Khamis, Februari 12, 2009

Kata-kata Biasa Orang Biasa

Mad Harris dan Rahmat Iskandar sebulat suara dari dulu lagi memberi komen tentang skrip Doc Shark yang tak pernah menang johan di mana-mana, terutamanya sewaktu festival teater. Yang menang, adalah kumpulan yang membawa skrip sasterawan negara.
Jadi Doc tekad menyahut cabaran dengan membawa skrip Hatta Azad Khan, JEBAT dan KERUSI setakat ini. Dan JEBAT akan dibawa untuk Festival Teater Perak tahun 2009 ini. Sekarang masih dalam fasa casting watak dan seterusnya untuk menetapkan tenaga produksi JEBAT-FTP09.

Doc sudah banyak menulis karyanya sendiri. Yang paling baik pada pandangan aku adalah Asylum/Asylum 50 dan Cinta Sang Arnab. Yang selebihnya seperti Hmm..Begitu Panasnya!, Transit, Qum!, Sampah mungkin boleh jadi lebih baik jika diolah sedikit sebanyak.

Penulis skrip baru dari TTS perlu dilahirkan dari masa ke semasa. Aku tahu tak semua boleh menulis dengan baik. Aku pun begitu juga. Tidak boleh menulis yang panjang-panjang seperti novel. Malah, cerpen pun aku tak pernah hasilkan. Sebab aku memang tidak boleh menulis panjang-panjang. Tapi, menulis skrip lain sedikit. Boleh saja dialog pendek-pendek, jika panjang-panjang pun sedikit-sedikit. Aku mengambil kesempatan sewaktu praktikal ini untuk berkarya, menghasilkan seberapa banyak skrip yang boleh. Ini kerana kehidupan bekerja sedikit berbeza. Waktu malam dan hujung minggu boleh aku gunakan untuk berkarya. Biarlah skrip-skrip aku tidak 'hidup' sekarang. Lambat-laun akan aku bagi 'nyawa' juga. TTS juga bertuah kerana mempunyai seorang lagi penulis skrip muda iaitu SEFA. Daya kreativiti dan komitmennya juga sama tinggi seperti aku, cuma gaya dan cara sedikit berbeza. Apa pun, aku berharap aktiviti menulis skrip ini akan diberikan penekanan oleh TTS pada masa akan datang. Tidak kisahlah 10 tahun lagi atau 20 tahun lagi pun. Yang penting, ada anak-anak muda yang berminat dan bergiat dalam menghasilkan karya cetusan idea sendiri.

Skrip teater pertama aku adalah Siapa Sapari? Skrip ini terlalu terpengaruh dengan gaya skrip Doc Shark. Lagipun itu skrip sudah lama. Masih kurang pengalaman dengan dunia luar. Namun kini aku cuba menulis mengikut gaya sendiri. Ada idea aku yang segar. Dan ada juga idea yang terilham daripada idea-idea orang lain.

Aku tahu di universiti masa amat suntuk. Bebanan assignment dan projek menghadkan lagi masa untuk berkarya. Sesi latihan hampir setiap hari. Bila hari persembahan sudah dekat, waktu petang dan malam habis untuk latihan sahaja. Kesannya, terpaksa bersengkang mata menyiapkan tugasan-tugasan. Kadang-kala, ada assignment kecil yang tidak dapat disiapkan dan dihantar. Markah coursework pun berkurang. Latihan setiap hari memang memenatkan. Kebiasaannya, seluruh tubuh badan aku akan sengal-sengal. Bukan setakat penat fizikal, tetapi penat emosi juga. Jadi bila sudah penat, kadang-kala aku akan bangun lewat tengah hari (bukan lewat pagi, lewat tengah hari) dan terponteng kuliah-kuliah dengan sengaja. Badan penat, tidur lewat (tengok series/movies), akhirnya tidak ke kelas. Keadaan bertambah teruk bila dalam satu semester itu, jemputan untuk buat show di mana-mana event atau show anjuran TTS sendiri adalah amat banyak dan tidak ada waktu rehat. Boleh aku katakan dalam setahun yang lalu (2 semester), latihan/perjumpaan teater mula dari minggu pertama hinggalah exam week dengan waktu rehat yang singkat dalam beberapa hari hingga 1 atau 2 minggu. Kesannya, aku pernah tidak hadir ke kelas selama 2 bulan.

Jelas sekali, aku seperti meringan-ringankan tanggungjawab aku sebagai seorang pelajar. Tetapi, aku ada rahsia aku sendiri bagaimana aku masih boleh mengekalkan prestasi akademik aku. Dan aku tidak sesekali berlaku tidak jujur dalam ujian atau peperiksaan sebab aku tahu, itu tidak berkat.

Dan, rahsianya?

Adalah nama aku sendiri: A.K.I.N Muhammad


PS: Bila aku kata nama aku sendiri, itu maksudnya cara kita sendiri, acuan kita sendiri, bukan ikut-ikut orang, ikut-ikut bontot orang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan