Selasa, Ogos 21, 2007

Suara Akin II - Episod 11 - Bangau

"Bangau"

Tiba-tiba saya terfikir tentang bangau.
Teringat pula pada kata-kata yang paling popular dan rasmi dalam program Take Charge! iaitu
"Stop Bangau-ing".
Dan tiba-tiba pula seterusnya saya terfikir untuk meritmakan dan mengiramakan kata-kata berjela untuk menjadi sebuah sentuhan peribadi.
Senang kata, saya terfikir pula untuk menghasilkan rap berjudul 'Bangau', mengisahkan tentang Bangau dan isi huraiannya berkaitan motivasi diri.
Tetapi bukan dalam masa terdekatlah.
Banyak lagi kerja dan tanggungjawab lain yang perlu dilaksanakan.
Sebelum ini pula saya sibuk dalam menghasilkan sebuah karya teater sebenar saya yang saya masih belum siap 100% lagi.
Tetapi boleh saja kalau hendak dipentaskan.
Saya judulkan teater saya yang pertama itu "Sang Pari-pari".
Mungkin dalam entri saya selepas ini saya akan selitkan sedikit sinopsis cerita Pari-pari itu.
Buat masa sekarang, biar ia menjadi rahsia peribadi saya walaupun sudah ada beberapa orang rakan teater saya yang sudah mengetahui serba sedikit.

Dalam minggu ini, Pesta Konvo UTP akan menguasai seluruh panorama UTP, di samping usaha Komiti IRCUTP merealisasikan Jalur Gemilang Terbesar menggunakan disket dalam memecahkan Malaysian Book of Records.
Ada kawan saya mengatakan bahawa sebanyak 26,000 disket akan digunakan untuk membina Jalur Gemilang tersebut.
Tetapi tidak pasti pula berapa dimensinya.
Besarlah agaknya.

Dah tak ada kerja dan dah tak guna sangat pun disket zaman sekarang ni kan..
Jadi, buatlah Jalur Gemilang terbesar.
Boleh tahan juga bila UTP yang berniat untuk melakukannya.
Saya tiada apa yang hendak dikatakan, cuma mendoakan kejayaan mereka.
Begitu juga dengan komiti Pesta Konvo.
Saya doakan kejayaan dalam apa sahaja yang diusahakan.

Sebut pasal Pesta Konvo, teringat pula saya akan betapa ghairahnya Melayu pada pesta temasya.
Dulu pun semasa saya menghadiri sebuah ceramah agama, ustaz yang bersyarah ada mengatakan bahawa orang Melayu memang suka keramaian, pesta dan seumpamanya.
Waktu itu saya masih muda mentah.
Baru 17 tahun. Anak muda.
Jadi saya hanya semat rapi kata-kata ustaz tersebut dalam minda dan hati saya.
Tiba-tiba pula ia terkeluar dari kotak minda saya.
Banyak pula tiba-tiba kali ini ya.

Rabu ini pada 22 Ogos 2007, ada Konsert Mini oleh selebriti-selebriti 8TV jemputan dan ditaja oleh Hotlink.
Pentas sudah pun siap dinaikkan nampaknya.
Ramai juga artis yang datang.
Dan antaranya adalah Ahli Fiqir, artis yang saya kagumi dari segi lagu dan mesejnya.
Bukan dari segi personalitinya.
Tetapi agak malang saya rasa jika Ahli Fiqir bersama-sama dengan kumpulan-kumpulan 'underground' dan artis-artis lain yang rata-ratanya Melayu, dan...
lagu-lagu Ahli Fiqir ditujukan untuk Melayu...
dan...
Aduhai...
Membuat persembahan di hadapan audiens Melayu.
Melayu di UTP ini.
Alahai...

Cuba fikir jika Raihan atau Rabbani menghadiri majlis seperti Anugerah ERA, Anugerah Bintang Popular dan sebagainya.

Saya tidak mahu berkontroversi atau seumpamanya.
Saya kurang reti hendak mengkritik secara sarkastik atau sinikal.
Lagipun, suara ini suara minoriti.
Siapa sahajalah yang sudi bertandang ke singgah sana sini ini dan membaca secara teliti.


Minggu ini juga saya dan rakan-rakan teater saya sama ada yang baru atau lama sudah memulakan latihan intensif, petang dan malam.
Skrip Jebat kena dibawa dengan cara yang betul.
Saya pun masih belum berlatih silat lagi walaupun pementasan pada minggu hadapan.
Harap-harap mulai esok saya sudah dapat berlatih bersilat bersama Jebat.
Kelas di waktu petang pula agak mengganggu jadual latihan saya.
Minggu ini pula sudah mula minggu yang dipenuhi kuiz dan ujian.
Berserah sahajalah.
Apa yang diusahakan, itulah yang akan kita dapat.

Selamat berjaya dalam kuiz dan ujian.
Selamat berjaya dalam projek dan pembentangan.
Selamat berhibur. Semoga tidak lalai dengan kewajipan. Itu sahaja.
Selamat berpesta konvokesyen.

Selamat berteater.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan