Khamis, Ogos 20, 2009

Putih-Biru-Kuning-Merah

Kalau aku ada di KL sekarang, aku pasti akan singgah Stor Teater paling kerap bulan Ogos ini.
Tapi tidak guna jika manusia asyik meletakkan perkataan 'kalau' pada situasi atau perbuatan mereka.

Realitinya aku harus habiskan kurang daripada setahun saja lagi di kampus UTP ini.
Dan jika aku tidak berada di KL singgah sana seni menonton teater, jadi aku boleh saja berada di Tronoh, singgah sana seni menonton teater malah berteater sekaligus.

Tambahan, teater di sana berbayar.
Teater di sini tidak berbayar. (Pihak penganjur saja yang bayar kami. Hehe.)

Rabu malam Khamis tadi. Tarikh 19 Ogos 2009. Beberapa hari sebelum awal Ramadan.
Teater pendek 15 minit berjudul "WA WARNA" selesai.

Secara keseluruhannya bolehlah... (Bolehlah - relatif dengan persediaan yang amat suntuk)
Sekurang-kurangnya tiada audiens yang baling telur busuk. (Mungkin sebab tiada telur busuk disediakan.)

Tetapi energi kami jatuh di pertengahan. Itu yang menyebabkan kami berasa sedikit kekurangan.
Walaupun energi yang tidak stabil itu merupakan masalah biasa persembahan teater, tetapi teater pendek ini tidaklah lama mana pun. Hanya 15 minit. Ya, memang betul-betul dalam lingkungan 15 minit berdasarkan rakaman video yang diambil. Nasib baik. Sedang elok.

Apa pun, syukur sudah selesai satu show. Risau juga sebab show WA WARNA ini, kita berurusan dengan pihak penganjur, jadi kena berikan sesuatu yang berbaloi dengan bayaran yang mereka berikan iaitu RM 200.
Bayaran mengikut standard TTS ni. Kalau teater penuh (1 jam = RM 500, 45 minit = RM 400). Kalau teater pendek pula (15 - 30 minit = RM 200). Kami pun perlukan wang juga. Kalau tidak mana kami nak cari duit mahu beli props, kostum dan bagi makan kat budak-budak?

Berbalik kepada show WA WARNA. Aku rasa kurang selesa kalau aku tulis respon audiens di sini. Kalau nak tahu, tanya audiens yang hadir menonton kerana lain orang lain pandangan dan pendapatnya.

WA WARNA ada dua bahagian. Bahagian 1 adalah tulisan aku. Bahagian 2 adalah tulisan SEFA.

Bahagian 1 itu tentang keterbalikan. Kesongsangan. Putar belit. Satu misal ditunjukkan. Lelaki nak jadi perempuan. Perempuan nak jadi lelaki. Semula Jadi menjadi Jadi Semula. (Aih, penerangan maksud bahagian ni pun dah macam dalam skrip!).
Tak tahulah kalau orang tak faham. Tapi banyak juga aku cuba sampaikan dalam teks. Kalau tak sampai juga maknanya aku belum berjaya lah tu. Boleh perbaiki lagi tulisan aku.

Bahagian 2 itu pula tentang perebutan hak. Pada pandangan aku, warna-warna yang bukan warna kuning itu merebut hendakkan kain kuning itu. Masing-masing hendak mempertahankan yang kain kuning itu hak mereka. Padahal, mereka bukannya berwarna kuning. Jadi, maksudnya orang-orang yang tak layak itu sibuk-sibuk nak katakan diri masing-masing yang mereka layak memegang jawatan tertinggi (ini misalan sahaja). Hakikatnya, mereka memang tidak layak sama sekali. Dan, tanpa orang ramai sedar, ada saja pihak lain yang inginkan 'kain kuning' tersebut dan bermain talam dua muka, hipokrit dan akhirnya berjaya mendapatkan kain kuning tersebut. Ini digambarkan apabila Kak Lawnun (lakonan Aini) berpura-pura sebagai seorang yang baik di hadapan warna-warna tetapi akhirnya dia juga inginkan kain kuning tersebut. Dan akhirnya, orang yang hipokrit seperti itu yang berjaya mendapatkan kain kuning itu. Ini boleh jadi gambaran kepada realiti yang berlaku.

Banyak lagi yang boleh diterjemahkan. Lebih-lebih lagi tentang warna-warna tersebut: Putih, Biru, Kuning, Merah.

Terima kasih pada pihak penganjur kerana menghias pentas dengan belon-belon berbentuk 'hati' walaupun ia tidak berbentuk seperti hati manusia, senang kata, berbentuk 'LOVE' berwarna Putih, Biru, Kuning, Merah - warna-warna pada bendera Malaysia.

Dan dalam masa yang sama, layarilah laman web ini: 15malaysia.com
Ada banyak filem-filem pendek yang menarik!

SELAMAT SAMBUT BULAN MERDEKA KE-52!



ps: Terima kasih pada semua yang terlibat menjayakan show WA WARNA ini. Terima kasih juga pada semua yang sempat meluangkan masa untuk hadir pada malam tersebut.

1 ulasan: