Khamis, September 09, 2010

PRA 7 - Prayaan Praish

Jika dilihat judul-judul entri PRA kebanyakannya bermula dengan 'pra' dan aku telah modifikasi perkataan Bahasa Melayu, misalnya Perayaan jadi Prayaan, dan aku gubah dua ayat menjadi satu, misalnya Pragut (Peragut) dan Prakus (Perakus) menjadi Pragkuts.

Aku memang suka buat begitu. Tapi itu tak bermakna aku tak cinta Bahasa aku. Dan aku tak berniat hendak merosakkan Bahasa aku. Cuma aku kenal diri aku sebagai seorang yang sebegitu, yang pelik dan lain. Tak tahulah macam mana orang lain kenal aku. Tapi aku kenal aku sebegitulah.

Baru sahaja tiba di kampung halaman dari kota lumpur tempat aku cari wang sara hidup. Alhamdulillah sakit demam campak aku sudah hampir pulih, terima kasih kepada Pox kerana telah memberi aku erti sebuah ruang yang luas tapi sempit. Dan kerja aku sebagai seorang jurutera juga semakin diberikan petunjuk dan ilham daripadaNYA. Mungkin makin lama nanti aku boleh kenal diri aku dengan lebih yakin sebagai seorang jurutera dan juga seorang seniman. Dan mungkin hajat aku untuk buat kajian integrasi sains dan seni boleh tercapai.

Cuti raya aku yang singkat ini juga aku ingin sempat-sempatkan menulis karya untuk The Qum Actors pentaskan di KL pada 9 & 10 Oktober nanti. Menumpang (Menempek) lagi bersama Tronoh Theatre Shop yang akan mementaskan The Bundle Show. Memandangkan aku tak dapat beraksi bersama di atas pentas kerana ada urusan yang lebih utama, aku mahu sahaja hidupkan karya aku yang belum hidup lagi. Barangkali karya "B.J.", ataupun "AEROSOUL" yang baru siap satu per tiga. Karya "TERO PING PONG" yang abstrak itu juga boleh tahan, dan boleh tahan sentuhan sensitivitinya, tapi perlu disunting dan diubah sedikit beberapa ayat yang boleh buat aku kena gam. B.J. juga begitu, boleh buat aku kena gam kalau aku tak ubah beberapa ayat atau tapis beberapa ayat.

Antara tiga kemungkinan ini,

B.J. menonjolkan suara hati aku tentang orang baik dan orang jahat, adakah orang baik itu benar-benar baik dan yang jahat itu betul-betul jahat dan selamanya baik atau jahat? Jadi judulnya memang seharusnya Baik Jahat.

AEROSOUL pula adalah tentang kemanusiaan. Subjek yang klise tetapi tak mengapa, kemanusiaan itu penting dan seharusnya sentiasa menjadi klise.

TERO PING PONG pula adalah tentang kestabilan sebuah sistem. Sistem yang aku gambarkan punya 3 elemen, jika hilang satu, sistem tidak stabil dan gagal berfungsi. Nah, bunyinya macam logik sains tapi aku cuba sampaikan secara seni iaitu secara abstrak. Sistem terdiri daripada TERO yang duduk di bawah sebuah meja ping pong, dan PING dan PONG adalah dua lagi elemen.

Tapi kalau tersilap gaya, silap-silap yang siap dan dipentaskan nanti adalah karya lain seperti "BEDAH" misalnya. Bukan Bedah nama orang, tetapi Bedah (bedah badan manusia).

Salam Aidilfitri kepada semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan