Ahad, Oktober 03, 2010

PRA 10 - 10 - 10 - 10

Kebetulan ini adalah entri PRA ke-10.
Jadi pada 10-10-10 ini, aku akan melalui fasa PRA-perkahwinan.
Bertunang lah senang kata.

Semakin sibuk dengan kerja.
Sememangnya perlukan art treatment - rehat dan rawat seni - setelah perah otak logik yang tak berapa logik ni. Pameran seni percuma dan persembahan teater percuma atau yang berharga rendah adalah sasarannya buat masa sekarang.

Ada bengkel dikendalikan oleh The Qum Actors untuk Tronoh Theatre Shop secara percuma pada hujung minggu ini. Aku yang cadangkan tarikh pada hujung minggu ini tapi aku sendiri yang tidak dapat hadir.
Ironik. Tetapi tak mengapa.

Masih ada lagi persediaan pertunangan yang perlu diselesaikan.
Lepas selesai PRA-perkahwinan ini, dan lepas selesai konvokesyen nanti mudah-mudahan aku punya hujung minggu boleh diisi dengan kegiatan seni, sama ada di luar atau di dalam rumah sahaja.

The Bundle Show pada 9 dan 10 Oktober ini pula kemungkinan besar aku tidak dapat hadir menonton lagi.
Jadi selamat berjaya kepada semua cast dan crew.
Dan aku doakan semoga AEROSOUL berjaya dipentaskan dengan baik.

Selain RAMBANG, aku baru mula menulis RAPOLOG, sebuah siri monolog dengan bait-bait dialog rentak rap dan ada juga puisi.
MANBINTANG juga perlu dimulakan untuk tahun hadapan.
NASI LEMAK 10 SEN versi panjang juga perlu dimulakan. Juga untuk tahun hadapan.
Filem pendek NASI LEMAK 10 SEN juga boleh dibuat. Kalau ada kamera boleh rakam video dalam tangan aku.
Baru keluar dari ketuhar pula adalah teater NYA, yang mencari-mencari sesuatu untuk mengisi kekosongan hidup. Jadi apakah yang boleh mengisi kekosongan hidup para hamba sekalian?

Malam ini pula aku telah menonton monolog berjudul KEMARAU MUSIM TENGKUJUH di Taman Budaya KL. Sempena Manifestasi Teater Malaysia 2010. Dan monolog ini adalah johan di KL tahun lalu.

(Ya, sewaktu Muzikal Tun Mahathir sedang hangat dipentaskan di Istana Budaya, di Taman Budaya yang serba rendah diri ini tetapi penuh erti, sebuah monolog yang juga merendah diri dipentaskan. Mana satu yang lebih berbaloi? Itu semua terpulang kepada individu. Jika bertuah dapat menonton dua-dua, boleh nilai sendiri...)

Aku pergi lepas Maghrib. Sengaja tak bawa payung walaupun aku tahu sekarang musim TENGKUJUH. Bukan sebab payung aku hilang diambil orang, bukan bukan! Tapi sebab aku nak berlenggang pergi ke Taman Budaya. Hanya pakai baju-T lusuh dan jeans lusuh. Rambut tak bergel. Dan tak gunting lagi. Tunggu nak tunang baru nak gunting nak trampil kononnya. Dan pakai selipar kotor. Selipar Crocs dah hilang buat apa nak meratapi lagi pemergiannya?

Aku gembira duduk di KL ini sebab aku senang nak pergi tonton teater atau tengok pameran seni apa-apa. Sebab tempat-tempatnya pun banyak yang strategik dekat dengan stesen LRT. Dengan masa lebih kurang setengah jam, aku sudah boleh sampai di Taman Budaya atau Panggung Bandaraya. Kalau di tempat lain tu mungkin sedikit jauh nak pergi menapak seperti ISTANA BUDAYA yang GAH itu, Stor Teater yang memang macam stor itu, Black Box ASWARA atau ET ASWARA yang aku tak pernah-pernah sampai lagi, MAP Solaris, PJ Live Arts, KLPAC yang memang susah nak pergi kalau tak naik kereta, The Actors Studio di Lot 10 yang akan berusia setahun di situ pada 10-10-10 ini, Auditorium DBP, Audi. DBKL, Annexe Central Market, mana lagi? hah mana lagi? mana mana?

Aku masuk Taman Budaya tepat pukul 8.30 malam. Tak ramai orang pun. Memang tak hairan. Semua pergi Istana Budaya. Rakyat Malaysia kaya raya. Alhamdulillah syukur nikmat. Apa kelas pergi nonton teater percuma? Kat TAMAN Budaya pulak tu... Ada Istana, buat apa pergi taman? Walaupun biasanya bila ada Istana, adalah Tamannya... Tapi tak mengapa, itu isu yang tak perlu diisu-isukan pun.

Nostalgia. Memori menggamit.
Jun 2010. Adalah kali terakhir aku berteater. Dah agak lama.
Yang pasti itu bukanlah kali terakhir. Selagi ada ruang nafas dan pentas, akan aku hidupkan teater dalam hidup aku dan teaterkan hidup aku dalam teater aku.

Dah panjang lebar sangat aku melalut. Jadi ini sedikit hasil tontonan aku pada malam itu.


Monolog "KEMARAU MUSIM TENGKUJUH"
Produksi KELAB KILAT KUALA LUMPUR
Karya dan arahan NAZRI AHMAD
Lakonan NAZRI AHMAD

Sinopsis:
Hujan adalah nikmat keramat tanda tanah air ini subur dan mewah di bumi merdeka. Manusia bersaing mencari kehidupan. Berlumba mencapai cita. Negara maju makmur rakyat menikmati sejahtera. Tapi sayang masih ada anak bangsa yang merempat di bumi bertuah ini. Lupa daratan, lupa diri, mengikut kata hati, kerana takdir barangkali, atau mungkin terjerumus ke arah itu. Kemarau adalah barah yang mencengkam tamadun kemakmuran. Ia dipengaruhi persekitaran dan keadaan semasa. Ketentuan takdir juga menentukan watak-watak dalam realiti kehidupan. Ada yang mahu menjadi seperti itu. Ada yang tidak mahu menjadi itu, dan ada yang tidak tahu apa-apa yang dia mahu itu. Manusia menggunakan fikiran untuk berfikir, tapi ada juga yang tidak menggunakan fikiran. Ada yang menjadi tuan ada yang menjadi hamba. Dalam kemewahan dan kestabilan, ada yang sengaja menyeksa diri. Ada yang gila, ada yang mahu gila. Ada yang tergila-gila. Manusia bergerak mengikut kata orang lain, dan ada yang hanya mengikut kata hati......


Technical glitch - termain audio sewaktu emcee sedang membaca sinopsis monolog. Mungkin bagi sesetengah orang pandang perkara ini sebagai spoiler atau bad start atau seumpamanya, tapi bila tirai mula buka aku dah lupa dah pasal glitch itu. Waktu tulis ni lah baru ingat balik.

Tetapi hanya satu itu sahaja tech. glitch yang berlaku. Lagipun ia berlaku sebelum tirai dibuka. Tak payah kiralah!

Suka untuk aku ulas monolog ini secara umum. Monolog ini secara keseluruhannya menampilkan sebuah gaya pementasan yang berulang, ada pattern (corak) dan tiada plot cerita yang jelas dan biasa seperti adanya permulaan, perkembangan, klimaks dan penamat. Gaya monolog ini mengingatkan aku kepada monolog terpanjang dalam Malaysia Book of Records yang aku tonton di Pulau Pinang awal tahun ini. Gaya pementasan sebegini sesuai untuk monolog yang pendek berdurasi kurang satu jam. Ya lah, kalau dah ulang banyak kali sudah tentu akan wujudnya rasa bosan.

Monolog ini bermula dengan sedikit perlahan akan tetapi semakin rancak dan menarik sehingga tamat. Setnya pula sederhana (produksi ini memang rendah diri tapi tinggi nilai budi), akan tetapi sedikit kompleks dari sudut pandang pengamal minimalism, dan sedikit ringkas dari sudut pandang pengamal teater kaya atau bangsawan (kah kah?). Ah, apa pun, aku tak pentingkan set dalam menilai sesebuah teater. Aku pentingkan NILAI dalam MENILAI sesebuah teater. Dah nama pun kau nak MENILAI, mestilah cari NILAI.

Dalam pattern (corak) yang sama, aku dapat cungkil beberapa bahagian yang terasing tetapi di bawah satu perasaan yang sama : MARAH BERONTAK.

Tiada senarai watak yang ditulis atau disebut di akhir pementasan, jadi aku anggap watak pelakon memakai serba putih itu sebagai ELEMEN SUCI. haha.

(0)
ELEMEN SUCI masuk membawa sebuah kotak. Kotak itu berisi pakaian untuk pemain menukar pakaian terus di atas pentas untuk watak-watak berlainan sepanjang pementasan. Gaya sebegini juga pernah aku tonton sebelum ini dalam teater KL : Peluang, Impian, Harapan. Gaya buka baju juga pernah aku tonton. Gaya bogel (literally) saja aku belum pernah tonton di Malaysia ini.
Apa pun, ELEMEN SUCI ini seperti buntu dan mencari-mencari, penat dan lelah dalam pencarian. ELEMEN SUCI membongkar pakaian-pakaian yang ada dalam kotak itu dan mengenakannya satu per satu, seolah-olah pada setiap pakaian itu, terdapat sesuatu yang menggamit memori silam ELEMEN SUCI itu, atau pakaian itu memberikan imbasan akan kisah-kisah kehidupan sang pemakai pakaian itu di dunia... Yang pasti, aku tidak pandang ELEMEN SUCI ini sebagai manusia.

(1)
ELEMEN SUCI kini jadi ORANG MABUK. ORANG MABUK tak ingat apa balik rumah lewat malam marah-marah bini dan akhirnya halau bini keluar rumah. Kemudian ORANG MABUK marah-marah pada penonton (orang ramai) mengatakan yang dia berhak buat apa yang dia suka. Dan dia juga ada bangkitkan isu lama dia sewaktu dia susah dulu tak ada pun orang tolong dia, bila dia dah senang baru orang nak dekat-dekat. Aksi minum arak (bukan arak betul) dan hisap rokok secara betul di atas pentas mungkin kurang sesuai untuk budak kecil yang ada hadir menonton yang masih bertanyakan pada pengiringnya (kakak atau mak entahlah) apa maksud 'TENGKUJUH'.
Lepas tu ORANG MABUK pergi ke sebuah pohon di tengah pentas berwarna merah kelam dengan lima lilin dan meniup memadamkan satu lilin. Dan pattern ini berterusan untuk watak-watak berikutnya.

(2)
ELEMEN SUCI kini jadi PENGEMIS. PENGEMIS mengemis tetapi dihalau oleh pegawai kuatkuasa. Kemudian PENGEMIS marah dan memberontak dengan takdirnya sendiri dan yang paling menarik apabila dia membaling duit-duit syiling dari bekas duitnya ke arah penonton.

(3)
ELEMEN SUCI kini jadi EKSTRIMIS AGAMA. EKSTRIMIS AGAMA hendak keluar berdakwah selama dua bulan dan meninggalkan isterinya di rumah bersama anak-anaknya. Si suami memesan isterinya supaya jangan keluar rumah tanpa izin suami kerana itu perbuatan yang berdosa. Dan memesan kepada isterinya supaya jangan melayan jiran-jiran kerana pada pandangannya kata-kata jiran-jiran mendorong kepada umpatan dan fitnah dan akhirnya menjerumus ke neraka dan suami tidak mahu isterinya masuk neraka. Nampak apa isu sebenarnya? Dan dia akhirnya menghadap ke arah penonton (orang ramai) yang mempersoalkan caranya yang dilihat sebagai melupakan dunia 100% tetapi dibidas semula olehnya yang dia juga menjaga kebajikan keluarganya. Menarik bukan? Mesej islami bagi bahagian karakter ini adalah terang dan jelas. Tahniah untuk usaha yang murni ini. (Produksi ini juga selamat kerana tiada pelakon perempuan yang membuka aurat dan sekaligus melenyapkan kemungkinan persentuhan antara pelakon lelaki dan perempuan.)

(4)
ELEMEN SUCI kini jadi ORANG GILA. Okay. Aku memang suka karakter orang gila kerana asas aku sendiri pun adalah kegilaan. ORANG GILA dalam monolog ini jadi kononnya polis trafik suruh orang jalan dan ada dialognya yang menarik: "Kau tak nak jalan? Kalau tak nak jalan, aku yang jalan! Kau tak nak bodoh? Kalau kau tak nak bodoh, biar aku yang bodoh! Kau tak nak mati? Kalau tak nak mati, biar aku yang mati" Lebih kurang macam inilah.

(5)
ORANG GILA kemudian terus tukar pakaian jadi MAK NYAH. Karakter MAK NYAH yang ditonjolkan tidak terlalu menonjol. Macam aku kata tadi, produksi ini secara keseluruhannya rendah diri tapi tinggi nilai budi. Aksi MAK NYAH tidak keterlaluan atau sengaja dibuat-buat keterlaluan. Malah, watak ini pun bukan untuk penonton bergelak ketawa terhibur, tetapi untuk menonjolkan isu dan permasalahan sebenarnya.

(6)
MAK NYAH terus bertukar semula menjadi ORANG GILA. ORANG GILA kini konon-konon seorang cikgu, seorang lelaki lembut. Nak mengajar budak-budak 1, 2, 3 dan A, B, C. Yang paling menarik bila dia suruh penonton sebut huruf dari J sampai A. Kalau kira terbalik dari 10 ke 1 senanglah. Tapi kalau sebut huruf terbalik dari Z sampai A, boleh ke sebut laju-laju tanpa fikir dulu? Cuba buat. Haha.
Kemudian, ORANG GILA menghadap dan berdialog dengan penonton (orang ramai) tentang GILA. Tagline monolog ini yang ditulis di brosur dan juga kain rentang berbunyi "GILA itu apa sebenarnya.. gila itu adalah nafsu, nafsu ada pada semua orang yang mengaku tidak gila.. tapi sebenarnya mereka memang gila, gila melayan nafsu yang tidak pernah puas". Tagline inilah kekuatan monolog ini. Ada lagi dialog ORANG GILA yang mempersoalkan KEGILAAN dan juga ada provokasi pada orang yang siuman yang orang siuman ini sebenarnya GILA, dan orang gila ini sebenarnya yang tidak gila. GILA DUNIA lah maksudnya tu.. ORANG GILA katanya tidak gila mengejar dunia. Hidupnya ringkas tidak perlu berumah katanya, tidak perlu perempuan cantik katanya. Menarik bukan?

Dan akhirnya lilin terakhir ditiup.

ELEMEN SUCI kini sedar dan bertambah gundah dan lelah. Mungkin risau dengan permasalahan atau pun 'kemarau' yang melanda walaupun musim tengkujuh (hujan itu rahmat, iaitu negara aman makmur dan maju) tetapi sudah pasti akan ada kemarau (ada penyakit sosial). Dan inilah yang menyebabkan ELEMEN SUCI tidak senang duduk, tidak senang tidur.

Penamat monolog ini:
ELEMEN SUCI tersedar dan amat takut. Mungkin dunia sudah hampir kiamat. Dan akhirnya ELEMEN SUCI mati. Pohon-pohon dunia mati. Dan yang tinggal, pohon di tengah pentas itu yang menempatkan lilin-lilin. Yang berwarna merah itu.

Secara umumnya, aku dapat lihat penulis dan pengarah cuba tonjolkan isu-isu yang membabitkan penerimaan dan persepsi masyarakat terhadap golongan-golongan yang dikarakterkan dalam monolog ini.

Soalan:
Apakah persepsi masyarakat kita terhadap golongan-golongan ini:
Orang Islam yang minum arak.
Pengemis yang mengemis di tepi jalan.
Pendakwah yang meninggalkan keluarga dalam tempoh masa yang lama.
Orang kurang siuman.
Mak nyah.

Lima karakter yang memang wujud nyata dalam dunia realiti inilah yang telah ditonjolkan dalam monolog ini. Lima karakter / lima isu ini adalah lima batang lilin yang dinyalakan pada awalnya, dan ditiup padam oleh ELEMEN SUCI. Kontradiknya, lilin menyala menerangi kegelapan, akan tetapi dalam monolog ini, lilin yang menyala adalah satu masalah dalam masyarakat, dan ELEMEN SUCI memadam lilin itu sebagai satu perlambangan yang ELEMEN SUCI dapat menyelesaikan masalah tersebut.

Pada hemah aku juga, monolog ini kuat dan mesejnya sampai pada diri aku sendiri. Variasi mesej yang tersurat dan tersirat ini menjadikan monolog ini cukup indah serinya.

Dua ibu jari untuk monolog ini!


p/s: Mungkin esok akan dapat rawatan seni lagi. Teater "Sirih Bertepuk Pinang Menari". Karya SN Noordin Hassan. Arahan Norzizi Zulkifli. Di Audi DBP. Hujung minggu depan pula, 8 Oktober aku cadang mahu nonton bangsawan "Bunga Sakti Cinta Malam", adaptasi Shakespeare "Mid Summer's Night Dream", produksi Alumni ASWARA. (Alumni TTS bila lagi nak buat show sendiri???)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan