Khamis, Ogos 30, 2007

Suara Akin II - Episod 15 - Merdeka

Semalam, berakhir sudah pementasan sketsa sempena Minggu Penghayatan Ramadhan 2007.
Sketsa kombinasi karya Keris Silau, Usman Awang, Dr Shark dan sedikit dari saya sendiri.
Serba kekurangan dari segi persediaan latihan dan teknikal.
Tetapi alhamdulillah semuanya berjalan baik lancar.
Apa yang penting, saya berharap mesej yang banyak disampaikan dapat menerobos masuk ke telinga terus meresap ke dalam hati dan minda masyarakat.
Dengan itu juga, rasanya aktiviti teater kami hampir menutup tirai buat tahun melawat Malaysia ini.
Bulan Ramadhan mulia pun akan kembali.
Mungkin ada juga program latihan teater seminggu sekali, mengikut kesesuaian masa.
Dan mungkin juga akan dihasilkan sebuah klip video sempena hari raya puasa nanti, produksi TTS sendiri.
Mungkin sahaja.
Jadi atau tidak, kita tunggu dan lihat.

Saya baru balik dari menghadiri Malam Apresiasi Minggu Kemerdekaan ke-50.
Ada deklamasi sajak daripada pemenang pertandingan menulis sajak yang dianjurkan.
Agak pendek sajak-sajak mereka.
Tetapi saya yakin penuh bermakna.
Dan seharusnya boleh disampaikan dengan lebih menarik dan berkesan.
Saya fikir saja lah.
Saya ada berniat juga untuk sertai tetapi oleh kerana latihan teater Jebat, hajat di hati tersebut mati begitu sahaja.
Tak apalah. Saya berkarya bila saya hendak dan suka.
Saya berkarya untuk diri saya. Dan sudah pasti, untuk masyarakat awam.
Kalau ikut macam lagu Ramli Sarip, "Aku menulis bukan kerna nama..."
Begitulah rasanya pendirian kebanyakan pengkarya.
Rasanya lah.

Selain deklamasi sajak, ada dendangan lagu-lagu berunsur patriotik dibawa secara 'live band' yang rasanya sudah dikenali juga di sekitar UTP ini, bagi mereka yang tidak terperap di dalam bilik, menghadap buku semata.
Okestra UTP juga ada membuat persembahan diikuti pula dengan kumpulan koir.
Mereka mempersembahkan kembali apa yang telah mereka persembahkan sewaktu Majlis Konvokesyen tempoh hari.
Tahniah buat mereka.
Saya kagumi sesiapa sahaja yang membuat persembahan kerana saya kagumi seni persembahan itu sendiri.
Lebih tahniah lagi buat pelajar UTP kerana mencuba mempersembahkan seni-seni kegemaran mereka.
Barulah seimbang otak kiri dan kanan.
Barulah optimum.
Tetapi harus juga diingat, optimum dilengkapi dengan unsur kerohanian yang sangat penting.

Sudah menjadi tradisi di UTP, pada malam 30 Ogos, akan ada konvoi kemerdekaan mengelilingi kawasan dalam UTP sendiri.
Ada yang suka dan begitu juga sebaliknya.
Tidak kurang juga yang tidak hirau.
Apa yang saya boleh katakan adalah yang lebih utama adalah jiwa kemerdekaan itu sendiri.
Sambutlah dengan cara yang sesuai.
Ikut suka hati juga, tetapi asalkan tidak melampaui batasan.
Faham-fahamlah apa batasan yang ada.
Seharusnya yang sudah dewasa patut tahu.

Suka saya sampaikan Salam Merdeka buat semua warga Malaysia.

Jubli Emas Malaysia.
Merdeka jiwa.
Merdeka hati.
Merdeka minda.

Andai Merdeka itu insan.
Makhluk terbaik ciptaan.
Pasti ia bersinar terang.
Ibarat bulan mengambang.

Selamat Merdeka 50.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan