Selasa, Ogos 21, 2007

Suara Akin II - Episod 12 - Demam Panas Pesta Temasya Fiesta


Pening juga kepala saya memikirkan (di saat memikirkan kalkulasi makmal yang banyak).
Serabut juga kepala saya.
Satu jasad tubuh seperti terasa panas.
Dan sememangnya bukan seperti tetapi sebenar.
Sudahlah di kawasan sekitar sini memang panas azali.
Ditambah pula dengan pelbagai elemen hiburan yang disambut dengan begitu agung, melebihi tunduknya kita pada keagungan Pencipta.
Dari situlah datang salahnya.

Bertandangnya selebriti 8TV ke UTP mencetus pelbagai reaksi yang secara umumnya ada tiga.
Selebriti lebih tepat lagi artis lebih tepat lagi penyanyi solo berkumpulan, DJ radio, pelakon dan sebagainya.
Ops! Maaf. Pelakon ya. Bukan penteater. =p
Apa pun, ramai yang suka akan kehadiran artis-artis di sini.
Tak kurang juga ramainya orang yang membangkang.
Dan ada juga segelintir yang mengambil langkah menjadi pihak di atas pagar.
Yang mana satu betul, yang mana satu salah, itu terpulang kepada pemikiran masing-masing.
Dan adakah yang betul itu benar-benar betul?
Dan yang salah itu benar-benar salah?
Ataupun yang salah itu sebenarnya salah?
Atapun yang benar itu sebenarnya benar?
(Alamak. Saya sudah terkembali ke gaya penulisan saya yang lama. Maaf.)

Walau apa pun, nampaknya acara itu diadakan pada waktu Rabu petang, di mana waktu itu memang dikosongkan penjadualan kelas atas tujuan syarahan perdana, syarahan awam dan lain-lain.
Elok benarlah tu ya buat mereka yang teruja hendak melihat artis-artis pujaan mereka mendendangkan muzik duniawi.

Apa yang membuatkan saya pening adalah 'perang status' di aplikasi penghantar mesej segera yang terkenal di UTP ini, iaitu Yahoo! Messenger dan Google Talk.
Tidak cukup dengan itu, perang cetusan perasaan, luahan akal dan minda di dalam singgah sana sini (blog) masing-masing.
Dan seterusnya menyampaikan alamat laman web berkenaan kepada orang lain.
Tidak kurang juga hebatnya diskusi siber di forum-forum berkenaan.
Masing-masing menghujahkan pemikiran dan pendapat tersendiri.
Ya lah, masing-masing ada ego.
Yang membezakan adalah bagaimana menggunakan ego itu sebaiknya, dalam erti cara pengawalan ego tersebut.
Saya pun dulunya cukup gah dengan ego saya.
Bila tidak terkawal itu yang memudaratkan diri saya sendiri dan juga orang lain.
Maaf buat mereka yang pernah menyaksikan saya gagal mengawal ego saya.
Cukup malang buat diri saya.
Tetapi sudah tentu manusia hidup untuk memperbaiki diri dari pelbagai segi.
Yang utama sudah tentu segi agama.
Dan sepastinya segi agama itu cukup luas dan terperinci.
Termasuklah juga aspek kehidupan sebagai seorang manusia yang inginkan hidup di mana hari ini lebih baik dari hari semalam dan hari esok lebih baik dari hari ini.
Semudah yang kita katakan atau coretkan tetapi sebaliknya dalam merealisasikan.
Sudah tentu, banyak yang perlu kita sediakan untuk menghadapi bermacam-macam asam garam, pahit hempedu kehidupan di dunia.
Semuanya berbalik juga kepada diri kita sendiri.
Dan secara lebih ghaibnya, roh dalam jasad kita sendiri.
Apakah roh kita adalah apa yang jasad kita lakukan? Inginkan? Saksikan?
Ya, hendak menjawab persoalan pada diri sendiri pun barangkali boleh jadi sukar.

Fikir-fikirkan dan renung-renungkan apa yang kita fikirkan sendiri atau pun yang orang lain fikirkan, baik tulisan, hujah lisan atau tidak mustahil lukisan.

Saya orang seni, mungkin.
Saya orang matematik, mungkin.
Akan tetapi, buanglah semua kemungkinan dalam menyedari kebenaran.
Kerana kebenaran itu adalah benar jelas nyata.

Pari-pari yang saya reka dalam minda adalah pejuang kebenaran, pejuang keamanan manusia sejagat, dan lebih penting lagi, pejuang memerdekakan minda masyarakat.
Pari-pari memanglah khayalan semata-mata.
Tetapi itulah karya.
Itulah sastera saya yang dicipta.


Selamat datang senior-senior untuk majlis konvokesyen.
Selamat bergembira.
Selamat berniaga.
Tidak lupa juga, selamat menjalani kuiz, ujian teori, laboratori dan projek tugasan.
Selamatlah semuanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan