Rabu, Ogos 29, 2007

Suara Akin II - Episod 14 - Eksperimental

Wah! Nampaknya, mereka cukup suka hati pada malam itu.
Khususnya buat para pelakon baru.
Saya pasti, mereka cukup seronok kerana sebuah teater sasterawan negara telah berjaya dipentaskan dengan baik.
Lebih-lebih lagi itu adalah pementasan pertama buat mereka.
Macam saya juga dulu, terasa cukup teruja setelah berjaya berteater di hadapan ramai orang.

Sebelum berbicara lebih lanjut, eloklah kiranya jika saya keutarakan sedikit sinopsis teater JEBAT karya Prof. Hatta Azad Khan yang dipentaskan oleh Tronoh Theatre Shop (TTS) pada malam itu.

DATUK Bendahara yang bijaksana telah menyarankan kepada Sultan untuk mengupah pengamuk bagi mencari seorang pahlawan terhandal. Hang Tuah sedikitpun tidak menunjukkan sebarang reaksi apabila pengamuk upahan mengamuk gila. Maka ia telah dipilih sebagai pahlawan di istana. Malang sekali Hang Tuah telah lupa diri lalu diperintahkan Datuk Bendahara oleh Sultan untuk membunuhnya. Lalu Jebat dilantik sebagai pengganti. Jebat menggunakan peluang ini untuk membantu rakyat jelata. Pembelaan Jebat ke atas kematian Hang Tuah membuatkan ia bersikap menderhaka kepada Sultan. Datuk Bendahara membongkar rahsia mengenai Hang Tuah yang masih hidup lantas Hang Tuah dititahkan untuk membunuh Jebat. Hanya dengan tipu helah sahaja, Jebat yang tangkas itu dapat ditawan dan dibunuh.

(Nota: Sinopsis di atas saya ambil bulat-bulat dari buku cenderahati Festival Teater Perak 2007 tempoh hari.)

Namun begitu, suka saya paparkan sedikit reviu tentang cerita JEBAT ini.
Secara umumnya, isu pemerintahan dalam sesebuah negara banyak ditimbulkan.
Jika penonton dapat mentafsir dengan baik, baguslah.
Isu kenaikan harga barang-barang harian.
Isu demokrasi dan kebebasan bersuara.
Isu birokrasi.
Keadilan kepada rakyat.
Melagakan sesama bangsa untuk kepentingan diri sendiri.
Dan banyak lagi lah kalau nak senaraikan.
Selain itu sudah tentu ada mesej berkaitan dengan nilai murni, moral dan identiti.
Kesetiaan kepada raja.
Ketulusan kepada sahabat, saudara sebangsa/seagama.
Keikhlasan berjuang.
Sifat bantu membantu rakyat jelata.
Sifat materialistik dan duniawi.
Membatu api orang.
Hasad dengki.
Dan memang banyak lagi mesej yang bermanfaat kepada masyarakat.
Kena tonton dan hayati makna di sebalik skrip yang biasanya ditambah rencah perisa oleh elemen humor yang cukup mencuit hati, membuatkan penonton tidak kering gusi dari awal hingga akhir cerita.

Saya katakan teater JEBAT kali ini adalah eksperimental.
Yalah, sebelum ini kami tidak pernah membawa skrip sasterawan negara (kecuali Sasau pada semester lepas.)
Tetapi skrip JEBAT sememangnya tidak asing lagi.
Mungkin kalau ada skrip KERUSI pula, boleh pentaskan kalau diberi peluang dan keizinan.

Saya telah membawa watak Hang Tuah.
Walaupun secara keseluruhannya pementasan tersebut berada di tahap yang baik, namun secara peribadi, saya masih belum dapat membawa watak Tuah dengan cemerlang.
Masih banyak lagi yang boleh diperbaiki.
Terutamanya dari segi gerak langkah saya sebagai seorang pahlawan.
Masih kurang lagi memandangkan saya tidak pernah ada ilmu seni persilatan.
Main taram saja pada malam itu.
Kalau ada peluang lagi lepas ini, harapnya ada tok guru silat yang boleh memberi tunjuk ajar.
Dari segi emosi juga saya rasa boleh ditingkatkan lagi.
Rasanya lah. Saya pun tak dapat lihat macam mana saya buat pada malam itu.

Nampaknya, badan saya sudah cukup rendah tahap energi.
Sebelum mengakhiri entri kali ini, suka saya ucapkan:

Syabas dan Tahniah buat semua krew produksi teater JEBAT sempena sambutan Kemerdekaan Malaysia yang ke-50 ini.
Terutamanya buat para pelakon baru.
Anda semua telah menunjukkan komitmen yang bagus. Saya puji.
Anda haruslah menjadi generasi pelapis seperti mana kami yang telah dilapisi oleh veteran-veteran TTS yang telah menerima "Degree of Appreciation in Theatre", satu anugerah buat pelakon yang sudah graduasi atas jasa dan sumbangan mereka selama ini terhadap TTS.
Terima kasih atas kerjasama semua.
Terutamanya krew teknikal MedTech.

p/s: Hei Jebat! Pertarungan kita belum berakhir!!! Hoho.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan