Sabtu, Ogos 29, 2009

MERKEDA/AKEDREM/KADEMER/MERDEKA

Esok malam. Malam merdeka Malaysia ke-52.
Dah tua dah Malaysia ni.
Tapi.. tua ke?

Dalam skrip Wa Warna, bahagian awal yang aku tulis. Frakmen TIANG. Aku sengaja 'main-main' dengan laungan merdeka dan ikrar Rukun Negara. Kalau ikutkan asalnya, aku hendak buat baca ikrar Rukun Negara dengan cara bodoh. Tapi nanti jadi isu pula. Maklumlah, ada orang buat lagu rap Negarakuku pun jadi isu (untuk alih perhatian rakyat pada isu lain yang lebih besar).

Idea ini tertulis sebab masa aku naik bas RapidKL pergi kerja hari-hari dulu aku selalu tengok rancangan Wakenabeb (yang diulang siar berkali-kali). Dalam rancangan tu ada slot tanya orang ramai pasal negara Malaysia, contoh, siapa nama Yang di-Pertuan Agong, siapa nama Menteri, dan seumpamanya. Pasal negara lah. Dan ramai yang tak dapat jawab dengan betul. Malah ada yang tak tahu nak jawab apa. Aku pun geleng kepala.

Nasib malam merdeka kali ini dalam bulan puasa.
Tapi tak tahulah kalau masih ada yang sambut malam merdeka seperti biasa.
Tunggu dan lihat sajalah.
Tapi tunggu, lihat, tunggu, lihat tak guna juga.
Apa yang boleh kita buat?






Berpuisi?
(Ehem..)


"Provokasi Teori Konspirasi Merdeka"


Provokasi
daripada generasi hadapan
Konspirasi
daripada generasi sekarang
Teori
daripada generasi dahulu kala

Merdeka di minda
adalah satu teori
Merdeka di mata
adalah satu konspirasi
Merdeka di jiwa
adalah satu provokasi

Ting tong
dua belas kali
tiap hari
bermula hari baru
tapi di situ
ting tong
berkali-kali
laungan merdeka
dalam jeritan batin
nafsu manusia
laungan dan jeritan
yang saling ditenggelami
dalam himpunan
dalam dataran

Ting tong
dua belas kali
tiap hari juga adalah hari baru
tapi harus juga aku bertanya
Hari ini sudah masuk hari semalam kah?
Hari semalam sudah masuk hari ini ya?
hari tidak akan bersilang
esok tidak akan bersilang dengan semalam
hari ini tidak akan bertemu dengan hari esok

Teori merdeka
bebas tidak dijajah anasir luar
Konspirasi merdeka
bebas dari jajahan kuasa luar
tapi masih dijajah dan terjajah di luar sedar
Provokasi merdeka
jiwa-jiwa muda yang membara
ingin bebas jiwa
buat apa saja
cuba apa saja

Merdekakah saya, kau, kita dan mereka?
Merdekakan saya, kau, kita dan mereka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan