Rabu, Oktober 20, 2010

PRA X - PRA Perkahwinan, Bangsawan Shakespeare, Woyzeck Yang Sakit Jiwa, Piala Mad Haris II

Syukur.
Segala puji-pujian kepada Allah.

Ini Entri X.
Ini entri khas.

Chin Chin telah membelah rotan kepada sembilan ratus kerat lebih.
Tapi itu tidak cukup hebat kerana Allah sahaja Yang Maha Hebat.

Terima kasih kepada ahli keluarga.
Dan para tetamu yang dihormati yang hadir.

Pertunangan suatu persetujuan kedua belah pihak.
Juga bukti komitmen kedua belah pihak.

Sesama manusia mendoakan kebaikan.
Itu sahaja yang manusia mampu pohon pada Tuhan.
Doa.

Aku masih bujang.
Mungkin suku bujang.
Mungkin separuh bujang.
Mungkin tiga suku.. bujang.
Dan akhirnya aku tidak bujang.

Bujang lapok adalah satu isu sosial.
Lihat betapa geniusnya P.Ramlee dalam berkarya.
Isunya sampai sekarang masih relevan.
Kerana sekarang ini orang lelaki dilihat sebagai makin susah hendak kahwin.. kalau tak ada duit.
Duit dilihat sebagai penghalang utama.
Walaupun sebenarnya tidak.

Tiada tragedi Oktober.
Hanya lakaran memori manis nan indah pada langit kehidupan membiru.
Pra-perkahwinan.
Konvokesyen.
Ulang tahun ke-3 kami.
Dan diakhiri dengan tamatnya tempoh percubaan aku sebagai jurutera muda.
Semoga semuanya baik-baik belaka.
Buat semua manusia.

Bulan Oktober ini juga meriah dengan teater.
Inilah aku. Asyik-asyik teater.
Teater, teater, teater.
Tak jemu-jemu.

Kalau dah minat yang mendalam memang tak jemu.
Hari-hari mesti ada fikir pasal teater.
Nasi Lemak Seposen versi panjang aku dah siap.
Memang kena sunting banyak banyak kali nanti.
Tak nak panjang-panjang sangat.
Ngam-ngam satu jam paling lama pun.

Apa pun, aku ada beberapa kritikan teater yang aku hendak buat tapi tak sempat lagi!
Bangsawan "Bunga Sakti Cinta Malam" adaptasi A Midsummer Night's Dream, dan
Teater adaptasi "Woyzeck".
Dan teater-teater pendek dalam Piala Mad Haris II.

Oh mungkin aku patut tulis kritik ringkas sekarang?
Hal tangguh tangguh memang tak jadi.
Nak buat, buat terus.
Masa tak akan menunggu kita.
Macam lelaki nak kahwin lah.
Nak kahwin, kahwin je.
Ah sudah, terus dengan kritik.



KRITIK 1
Bangsawan "Bunga Sakti Cinta Malam"

Macam biasa, ada pandangan secara keseluruhan. Ada pecahan mengikut turutan babak-babak.

Sayang sekali, aku tak pernah baca lagi karya Shakespeare "A Midsummer Night's Dream". Jika tidak tentu ulasan ini boleh jadi lebih bagus. Oleh sebab itu selepas menonton bangsawan ini, aku tanamkan azam untuk baca paling kurang satu karya Shakespeare sebelum tahun 2010 ini berakhir. Mungkin aku patut mula dengan karyanya yang paling pendek antara banyak, dan yang paling popular. Mungkin aku patut sahaja baca A Midsummer Night's Dream dapat aku faham sedikit walaupun aku hanya menonton adaptasi bangsawannya sahaja.

Secara keseluruhannya, pementasan bangsawan ini sudah tentu telah menonjolkan elemen-elemen penting dalam bangsawan. Yang paling utama adalah lengguk bahasanya. Atau ada seorang kawan baik Dr.Shark kata, 'kiuk'. Aku memang geram dengan bangsawan yang lengguk bahasanya memang berkiuk-kiuk. Terasa sangat indah mendengarnya. Mungkin itu seni dalam bangsawan yang paling indah selain keindahan latar-latarnya. Mungkin kena berguru baru boleh dapat ilmu kiuk itu. Memang kalau nak menuntut ilmu, kena ada sifu juga. Tak boleh menuntut ilmu dari buku atau bahan pelajaran lain sahaja tanpa ada guru yang menunjuk ajar.

Itu yang pertama, kiuknya yang sangat terbukti kekiukkannya pada watak Raja dan Menteri dan watak-watak yang seharusnya berketurunan bangsawan. Bagi watak-watak bukan dari golongan istana, lengguk bahasanya pula lebih kepada kebiasaan. Ini berdasarkan pandangan aku selepas menonton beberapa bangsawan. Mungkin pandangan aku ini salah. Mungkin semua watak dalam bangsawan harus mengikut kiuk bangsawan. Aku kata harus sahaja. Tak semestinya perlu atau wajib. Kerana seni itu sendiri adalah luas, mendalam, indah dan SUBJEKTIF.

Yang kedua yang paling menonjol dalam bangsawan ini adalah kekuatan muziknya yang sangat indah dan mengasyikkan. Tiada ketukan cymbal banyak banyak kali cheng cheng cheng cheng cheng cheng mungkin tempoh hari bangsawan Laksamana Cheng Ho banyak sebab nama pun Cheng Ho kenalah Cheng Cheng Cheng Ho ho ho. Apa pun, pemain muziknya sangat mantap. Dibantu dengan sistem audio panggung bandaraya yang kedap bunyi, sudah pasti mampu membuat peha kaki aku bergoyang-goyang. (Sejuk pun ya jugak sampai rasa nak terkencing tergoyang-goyang peha kaki.)

Ketiga, banyak tasmat. Inilah yang biasanya yang aku cari-cari dalam sebuah pementasan bangsawan. Tasmat. Yang aku kira sebagai penyumbang kepada WOW-Factor.


Babak 1 - Istana Raja
Semuanya biasa sahaja. Cuma ada seorang watak yang seperti tidak masuk ke dalam dunia cerita itu. Mungkin kerana kiuknya yang tidak sekata dengan watak-watak lain.

Babak 2 - Kamar Puteri Raja
Ternyata bangsawan sememangnya teater kaya. Letaklah set cantik-cantik, besar-besar atas pentas. Dan semuanya itu tidak digunakan dengan baik. Set tidak dimanfaatkan dengan baik. Sama sahaja perihalnya sewaktu aku mengarah Bangsawan Tuah Hang Jebat dulu. Banyak set yang hanya sekadar menghiaskan rupa paras pementasan itu semata-mata, tanpa dipergunakan oleh para pelakon.

Babak 3 - Kediaman Raja Pari-pari
WOW Factor 1 : Raja Pari-pari muncul dengan fizikal yang tinggi. Dia berdiri di atas pembantunya dan diangkut. Dari segi keselamatan pentas agak membahayakan kalau-kalau Raja Pari-pari itu terjatuh. Akan tetapi dengan kemahiran dan teknik sudah tentu dapat dilakukan, asalkan tidak terlalu membahayakan pelakon.
Watak pembantu Raja Pari-pari iaitu Kundang pula adalah menarik dengan olah suara dan tubuh yang animated. Banyak kali juga penonton merasakan gaya Kundang itu kelakar, dan memang Kundang tidak banyak bermain dengan emosi, sesuai dengan karakternya sebagai seorang makhluk suruhan.
Latar bagi babak ini juga mampu memberikan mood para penonton untuk turut sama berimaginasi dan masuk ke dalam dunia pari-pari. Ditambah lagi dengan muzik ambient yang kena, sudah tentu bangsawan ini menepati piawai bangsawan moden. Ya, ini adalah bangsawan moden.

Babak 4 - Hutan (1)
Tasmat utama yang aku tunggu-tunggu iaitu bunga sakti cinta malam keluar akhirnya pada babak ini dari atas. Bunganya besar tetapi hanya satu kuntum yang dipetik oleh Kundang.

Babak 5 - Hutan (2)
Ada adegan pementasan di dalam pementasan. Ada sekumpulan pemuda yang menjalani rehearsal untuk pementasan mereka di hadapan Raja sempena perkahwinan Raja nanti. Pementasan itu dinamakan Pungguk Rindukan Bulan.
Pementasan kecil ini menarik kerana kegilaan dan keghairahan kesemua karakter yang ada.
Satu lagi tasmat adalah kepala keldai yang dipasang sebagai head gear. Lebih elok jikalau head gear itu tidak menampakkan muka pelakon dan suara pelakon pun berubah menjadi suara seperti seekor keldai.

Babak 6 - Istana Raja
Babak penamat ini menonjolkan emosi Memanda Menteri yang sangat mantap. Emosi sedihnya disampaikan dengan penuh jiwa dan eskpresi sehingga menyentuh jiwa penonton. Watak Raja pula seperti sudah semakin hilang, mungkin kerana pelakonnya juga baru sahaja berlakon babak pementasan dalam pementasan tadi yang gila-gila, tiba-tiba pula di babak ini dia menjadi Raja. Pertukaran watak memang ada risiko kehilangan karakter.

Apa pun, ulasan ini tidak begitu bagus sebab ia sudah agak lama terperuk dalam ingatan aku. Seharusnya lepas balik menonton aku terus tulis.



KRITIK 2
Teater adaptasi "Woyzeck"
Karya George Buchner

Secara keseluruhannya, gaya pementasan di bawah arahan Roselina Khir ini membuatkan aku terbayang-bayang akan persamaannya sedikit dengan gaya pementasan Dr.Shark. Mungkin juga benar kerana Dr.Shark sendiri pernah berada di bawah arahan Roselina Khir.
Ini kerana;

(1)
Banyak kali blackout setiap pertukaran adegan. (HA HA) Blackout itu juga agak lama tempohnya. Memandangkan berdasarkan pengalaman aku dan komen balas daripada penonton terhadap show TTS selama ni, penonton tidak suka blackout banyak kali sangat dan lama sangat. Dan terbukti benar apabila sewaktu pementasan Woyzeck ini, penonton berasa kurang senang dan gelisah apabila asyik blackout, dan tempoh blackout itu lama.

(2)
Akan ada campur aduk antara sesuatu yang abstrak dan sesuatu yang langsung tampaknya. Ada elemen eksperimental bercampur dengan realism.

(3)
Nak minimal, tapi taklah minimal sangat. Ini ditunjukkan melalui set yang digunakan ala-ala teater Bedah yang juga baru dipentaskan.

Permulaan teater ini menarik minat aku dengan audio muzik berbahasa German sebagai latar adegan latihan kawad tentera-tentera German dan pengenalan watak utama Woyzeck yang nampak lurus bendul dan naif serta loser. Pengenalan watak ini cukup berkesan walaupun hanya aksi-aksi sahaja yang ditunjukkan tanpa perlu dialog.

Kedua yang menarik bagi aku adalah watak Doktor yang aku rasa dimainkan oleh orang Sabah atau Sarawak? Aku pun tak berapa pasti. Slang yang dimilikinya itu digunakan dan dimanfaatkan oleh pelakon untuk membentuk karakter yang unik dan tersendiri.

Watak Kapten juga sebenarnya seperti sengaja dimainkan sebegitu rupa, atau mungkin juga pelakonnya tidak pandai berlakon. Tapi pada pandangan awal aku, pelakon watak Kapten itu tidak pandai berlakon. Monoton. Emosi kosong. Mungkin sengaja dibuat sebegitu.

Woyzeck pula kedengaran seperti pelakon terkenal Shaheizy Sam (popular dalam Adnan Sempit). Permainan karakternya baik. Emosinya berkembang dari awal hingga akhir cerita. Kekacauan jiwanya berkesan membuatkan penonton tidak senang menonton dan ingin teater ini cepat habis.

Ada adegan mabuk-mabuk dan berpelukan lelaki perempuan. Walaupun yang terlibat berpelukan itu berbangsa Cina dan India, tetapi aku tetap tidak setuju adegan tersebut dilakukan. Kecuali jika pelakon itu suami isteri yang betul berpelukan.

Watak utama perempuan tak sedap suaranya sewaktu menyanyi. Kalau aku jadi pengarah, aku tak akan bagi pelakon itu menyanyi kalau tak sedap suaranya. Lakonannya juga menjengkelkan. Begitu juga dengan seorang lagi watak pembantu perempuan. Tak pandai berlakon dan gagal dalam semua aspek asas lakonan teater. Yang aku maksudkan bila 'tak pandai berlakon' ini adalah apabila aku tak percaya yang pelakon tu maksudkan dialog yang dikatakannya.

Teater ini secara keseluruhannya berada di paras sederhana. Aku tiada masalah dengan skrip dan isu yang disampaikan walaupun skrip itu sebenarnya asalnya hanyalah fragmen-fragmen yang tidak disusun malah tak disiapkan pun oleh penulis.

Apa pun, satu cubaan yang bagus kerana ini adalah teater adaptasi German pertama yang aku tonton.




KRITIK 3
Pertandingan Teater 10 Minit Piala Mad Haris - Musim Kedua


"Ini Tak Boleh, Ni!"
Karya Rosheen Fatima

Karya ini memang cukup menarik serba-serbinya. Oleh sebab itu aku akuinya sebagai pemenang Kakiscript 2. Dengan tema utamanya berteraskan konflik, cerita ini mudah dan sangat dekat dengan masyarakat. Isu khalwat, isu pegawai agama serkap jarang, isu Melayu selalu lambat tak tepati masa, dan sedikit isu politik.


"Pratt Prett Prutt"
Karya SEFA

Teater pendek ini ringkas, mudah tetapi menarik. Mengikut pengetahuan aku skrip ini ditulis oleh SEFA sebagai salah satu penyertaan Short + Sweet Theatre Festival 2010 tetapi tidak terpilih.
Sejujurnya ini kali pertama aku melihat SEFA cuba melarikan dirinya daripada klise atau kebiasaannya sendiri. Teater ini cuba memudahkan sesuatu yang tidak semudah itu. Misalnya kehidupan seorang insan itu digambarkan hanya sebagai menaiki dan memandu sebuah kereta permainan. Oleh kerana ia hanya permainan dan aturan jalannya ditetapkan sebagai LURUS sahaja dan pemandu perlu memandu lurus sahaja, idea cerita ini masih aku dapat terima walaupun hakikatnya, semua manusia di dunia ini tidak mampu melalui jalan yang lurus sepanjang masa. Pasti akan ada bengkang bengkoknya, pasti akan ada terbabasnya. Jadi pada hemah aku, cerita ini idealistik, tetapi tidak realistik. Ia hanya sekadar mahu mengajak manusia supaya mengikut jalan yang lurus dan mematuhi arahan yang ditetapkan. AMAR MAKRUF NAHI MUNGKAR adalah kata-kata kuncinya.


"The Witty Mouse & The Bear That Don't Care"
Karya SEFA

Karya ini berat dengan isu sosial, ekonomi dan politik. Agaknyalah. Dan oleh kerana lumrah manusia itu sendiri, karya yang berat sukar untuk difahami oleh penonton dalam masa yang singkat. Tambahan pula, ia dilakukan dalam bahasa Inggeris. Penonton perlu menggandakan deria mereka untuk memahami karya ini. Jika tidak, karya ini hanya sia-sia begitu sahaja. Ditambah lagi dengan aku yang sibuk menangkap gambar, sudah tentu aku hanya dapat faham isi cerita ini melalui watak yang dimainkan oleh Mohd Mekhi, pelakon baru dari Sudan.



Mime Monolog "Haram Jadah"
Karya SEFA

Karya SEFA yang ini setahu aku adalah antara yang terbaru. Jadi, aku dapat lihat perkembangan yang lebih matang dan menarik dalam karya-karyanya, dan terbukti menerusi monolog + mime Haram Jadah ini.
Mime-Monolog ini bercorak, seperti monolog Kemarau Musim Tengkujuh yang aku baru tonton tempoh hari. Dengan adanya pattern atau corak ini, tiada plot cerita yang membentuk cerita dari awal hingga akhir, tetapi membentuk cerita daripada sesuatu elemen. Misalnya dalam Haram Jadah ini, elemen setiap huruf dalam kalimah "ALLAH" (Alif, Lam, Lam, Ha) dibentuk menjadi sebuah cerita dengan isu-isunya yang berlainan. Walaupun isu-isunya tidak berkait, akan tetapi monolog ini ditamatkan dengan perkaitan kesemuanya, iaitu kealpaan manusia kepada pencipta iaitu ALLAH. Mesej monolog ini amat jelas dan terus kepada penonton. Kerana ada penulis yang sengaja tidak menjelaskannya.



Dual-log "Bapak"
Oleh Dr.Shark

Show ini adalah dedikasi untuk graduan-graduan TTS, ahli-ahli TTS yang lama dan yang baru.

Baju batik lengan panjang warna hijau adalah satu simbol yang cukup mendalam maksudnya.
(Walaupun aku yakin Dr.Shark tak fikir sedalam ini pun, tapi aku fikir sedalam ini lah)
Baju lengan panjang itu adalah sesuatu yang kita pakai sehari-hari dalam hidup kita. Jika kita berlenggeng tidak pakai baju, kita akan berasa malu di khalayak ramai. Boleh nampak perut kita yang buncit, puting tetek kita yang hitam dan berbulu, lemak-lemak berlebihan, tompok-tompok hitam atau sebagainya. Ya, baju lengan panjang itu adalah sebagai ilmu dan amal untuk seorang manusia.
Warna hijau adalah seperti kebiasaan simbol terjemahan daripada warna bendera Arab Saudi, mahupun Parti Islam Semalaysia. Ya. ISLAM.
Lagu Ayah & Ibu itu maksudnya Dr.Sharklah ayah, Dr.Shark jugalah ibu. Ha ha!
Ayie sebagai anak Bapak, mula sebagai bayi yang baru lahir. Si Bapak menjaganya, mengasuhnya, menyusukannya dengan segala keperluan bagi bayi itu bersedia untuk hidup apabila sudah besar nanti.
Si anak yang sudah besar akhirnya sudah bersedia untuk hidup berdikari di dunia luar.
Si anak sudah pandai bermain emosi.
Bayi itu adalah niat perjuangan seni TTS yang tulus dan suci.
Baju itu adalah ilmu seni teater.

Penamat dual-log ini sedikit tragis tetapi ia juga sebahagian daripada realiti. Si anak pergi meninggalkan bapaknya.. dengan cara yang kasar.

Dialog-dialog dedikasi khas adalah sebagai penghargaan kepada jasa dan bakti graduan-graduan TTS sepanjang berada di TTS sejak dari dulu sampai sekarang.


Aku tak pandai berlakon.
Aku tak reti menulis.
Aku tak bagus mengarah.
Kerana aku adalah seorang manusia.
Seorang manusia sudah pasti tidak sempurna 100%.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan