Rabu, Ogos 01, 2007

Suara Akin II - Episod 5

"Destinasi Seterusnya"

Mungkin ada yang perasan betapa ligatnya saya dengan Singgah Sana Sini ini.
Tak mengapalah.
Dan tak kisahlah apa orang lain nak kata.
Mungkin bagi saya, ini sekadar salah satu cara saya mengisi masa terluang.
Walaupun ramai yang sudah tahu, khususnya pembaca setia, bahawa tidak kira sama ada di awal, pertengahan mahupun hujung semester, saya tetap aktif memasukkan entri-entri terbaru secara digital.

Hari ini baru sahaja saya berpeluang menonton filem Afdlin Shauki berjudul 'Sumo-lah'.
Setelah sekian lama menyimpan hajat untuk menonton, kini tertunai jua.
Dulu memang hendak pergi ke panggung wayang, tetapi apakan daya, waktu itu kalau tidak silap saya, merupakan musim peperiksaan akhir.
Dan filem tersebut juga sedikit malang kerana hanya ditayangkan di pawagam dalam tempoh waktu yang sangat singkat, iaitu lebih kurang 3 minggu atau paling lama pun sebulan.
Mana taknya, masa itu 'Sumo-lah' ditentang dengan tidak adilnya oleh filem-filem mega yang lain khususnya 'Pirates of the Carribean 3'.

Apa pun, macam biasa, saya berminat untuk memberi sedikit reviu tentang sesebuah filem selepas menontonnya.
Tapi tak setiap kali saya akan berbuat begitu.
Ikut 'mood' juga kadangkala.

Jadi 'Sumo-lah' ni satu cerita yang punya mesej yang sangat bagus untuk masyarakat, khususnya masyarakat Melayu yang punya banyak cerita di sebalik tabir.
Cerita-cerita tersebut yang patut disingkap supaya semua orang terbuka mata dan minda mereka akan fenomena semasa.
Selain itu, 'Buli' dan 'Buli Balik' juga merupakan cerita yang boleh tahan baiknya.
Dan menjadi pilihan buat diri saya sebagai seorang rakyat Malaysia yang menghargai usaha para pembikin filem dan pejuang seni yang betul-betul berusaha dengan tekun, bukan setakat melepaskan batuk di tangga dalam memperjuangkan sesuatu dan bukan juga dengan kata-kata hangat sehangat tahi ayam.
Namun begitu, saya kurang pasti dengan filem 'Baik Punya Cilok' tentang mesej yang ingin disampaikan.
Mungkin saya rasa yang filem tersebut ada sedikit kekurangan.
Tetapi saya yakin, Afdlin tetap dengan gayanya tersendiri dan bawaannya dalam industri perfileman tanah air.
Mungkin 'mazhab' Afdlin tidak mendapat sambutan hebat daripada rakyat Malaysia sendiri sehebat aura Mawi yang walaupun nyanyian kurang bertenaga dan pengalaman yang cukup cetek, tetapi masih mampu memukau para peminatnya dengan aura tak lapok dek hujan tak lekang dek panas, kononnya.

Berbalik kepada cerita Sumo-lah.
Di samping ingin menyampaikan mesej, sudah pasti sesuatu filem itu mesti terkandung beberapa elemen yang boleh menarik minat penonton dari awal hingga akhir filem.
Tidak dapat dinafikan bahawa agak sukar hendak mengekalkan minat penonton, untuk mengelakkan penonton berasa bosan sekalipun.
Namun begitu, Sumo-lah dapat melakukannya dengan baik dan boleh dipuji.
Tema jelas. Konsep menarik. Elemen teradun secara agak harmoni walaupun tidak berapa ketara. Susunan plot baik dari awal cerita sehingga ke perkembangan dan klimaks yang cukup memberi kesan pada penonton yang fokus, dan penutup cerita yang sedikit mahu dibuat kelainan dari norma tetapi boleh diagak dari awal lagi.
Dengan erti kata lain, sudah menjadi lumrah yang baik akan menang di akhir dan yang sebaliknya akan tewas.
Kalau buat cerita yang hero kalah, amuk pula nanti orang yang tengok.
Sebab pernah saya dengar cerita tentang orang yang amuk sebab hero dalam cerita Hindustan mati. Amuk sampai bakar panggung.
Ini cerita sahajalah.
Tak tahu kebenarannya.

Begitu jugalah dengan keadilan.
Yang hak itu tetap akan menang di akhirnya, setelah tewasnya kebatilan.


Dari filem Sumo-lah tersebut dapat jugalah saya simpulkan, bahawa...

1. Musuh utama kita bukannya lawan di depan mata, tetapi minda dan hati kita sendiri.

Sebut pasal ni, saya teringat dalam filem Mortal Kombat di mana mesej yang sama disampaikan mengenai musuh utama kita.
Kalau dalam Islam pun, musuh utama kita (manusia) juga ada dalam diri kita sendiri.
Ketakutan, dendam kesumat, benci, marah dan banyak lagi bisa jadi musuh utama dalam diri kita yang perlu kita atasi untuk menjadi seorang yang kental dan menang dalam hidup.


2. Kita berlawan untuk memperbaiki diri, mencari kesempurnaan hidup dan itulah sebab kita bermusuh dengan kelemahan diri.


Apa pun, saya cukup menghargai usaha Afdlin Shauki membikin filem-filem yang telah beliau hasilkan.
Saya suka mesej-mesej yang dibawa.
Tontonlah filem-filem yang penuh mesej.
Khususnya filem Melayu untuk orang Melayu sendiri.
Jangan asyik di takuk lama dengan cerita-cerita cinta, komedi, dan seram murahan hasil orang-orang bermata duitan, ditambah pula dengan mata masyarakat yang dikaburi, minda yang sempit.
Bangkitlah orang Melayu sekalian.

Nokotta!! Nokotta!! Kalah atau menang masih belum ditentukan lagi, kecuali dengan keinginan diri kita sendiri...


Tentang tajuk entri saya pada kali ini, tiba-tiba saya teringin hendak menjejak kaki ke negara matahari terbit selepas menonton cerita Sumo-lah tersebut.
Tiba-tiba sahaja terasa diri ini terpanggil.
Walaupun memang saya telah memasang niat mahu melanjutkan pelajaran selepas memperoleh degree di luar negara, tetapi saya tidak memspesifikkan lagi ke mana saya mahu pergi.
Di mana-mana sahaja di dunia ini boleh jadi.
Sebab di mana-mana pun kita boleh mempelajari sesuatu yang baru.
Dan semestinya itu adalah tuntutan agama.
Tuntutan agama yang itu adalah ibadah.
Ibadah yang membawa kepada kebaikan di dunia dan akhirat, insyaALLAH.

Jadi, destinasi seterusnya: Jepun? Boleh jadi ya, dan boleh jadi ke negara lain pula.

Bagaimana pula dengan anda? Destinasi anda seterusnya? Destinasi Budget? Hehe..


Salam seni untuk semua pejuang seni.

2 ulasan:

  1. i like ur review... somehow i think we think similarly (reviewing this film of course). deja vu?

    destinasi budget? gagal? (mcm pernah dgr jek....hahah)

    nokotta usop... teruskn perjuangan anda :)

    BalasPadam
  2. haha

    dejavu la kut =P

    destinasi budget gagal tu ape bukan quote status nuzul kat ym ke? hoho~

    nokotta nokotta

    BalasPadam