Khamis, September 16, 2010

PRA 8 - Hari Malay Sia

Hari ini Hari Malaysia. Jadi, Salam 1Malaysia.
Pertama kali disambut pada tahun ini. Dan sudah pasti warga pekerja dan budak-budak sekolah suka sebab hari ini cuti umum di seluruh Malaysia.

Aku juga pulang ke kampung setelah seminggu 1 Syawal berlalu. Sudah tentu bukan untuk beraya sebab suasana raya sudah pun tiada. Malah, ada yang sudah berpuasa enam hari. Mungkin aku boleh sifatkan kepulangan aku ke kampung kali ini adalah untuk merehatkan dan menenangkan minda dan fikiran. Walaupun baru bekerja 3 hari selepas cuti Raya tempoh hari, aku sudah jadi sibuk dengan tugasan di tempat kerja. Apa pun aku harus terima dan bersyukur. Begitulah situasinya bila bekerja dalam syarikat konsultan kejuruteraan.

Karya AEROSOUL aku sudah pun siap. Ia ditulis dengan sedikit terburu-buru. Jadi penamatnya dilihat seperti macam nak cepat habis. Teater AEROSOUL ini teater pendek dan aku harap TQA dapat pentaskannya dengan sehabis baik memandangkan kemungkinan besar karya itu sukar untuk difahami, lebih sukar berbanding Nasi Lemak 10 Sen. Akan tetapi aku percaya Pacel dapat cungkil sesuatu daripada AEROSOUL, meskipun penulisnya sendiri pun masih mencari-cari satu jiwa yang sebenar dalam karya itu. Ya, macam aku selalu kata, aku menulis ikut jiwa dan rasa dan tangan aku hanya mengikut rentak irama jiwa, selepas selesai menulis, aku membacanya beberapa kali dan baru selepas itu aku dapat bertemu dengan satu jiwa yang sebenar. Tetapi jika ditanya kenapa aku menulis AEROSOUL? Aku akan jawab, kerana ia berdasarkan puisi "Aerosoul (Bukan Gas Pemedih Mata) Semut-semut". Dan jika ditanya kenapa aku menulis puisi itu?
Sebab masa aku tulis tu, musim hujan dan banyak semut dalam rumah dan aku punya suatu perasaan kurang enak ataupun geli melihat serangga dalam kumpulan kuantiti yang banyak, dan kebiasaannya mak aku akan sembur semut-semut tu dengan Ridsect atau seumpamanya, dan aku membayangkan situasi demonstrasi aman yang dileraikan dengan cara membaling bom gas pemedih mata. Walaupun demonstrasi aman tu tak ada buat kacau, tak ada memusnahkan harta benda awam, (sama dengan situasi semut yang naik ke dalam rumah sebab nak buat sarang kat tempat yang orang tak nampak pun, tapi sebab semut-semut keluar BERARAK untuk pindah ke sarang atau bawa makanan ke sarang..)
Senang kata, aku samakan situasi semut-semut yang disembur dengan aerosol, dengan para pendemo aman yang dibaling dengan gas pemedih mata.
Dalam masa yang sama juga, dalam puisi itu aku menunjukkan bahawa manusia yang memegang aerosol itu yang berkuasa. Manusia yang ada pangkat itulah yang berkuasa terhadap orang-orang awam. Nah, persoalannya, macam mana manusia boleh halau semut-semut tanpa menggunakan Ridsect? Atau seharusnya manusia membiarkan sahaja semut-semut itu, kerana lambat laun semut-semut itu akan masuk ke dalam sarangnya juga dan tidak akan mengganggu manusia (okay, mungkin ada semut-semut yang nakal 'mencuri' gula atau manisan manusia) akan tetapi DI MANA ADA GULA, DI SITU ADA SEMUT. Nah, persoalannya pun menuju kepada persoalan yang lain.
Dalam kemanusiaan, harus adanya kebinatangan? Begitukah?

Dalam masa yang sama aku terilham untuk menulis sebuah lagi karya abstrak iaitu RAMBANG. RAMBANG adalah cerita yang seharusnya tiada cerita yang tetap. Ceritanya harus rambang. Idea asal aku adalah untuk mengosongkan isi teater RAMBANG, dan menyerahkan 100% tugasan teater kepada para pelakon untuk menjayakan dan mengisi kekosongan RAMBANG. Makanya, para pelakon dan watak-watak juga rambang dan tidak tetap. Tiada skrip. 100% improvisasi para pelakon handalan. Dan ceritanya tidak dirancang terlebih dahulu. Kerana RAMBANG ini adalah 100% rawak dan rambang. Aku cuba gunapakai teori Gerakan Brown ke dalam teater. Bunyinya berlandaskan sains? Ya! Sebab halatuju teater aku kini lebih jelas ke arah mengintegrasikan sains dan seni. Kerana dengan sains juga manusia boleh lebih mengenali Pencipta. Dengan seni juga manusia boleh lebih mengenali Pencipta. Kenapa tidak kita gabungkan kedua-duanya?

Akan tetapi, idea itu adalah idea asal. Aku juga ada menulis skrip untuk RAMBANG, juga menyebut tentang 'kekosongan'. Kekosongan inilah yang perlu diisi oleh pelakon. Malah, boleh jadi juga penonton. RAMBANG ditulis di bawah pengaruh "Waiting For Godot" oleh Sameul Beckett. Masa aku berada dalam ruang Pox tempoh hari, aku sempat layan Waiting For Godot. Dan beberapa lagi karya absurd oleh Samuel Beckett. Antara yang paling tidak boleh diterima akal logik tetapi menarik bagi aku adalah "Play", "Act Without Words II".

Syukur sekarang sudah boleh stabilkan otak. Otak kiri juga jalan. Otak kanan juga jalan. Dua-duanya selari. Baru seimbang!

Malas nak cakap banyak lagi. Lagipun aku memang tak cakap banyak. Lebih gemar fikir banyak walaupun aku bukan pemikir sosio-ekonomi atau falsafah. Lebih gemar tulis walaupun aku bukan sasterawan negara.

Salam 1Malaysia.
Selamat Hari Malay Sia.
Betulkan aku, jangan jadi Malay Sia (Melayu yang sia-sia), jadilah Malaysia.
Selamat Hari Malaysia!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan