Isnin, Ogos 31, 2009

Ketat / Longgar : Cerita Di Sebalik Tabir

Sebagai orang matematik.
Ketat / Longgar aku tidak baca sebagai 'Ketat ATAU Longgar'.
Tetapi aku baca sebagai 'Ketat OVER Longgar'.

Di sekolah asrama penuh. Peraturan ketat.
Di kem latihan tentera. Peraturan ketat.

Di universiti. Peraturan longgar.
Di dalam teater. Tiada peraturan*.


Pembaca sekalian. Apa yang aku akan bicarakan selepas perenggan ini adalah cerita sebenar. Sekadar ingin berkongsi pandangan dan pengalaman aku berkecimpung dalam bidang seni sejak empat tahun yang lalu, terutamanya kepada orang-orang yang masih baru dalam teater (dalam TTS la maksud aku, saja nak kias...).



2005

Semester pertama aku di UTP. Aku ada nampak poster ASYLUM ditampal pada dinding blok hostel Semarang, Old V5 yang kini sudah tiada. Poster tu ada gambar orang kepala botak. Aku tak ambil kisah pun. Alah, teater?

Namun suatu hari di kafe Old V5, Hidzir dan Afnan ada buat promosi jualan tiket untuk show teater ASYLUM tu. Show sempena IW-48. Memandangkan aku memang jenis yang mudah dipersuade, aku beli tiket show tu. RM3 atau RM5? Aku pun tak ingat.

Namun bila sampai malam show, aku tidak pergi menonton. Sebab dalam masa yang sama, ada ceramah agama di masjid lama. Ceramah apa aku tak ingat. Mungkin ceramah Isra' Mikraj kot.

Jadi begitulah ceritanya.

Oh ya, pada minggu orientasi juga, ada satu atau dua bas disediakan untuk pelajar kemasukan baru untuk pergi menonton teater di Ipoh. Waktu tu aku rasa macam nak pergi menonton. Kalau nak pergi kena isi nama dalam borang yang ditampal di dinding Main Hall tu. Tapi aku tak ambil kisah. Alah, teater?

Rupa-rupanya, itu show "Hmm..Begitu Panasnya!" untuk FTP 2005.


2006

Di kafe USM, Hidzir dan Afnan (The Two Lovebirds! Teka siapa The Two Lovebirds TTS sekarang?) ada buka booth untuk pengambilan ahli-ahli TTS baru. Waktu tu aku bersama dengan tiga orang lagi kawan aku, iaitu roomate aku sekarang, Zaman & Azman. Kami pun berminat dan bagi nama pada mereka berdua, kecuali roomate aku.

Akhirnya, aku, Zaman & Azman dipanggil untuk hadir ke sesi uji bakat di Blok B. Waktu tu aku mengenali Dr Shark, Mr Rahmat, Ms Ainol pun ada sekali, Dr Naufal pun ada!, Abang Imtias, Che Mad Haris, Ee, Koba, Kak Ha-Ha dan rasanya itu saja yang aku dapat ingat.

Lepas sesi suai kenal, Koba melatih warm-up suara bersama dengan budak-budak baru. Macam biasalah, NGAAA... NGEEEE... NGIII... NGOOO... NGUUU... Masa tu suara aku tak kuat. Aku dengar sendiri pun macam tenggelam saja suara aku. Ditambah lagi sedikit rasa nervous.

Waktu tu juga aku baru kenal Anwar dan Izzi, oh dan jugak A.O (Abdullah Omar), oh dan jugak Ben (Fareez), dan jugak Fuad. Selebihnya memang budak-budak baru.

Akhirnya, aku dan Zaman dapat turut serta dalam show ASYLUM di Kolej Matrikulasi Perak di Gopeng. Itulah show pertama aku memegang watak Penonton, bergandingan dengan Zaman.

Memandangkan waktu tu rambut aku memang belum panjang lagi sebab baru lepas keluar kem kerahan tenaga Malaysia, jadi aku memang sudah sedia botak. Waktu tu pelakon ASYLUM tidak diwajibkan botak. Dan oleh sebab itu, aku direcognize oleh budak-budak matrik Gopeng sebagai Mawi. Well, not bad lah rasanya. First debut aku di luar UTP, dan mendapat sorakan Mawi daripada penonton.

Sejak insiden sorakan Mawi tu, untuk teater seterusnya aku dijadikan mangsa bahan. Aku diberi watak menjadi Patung Mawi dalam teater Miao Miao Sang Arnab sempena Festal 2006. Selepas selesai MMSA itu, Zaman keluar dari TTS. Jadi, tinggallah aku seorang saja dari batch aku.

Show berikutnya adalah Sampah Oh Sampah sempena IW-49. Dalam masa yang sama, aku adalah salah seorang komiti Ceremony & Protocal untuk event tersebut. Masa show kali tu, aku mengenali Pacel, Pot, Luth, dan Polo. Diaorang baru balik dari internship.

Dalam show Sampah Oh Sampah, aku 'dinaikkan pangkat' memegang watak sampingan, Anjing. Masa show inilah, aku belajar banyak dalam berteater sebab masa tu baru Dr Shark betul-betul jadi direktor. Dua show sebelum ni hanya Koba atau Ee saja yang direct.

Alhamdulillah. Semua berjalan lancar. Sampai sekarang aku masih dilabel sebagai Anjing oleh orang-orang tertentu. Haha.


2007

Dalam tahun 2007, aku semakin giat berteater dalam TTS. Semua show yang ada aku balun dan bantai berlakon. Tapi show yang paling besar tahun tu adalah Asylum 50. Dan selepas itu, teater Jebat.

Tiada apa yang significant yang perlu diceritakan. Reputasi aku dalam TTS semakin meningkat. Management pertama tertubuh dalam tahun ini. Semakin ramai budak-budak baru yang sertai TTS. Dan Hidzir dan Afnan tidak lagi berlakon sejak awal tahun ini kerana sudah menjadi salah seorang ahli MPPUTP.

Dan TTS kehilangan ahli yang berwibawa. Dua orang sekaligus. Fuad dan Ben juga sudah tidak bergiat lagi.


2008

Tahun ini mencatatkan sejarah buat aku kerana mencuba menjadi seorang direktor sebuah teater. Dalam masa yang sama juga aku telah diasah untuk menulis skrip.
Tahun ini adalah tahun yang paling banyak gila show dari awal sampai hujung tahun.
Dan kalau tak silap, tahun ini tertubuhnya TTS Mimers.


2009

Sekarang, aku lebih gemar menulis skrip. Berkarya.





Beza TTS dulu dengan sekarang?
Dulu pengambilan ahli baru TTS lebih 'ketat'.
Sekarang lebih 'longgar'.
Dulu Rakan Masjid selalu undang untuk buat show.
Sekarang, buat tahun ni, belum ada lagi rasanya.
Dulu tak ada presiden.
Sekarang ada presiden.
Dulu tak ada management.
Sekarang dah ada management.
Dulu menang nombor 2 dalam FTP.
Sekarang menang nombor 3 dalam FTP.

=p


*Tertakluk kepada peraturan agama.

Ahad, Ogos 30, 2009

Wa Warna: Versi Teletubbies


Tinky Winky
Ungu

Dipsy
Hijau

Laa-Laa
Kuning

Po
Merah



Perhatikan simbol di atas kepala mereka.
Berbeza-beza.
Warna mereka.
Berbeza-beza.

Memang senang bagi aku hendak cipta karaktor yang berbeza-beza.
Tapi sukar (kalau tak iya-iya) hendak aku bawa karaktor yang berbeza-beza.
Typecast. Adalah masalah aku. Dan masalah kebanyakan pelakon tanah air.

Nampak? Pengalaman 4 tahun pun belum cukup jadikan aku orang teater yang bagus.
Atau, layakkah aku atau engkau dipanggil orang teater?

Tanggung Jawab

Millenium ni, manusia bergantung terhadap teknologi.
Misalnya. Kalau orang tu pandai selok belok komputer. Habislah jadi mangsa.
Dia yang kena buat banyak kerja.
Dia yang kena selenggara blog.
Dia yang kena muat naik media.
Dia yang kena edit video klip jadi filem pendek.
Dia yang kena edit video atau audio untuk teater.

Aku seorang yang tidak suka jadi ketua.
Tapi selalunya aku juga yang terpaksa jadi.
Dah nama pun terpaksa. Kualiti aku sebagai ketua tidaklah tip top.
Lagipun sisi emosi aku kuat dan banyak variable.
Nyatanya aku bukanlah seorang yang tip top untuk jadi ketua.
Tapi kalau dah terpaksa. Terpaksa lah.

Aku tak suka pegang tanggungjawab.
Kecuali tanggungjawab sebagai suami dan ayah dan seorang anak dan seorang pelajar.
Tanggungjawab aku dalam teater adalah berkarya dengan jujur.
Itu saja. Aku lebih selesa begitu. Jawatan Presiden aku akan tolak. Jawatan Project Manager aku akan tolak. Apa-apa saja jawatan aku akan tolak melainkan jawatan Director atau Artistic Director untuk sebuah pementasan. Sebab jawatan tu bukan jawatan. Bagi aku ia satu posisi yang membolehkan aku berkarya secara jujur.
Apa yang aku pentaskan itu adalah apa yang aku fikir dan rasa.
Apa yang aku tulis itu adalah apa yang aku fikir dan rasa.

Lagipun, aku berdarah AB.

Sabtu, Ogos 29, 2009

MERKEDA/AKEDREM/KADEMER/MERDEKA

Esok malam. Malam merdeka Malaysia ke-52.
Dah tua dah Malaysia ni.
Tapi.. tua ke?

Dalam skrip Wa Warna, bahagian awal yang aku tulis. Frakmen TIANG. Aku sengaja 'main-main' dengan laungan merdeka dan ikrar Rukun Negara. Kalau ikutkan asalnya, aku hendak buat baca ikrar Rukun Negara dengan cara bodoh. Tapi nanti jadi isu pula. Maklumlah, ada orang buat lagu rap Negarakuku pun jadi isu (untuk alih perhatian rakyat pada isu lain yang lebih besar).

Idea ini tertulis sebab masa aku naik bas RapidKL pergi kerja hari-hari dulu aku selalu tengok rancangan Wakenabeb (yang diulang siar berkali-kali). Dalam rancangan tu ada slot tanya orang ramai pasal negara Malaysia, contoh, siapa nama Yang di-Pertuan Agong, siapa nama Menteri, dan seumpamanya. Pasal negara lah. Dan ramai yang tak dapat jawab dengan betul. Malah ada yang tak tahu nak jawab apa. Aku pun geleng kepala.

Nasib malam merdeka kali ini dalam bulan puasa.
Tapi tak tahulah kalau masih ada yang sambut malam merdeka seperti biasa.
Tunggu dan lihat sajalah.
Tapi tunggu, lihat, tunggu, lihat tak guna juga.
Apa yang boleh kita buat?






Berpuisi?
(Ehem..)


"Provokasi Teori Konspirasi Merdeka"


Provokasi
daripada generasi hadapan
Konspirasi
daripada generasi sekarang
Teori
daripada generasi dahulu kala

Merdeka di minda
adalah satu teori
Merdeka di mata
adalah satu konspirasi
Merdeka di jiwa
adalah satu provokasi

Ting tong
dua belas kali
tiap hari
bermula hari baru
tapi di situ
ting tong
berkali-kali
laungan merdeka
dalam jeritan batin
nafsu manusia
laungan dan jeritan
yang saling ditenggelami
dalam himpunan
dalam dataran

Ting tong
dua belas kali
tiap hari juga adalah hari baru
tapi harus juga aku bertanya
Hari ini sudah masuk hari semalam kah?
Hari semalam sudah masuk hari ini ya?
hari tidak akan bersilang
esok tidak akan bersilang dengan semalam
hari ini tidak akan bertemu dengan hari esok

Teori merdeka
bebas tidak dijajah anasir luar
Konspirasi merdeka
bebas dari jajahan kuasa luar
tapi masih dijajah dan terjajah di luar sedar
Provokasi merdeka
jiwa-jiwa muda yang membara
ingin bebas jiwa
buat apa saja
cuba apa saja

Merdekakah saya, kau, kita dan mereka?
Merdekakan saya, kau, kita dan mereka.

SIGNS - Love Without Talking



Kredit pada Adlil kerana berkongsi filem pendek yang menarik ini.
Selamat menonton.

Hari demi hari makin membunuhku (2)

Terbunuh juga akhirnya aku malam ini.

...

Jumaat, Ogos 28, 2009

Hari demi hari makin membunuhku

Fuh. Akhirnya minggu ini dapat diredah dengan baik.
Baru dapat hembus nafas lega.
Tak datang latihan Asylum petang Jumaat ni.
Pukul 5.30 baru selesai kelas dan pembentangan.
Hari tu pula hujan dan lambat datang.
Tuan direktor sudah balik.
Nasib orang miskin tak ada kenderaan dan tak ada usaha nak cari duit beli kenderaan.
Terpaksa menaruh harapan dan menagih simpati mereka yang sudi untuk beri tumpang.
Terima kasih kepada semua manusia yang telah beri aku pinjam motosikal, beri tumpang naik kereta untuk pergi ke bilik latihan teater sepanjang 4 tahun yang lalu.

Jadi, sekarang baru boleh hembus nafas lega. Fuh...
Eh, sekejap. Alamak.
Dalam senarai TO-DO-LIST ini ada sembilan lagi kerja yang perlu disiapkan.
Nampaknya hari demi hari semakin cuba membunuh aku.
Jangan tergolek mati di tengah jalan sudahlah.

Aku telah berjanji pada diri aku sendiri.
Tahun akhir ini aku akan utamakan pelajaran terlebih dahulu.
Waktu awal-awal dulu lainlah, aku sanggup ponteng kelas waktu petang semata-mata hendak datang latihan (walaupun latihan tu tak memerlukan aku).
Sekarang senario latihan berbeza. Ada jadual. Ikut babak. Siapa diperlukan saja perlu datang.

Hujung minggu ni ramai budak-budak dekat sini balik rumah.
Sebab Isnin ini cuti merdeka. Isnin hadapannya pula cuti Nuzul Quran.
Malaysia banyak cuti. Cuti-cuti Malaysia.
Tapi aku tak balik Batu Pahat. Tak juga singgah di KL.
Kemungkinan besar waktu cuti Hari Raya saja aku akan balik kampung.
Dan waktu selepas selesai peperiksaan akhir semester.

Hari demi hari kian membunuhku.

Cubalah, kalau dapat!

Khamis, Ogos 27, 2009

G.A

Bermula Khamis lepas hingga beberapa Khamis yang akan datang merupakan hari makmal aku.
Jika minggu lepas aku menghabiskan masa dari pukul 10 pagi hingga 5 petang menyiapkan eskperimen Spray Chamber System yang mana komputernya sudah rosak, minggu ini aku dan rakan semakmal bersama-sama menghabiskan masa menyiapkan eskperimen Single Cyclone System yang seharusnya berjalan lancar tetapi ada juga ketidaklancarannya.
Syukur juga tidak sampai lewat petang. Tidaklah letih sangat. Tapi masih menjadi orang terakhir juga yang keluar dari makmal itu.

G.A di sini adalah Graduate Assistant.
G.A juga adalah seorang manusia yang jika menemui sesuatu benda atau perkara yang baru, dia tak tahu, dan dia perlukan petunjuk untuk mengetahui perkara baru itu.

Geram juga bila G.A 'bereksperimen' dalam eksperimen yang patut berjalan dengan lancar.
Tapi harus disalahkan juga pada kabel yang tertanggal dalam panel.
Dan mungkin juga lab technician yang membantu juga merupakan orang baru.
Nak buat macam mana bila semuanya baru-baru.
Nak tak nak kena faham sajalah dengan kondisi.

Sebelum makmal, ada kelas Human Resource Management.
Dalam lecture, pensyarah ada membuka sedikit ruang pemikiran budak-budak ni.
Supaya budaya 'tak-pa' tidak menjadi pegangan.
Supaya budaya orang memberi kita menerima sebaiknya dan seadanya dijadikan amalan asalkan tidak melanggar batasan.
Supaya melihat kekuatan diri sendiri dan menonjolkannya pada orang lain.
Supaya tidak sentiasa memperkatakan tentang kelemahan diri sendiri dan orang lain.

Dan alamak, malam ini banyak kerja kena siapkan.
Malam esok baru boleh bersuka ria berteater.
Yeah!

Yeah.

Bilik Mandi

BATHROOM (BILIK MANDI)
Oleh Akin.M


Sinopsis:
Aku nak mandi. Nak mandi masuk bilik air. Aku nak mandi dalam tub atau pakai shower atau pakai gayung? Aku nak mandi pakai apa? Aku nak mandi gua air apa? Air putih? Atau mandi dengan susu? Atau darah? Atau udara?

Watak-watak:
LELAKI
PEREMPUAN
PENJAGA KAUNTER


LELAKI:
Panasnya badan aku malam ni.
Sebab global warming kah?
Atau sebab aku banyak buat dosa?
Ah, apa-apa hal pun, aku nak mandi.
Biar sejuk sedikit badan aku ni.

PENJAGA KAUNTER:
Selamat datang ke bilik mandi awam.

LELAKI:
Masuk percuma kah?

PENJAGA KAUNTER:
Ya. Percuma kalau encik tak guna air.
Kalau hendak guna air biasa untuk mandi, kena bayar RM 3 sekepala.
Kalau hendak guna air lain, ada caj lain.
Nak tengok menu air yang kami sediakan?

LELAKI:
Menu Mandi:
Pakej Mandi Harus (Mandi Biasa) RM 10
Sabun, tuala disediakan tetapi tidak boleh dibawa balik atau masuk ke dalam beg galas.

Pakej Mandi Wajib (Bagi yang berhadas besar seperti mandi junub dan seumpamanya)
RM 15
Sabun, tuala disediakan.
Nota: Harga sedikit tinggi kerana masa untuk mandi dijangkakan lebih lama daripada mandi biasa.

Menu Pilihan Air Untuk Mandi:
Air paip RM 3
Air suling RM 5
Air susu RM 10
Air darah RM 35-50 (Mengikut harga pasaran)
Air (Udara) RM 0.10
Nota: Sabun dan tuala tidak disediakan.

Hmmm.. Air darah? Harga mengikut pasaran. Macam makan kepala ikan asam pedas pula.

PENJAGA KAUNTER:
Jadi bagaimana?
Nak pilih yang mana satu?
Boleh campur menu kalau nak.

LELAKI:
Saya nak cuba air susu dan air darah.

PENJAGA KAUNTER:
Tunggu sebentar ya. Saya set menu pilihan encik.
Baiklah. Sekarang encik boleh masuk.





Akan disambung. Kalau sempatlah.
Maklumlah. Sekarang ini sibuk. Sekejap fikir pasal FYP. Sekejap fikir pasal FYDP.
Tapi. Bukan memang dah lumrah macam tu ke?

Semalam petang hujan.
Malamnya juga hujan.
Malamnya itu badan aku sejuk.
Aku pernah berkata pada Che Mad Haris, "Saya sejuk."
Dan, responnya ....

Kalau dalam BILIK MANDI, LELAKI berkata pada PEREMPUAN, "Aku panas."
PEREMPUAN membalas, "Aku sejuk."

Hah, apa yang kau orang fikir tu?!

Selasa, Ogos 25, 2009

Rupa Rasa Jiwa


Cantik planet ni.

Cantik?

Apa definisi cantik?

Cantik sebab ia warna jingga.

Cantik sebab ada bintik-bintik hitam.

Cantik sebab bentuknya bujur.

Sudah. Nyatanya setiap orang ada definisi cantiknya sendiri.

Tapi. Apakah yang cantik pada pandangan manusia itu cantik pada pandanganNYA?

Apakah pula definisi cantik pada pandanganNYA?

DIA suka yang cantik-cantik.

Apa maksud dia?

Cantik rupa?

Cantik rasa?

Atau cantik jiwa?


[Lagu latar: Altimet feat. Adeep Fab Cats - Chantek]

Allah!

Semalam sesi pertama membaca skrip Asylum. Tak semua pelakon dan krew hadir.
Walaupun sakit kepala, aku gigihkan jua untuk hadir. Hendak saja balik dan tidur atas katil.
Tetapi teater ini salah satu tanggungjawab aku.

Aku sudah biasa dengan skrip Asylum ni. Dah banyak kali berlakon dalam Asylum.
Pernah membawa watak Penonton, Mat Merah dan kali ini aku diberi cabaran membawa watak Y.B yang pada aku, tidak sesukar watak Baby atau Pak Cik pada pandangan aku.

Untuk bahagian Y.B, dialog aku dengan pelakon lain tidak banyak, hanya dengan Baby dan sedikit bahagian dengan Mat Merah dan Mat Hijau serta Polis. Tetapi interaksi dengan semua pelakon malah penonton sebenar adalah banyak.

Kalau ikut jadual, latihan aku hanya pada petang Rabu dan hari Jumaat, petang dan malam.
Petang di bawah arahan Dr Shark. Malam pula di bawah arahan Aini.
Latihan beramai-ramai pula akan diadakan pada hujung minggu. Kemungkinan besar hari Sabtu.

Berbalik kepada tajuk entri ni. Klik link di bawah:

http://www.shortandsweetmalaysia.org/main.php?section=theatre&page=theatre_index

Aku tidak turut serta dalam festival tersebut. Tapi apa yang menarik perhatian aku adalah teater yang telah memenangi festival itu.


Allah!
Writer: Adiwijaya
Director: Megat Sharizal
Cast: Abdul Qahar Aqilah, Shah Redza Minhat
Synopsis: Two men meet on a ledge of a tall building in a moral struggle of non-epic proportions.


Skrip Bahasa Melayu (BM) yang menang. Dan satu-satunya skrip BM yang bertanding dalam festival itu. Lebih tertarik lagi apabila tajuknya "Allah!" dan salah seorang pelakonnya adalah Shah Redza Minhat, aktivis teater yang telah berjaya menang dengan skripnya sendiri dalam Festival Teater KL suatu masa dahulu dengan karyanya "Tat Nenas".

Aku menjadi lebih tertarik apabila teringat bahawa skrip yang telah menang 1st Kakiscipt Playwriting Competition yang lalu adalah skrip BM, berjudul "Politikus Melayu". Lebih tertarik lagi, yang menang 24 Hours Theatre Project awal tahun lalu juga adalah skrip BM.

Nah, nampak tak bahawa skrip BM tidak kurang hebatnya di mata para juri profesional?



Aku harap aku dapat baca skrip Allah! ni.



ps: Memandangkan tarikh akhir hantar skrip 10 minit sudah dianjakkan ke 30 September ni, maka aku bercadang hendak tulis satu lagi skrip yang lebih elok dari segi temanya. Skrip BILIK MANDI, idea muncul sewaktu aku sedang terlantar keletihan pagi tadi di atas katil. Sakit-sakit pun idea teater boleh datang.

Aku Sakit

Memang sejak azali lagi, bila awal Ramadan, kemudian ada kelas atau makmal dari pagi sampai petang, akhirnya aku akan jatuh sakit. Pening kepala yang amat sangat. Tidak dapat makan juadah berbuka puasa. Kalau makan, akhirnya akan muntah.

Dan itu apa yang telah berlaku semalam.

Bila sudah sakit kepala. Aku abaikan semuanya. Yang penting pada fikiran aku. Aku perlu berehat. Tidak perlu fikir akan perkara lain.

Entah kenapa aku selalu sakit kepala.
Risau saja aku ada penyakit.
Nak pergi jumpa doktor tapi hospital gomen bertahun baru dapat jumpa.
Nak pergi jumpa doktor hospital swasta tapi ambil darah saja sudah berapa ratus ringgit.
Nak tak nak tunggu masa hendak lapor kerja sajalah nanti...

Hmmmmmm...

Ahad, Ogos 23, 2009

IZALAN N.N.

Alhamdulillah sudah dua hari kita dapat menunaikan ibadah puasa.
Kalau kita sedar, masuk saja bulan Ramadan, pasti ada atmosfera puasa itu.
Bagi aku, aku dapat merasai atmosfera di bulan Ramadan ini suci.
Dengan adanya atmosfera ini, segala nafsu dapat dikawal.

Latihan teater Asylum akan bermula pada hari esok, hari ketiga Ramadan.

Watak-watak Asylum:

Y.B (Usop)
Atendan (Atul)
Baby (Acab)
Pak Cik (Anwar)
Mat Merah (Daus)
Mat Hijau (Nik)
Polis (Sultan)
Pengedar (Fikri)
Penagih (Azizi)
Fura Panda (Tasha)
Wartawan (Hisyam)
Uncle Sam (Timmy)
PBB/Hantu 1, 2, 3 (Hisyam, Fikri, Ash)
Penonton 1 (Half)
Penonton 2 (Cairell)

Tuan direktor, sila bantai gua habis-habisan.
Gua tak kisah asalkan gua dapat bawa watak YB ni.

Sejak dari Sasau dan Asylum, gua warna merah.
Sejak beberapa hari lepas, gua warna kuning.
Untuk YB, gua masukkan warna kuning okay ke?
(Ada respons audiens yang tonton show IW, aku bawa 'budaya kuning'!)
(Ada respons audiens satu lagi, 'mendalam'!)
(Ada respons audiens satu lagi, 'itu perli politik di Perak ke?')
Tak kisahlah apa kau orang fikir tu, semuanya betul.

Tiket bas balik raya nanti yang aku beli pun berwarna kuning.
Baju yang aku tengah pakai sekarang pun berwarna kuning.

Aku tak suka sangat warna kuning ni.
Entah kenapa Dr HM Tuah Iskandar selera pakai coat warna kuning menyerlah.


Tadi. Masa berjalan hendak ke bilik.
Teringat ada sebuah teater eksperimen TOILET.
Jadi apa kata aku buat eksperimen BATHROOM?
Mandi dengan air, darah, susu atau hanya udara?


Sekian.
Pertama kali oleh: IZALAN N.N.

Sabtu, Ogos 22, 2009

Bulan Asylum

Aku lupa nak ucap pada semua




SELAMAT MENUNAIKAN IBADAH PUASA

Semoga ibadah kita semua sepanjang bulan ini diberkati dan diredhai olehNYA





-Khas dari Tiga Es-





ps: Bulan Ramadan ni adalah bulan latihan teater ASYLUM!

Jumaat, Ogos 21, 2009

10

10
Angka. Nombor.

Selalunya aku cuba mendalami maksud angka sewaktu aku berkarya.
Selain itu aku juga mendalami maksud warna.
Contohnya dalam karya TIANG aku. Yang aku telah gabungkan bersama WA WARNA tempoh hari hanyalah tulisan kasar. Ditulis sewaktu masa dahulu.
TIANG mudah tapi abstrak. TIANG tentang tiang agama yang lima itu, yang termasuk dalam rukun yang lima itu.
Walaupun ada tafsiran lain tentang TIANG itu dengan meletakkan satu perkataan di hadapan perkataan TIANG, misalnya, main TIANG. Tapi bukan itu yang aku hendak masukkan.
Kalau dilihat, ada TIANG ada LIMA. RUKUN ada LIMA. LIMA nombor ganjil. SATU nombor ganjil. Aku selalu ingin mencari makna nombor-nombor ganjil dalam kehidupan.

"Ada apa dengan nombor SATU?" Ini salah satu baris yang aku masukkan dalam TIANG.

Jawapan aku: "SATU itu YANG ESA."

"Kenapa dia kata merdeka pukul SATU pagi?" Satu lagi baris.

Jawapan aku: "Kita 'MERDEKA' bila kita sudah 'jumpa' YANG SATU itu."

Dan banyak lagi baris yang boleh diperjelaskan.
Sebab apa yang menarik dalam seni ia adalah cukup subjektif dan halus pada pandangan aku.
Aku juga percaya bahawa apa sahaja yang kita tulis, jika kita selongkar hingga ke lapisan yang terdalam, pasti kita akan jumpa SESUATU, iaitu SA SUATU, iaitu SATU, iaitu YANG SATU, iaitu YANG ESA.

Selesai mukadimah.



Sepuluh.
10.
Teater 10 Minit: Piala Mad Haris sudah pun selesai.

Teater yang dipertandingkan:

Berapa?
Karya: SEFA
Arahan: SEFA
Lakonan: Farah, Mira, Ammar, Fikri

Show pertama tidak dapat aku tengok dari ruang penonton kerana bersedia untuk show selepasnya. Dari belakang pentas, aku dapat mendengar suara Fikri sebagai Robot. Ada nama robot tu tapi tak ingat apa.
Dalam masa yang sama juga aku masih menghafal skrip di dalam tandas.
Show ini menampilkan semua pelakon baru.
Tema show ini adalah perkauman.


Jebat: Versi Tu Tu
Karya: Dr Shark
Arahan: Fauzan & Akin.M
Lakonan: Fauzan & Akin.M

Aku masuk pentas dengan tak hafal skrip sepenuhnya. Dan oleh sebab itu aku melihat skrip kecil yang aku telah siap buat. Kesuntukan masa tidak patut menjadi alasan. Namun dah nama manusia tu pun jenis pelupa. Sedangkan ada pelakon yang skrip pendek-pendek pun boleh lupa line. Malah, sedangkan ada saja pelakon yang sudah lama berlatih selama sebulan tapi pada waktu show pun boleh terlupa line.
Masa yang dicatat adalah 19 minit 19 saat. Aku pun tidak pasti sama ada aku dan Fauzan berlakon secara lembab ataupun memang skrip ini panjang sangat. Kalau ikutkan, aku banyak terpotong line. Entahlah. Skrip Jebat Tu Tu ini aku kira sebagai monolog duo.


Bus Stop
Karya: Dr Shark & SEFA
Arahan: Kolaborasi pelakon
Lakonan: Acab, Din, Sultan, Anwar

Bus Stop adalah sebuah teater sebab-akibat. Konsepnya sama seperti karya Dr Shark sebelum ini iaitu Qum! & The Awaited & Hmm..Begitu Panasnya!. Cuma untuk Bus Stop, ideanya lebih dijelaskan melalui judul, cerita dan makna. Bus Stop membawa kepada makna perhentian manusia dari dunia yang fana', iaitu sebuah alam atau kawasan antara dunia dan Akhirat. Pelbagai golongan manusia yang baru sampai di 'bus stop' ini ditemukan (dihimpunkan) sebelum dibawa ke 'destinasi' yang sesuai dengannya. Tetapi, manusia ini tetap masih berbicara tentang hal ehwal dunia.
Bus Stop menampilkan pelakon-pelakon lama dan berpengalaman. Semuanya okay dan berjalan lancar sehinggalah Anwar masuk ....... HAHA!


Bab i
Karya: Akin.M
Arahan: Akin.M
Lakonan: Adam, Hisyam, Syahira, Azizi

Aku hanya dapat tengok budak-budak baru berlatih show ni dua kali saja dek mengutamakan show IW dalam masa yang sama. Hmm.. mungkin aku boleh komen dengan lebih panjang lebar lagi tentang show ni.
Adam. Hisyam. Aku rasa aku dah tersalah bagi watak kat dua orang ni. Haha. Watak yang dipegang oleh Hisyam patut dipegang oleh Adam dan vice versa. Kalau tidak, aku rasa ianya lebih berkesan kerana aku pernah tengok Adam menggantikan tempat Hisyam waktu Hisyam tidak hadir suatu petang dulu dan (kenapa aku tak tukar awal-awal masa tu?) Mesti kepala hotak dah serabut. Ada ralat nampaknya.
Syira. Sebagai first-timer (dalam TTS), aku rasa keputusan juri iaitu Che Mad Haris menghadiahkannya sebagai Pelakon Harapan Wanita adalah tepat. Cuma lontaran vokalnya perlu dikawal sepanjang show. Ada satu babak dia sebagai Jurujual Langsung, vokalnya perlahan, ibarat bunyi nyamuk yang terbang. Mungkin sebab dia memang bawa watak Nyamuk.
Azizi. Entah aku pun tak sedar kenapa aku boleh jadikan watak VIRUS sebagai pondan. Tapi Azizi pun tidak kurang juga hebatnya. Bersaing hebat dengan (watak) pondan-pondan daripada show 10 minit yang lain.
Masa show yang dicatat adalah 12 minit 30 saat. Aku rasa kalau ditolak satu masa sewaktu followspot tidak pergi ke tengah pentas sewaktu perpindahan babak, masa yang dicatat boleh jadi 12 minit, ngam-ngam dengan margin masa skrip 10 minit tersebut. Logik juga. Sewaktu staged reading, 10 minit. Jadinya, bila dah distagekan, jadilah 12 minit.
Asalnya, aku hendak buat cerita ni bukan dalam kelas, tapi kat tempah sampah-sarap. Tapi macam tinggi sangat lah pulak expectation aku ni...


Selesai keempat-empat show 10 minit. Juri pergi kira markah dan tentukan pemenang-pemenang. Sementara itu, show WA WARNA dipentaskan.

Keputusan dan laporan penuh ada di blog TTS. [Klik sini]


Habis. Balik bilik duduk rehat atas kerusi depan komputer riba. Muhasabah diri sekejap. Terus rebahkan tubuh dan jiwa di atas katil. Bangun pagi esoknya pergi makmal sukat jisim hasil eksperimen yang sudah dikeringkan semalaman.


Sepuluh.
10.
Minit.
Yang penuh makna.

Khamis, Ogos 20, 2009

Putih-Biru-Kuning-Merah

Kalau aku ada di KL sekarang, aku pasti akan singgah Stor Teater paling kerap bulan Ogos ini.
Tapi tidak guna jika manusia asyik meletakkan perkataan 'kalau' pada situasi atau perbuatan mereka.

Realitinya aku harus habiskan kurang daripada setahun saja lagi di kampus UTP ini.
Dan jika aku tidak berada di KL singgah sana seni menonton teater, jadi aku boleh saja berada di Tronoh, singgah sana seni menonton teater malah berteater sekaligus.

Tambahan, teater di sana berbayar.
Teater di sini tidak berbayar. (Pihak penganjur saja yang bayar kami. Hehe.)

Rabu malam Khamis tadi. Tarikh 19 Ogos 2009. Beberapa hari sebelum awal Ramadan.
Teater pendek 15 minit berjudul "WA WARNA" selesai.

Secara keseluruhannya bolehlah... (Bolehlah - relatif dengan persediaan yang amat suntuk)
Sekurang-kurangnya tiada audiens yang baling telur busuk. (Mungkin sebab tiada telur busuk disediakan.)

Tetapi energi kami jatuh di pertengahan. Itu yang menyebabkan kami berasa sedikit kekurangan.
Walaupun energi yang tidak stabil itu merupakan masalah biasa persembahan teater, tetapi teater pendek ini tidaklah lama mana pun. Hanya 15 minit. Ya, memang betul-betul dalam lingkungan 15 minit berdasarkan rakaman video yang diambil. Nasib baik. Sedang elok.

Apa pun, syukur sudah selesai satu show. Risau juga sebab show WA WARNA ini, kita berurusan dengan pihak penganjur, jadi kena berikan sesuatu yang berbaloi dengan bayaran yang mereka berikan iaitu RM 200.
Bayaran mengikut standard TTS ni. Kalau teater penuh (1 jam = RM 500, 45 minit = RM 400). Kalau teater pendek pula (15 - 30 minit = RM 200). Kami pun perlukan wang juga. Kalau tidak mana kami nak cari duit mahu beli props, kostum dan bagi makan kat budak-budak?

Berbalik kepada show WA WARNA. Aku rasa kurang selesa kalau aku tulis respon audiens di sini. Kalau nak tahu, tanya audiens yang hadir menonton kerana lain orang lain pandangan dan pendapatnya.

WA WARNA ada dua bahagian. Bahagian 1 adalah tulisan aku. Bahagian 2 adalah tulisan SEFA.

Bahagian 1 itu tentang keterbalikan. Kesongsangan. Putar belit. Satu misal ditunjukkan. Lelaki nak jadi perempuan. Perempuan nak jadi lelaki. Semula Jadi menjadi Jadi Semula. (Aih, penerangan maksud bahagian ni pun dah macam dalam skrip!).
Tak tahulah kalau orang tak faham. Tapi banyak juga aku cuba sampaikan dalam teks. Kalau tak sampai juga maknanya aku belum berjaya lah tu. Boleh perbaiki lagi tulisan aku.

Bahagian 2 itu pula tentang perebutan hak. Pada pandangan aku, warna-warna yang bukan warna kuning itu merebut hendakkan kain kuning itu. Masing-masing hendak mempertahankan yang kain kuning itu hak mereka. Padahal, mereka bukannya berwarna kuning. Jadi, maksudnya orang-orang yang tak layak itu sibuk-sibuk nak katakan diri masing-masing yang mereka layak memegang jawatan tertinggi (ini misalan sahaja). Hakikatnya, mereka memang tidak layak sama sekali. Dan, tanpa orang ramai sedar, ada saja pihak lain yang inginkan 'kain kuning' tersebut dan bermain talam dua muka, hipokrit dan akhirnya berjaya mendapatkan kain kuning tersebut. Ini digambarkan apabila Kak Lawnun (lakonan Aini) berpura-pura sebagai seorang yang baik di hadapan warna-warna tetapi akhirnya dia juga inginkan kain kuning tersebut. Dan akhirnya, orang yang hipokrit seperti itu yang berjaya mendapatkan kain kuning itu. Ini boleh jadi gambaran kepada realiti yang berlaku.

Banyak lagi yang boleh diterjemahkan. Lebih-lebih lagi tentang warna-warna tersebut: Putih, Biru, Kuning, Merah.

Terima kasih pada pihak penganjur kerana menghias pentas dengan belon-belon berbentuk 'hati' walaupun ia tidak berbentuk seperti hati manusia, senang kata, berbentuk 'LOVE' berwarna Putih, Biru, Kuning, Merah - warna-warna pada bendera Malaysia.

Dan dalam masa yang sama, layarilah laman web ini: 15malaysia.com
Ada banyak filem-filem pendek yang menarik!

SELAMAT SAMBUT BULAN MERDEKA KE-52!



ps: Terima kasih pada semua yang terlibat menjayakan show WA WARNA ini. Terima kasih juga pada semua yang sempat meluangkan masa untuk hadir pada malam tersebut.

Rabu, Ogos 19, 2009

Poster-poster (Yang Buat Aku Serabut)



Pagi-pagi lagi dah dapat komplen jadi pagi-pagi itu juga aku terus buka perisian yang memberatkan komputer riba aku. Nasib juga aku bangun pagi tu.

Siap saja poster Wa Warna, aku sambung tidur. Bangun tidur terus menghadap komputer dan siapkan poster Teater 10 minit pula. Gambar latar poster-poster ni aku malas nak fikir dan buat. Jadi aku ambil saja gambar palet warna dari internet. Tengok link tu. Untuk poster 10 minit pula aku ambil stok gambar aku. Itu gambar dinding pintu masuk Panggung Sari Istana Budaya tingkat 3, kalau tidak silap, tingkat yang mana pintu masuk penonton yang beli tiket paling murah untuk satu-satu show.

Fuh, mudah-mudahan semua berjalan lancar.

Selasa, Ogos 18, 2009

Sesi Latihan Kelam & Kabut: Wa Warna

Serabut dengan shows.

Masalah aku bila aku dah berkarya, aku takut audiens tak faham. Lebih menggerunkan lagi, aku takut pelakon sendiri pun tak faham.

Bila kita nak buat show dan berkarya sebab atas jemputan/undangan daripada pihak lain, kita kena ikut kehendak pengundang tersebut. Memang dari dulu lagi TTS tidak tolak undangan show daripada pihak IW (Independence Week). Walaupun sejak Sampah Oh Sampah (2006), ada orang kata dia nak boikot buat show untuk IW. Tapi sampai 2009 ini, tiap tahun undangan tersebut diterima juga. Situasi dahulu berbeza. Undangan IW tahun 2005 dan 2006 adalah untuk buat satu show teater penuh, satu malam. Jadi satu malam itu memang TTS yang punya. Namun sejak 2007 hingga kini, TTS hanya diberikan slot 15-20 minit sebagai salah satu persembahan sama ada pada malam pembukaan atau malam apresiasi. Itu tidak menjadi masalah.

Yang menjadi masalah adalah apabila produser (pihak penganjur) tidak begitu mengerti tentang artis (pengkarya dan pelakon teater) dari segi process flow pementasan teater. Nak kena ikut tema, nak kena pelakon banyak gerak-gerak atas pentas dan seumpamanya. Sebagai artis, kami menghormati kehendak produser. Jadi kami buat saja apa yang boleh mengikut daya dan kemampuan kami. Maklumlah, kami dibayar. Nasib baik juga dibayar, kalau tidak dibayar sekalipun kami tetap akan berikan sebuah show yang terbaik, cuma tidak sebaik show yang dibayarlah barangkali. Dari segi kualiti lah...

(Dan apabila ada pihak penganjur yang berkali-kali memastikan, "Betul-betul ya tajuk teater ni? Wa Warna? Bukan penulis ni gagap ya? Bukan ya?")

Kadang-kadang show simple macam Wa Warna ni boleh jadi lebih susah nak terjemahkan atas pentas dengan baik. Pertama, ia skrip baru dan sangat-sangat baru. Kedua, ia gabungan dua skrip yang berbeza daripada dua orang yang berbeza. Jadi takut-takut wujud ketidaksinambungan cerita. Ketiga, pemain perlu bermain dengan sangat baik kerana show simple ini hanya mengharapkan lakonan pemain semata-mata tanpa ada bantuan teknikal. Audiens mungkin akan expect teater mesti ada muzik-muzik, gerak tari, bunyi audio dan seumpamanya. Audiens mungkin tidak pernah atau tidak begitu gemar menonton teater yang mana pelakonnya hanya berdiri di satu tempat dan hanya bergerak di sekitar tempatnya saja. Audiens mungkin tidak expect teater tersebut akan jadi tidak logik, dan tidak mudah untuk difahami.

Masalahnya adalah tahap pemahaman pengkarya dan penonton. Pengkarya perlu memahami tahap pemahaman penonton. Penonton perlu cuba memahami apa yang cuba disampaikan oleh pengkarya, bukan setakat menonton semata-mata, bukan setakat berhibur semata-mata. Pengkarya juga perlu cuba menyampaikan apa yang ingin disampaikan kepada penonton, bukan setakat syok sendiri, bukan setakat nak dapatkan bayaran lepas show, bukan setakat nak dapat sijil. Jadi, sebagai pengkarya, pastikan isi teater itu sampai secara berkesan melalui lakonan yang bagus. Sebagai penonton, pastikan minda anda dibuka seluas yang mungkin supaya dapat menangkap maksud tersirat dan tersurat.

Semalam petang baru mula latihan Wa Warna secara betul-betul. Dengan skrip tambahan lagi. SEFA kata dia nak spontan saja. Tapi kalau dia seorang saja tak apa lah. Ada pelakon lain juga yang tak biasa berlakon spontan. Apa pun, pendek kata semalam baru latihan pertama. Malamnya terus pihak penganjur hendak tengok kami rehearse. Kelam kabut sedikit aku. Kasihan budak-budak baru 10 minit aku. Datang tapi tak training apa-apa. Huhu. Lepas ni, pastikan kalau ada dua show yang dekat-dekat tarikhnya, jangan benarkan orang yang sama terlibat untuk kedua-duanya. Kasihan orang tu. Dan orang lain.

Namun, prioriti pada IW. Sebab sudah deal dengan pihak IW. Sudah deal untuk dapat bayaran.
Selepas itu barulah 10 minit. Sebab ini show dalaman TTS saja. Show waktu gathering TTS saja. Tujuan show adalah untuk pastikan skrip yang telah ditulis itu dalam durasi 10 minit (tambah tolak 2 minit) dan seterusnya dihantar menyertai pertandingan 'Kakiscript' yang kedua, anjuran Kakiseni.com.my sebelum 1 September 2009. Satu lagi tujuan adalah sudah pasti untuk beri peluang pada pelakon baru untuk berlakon bersama-sama dengan pelakon senior.

Okay. Cukup. Ada orang dah komplen blog TTS tak update. Switch account.

Isnin, Ogos 17, 2009

Ex

Sepanjang sejarah hidup 3S ni, aku jarang berkongsi cerita dan hal peribadi seperti kisah cinta, skandal, gosip, kisah duka lara. Ada tapi jarang-jarang. Kebanyakannya berkisar tentang kisah pentas, tentang teater. Memang membosankan. Maklumlah rakyat Malaysia tidak begitu menghargai teater. Kalau blog pasal artis seperti penyanyi, pelakon filem atau drama tu ya lah. Blog aku juga seperti tuannya. Blog bosan, tuannya juga bosan. Tapi tak dinafikan, blog ini ada audiensnya tersendiri. Sekurang-kurangnya aku ekpreskan idea dan fikiran serta perasaan aku melalui perkataan dalam blog ini. Sebab aku memang kurang bercakap di dunia sebenar. Jadi, aku ekpreskan kata-kata di dalam ni. Dan blog aku ni pun bukannya hidup segan mati tak mahu. Selalu jugalah dikemaskini.

Okaylah. Kali ni aku berkongsi sedikit cerita hidup aku. Jarang aku buat macam ni.

Petang Ahad tadi, aku dapat panggilan daripada bekas kekasih aku, atau lebih senang disebut sebagai ex. Bagi yang tak tahu, dia adalah kekasih aku yang pertama, yang mana aku betul-betul serius bercinta. Pendek kata, dia cinta pertama aku. Dan, nama dia Nanie. Aku rasa aku ada sebut nama ni dalam blog lama aku. Kalau tidak silap, masih boleh dilayari.

Jadi aku pun berbual dalam telefon dengannya tentang keadaan diri masing-masing. Sedang buat apa? Di mana? Pendek kata, bertanya khabar lah. Walaupun aku rasa sedikit ganjal dan ganjil, tetapi aku buat-buat biasa saja. Dan aku dapat dengar suaranya seperti takut-takut, segan-segan, pendek kata, nervous.

Perbualan di telefon tersebut tidak lama. Habis saja, aku terus sambung berSMS dengan jururawat peribadi aku. Aku tidak terus beritahu jururawat aku. Nanti dia fikir yang bukan-bukan. Dia pernah tanya pada aku kalau ex aku datang balik kepada aku, adakah aku akan pergi kembali kepadanya dan tinggalkan dia? Sudah pasti aku jawab TIDAK. Tapi aku akan beritahu juga padanya lepas ni. Cuma bukan sekarang. Perempuan ni kena tunggu masa yang sesuai untuk beritahu sesuatu yang boleh meng-trigger emosinya.

Terkejut juga aku. Ex aku boleh dapat nombor telefon aku yang terkini.

Walaupun begitu, aku tidak memikirkannya sangat. Buat apa aku nak fikirkan seseorang yang sudah mengecewakan aku dulu sehingga aku jadi separuh gila? Lagipun aku sudah ada misi. Sesuai dengan sifat aku yang setia, sudah pasti aku akan setia pada yang satu.

Bila sebut tentang cinta, sudah pasti terdapat pelbagai pandangan dan pendapat. Seperti dalam teater, aku anggap cinta juga punya banyak interpretasi dan setiap orang punya satu atau lebih yang berlainan.

Kepada diri aku sendiri, cepat-cepatlah berkahwin.

Sabtu, Ogos 15, 2009

Sesi 1 Latihan "Bab i"

Khamis lepas gua sudah selesai casting watak untuk teater 10 minit, "Bab i".
Jumaatnya pula sesi 1 latihan "Bab i".
Secara kasar, script reading adalah selama lebih kurang 10 minit. Sedang elok saja.
Jadi bila sudah pentaskan nanti, tambah tolak kurang lebih jadilah 12 minit paling maksimum.

Gua sudah dapat bayangan keseluruhan pementasan nanti.
"Bab i" gua ni memang eskperimen. Jadi ada yang mungkin jadi, ada yang tidak jadi hasilnya.
Tunggu dan lihat sajalah nanti.
Bahan-bahan eskperimen pun gua peroleh daripada pengalaman gua sepanjang di UTP dan di KL.
Gua rasa gua nak pergi jelajah tempat lain dan dapatkan pengalaman di sana.

Sesi 1 "Bab i" berjalan lancar. Semua budak-budak baru bersemangat hendak berteater, terutamanya si Adam. Selalu saja dia bertanya "Boleh ke saya buat tadi? Macam tak kena saja..".
Ya, gua akui memang banyak yang perlu dilatih pada budak-budak baru.
Sesi pertama ni diaorang baru nak kenal-kenal apa itu blocking dalam teater dan bagaimana nak lakukannya.
Belajar teater ni kena praktikal baru jadi. Setakat belajar teori saja tidak nampak bagaimana blocking itu dilakukan.
Dari segi lakonan, banyak lagi yang perlu diasah dan dilatih dari satu baris ke satu baris.
Gua cuma berharap, masa yang suntuk ni gua dapat gunakan sebaiknya untuk melatih mereka sampailah waktu show nanti.
Kalau ikutkan, ada 4 hari saja lagi. Show 10 minit ni hari Jumaat petang, 21 Ogos 2009. Malam 1 Ramadan tu.
Jadi 4 hari boleh jadi 8 sesi, kalau buat petang dan malam. Tapi, gua pun ada latihan show WA WARNA untuk IW-52. Sempat ke tidak ni? 19 Ogos ni show IW, Isnin ni baru nak mula latihan. Buat seminimal mungkinlah jawabnya. Nasib baik hanya 15 minit.

Oh ya, seorang pelakon "Bab i" gua iaitu Nik Nadia yang pegang watak BUDAK 3 tarik diri. Katanya dia tidak sesuai bawa watak tersebut dan rasanya lelaki lebih sesuai bawa watak tu. (Walaupun aku rasa direktor lebih tahu seseorang pelakon tu sesuai ke tak dengan watak yang dibawa. Kalau tak sesuai, buat apa aku pilih kan. Haha.)
Jadi, gua pun cari pengganti yang memang sesuai sangatlah, Azizi. Sebab BUDAK 3 tu bawa watak V.I.R.U.S, jantina lelaki dan perempuan.

Untuk show WA WARNA juga ada pelakon yang tarik diri. Dua orang sekali. Oleh sebab kesuntukan masa yang amat sangat, gua dan SEFA terpaksa jadi pengganti. Jadi untuk show IW nanti, yang akan berlakon adalah Atol, Azizi, Akin dan SEFA. 3A + 1 S.
Oh ya, skrip WA WARNA gua dah gabungkan dengan skrip TIANG gua. Skrip TIANG tu gua dah lama tulis tentang 'Rukun'. Jadi, tunggu dan lihat saja macam mana jadinya nanti.

Dalam masa yang sama, gua kena hafal dan latih berlakon dalam skrip 10 minit Dr Shark iaitu "Jebat: Versi Tu Tu".
Skrip ni kalau baca lapis keduanya, tentang Sultan menaruh hati pada Tuah, tapi Tuah memilih Jebat. Cerita gay ni. Sultan, Jebat dan Tuah adalah gay. Yeah.

Jadi, dalam masa 4 hari ini, gua sedikit sibuk dengan show.
Kalau sentuh bab pelajaran pula, gua sibuk dengan persediaan FYP dan FYDP. Nasib juga subjek lain tidak ada tugasan lagi.

Beginilah hidup seorang pelajar. Kena kerja keras sedikit. Kena kurangkan beri alasan pada orang lain dan diri sendiri. Kalau sudah tahu sibuk dan banyak kerja, tak payah gatal-gatal nak buang masa buat benda tak berfaedah. Berteater itu berfaedah, asalkan ikut batasan agama lah.

Lepas habis semua show minggu hadapan. Masuk saja bulan Ramadan, latihan ASYLUM pun akan bermula secara rasminya. Aduh, gua kena jadi Y.B la pulak. Direktor suruh gua set karaktor Y.B tu sebagai "loveable, huggable, cute dan.. jahat!".

Oleh sebab gua ada matlamat masa panjang, lepas habis belajar, dah kerja, dah kahwin sekalipun, gua nak teruskan berteater. Tak kira di mana. Gua cuma harap, bini gua nanti akan sokong matlamat gua. Haha.

Setakat di sini saja buat kali ini.

Jumaat, Ogos 14, 2009

Kualiti vs. Kuantiti

Minggu ni memang banyak show, terlalu banyak lebih-lebih lagi di KL.
Mungkin bulan ini bulan merdeka, mungkin juga semua nak buat sebelum Ramadan bermula.

TTS di sini juga apa kurangnya.
Ada show 10 minit. Ada 4 skrip.

"Jebat: The Other Version" oleh Dr Shark. (Walaupun skrip ni ada satu line Jebat ja)
"Berapa?" oleh SEFA.
"Bus Stop" oleh SEFA, idea oleh Dr Shark.
"Bab i" oleh aku.

Ada juga show untuk IW-52.
Skrip "Wa-Warna" oleh SEFA.

Ada mime show untuk majlis makan malam konvokesyen ke-9.

Dan dalam masa yang sama, ada latihan awal Asylum. Tapi prioriti perlu diberikan pada show paling dekat ni.

Tapi, macam yang aku pernah katakan sebelum ini, aku akan utamakan pelajaran aku terlebih dahulu. Aku akan cuba yang terbaik dalam teater, cuma jangan mengharap aku akan berlakon dengan mantap sebab aku bukan pelakon hebat. Nak natural bukan main payah. Masih ada constraint dalam diri. Masih ada insecurity. Tapi aku akan cuba sebaik mungkin. Walaupun payah dan sukar.

Apa yang aku khuatir adalah kualiti show.
Lebih-lebih lagi apabila tarikh show amat dekat, dan yang in charge show tersebut orang yang sama (macam tak ada orang lain kan).

Apa pun aku harapkan yang terbaik walaupun kualiti masih belum sampai tahap piawai.


Pelajaran aku pula sudah tidak ada masalah. Masalah tempoh hari sudah diselesaikan. Syukur Alhamdulillah. Sudah pasti ini menjadi pengajaran.
Projek tahun akhir aku menarik dan sesuai dengan minat dan citarasa aku.

"Economic Evaluation of CO2 Hydrate-based Technology: Separation Processes"

Jadi perlu buat terlebih dahulu rekabentuk konsep proses tersebut menggunakan perisian kegemaran aku, HYSYS dan barulah boleh buat analisa ekonomi.
Oh ya, supervisor projek aku ni Dr yang baru balik dari buat Ph.D dan aku selesa dengan caranya. Semoga aku gembira dengan projek tahun akhir aku ini!

Mati Mati

Tiap hari, malah tiap saat, pasti akan ada kematian.

Sejak kebelakangan ni banyak juga artis-artis yang telah dijemput oleh Tuhan.
Sudah tiba ajal mereka, sudah tertulis.

Dalam masa yang sama juga, wabak babi mengambil nyawa seorang demi seorang.
Sudah tiba ajal mereka, sudah tertulis.

Bila sebut pasal mati, reaksi manusia boleh jadi dua yang utama:
Takut mati. Berani mati.

Kadangkala manusia rasa yakin yang dia akan hidup lagi pada esok hari.
Jadi jika dia sedar dia ada buat dosa, dia tahu dia perlu bertaubat, dia tangguhkannya.

Jadi tanya ini pada diri kau orang semua:
Apa yang buat kau rasa yakin yang kau akan hidup pada esok hari?

Ini sekadar peringatan kepada manusia semua.

Biarlah blog ini tidak hangat dan tidak dikunjungi ramai.
Tetapi apa yang aku tulis sekurang-kurangnya bukanlah sesuatu yang boleh difikirkan.
Lagipun aku memang dah privatekan blog aku ni.
Untuk pembaca yang setia saja, dan pembaca yang mampu faham tulisan-tulisan seni aku saja.
Sebab aku faham, takkanlah aku nak expect budak engineer atau IT di sini dapat faham tulisan seni, kan?

Sekian buat kali ini.

Khamis, Ogos 13, 2009

Piggy?

Wo, hari ini baru aku boleh hela nafas lega.

Sejak aku mendapat khabaran buruk tempoh hari, hidup aku dihantui dengan bayang-bayang aku sendiri. Apa saja yang aku buat, di mana saja aku berada, bayang aku mengejar dan mengganggu fikiran aku, meresahkan hati dan sanubari.

Serabut, memang serabut.

Aku sudah dapat 4 orang pelakon bagi skrip "Bab I" aku. Semuanya budak baru. Dan semuanya perlu dilatih selama kurang daripada seminggu.

CIKGU - Adam

BUDAK 1 (B.A.B.I) - Hisyam

BUDAK 2 (N.Y.A.M.U.K) - Syahira

BUDAK 3 (V.I.R.U.S) - Nik Nadia


Aku terfikir untuk tulis skrip ni sebab wabak selesema babi yang melanda.
Dengan jumlah kematian yang meningkat.
Perhatian harus diberikan kepada frasa yang aku letakkan di awal dan di akhir, "Tidak diciptakan sesuatu kalau tidak ada maksud."
Itu intipatinya.
Bab I ini adalah salah satu eksperimen aku.
Siapa kata sains saja ada eksperimen? Seni pun ada eksperimen.
Kalau dapat, aku mahu penonton menangkap maksud yang aku cuba sampaikan:

Sifat-sifat pada babi yang harus dihindarkan daripada manusia 'mencontohinya'.


Sekian untuk kali ini.

Jumaat, Ogos 07, 2009

C.P.R: Cumbu Perempuan Rosak

Video seorang lelaki melakukan CPR kepada seorang lelaki.

Perempuan: Tengok tu. Zaman sekarang ni homoseksual seperti sudah menjadi perkara biasa.

Lelaki: Perempuan pun apa kurangnya. Tengok tu.

Video seorang perempuan melakukan CPR kepada seorang perempuan.

Perempuan: Habis tu, kita sekarang macam mana?

Lelaki: Kita normal.

Lelaki dan perempuan bercumbu.



Persoalan: Mana yang betul? Mana yang salah?





Klu: Medium interpretasi

Buka Pintu Pagar: Sedia, Lari!

Lif, Bab I dan Nasi Lemak 10sen
Sedia untuk dipentaskan.
Walaupun mood masih kosong sejak menerima khabar buruk tempoh hari.
Tetapi aku akan tetap teruskan.

Aku dan SEFA akan menjadi mentor utama untuk Akademi TTS.
Akademi TTS adalah nama khas yang diberikan untuk kelas teater bagi budak-budak baru.
Latihan asas akan diberikan.
Kelas dilakukan secara praktikal dan teori disampaikan sewaktu latihan praktikal tersebut.
Dan dalam masa lebih kurang seminggu, budak-budak baru akan berlakon dalam teater 10 minit.

Objektif utama adalah untuk memberikan peluang kepada budak-budak baru yang berminat untuk membuktikan yang mereka betul-betul berminat.
Lagipun mereka datang sebab nak jadi pelakon teater, jadi kita bagi mereka berlakon dalam show teater 10 minit. Show Asylum pun hampir semua watak sudah diisi.

Sebelum ini, mereka yang datang audition ramai yang berpotensi, tetapi kita tidak ada satu rancangan untuk mereka terus kekal dalam TTS. Jadi, mereka keluar dan hilang begitu sahaja. Yang tinggal biasanya seorang dua.

Jadi kali ini TTS tidak mahu berada di takuk yang lama. Perubahan perlu dilakukan. (Adakah termasuk perubahan sikap?)

Bila Orang Pandai Itu Bodoh Vise Versa

Bila orang pandai itu bodoh.
Bila orang bodoh itu pandai.

Apakah tindakan bodoh yang kau pernah lakukan?

Aku rela dan sedia
dihukum atas kesilapan manusia.
Asalkan
keadilan ditegakkan.
Kerana
bukan aku sahaja yang melakukan kesilapan itu.
Mereka
yang aku nampak di depan mata
terlepas begitu sahaja.
Mungkin
kerana nasib.
Yang pasti
itu bukan rezeki.

Apakah tindakan bodoh yang kau pernah lakukan?

Psikologi terumbang-ambing.
Dibawa arus negativiti.
Ke mana sahaja.
Bila masa sahaja.
Apa saja kita buat.
Suara-suara terngiang di ruang fikiran.
Implikasi pelbagai terpapar secara maya di mata.

Apakah tindakan bodoh yang kau pernah lakukan?

Ayat-ayat rekaan aku sememangnya menyindir aku.
Aku katakan manusia berhak mendapat peluang kedua.
Macam dalam filem fiksyen.
Peluang kedua itu pula bukan semudah yang disangka.
Cuma ini bukan fiksyen.
Ini betul-betul.

Apakah tindakan bodoh yang aku pernah lakukan?

Iaitu tidak sedar dan bersyukur dengan apa yang aku peroleh.
Nafsu sudah pasti menguasai diri. Hati dan fikiran.
Aku kira itu kesilapan biasa manusia biasa.
Tapi sudah namanya kesilapan, sudah pasti balasannya hukuman.

Apakah tindakan bodoh yang kau pernah lakukan?

Ianya lebih daripada sekadar penguatkuasaan.
Ianya berkaitan dengan psikologi pelaku.
Kenapa? bagi persoalan mengapa pelaku melakukan perlakuan.
Rasional hanya terletak pada fikiran pelaku yang rasional.
Pelaku perlu waras terlebih dahulu sebelum menjawab Kenapa?

Apakah tindakan bodoh yang kau pernah lakukan?

4 tahun ke belakang.
Hidup aku memang lancar.
Tiada masalah.
Tiada dugaan.
Berseronok.
Hingga lalai dan alpa.
Kali ini aku diduga dengan tindakan aku sendiri.
Tindakan yang tidak akan dilakukan oleh aku yang waras.
Tetapi sudah dilakukan oleh aku yang kurang siuman.

Apakah tindakan bodoh yang kau pernah lakukan?

Aku sering kali menganggap diri aku sedikit gila.
Aku banyak kali anggap orang itu gila, orang ini gila.
Dan aku juga anggap aku ini gila bila masa aku ini gila.
Dan akhirnya perasaan gila itu makin lama makin sebati.
Sehingga diri aku yang asal sudah hilang.
Ya. Ini pengakuan.

Apakah tindakan bodoh yang kau pernah lakukan?

Bodoh. Ini bodoh.
Benarlah kata pepatah.
Sesal dahulu pendapatan.
Sesal kemudian tidak berguna.
Sekarang hanya mengharapkan belas kasihan orang.
Kasihan.
Mana pergi semangat bukan loser?
Hilang.
Hilang bersama diri ini yang memang sudah hanyut dan hilang..

..sejak lama dahulu.

Aku pergi dulu.

Selamat tinggal.


ps: Aku rasa kalau keadilan benar-benar ditegakkan, semua yang 'terlepas' itu adalah ramai bilangannya. Dan ya, percayalah, semua itu berlaku tanpa keadilan. Apa boleh buat. Perkara sudah berlaku. Biarlah kalau orang lain sudah tidak percaya akan diri ini. Aku harap perkara ini menjadi peringatan buat orang lain, khususnya yang 'terlepas' itu.