Khamis, Ogos 16, 2007

Suara Akin II - Episod 10

"Tuah"

Bak kata pepatah...

Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu.

Tuah anjing, celaka kuda.


Tuah kerbau gemuk,
tuah lombong berisi, tuah manusia semuafakat.

Tuah sebesar bukit, celaka sebesar gunung.


Tuah yang disembah, junjung yang dipanjat.

Dan banyak lagi peribahasa yang selalu ataupun jarang sekali kita tahu atau dengar.
Mungkin Karam Singh Walia tidak hairan sudah.
Memang macam-macam peribahasa yang keluar dari mulut dia tu.
Lebih hebat dari Melayu sendiri.
Apakah rahsianya?
Adakah hanya kerana sebuah 'kitab' peribahasa yang dijumpai di dalam tong sampah?
Atau adakah kerana cintanya terhadap keindahan bahasa sudah berputik dan kian berkembang?
Nak tahu?
Tanyalah tuan punya badan.
Tetapi terasa kagum bila sesuatu yang dianggap semurah sebutir sampah akhirnya menjadi sesuatu yang mampu mengubah dunia.
Pernahkah para pembaca sekalian terfikir sebegitu?


Tuah junjung titah, tuah memang setia raja.
Tuah sahabat Jebat.
Tuah bunuh Jebat.
Sahabat bunuh sahabat.
Manusia bunuh manusia.
Makhluk bunuh makhluk.
Tetapi Pencipta tetap Allahuakbar!

Akan sadisnya pula pabila bangsa tikam sama bangsa.
Kesamaan sudah jadi tunggang terbalik, songsang inversi dalam tatacara peradaban dunia.
Mungkin cinta sudah jadi benci.
Baik sudah jadi jahat.
Cantik sudah jadi hodoh.
Cerdik sudah jadi bodoh.
Tetapi tetaplah ingat, Pencipta tetap Allahuakbar.
Dari azali hingga abadi.


Entah kenapa sejak kebelakangan ini isu Melayu seperti digembar-gemburkan dengan agak ligat.
Adakah sempena kemerdekaan ke-50?
Ada yang masih tidak berpuas hati dengan kemerdekaan rakyat?
Ataupun ada yang tidak reti bersyukur?
Ataupun ada yang tidak mengerti langsung akan erti kemerdekaan sebenar?
Atau disebabkan pelbagai masalah di kalangan orang Melayu yang begitu membimbangkan?
Atau ada yang berfikir bahawa Melayu sudah lupa?
Ada yang berfikir Melayu sudah alpa dan leka dibuai mimpi disiang hari dek kenikmatan yang dikurniakan sementara?
Adakah kerana ada suara minoriti yang mendesak jiwa dan raga, akal dan minda mereka untuk berjuang memberikan kesedaran kepada orang Melayu yang sudah lupa dek cepatnya mereka lupa dan akhirnya ingin membangkitkan kembali semangat yang kian hilang?
Semangat cintakan tanah air, bangsa dan yang paling penting AGAMA yang SEBENAR?
Yang tulen, yang asli, yang seasal-asalnya.

Bila suara minoriti didengari, ramai yang terus menentang.
Berperang kata. Bukannya berdebat atau berbahas lagi jadinya.
Mencaci cerca. Memaki hina.
Kononnya mereka sudah menilai kira akan apa yang suara minoriti perkatakan.
Kononnya suara minoriti ini tidak ada satu patah pun yang betul.
Dan ada pula yang menyokong sebahagian dan menolak sebahagian yang lain.
Sama sahajalah keadaannya bagi mereka yang menerima ajaran agama sebahagian, tetapi dalam masa yang sama menolak sebahagian yang lain.
Walaupun sudah terang nyata termaktub di dalam kitab suci.


Sedikit serius nampaknya tona saya dalam penulisan entri kali ini.
Mungkin ini impak perasaan saya terhadap fenomena zaman milenia tatkala selarinya usia saya dalam mengejar cita-cita dan meninggalkan usia remaja.
Ah.. Remaja?
Satu perkataan yang cukup mudah.
Tetapi di sebaliknya terurai jadinya pelbagai kisah, segala rempah dan ramuan kehidupan anak muda, baik di kota mahupun desa.
Sama sahaja kalau dah dasar Melayu!

Elok saya akhiri entri kali ini dengan menjemput pembaca sekalian untuk menyaksikan pementasan:

1. "Jebat" (karya Hatta Azad Khan), Selasa 28 Ogos 2007, 9.00 malam, Multi-purpose Hall, UTP. Bersempena kemerdekaan ke-50.

2. "Melayu, Apakah Ertinya Merdeka?" (karya: Keris Silau & Usman Awang; adaptasi: Dr Shark), Rabu 29 Ogos 2007, 9.00 malam, Multi-purpose Hall, UTP. Bersempena dengan Majlis Perasmian dan Forum Minggu Penghayatan Ramadhan (MPR) 2007.

Salam perjuangan Melayu.
Salam aktivis.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan