Rabu, Ogos 08, 2007

Suara Akin II - Episod 6

"Ulat"

Semalam, selesai sudah audisi yang dijalankan oleh TTS dalam pencarian penteater segar untuk pementasan-pementasan akan datang.
Yang lama diganti dengan yang baru.
Yang tua diganti dengan yang muda.
Bak kata pepatah, patah tumbuh hilang berganti.
Ataupun, hilang tumbuh berganti patah.
Namun, dalam usaha mencari keredhaanNYA, sudah pasti kita akan mudah terleka dengan dodoian manja dunia, jika tidak berusul punca.
Dengan itu, wujudlah perjuangan dalam menegakkan kebenaran yang sudah tentu sukar memperoleh kemenangan kecuali dengan ketabahan di sebalik keimanan yang cukup tegar.
Kerana sesungguhnya, yang benar itu tetap akan menang.
Jadi... janganlah riso --> "quote: Khairil, Mat Pengedar, Asylum"

Audisi telah dijalankan selama dua hari berturut-turut.
Petang dan malam.
Hari pertama, 8 orang datang untuk diaudit.
Faiz Putera yang sudah selesai pengajian ijazah sarjana mudanya pun tetap turun padang bersama-sama dengan junior-junior dalam mencari pelakon pelapis.
Hari kedua pula, pada waktu malamnya, 5 orang lagi datang.
Pada malam itu juga pelakon baru diaudit oleh Dr Shark sendiri.
Dalam perancangan, kita akan mementaskan teater Transit (versi penuh - 1 jam) sempena Minggu Penghayatan Ramadhan 2007, pada awal September nanti.
Jadi, kesemua pelakon lelaki yang baru berpeluang untuk beraksi buat pertama kalinya bersama TTS.
Pelakon perempuan tidak pasti lagi kerana kebiasaannya, pihak penganjur event yang berunsur Islam akan menetapkan garis batasan buat orang perempuan untuk berlakon.
Jika boleh sekalipun setelah mendapat kebenaran daripada ustaz atau pegawai agama dari organisasi masjid UTP sendiri, iaitu seperti pementasan 'Qum!' tempoh hari sempena Kempen 'Heart For Islam'.
Jika tidak, perempuan tidak dapat berlakon sekali.
Namun begitu, kami tetap menghormati keputusan pihak penganjur kerana kami mengerti dan memahami dan menyedari akan fenomena di UTP, khususnya.
Tetapi, saya tidak fikir bahawa pelakon perempuan dari kumpulan produksi TTS tidak diberi peluang untuk berlakon dalam erti menyampaikan mesej bermunafaat kerana sesungguhnya, teater kami tidak ada persentuhan antara lelaki dan perempuan sama sekali, tidak seperti kebanyakan produksi teater yang lain, bukan setakat mereka berpegang tangan, bersentuh tubuh atau memeluk antara lelaki dan perempuan, lebih hebat lagi ada yang mengeluarkan pisau belati dari celah pakaian dalamnya.
Tetapi jika hendak berperang kata dengan mereka, mereka tetap akan menegakkan benang yang basah.
Itulah Melayu.
Kalau Melayu... memang melayu... (salah satu tajuk lagu Ahli Fiqir dari album Hari Ini Dalam Sejarah).
Selain itu, pelakon perempuan kami juga menutup aurat dengan betul, sama ada di luar lakonan atau di dalam lakonan.
Saya, sejujurnya, pernah berfikir dan kecewa dengan pemikiran sesetengah pihak yang sangat sempit dan tak terbuka.
Tetapi, lama kelamaan saya makin belajar akan erti kehidupan.
Saya dapat menerima semuanya.
Saya dapat terima akan sempitnya pemikiran mereka, khususnya orang Melayu.
Menerima dalam menentang.
Begitulah umpamanya.
Dan lagi, jika kita berperang kata dengan mereka pun, mereka tetap dengan pegangan mereka yang turut sama kita pegang, tetapi didokong pula dengan ketidakterbukaan minda mereka.

TTS juga merancang untuk mementaskan teater "Jebat" karya Hatta Azad Khan.
Tetapi, bukan dalam masa terdekat.
Mungkin pada awal semester Januari 2008.
Maklum sahajalah, selepas pementasan Transit, Ramadhan pun mula memancar sinarnya.
Selepas Ramadhan pula, iaitu selepas Syawal, semester ini pula sudah hampir sampai ke penghujungnya.
Jadi, kemungkinan besar, pada semester ini, TTS akan banyak berehat.
Lagipun, dari awal tahun 2007, sudah banyak persembahan.
Penat, memanglah penat tetapi berbaloi dan pengalaman itu sangat bermakna.
Banyak dan jauh perjalanan, banyak jugalah pengalaman yang dapat ditimba.

Jadi, buat semua pelajar UTP khususnya, timbalah pengalaman selain menuntut ilmu kejuruteraan atau teknologi maklumat duniawi.
Jadilah ulat buku ikut suka hati kamu, tetapi tidakkah kamu sedar apa sahaja yang ulat mampu lakukan?

Salam teater.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan