Jumaat, September 24, 2010

PRA 9 - AEROSOUL

Malam ini baru sedikit tenang. Jadi sudah baca semula skrip AEROSOUL yang aku baru siapkan tempoh hari. Seperti biasa, ada compang-camping sana sini. Boleh disunting dan diperbaiki lagi. Tapi aku rasa lebih asli jika ia dibiarkan begitu sahaja. InsyaAllah, karya ini akan hidup pada 9 & 10 Oktober ini di Taman Budaya KL. Arahan Primadona Pacelele dan lakonan para pelakon The Qum Actors yang tak seberapa. Aku tak tahu macam mana Primadona Pacelele nak realisasikan karya itu. Banyak benda juga yang perlu diperincikan supaya persembahan itu nanti dilihat sebagai sebuah persembahan yang mempersembahkan, bukan persembahan yang menyembahkan.

AEROSOUL sejujurnya adalah eksperimen pertama aku dalam melarikan tangan daripada menulis mengikut gaya dan irama kebiasaaan. Jika dilihat dialog-dialog dalam masterpiece Nasi Lemak 10 Sen aku adalah dialog-dialog perbualan biasa manusia, namun dalam AEROSOUL, aku cuba lari daripada kebiasaan itu. AEROSOUL sedikit puitis gaya bahasanya kerana asalnya pun adalah daripada puisi. Aku cuma gubah menjadi sebuah cerita pendek dengan dialog-dialog berkarakter.

Seperti biasa, intipati karya AEROSOUL aku hanya memaparkan sesebuah perkara secara abstrak, sukar dilihat secara sekali pandang. Ia perlu ditafsir beberapa kali terlebih dahulu oleh penulis dan pengarah dan pelakon dan diberikan jiwa dan makna sebelum mementaskannya pada khalayak.

Suka untuk aku kongsi sedikit sinopsis AEROSOUL yang akan dipentaskan nanti.

TEATER "AEROSOUL"
BAHAGIAN 1 – KEMANISAN

SINOPSIS:
"Bahagian 1 – Kemanisan" mengisahkan Semut yang mencari gula dan manisan dalam dunia manusia. Dunia manusia waktu itu bercuaca kurang baik dan hujang sepanjang masa. Ramai manusia yang sudah lari meninggalkan dunia manusia sendiri. Yang tinggal, hanya seorang Perempuan dan seorang Lelaki. Dalam perjalanan, Semut bertemu dengan Perempuan dan Lelaki dan bertanyakan tentang gula dan manisan. Lelaki pelik dan mencurigai kedatangan Semut. Namun Perempuan merasakan bahawa ada sesuatu yang istimewa pada Semut. Semut berehat dan bermalam di dunia manusia. Semut didatangi mimpi kisah perit kehidupan koloni Semut yang dilanda bencana. Ramai kaum kerabat Semut yang sudah mati. Semut terjaga. Perempuan cuba mendekati Semut untuk mengenalinya degan lebih lagi. Semut kemudian berkongsi kisah duka hidup semut-semut dan tujuan sebenarnya ke dunia manusia. Semut dan Perempuan sama-sama menangis. Sewaktu itu, Lelaki muncul cuba untuk menghalau semut dan membunuhnya dengan aerosol. Namun, Semut bijak melawan Lelaki dan berjaya menumpaskannya. Akhirnya, Semut dan Perempuan bersama-sama pergi mencari ’kemanisan’ kemanusiaan.

Ya. Sedang aku menulis sinopsis ini, aku terfikir untuk memanjangkan AEROSOUL. Lalu aku terilham untuk tetap menggubah puisi-puisi aku untuk Bahagian 2 dan 3.


BAHAGIAN 2 - TERBANG
Berdasarkan puisi “Pop Ular / Ular Pop"
BAHAGIAN 3 – KEMANUSIAAN
Berdasarkan puisi “Humanusia”


Aku cuba untuk tulis dua bahagian yang lain supaya setiap bahagian dapat berdiri dengan sendiri dan tak bergantung. Namun bila digabungkan, ia tetap dapat membentuk sebuah cerita yang lengkap.

Kepada warga KL atau sekitarnya, AEROSOUL akan dipentaskan di auditorium Taman Budaya Kuala Lumpur pada 9 Oktober 2010 (9.00 malam) dan 10 Oktober 2010 (3.00 petang). Masuk RM10.



p/s: Bakal penonton semua mungkin sukar untuk faham AEROSOUL. Tapi ia masih boleh difahami kerana masih ada cerita yang berplot jelas. Aku pun masih penulis amatur, jadi aku tak dapat lagi nak hasilkan karya abstrak yang lebih power. Jadi kalau AEROSOUL ni pun kau orang tak faham, aku syak, kau orang mesti tak suka belajar KOMSAS waktu sekolah dulu. (Aku dulu pun tak suka belajar KOMSAS waktu sekolah.)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan