja sewaktu praktikal dulu. Masih elok untuk dipakai jadi aku tak beli baru. Ada beli baru tapi itu tidak boleh dipakai sekarang. Cuma kasut itu tapaknya sudah haus - terlalu haus.

Jadi aku baru saja hantar kasut tu untuk dibaiki tapaknya. Bila tapak kasut aku tu dah cantik, aku berasa lebih yakin memakainya. Terima kasih pak cik tukang kasut.

Kasut hanyalah sebuah objek dunia. Kita pakainya pada kaki. Walaupun tempatnya di bawah bukan di atas kepala, tetapi kita tetap perlukannya untuk melindungi kaki kita. Boleh saja kita berkaki ayam akan tetapi takut-takut boleh tercedera pijak apa-apa yang meluka.

Bila mana objek dunia, tidak haruslah kita terlalu obses. Tapi mungkin juga aku obses dengan kasut. Sedikit. Dan mungkin sebab itu lahirnya karya aku Tukang Kasut Jalan Rogayah yang mengetengahkan tema obsesi pada dunia membawa derita.



p/s: Ekoran kes kehilangan Crocs aku buat kali kedua, aku dengan ini akan lebih berhati-hati apabila pergi ke masjid. Skeptikalkah aku? Ah, Amir Muhammad dah pernah sebut dalam filem pendeknya "Friday". Ada juga di YouTube filem pendek "Capal" pasal perkara yang sama.

Rabu, Ogos 25, 2010

PRA 4 - Jaga Kain

pada sebuah ruang kosong
terapung
di atas sebuah tapak berufuk lurus
sehelai kain tiada butiran jelas
siang malam tetap di situ

lalu ada orang datang
pelik melihat kain itu terapung begitu
tanpa ada apa-apa sokongan
dia pusing keliling kain
memastikan kain itu bukan tipu helah magis
tetapi kain itu tetap begitu
terapung kosong di ruang kosong tanpa ada sokong

bila orang itu sudah putus asa
beredar lalu pergi
tanpa disedarinya
tiada berkain lagi dia
kerana kain itu tadi adalah miliknya


p/s: tak perlu jaga tepi kain orang lain kalau keadaan tidak perlu, takut-takut orang lain tidak suka dan akhirnya berbalik semula pada kita

tetapi...

ada tetapi dan bersambung...

Ahad, Ogos 22, 2010

PRA 3 - Prak Pranda

Sewaktu tadika dulu
aku suka lukis kapal dan warna guna pensel warna atau krayon
itu pun aku tiru kawan aku bernama Pecel (Faisal)
dia memang tangan melukis sampai besar
aku pun boleh melukis juga ikut bakat melukis yang turun daripada mak aku
tapi sampai sekarang aku rasa aku tak pandai sangat melukis
aku lebih suka mewarna

Sewaktu sekolah rendah pula
aku suka pelajaran muzik
setiap ujian bertulis aku dapat 100%
dan sewaktu praktikal pula aku tidak hadapi masalah main alat muzik
dan aku pernah buat persembahan semasa darjah lima di hadapan sebuah dewan

Sewaktu percubaan UPSR
aku telah gagal dalam mata pelajaran Sains
sebab aku tak suka lantas tak tahu menjawab hipotesis, inferens dan sebagainya

Semua ini walaupun perkara kecil
tetapi bagi aku, bila dah besar ni baru aku sedar
bahawa sudah ada sisi-sisi seni dalam diri aku sejak kecil

Walaupun jiwa aku kini porak peranda sains seni
jiwa memberontak mahu berseni
tetapi hati kata perlu bekerja jadi engineer untuk dapatkan wang sara hidup sebab itu kelayakan degree

Jadi buat masa sekarang aku masih dalam fasa sesuaikan diri
kerana jiwa dan hati porak peranda sains dan seni
mungkin bila aku sudah stabil nanti
aku akan jadi engineer dan dalam masa yang sama aku dapat berseni

Dan ya
memang aku sedang dilanda isu 'terperangkap dalam gaung ini'

Dan ya
terima kasih pencuri Crocs asli aku yang kedua yang baru saja hilang hari ini
di tempat biasa, di masjid
aku sudah biasa dan tak hairan
kerana aku sedang berada di Malaysia, negara pelbagai kaum
mungkin yang curi Crocs aku tu bukan orang Islam