Jumaat, Mac 20, 2009

Termenung dan Berfikir.. Sejenak, Sendiri.

Sememangnya aku akui, waktu kita termenung, banyak perkara yang terilham dalam fikiran kita. Biasanya ketika aku duduk di dalam bas, menunggu untuk sampai ke destinasi, melihat orang-orang ramai dan pemandangan sekitar, aku akan termenung. Bila kita menunggu seseorang juga kita akan cenderung untuk termenung. Bila kita duduk berseorangan juga kita akan termenung. Dan bila sedang membuang air besar juga kita akan termenung, itu pun kalau tidak kena sembelit.

Kita termenung, memikirkan diri kita sendiri, ataupun diri orang-orang yang dekat dengan kita yang kita sayang. Kita juga memikirkan tentang masa silam, memori manis atau pahit, juga masa depan kita, apa yang akan berlaku dalam hidup kita bila sudah meningkat dewasa. Adakah cita-cita, impian kita akan tercapai? Apakah kita akan hidup bahagia bersama isteri dan anak-anak? Dan kadang-kala, boleh jadi kita terfikir bagaimana jadinya apabila kita sudah mati? Apakah kita akan diseksa di kubur? Apakah orang yang kita sayang yang masih hidup di dunia akan sedih meratapi pemergian kita? Atau apakah kita akan cukup tabah dan sabar dalam menerima pemergian ibu bapa kita atau ahli keluarga kita yang kita sayang? Persoalan tentang kehidupan lampau, masa sekarang dan akan datang akan pasti bermain-main di ruang fikiran kita sebagai seorang manusia. Semuanya, kemungkinan akan hadir sewaktu kita termenung.

Unik bukan? Bagaimana Tuhan mewujudkan sifat manusia yang boleh termenung yang memberi ruang kepada kita untuk berfikir dan munasabah diri. Bagi aku, ia memang cukup unik. Keindahan manusia itu sendiri mungkin tidak dapat dianalisa sepenuhnya oleh manusia itu sendiri. Kerana bukan kita yang mencipta diri kita ini. Pencipta yang mencipta diri kita.

Aku termenung. Berfikir. Terfikir. Kenapa aku belajar kejuruteraan? Kenapa aku berteater? Kenapa aku bercinta? Sudah tentu, aku boleh mengarang sendiri jawapannya kerana aku sendiri yang memilih untuk melalui hidup aku melalui jalan yang aku pilih. Dan sudah tentu tidak semua manusia boleh membuat keputusan berdasarkan apa yang difikirkan. Kebanyakan masa, manusia terlalu terburu-buru sehingga mereka hanya berfikir setelah membuat keputusan dan tindakan. Lantas, mereka hanya dapat berfikir tentang penyesalan. Tetapi, penyesalan adalah satu kebaikan jika kita anggap ia sebagai suatu yang memberi pengajaran kepada diri kita supaya kita dapat bertindak dengan lebih bijak pada masa akan datang.

Di dalam entri kali ini, aku benar-benar mahu mengajak semua pembaca untuk bermenung. Atau termenung. Supaya kita dapat berfikir. Atau terfikir. Akan diri kita, diri orang lain dan juga Tuhan kita. Bagi golongan yang lebih teknikal yang selalu bertanya soalan 'kenapa?' dalam bidang sains mahupun sastera sekalipun, apalah kiranya jika kita dapat bermenung sejenak akan hal ehwal kemanusiaan. Tentang diri kita sebagai permulaan kerana diri kita sendiri yang paling dekat. Aku percaya, jika kita sentiasa bermenung, termenung iaitu berfikir, terfikir, manusia akan lebih mempercayai diri sendiri, orang lain dan yang pasti Tuhan kita.

Soal kepercayaan sememangnya berkait rapat dengan kemanusiaan. Disebabkan kepercayaan, manusia boleh saling berkasih sayang dan kerana kepercayaan juga, manusia boleh saling berbunuhan. Dan, dengan sebab kepercayaan juga, manusia boleh mempercayai Tuhan dan juga sebaliknya.

Bermenung, termenung. Berfikir, terfikir. Sejenak, sendiri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan