Rabu, September 30, 2009

Sedikit Prebiu: Asylum dalam TSATT09

Latihan buat sakit fizikal lantas letih mental. Jadi tak ada daya nak berkata-kata macam biasa.
Apa pun. Sedikit prebiu sebelum The Shark Attack Theatre Tour 2009 (TSATT09) bermula, watak-watak utama dalam teater Asylum:


Atul sebagai Atendan


Usop sebagai Y.B


Acab sebagai Baby


Anwar sebagai Pakcik


ps: Banyak entri ditulis sebelum ni yang masih berstatus draf dan tidak disiarkan sebab tak habis tulis. Bukan tak sempat. Tapi penat.

Season Finale: "Bedah"

Sedang sibuk-sibuk dengan Asylum.
Sempat lagi berhasrat untuk projek lain.

Ada dua projek selain Shark Attack.

Salah satu: "Bedah".
Skrip debut Dr Shark yang dibuat semula.

"Bedah" akan jadi season finale TTS semester ini. Yang berlakon adalah yang bakal graduate tidak lama lagi.
Sudah pasti. Macam biasa. Waktu study week. Eh tak ada study week ya.
Apa? Apa kau orang rungut-rungut? Dah tahu awal-awal tak ada study week pandai-pandai lah rancang jadual belajar engkau.
Jangan marah ya. Ini pesan Y.B yang sakit mental. Sakit otak.

Mungkin juga season finale Bedah ini akan jadi season finale buat aku di sini sebagai student...



ps: Banyak nak kata pasal teater Asylum kali ni. Tapi mental fizikal spiritual dah penat. Lain kali sajalah.

Jumaat, September 25, 2009

#2

Siang hingga ke malam tadi aku pergi beraya ke Felda Semenchu di Kota Tinggi.
Rumah pakcik aku. Abang kepada mak aku.
Lepas itu singgah pula di rumah sepupu di Taman Diaman Jaya.
Lepas itu singgah pula di rumah sepupu lagi satu di Felda Bukit Besar.
Dalam perjalanan balik pula terserempak dengan Mawi di papan iklan Marrybrown.

Sabtu ini aku akan bertolak pulang dari kampung halaman. Ke Kuala Lumpur.
Kemudian ke UTP pada hari berikutnya. Macam biasalah. Pit stop di KL.
Isnin pagi sudah mula full run teater Asylum.
Dan baru tadi aku teringat. Kena botakkan kepala!
Tak adalah botak licin habis. #2 saja.
Aku tak ada masalah pun nak botak macam tu.
Sebab rambut aku akan cepat tumbuh dan panjang semula.
Dan lagipun aku tak ada buat stail apa-apa pun pada rambut aku.
Biar natural, orang kata.

Jadi aku tak bagi tahu lagi pada misi aku yang aku akan botakkan kepala untuk show akan datang ni.
Aku hanya bagi tahu yang aku ada show tiga hujung minggu berturut-turut.
Minta-minta dia tak kerja waktu show di KL nanti.
Bolehlah dia datang tengok aku berlakon. (Segan lah pulak tiba-tiba.)

Aku memang pernah botak #2 sebelum ni.
Pertama adalah sewaktu di kem PLKN. Tahun 2005.
Tak menangis pun pertama kali kena botakkan kepala.
Mungkin sebab aku rasa tanggungjawab pada negara agaknya.
Agaknya.

[Meniru gaya kem komandan, Mj. Ahmad Jaidi sewaktu perlawanan Kembara Halangan di Kem Padang Hijau. Kesan putih di seluar pada bahagian lutut adalah bukti aku merentas halangan #12 - Tembok 12 kaki.]


Tahun 2006 aku botak untuk Asylum dan Miao Miao Sang Arnab.


[Bersama Zaman sewaktu hendak makan selepas show Miao Miao. Mekap tak tanggal habis lagi.]


[Bersama Afnan di Matrik Gopeng selepas show sulung aku, Asylum. Abaikan fizikal aku yang nampak kecewa putus cinta itu.]


Tahun 2007. Aku botak untuk Asylum untuk Festival Teater Perak.

[Bersama Anwar Samad selepas selesai full dress rehearsal Asylum 50 di UTP. Fizikal sudah bahagia nampaknya ya...]


Tahun 2008 hingga sekarang aku tidak pernah botak lagi sebab bini aku tak berapa nak gemar aku botak. Katanya nampak macam orang gengster. Katanya lah.

Entri kali ni adalah gambar sikit. Aku memang jenis tak suka letak gambar dekat blog ni. Lebih suka letak teks yang plain. Warna warni pun tak ada sangat. Sebab blog ni bukan untuk kanak-kanak.

Orang-orang gila Asylum sekalian.
Mari botak berjemaah.

Rabu, September 23, 2009

Raya, Anti-Rokok & Siri Iklan Syaitan: Satu Hubung Kait

Bila tiba musim perayaan, terutamanya Hari Raya Aidilfitri, iklan tivi mesti banyak yang tersiar secara special. Antara yang paling popular, iklan raya PETRONAS, lebih-lebih lagi hasil sentuhan seni Yasmin Ahmad. Namun sejak perginya Yasmin Ahmad ke pangkuan Illahi, tahun ini, yang tersiar di tivi hanyalah ulangan beberapa iklan raya PETRONAS yang terdahulu.

[Apa pun, aku masih tertanya-tanya (sengaja tertanya-tanya) kenapa iklan raya beliau boleh digemari dan disukai oleh orang, tetapi bila aku masuk panggung wayang untuk nonton filem-filem seperti Sepet, Gubra, Mukhsin, Talentime; panggung tidak sepenuh panggung yang menayangkan filem-filem Ahmad Idham dan ASSOCIATE PROFESSOR Razak Mohaideen.] - Aku dah tahu jawapannya, cuma macam aku katakan tadi, aku sengaja tertanya-tanya.

Kekata kunci: gejala, sosial, sial


Jadi berbalik kepada cerita asal. Tahun ini, iklan raya paling menarik pada pandangan aku adalah iklan raya TM. Rasanya orang dah ramai tahu sebab iklan itu banyak kali siar. Macam biasa, awal-awal tayang mesti iklan sepanjang dua minit ke atas. Dah lama sikit, iklan dipendekkan jadi satu minit. Di sini aku letakkan iklan yang asal.





Dan, satu lagi iklan tivi yang menarik adalah iklan kempen anti-merokok, yang jugak masih baru dan segar.




Kenal siapa yang jadi jururawat dalam iklan tu?


Okay. Cukup dengan iklan-iklan tivi di Malaysia. Sekarang kita pergi jauh dari Malaysia. Iklan berikut aku ingin kongsi dengan semua pembaca sekalian. Pertimbangkan juga bahawa iklan ini ada positif dan negatifnya. Itu kau orang kena rasa dan fikir sendiri lah.




Bagi yang kurang faham bahasa penjajah, suka untuk aku terjemahkan video tersebut ke dalam bahasa ibunda:

Kenal aku?
Akulah kekasihmu.
Abaleeso.
Aku hidup bersama dengan kau, anak Adam.
Makan.
Minum.
Dan tidur dengan kau.
Dan kau tak sedar apa-apa pun.
Ingat tak?
Ingat bila aku perdayakan kau?
Dan bila kau ditendang keluar daripada Syurga?
Sejak itu Allah memberi amaran kepada kau.
Tapi kau bodoh!
Kau hanya dengar cakap aku.
Kalau kau betul sayang Allah, kenapa kau ingkar terhadap Dia?
Dan kalau kau betul benci aku, kenapa kau dengar cakap aku?
Dan selepas semua itu kau masih mahu kembali ke Syurga?
Ya lah tu~
Aku ada pengalaman beribu-ribu tahun
memperbodohkan dan menggoda kau
dan juga mentertawakan kau
dan kau memang sentiasa dapat buktikan yang kau memang bodoh.
Kau memang tak guna. (Takkan aku nak tulis: Kau memang secebis lumpur.)
Dan kau akan sentiasa jadi begitu.
Aku boleh bentuk kau jadi apa yang aku mahu.
Walaupun aku tak boleh buat apa-apa terhadap kau.
Apa yang aku boleh buat hanya membisikkan beberapa patah perkataan kepada kau.
Dan kau akan dengar dan terus buat apa yang aku katakan.
Aku tahu kalau aku suruh kau pergi sembah berhala kau akan menolak.
Kau akan berpura-pura beragama dan jujur dengan Tuhan kau.
Tapi kau memang pembohong besar!
Kau nafikan?
Menafikan yang aku buat kau 'puja' semua benda di sekeliling kau?
Termasuk memuja diri kau sendiri, keangkuhan kau sendiri?
Aku buat kau puja duit, seks dan rupa.
Aku buat kau puja segalanya yang tiada nilai.
Aku buat kau puja ini (sambil menghisap rokok).
Asap.
Api.
Tar.
Kemudaratan.
Jijik.
Secebis diri aku.
Aku buat kau pujanya hanya untuk aku.
"Ia buat kau lebih yakin."
"Ia masuk dengan jiwa aku."
Tak ada ayat dalam al-Quran yang mengatakan
tembakau dan merokok adalah haram.
Kau nampak?
Kau sendiri yang memperbodohkan diri kau.
Bukan aku.
Aku hanya menggalakkan sahaja kebodohan kau.
Aku akan bakar kau sama seperti kau bakar rokok.
Aku akan pijak kau.
Kau nak masuk balik ke dalam Syurga?
Langkah mayat aku dulu!
Aku telah dilaknat jadi kau mesti ikut aku.
Aku akan buru kau dan aku akan ada cukup masa.
Anak Adam!



Dan berikut siri iklan tersebut:

Iklan 1 : Aurat
http://www.youtube.com/watch?v=kaIgJzhTh_k

Iklan 2 : Bohong
http://www.youtube.com/watch?v=lyWtFCRljv0

Iklan 3 : Arak
http://www.youtube.com/watch?v=OrcDDBbmjWc

Iklan 4 : Bangun Subuh
http://www.youtube.com/watch?v=bptgmXTRREo

Iklan 5 : Jaga Pandangan
http://www.youtube.com/watch?v=L6lbiyuS5gQ

Iklan 6 : Syaitan & Api
http://www.youtube.com/watch?v=oMZo5Wp3WBE

Iklan 7 : Makanan
http://www.youtube.com/watch?v=Wj845dgVjxI

Iklan 8 : Merokok
http://www.youtube.com/watch?v=J-qgEKX1qao

Iklan 9 : Hormati Ibu Bapa
http://www.youtube.com/watch?v=ywCjiUtx8hU

Iklan 10 : Hidung Tinggi
http://www.youtube.com/watch?v=Mwia6r1YFxI

Iklan 11 : Panas Baran
http://www.youtube.com/watch?v=9nIwnw8St7g

Selasa, September 22, 2009

Kucing

Masa tengah rehat-rehat di rumah.
Fikiran aku melayang ke dunia seni kita. Bagi saya apalah salahnya artis-artis kita ni nak berkahwin dengan Datuk R ke.. Datuk S ke.. Datuk K ke... asalkan mereka adil dan saksama kepada isteri-isteri mereka. Itulah rezeki artis kan kan kan?

Okay. Sejak kebelakangan ni tulisan aku mudah off-topic dan termasuk keratan-keratan dialog Y.B dalam skrip Asylum.

Masa tengah duduk-duduk, baring-baring di rumah di kampung ini.
Aku terfikir lantas teringin untuk mementaskan satu babak (atau beberapa babak) di mana seorang lelaki atau perempuan, berdialog dengan seekor KUCING yang asalnya masih hidup tetapi sekarang sudah mati, atau vice versa.
Kucing itu boleh jadi kekasihnya dahulu. Atau sesiapa sahaja yang dikasihinya dulu.
Lelaki atau perempuan itu boleh jadi pesakit mental (lagi?!). Atau boleh jadi dia seorang yang waras tetapi orang ramai sahaja yang melihat dia sebagai gila.
Isunya mudah. Kasih sayang, kehidupan dan kematian (yang biasa kita dengar, tetapi apakah cukup sekadar mendengar?).

Skrip pendek TAT EPAL DR. SHAMSUL sudah ada.
Harap-harap ia boleh diterima oleh produser (dan merangkap pengarah?) dan lepas cuti raya nanti boleh terus dengan penggambaran satu hari (di rumah produser sendiri? rumah terbuka?).



Ya.
Kucing memang comel.
Aku pasti. Ramai orang suka kucing.
Sebab kucing comel.
Sebab kucing manja.
Macam orang laki.
Suka perempuan comel.
Suka perempuan manja.
Tapi...

Bagaimana pula dengan kucing yang tak comel?
Bagaimana pula dengan kucing yang tak manja?
Ada orang suka ke?

Ya.
Ada. Sudah pasti ada.
Aku kata tadi: Ramai orang suka-
Bukan bermakna: Semua orang suka-
Malah.
Suka itu subjektif.
Bukan?

Dalam SAKU.
Ada SUKA.
Dalam SUKA.
Ada AKU.
Dalam AKU.
Ada KAU.

Ya.
Dalam aku, ada kau.

Ahad, September 20, 2009

Kau kata kau sedih sewaktu hidup kau lancar tanpa ujian berat, tetapi apa kata kau terhadap wanita yang dipenjara bukan kerana salahnya?

"Kau kata kau sedih sewaktu hidup kau lancar tanpa ujian berat, tetapi apa kata kau terhadap wanita yang dipenjara bukan kerana salahnya?"

Lupa. Lalai. Leka. Alpa.
Manusia. Lupa. Lupa. Lupa.
Lupa. Lupa. Lupa. Manusia.

Ya. Manusia memang mudah lupa. Selalu lupa.
Memang tak dapat dinafikan. Kita selalu diingatkan agar tidak melupakan mereka yang diduga dengan kesedihan dalam kemeriahan Syawal yang disambut oleh orang lain yang dikurniakan rezeki dan nikmat gembira. Namun, ingatan hanya sekadar ingatan.
Manusia lebih cenderung untuk menghayati rasa gembira.
Ya lah, siapa saja yang sengaja cari pasal untuk bersedih duka di pagi Raya?
Tetapi, di kesempatan ini, aku bersimpati kepada mereka yang baru saja kehilangan ahli keluarga atau orang-orang yang tersayang. Kebanyakannya diakibatkan oleh kemalangan jalan raya.
Jika kita yang tidak diuji sebegitu, apalah perasaan kita bila kita memasuki 'kasut' mereka?
Sudah pasti, tiada perkataan gembira. Tiada makna gembira. Ya, gembira kerana berjaya beribadah di bulan Ramadan melawan nafsu, tetapi sudah jadi lumrah manusia, diciptakan dan dimasukkan perasaan di dalam hati (atau jiwa? entahlah, aku pun tak pasti di mana letakknya perasaan) dalam diri manusia, pasti akan merasa sedih (amat sedih) apabila kehilangan orang yang tersayang, yang paling pasti, ibu bapa, anak-anak, adik-beradik, suami isteri.

Al-fatihah kepada semua muslim yang baru sahaja pulang ke pangkuan rahmatullah...

Malam tadi pula aku sempat membeli sehelai baju kurta dan kopiah. Kedua-duanya berwarna hitam. Bazar malam Raya itu sesak dengan orang ramai. Dan baru aku sedar, kampung aku semakin 'maju' nampaknya. Apa yang aku dapat perhatikan, orang-orang di kampung sama sahaja seperti orang-orang di bandar, di KL, misalnya. Hmmmmm...

Sewaktu pulang, aku terbaca berita di muka depan akhbar tabloid Metro. [Klik sini untuk baca.]

Aku tertarik dengan kisah wanita tersebut yang dilantik menjadi pelakon dan pengarah teater di penjara tempat dia dipenjarakan.

Wow. Memang hardcore. Aku tabik spring toing toing toing.
Tengoklah tuan-tuan dan puan-puan, ujian hidup yang dilalui oleh orang lain, yang mungkin kita tidak begitu ambil berat. Ya lah, orang lain punya hidup, orang lain punya buku cerita.
Tapi tuan-tuan, puan-puan, cuba bayangkan sekejap, sesaat, sedetik pun jadilah, apa perasaan kita jika kita di tempat mereka yang kurang bernasib baik itu?

Jadi tuan-tuan dan puan-puan, dikesempatan ini saya nak menasihati tuan-tuan dan puan-puan sedikitlah. Jangan lupa bersyukur dengan kehidupan yang senang yang anda lalui sekarang. Ingat, di luar sana ramai orang yang ditimpa dengan ujian yang berat melanda hidup mereka. Boleh jadi, ujian itu antara hidup dan mati.

Fuh. Hardcore. Teater. Kerja teater, boleh jadi kerja hardcore. (Kau orang dah mula tak paham kan, baik aku berhenti di sini.)

"Kau kata kau sedih sewaktu hidup kau lancar tanpa ujian berat, tetapi apa kata kau terhadap wanita yang dipenjara bukan kerana salahnya?"

Sabtu, September 19, 2009

Y.B Asylum Turun Padang ke Parit King pada Satu Syawal

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian warga Parit King,

1 Syawal yang kita nanti-nantikan telah pun tiba dan tak boleh dielakkan lagi (inevitable).
Nantikan kehadiran saya ke tempat tuan-tuan dan puan-puan.
Y.B akan turun padang sempena Hari Raya Aidilfitri ini.
Y.B yang baik hati dan murah hati akan bersedekah amal jariah kepada golongan pakir-pakir miskin.
Jangan lupa pergi sembahyang Raya di masjid yang cantik yang baru siap tu ya...


Tuan-tuan semua,

Di kesempatan ini saya nak menasihati tuan-tuan dan puan-puan sedikit lah.
Maklumlah sekarang ni musim raya, kalau dapat angpau ke, duit bonus ke, durian runtuh ke..
Tuan-tuan kena berhati-hati sikit berbelanja tu. Jangan dilupa bahawa lepas raya tuan-tuan kena lengkapkan dokumen berikut:

Malaysian Studies Book Report (09/10/09)

EIS Group Project Report (16/10/09)

FYP 1 Interim Report (26/10/09)

PDP 1 Interim Report (26/10/09)


Tapi tuan-tuan jangan risau. Tuan-tuan haruslah bergembira sehabis baiknya. Maklumlah, raya setahun sekali.
Akhir sekali saya selaku Y.B yang bertanggungjawab di sini ingin mengucapkan Selamat Menyambut Aidilfitri. Kepada mat-mat rempit hero kampung, jangan lupa parking motor elok-elok kat masjid esok supaya tidak mengganggu trafik. Diharap tuan-tuan dapatlah gunakan jejantas-jejantas yang ada disediakan tu.. Bukan apa, tuan-tuan tentu sudah maklum, trafik jam terlalu menjadi-jadi sekarang ni.


Yang benar,

Y.B


Asylum
2009

Jumaat, September 18, 2009

Bangku Boleh Lipat Idaman Akin Muhammad

Eh bukan bukan kerusi panas H.O.D
bukan kerusi kabinet
"..duduk aku hanya di atas lantai" - Putra, Teater Kerusi
tapi kerusi tuan direktor ini
nak letak satu kat rumah buat perhiasan




Dan bangku boleh lipat seperti di bawah ini dah lama aku aim nak angkut sebijik
ada jual kat Jaya Jusco
apa aku nak buat dengan bangku boleh lipat ini?
tahu-tahu, paham-paham sajalah ya



Dan kalau ada jual bangku boleh lipat seperti ini, aku ingin angkut sebijik juga
boleh buat perhiasan di rumah
kalau tak guna buat duduk tunggu bas dekat bus stop



budak-budak teater aku nanti tak payah lah bagi hadiah kahwin pinggang mangkuk retak, kuali bontot hitam, periuk nasi banyak kerak atau pun tabung gas
bagi hadiah kahwin yang sesuai
bangku-bangku boleh lipat seperti di atas, misalnya
ataupun platform kecil untuk aku letak atas pentas
atau buat hiasan di rumah
kalau tak ada show

Khamis, September 17, 2009

Cahaya Bintang / Bisikan Rahsia

Selaku orang yang menghargai matematik. Dan menjadikannya sebagai salah satu elemen hidup.
Tajuk entri ini dibaca sebagai Cahaya Bintang dibahagi dengan Bisikan Rahsia.

Tetapi tidak semua perkara ada matematik. Ada perkara yang ada bahasa. Tiada bahasa dalam matematik. Tiada matematik dalam bahasa.

Selaku orang yang menghargai seni. Dan secara khususnya teater.
Aku tertarik dengan entri blog ini. Dan terpanggil untuk berkongsi pendapat aku pula.

Perkara yang disebut juga sudah kerap kali disebut oleh aku. Antara dua ini.
Teater dan famili. Famili dan teater.

Bila aku sebut famili. Aku rasa cinta dan kasih sayang.
Bila aku sebut teater. Aku rasa passion dan tanggungjawab.

Pernah saja aku tinggalkan teater demi famili. Pernah saja aku tinggalkan famili demi teater.
Pendek kata. Aku sudah cuba pelbagai cara untuk merasai hidup dan melihatnya dari pelbagai sudut pandang.

Secara umumnya. Orang pandang orang seni sebagai orang yang seni.
Seorang kawan aku secara langsung memberitahu bahawa aku memang nampak sebagai orang seni. Cara jalan. Cara pakai. Cara cakap. Cara fikir. Apa-apa yang menunjukkan karektoristik.

Secara umumnya juga. Orang seni bergiat bukan sebab duit. Bukan sebab jawatan. Bukan sebab wanita. Tetapi sebab passion. Dan tanggungjawab. Rasa terpanggil untuk menyampaikan pendapat dan pemikiran serta perasaannya kepada khalayak. Tentang sesuatu. Yang disampaikan melalui pelbagai medium. Dari kepala otak ke atas kertas (atau ke dalam komputer riba) menjadi skrip. Dari skrip ke pentas menjadi satu pementasan.

Duit hanyalah satu bonus. Sebab orang seni pun namanya orang juga. Orang kena cari makan juga. Nak makan kena ada duit juga. Tetapi bagi orang seni yang bekerjaya di bidang lain. Tidak akan jadi masalah kalau mereka bergiat dalam seni tanpa dapat apa-apa habuan dari segi wang.

Ibu dan bapa aku tahu bahawa aku giat berteater sejak awal penglibatan lagi. Mereka tidak menghalang. Asalkan teater itu bermatlamatkan kebaikan. Dan pastinya, dengan cara yang baik. Abang-abang aku juga tahu aku berteater. Kakak-kakak ipar aku juga tahu. Dan Najwa juga tahu. Dan famili Najwa juga tahu.

Selain ingin menjadi jurutera. Aku banyak lagi matlamat kerjaya. Sudah pasti dalam bidang teater. Aku akan cuba sebaik mungkin. Aku nak tulis skrip lagi dan lagi. Nak tulis novel. Nak jadi cikgu matematik. Nak ajar kalkulus. Dan banyak lagi cita-cita canggih supaya aku akan dipandang tinggi di mata ibu bapa aku.

Dan syukur. Sekarang aku sedang menuju ke arah cita-cita yang aku senaraikan sejak aku berusia 17 tahun. Iaitu ketika aku di tingkatan lima dulu. Aku harap, aku akan jumpa fail dokumen senarai cita-cita aku itu.

Nur Kasih sudah jadi fenomena dewasa ini. Secara peribadi aku tidak menontonnya lagi. Jadi aku tidak boleh mengatakan sama ada drama tersebut layak atau tidak untuk menjadi satu fenomena dari segi pengisian dan keseniannya. Kalau tengok tajuk, boleh tahan.

Nur adalah Cahaya.
Najwa adalah Buruj iaitu Bintang. Atau ada satu lagi maknanya Bisikan Rahsia.

Syyyyyyyyyy!

Tat Epal Untuk Dr. Shamsul

Raya dah dekat. Show pun dah dekat.
Antara kuih raya yang popular adalah kuih tat. Biasanya tat nenas.

Jadi macam biasa. Ada saja idea yang terpacul keluar.
"Tat Epal Untuk Dr. Shamsul"
Sebuah telemovie sempena Hari Raya. Ya lah, musim Raya ni kan banyak telemovie siar kat tivi.
Skrip ini skrip masa depan. Ada masa nanti bolehlah buat. Dah tua nanti waktu aku dah bersara bolehlah buat.

Semalam aku sudah selesai bentangkan projek tahun akhir aku.
Komennya mengatakan yang aku boleh dan mampu buat projek aku tu dalam masa kurang setahun ni.
Dan satu lagi fundamental aku kena kukuh lagi. Kena kuat sehingga boleh nampak bayangan ikatan hidrogen yang terbentuk. Maknanya, kena faham sampai tahap molekul lah.

Malamnya macam biasalah, ada latihan teater. Malam ini aku sedikit pening kepala.
Sama ada terlebih tidur atau terkurang tidur.
Dan malam itu juga adalah malam terakhir latihan sebelum cuti raya.
Perlu balik semula ke UTP hari Ahad 27 hari bulan.

Tentang latihan pula. Setakat ini kami belum ada full run. Sebab pelakon yang datang latihan tidak pernah cukup. Tak pernah semua ada sekaligus.
Jadi full run hanya akan berlaku pada Isnin dan Selasa 28 dan 29 hari bulan ini.
Pagi, petang dan malam hingga lewat malam sampai sakit badan.
Oh, aku rasa kebarangkalian aku hendak sakit-sakit badan adalah kurang sebab aku hanya berdiri di belakang rostrum dari awal sampailah babak klimaks.
Jadi ruang aku hanya di situ. Di belakang rostrum itu. Jadi kenalah pandai main ruang yang terhad tu.
Tak macam aku jadi Mat Merah dulu. Terkinja-kinja atas pentas dari saat pertama hingga saat terakhir (Adalah, keluar masuk pentas sekejap-sekejap. Oh, tidak. Jangan keluar aura Merah aku. Jangan!)

Show di UTP aku tidak berapa nak risau (risau juga, tapi tak sehebat kerisauan aku untuk show di KL!). Selepas TTS dan TQA berjaya dengan Shark Attack Tour ni, maka ia akan menjadi satu kayu ukur buat TTS dan juga TQA.
Minta-minta (doa-doa) DBKL akan luluskan permohonan lesen hiburan di KL secepat mungkin.
(Selamat berjaya, Anwar!)

Sekian saja melaporkan.

Selasa, September 15, 2009

Salam Aidilfitri daripada Y.B Asylum

Tuan-tuan dan puan-puan,


Sedikit sibuk dengan hal dunia sejak kebelakangan ini.

Esok pagi kena bentangkan projek tahun akhir ini di hadapan internal examiner, AP Dr Azmi Shariff. Jadi kena hantar semua yang perlu esok pagi juga.
Bagus juga rasanya. Cuti raya boleh goyang kaki tanpa hirau apa-apa.

Budak-budak produksi Asylum kena ada di UTP semula hari Isnin 28 September nanti.
Walhal aku dah beli tiket balik UTP hari Selasa 29 hari bulan. Minta-minta ada lagi tiket bas hari Ahad 27 hari bulan tu.

Masa adalah suntuk buat produksi Shark Attack. (Macam biasalah, tak pernahnya tak suntuk)
Apa pun kami cuba buat yang terbaik untuk semua bakal penonton.

Latihan Asylum semakin progresif. Cuma babak akhir yang paling sukar itu belum dilakukan lagi. Pendek kata, semua pelakon dalam semua babak perlu diasah, dicantikkan, dikemaskan, digilapkan lagi dan lagi bagi menjamin kualiti dan mutu persembahan. Orang bayar tiket, kenalah buat yang terbaik. (Walaupun sepanjang pengalaman aku menonton teater, banyak kali aku menghadapi situasi ketidakberbaloian tiket mahal-mahal, terutamanya di....)

Okaylah. Aku akan balik kampung hari Jumaat ini. Malam. Sampai kampung waktu Subuh, hari terakhir Ramadan.

Di kesempatan ini, saya selaku Y.B di sini ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada tuan-tuan dan puan-puan semua. Di kesempatan ini juga saya nak menasihati tuan-tuan sedikit, kalau dapat duit raya ke.. duit bonus ke.. duit terlajak ke... durian runtuh ke... Tuan-tuan kenalah berhati-hati sedikit berbelanja tu. Simpan saja durian tu di bank!

Bye~

Jumaat, September 11, 2009

Kakiseni. Tanganseni. Badanseni. Kepalaseni. Otakseni. Mataseni. Telingaseni. Hidungseni. Lidahseni.

Tambah satu lagi.


Selseni.

Iya lah. Selseni. Alah, sel.. Sel pun tak tahu ke? Kau tengok cerita kartun Dragonball tak?
(Maaf kalau ada sesiapa yang termati sel-sel otak dia kalau baca benda ni.)





Maka jelaslah. Teranglah. Tak payah pakai lampu suluh.
Nak pakai boleh juga. Kalau dah tak nampak sangat. Kalau dah rabun benar. Kalau dah gelap.






ps:

Mari kita jenguk masa depan dalam jangka masa yang pendek.

Januari 2010.

Aini, Anwar, Din, Fauzan - Graduate
SEFA, Tasha - Internship
Aku - Nak berehat. Titik penuh. Ya.
(Macam lah boleh kan. Kalau jambu ke.. epal ke.. boleh lah kot...)

(Tapi kalau ada show yang dapat duit mungkin boleh dipertimbangkan.)
(Iya lah.. sekarang ni nak kahwin kena ada sedia duit jugak beb. Zaman mencabar sekarang ni.)


Oh, tapi tak apa.

Half, Cairell, Zafran ada. Eh, Zafran? HA HA.



Jadi, orang-orang muda, buatlah TTS ni macam kau orang punya sendiri.

Khamis, September 10, 2009

Perasmian Projek-Projek oleh Y.B

ehem. ehem.

Y.B nak baca sajak sikit lah ya

kaulah mega,
kaulah giga,
kaulah tera,
kaulah peta,
kaulah exa,
kaulah zetta,
kaulah yotta,
kaulah xona,
kaulah weka,
kaulah vunda,
kaulah uda,
kaulah treda,
kaulah sorta,
kaulah rinta,
kaulah quexa,
kaulah pepta,
kaulah ocha,
kaulah nena,
kaulah minga,
kaulah luma


Sebagai Y.B di sini, dengan ini saya merasmikan projek-projek KILO, MEGA, GIGA dan TERA ini!!!


KILO - HR Management in Small Organizations: Issues and Challenges

MEGA - Cathodic Protection System

GIGA - 8CO2.46H2O

TERA - VA


Oh, tak lupa juga, satu lagi projek yang lebih besar daripada TERA, iaitu:


PETA - SHARK ATTACK! (Oh, yang ini super bahaya)


Latihan karaktor Y.B aku masih tidak konsisten. Kadang kala aku rasa ok. Kadang kala aku rasa tidak. (Mungkin sebab kadang kala aku datang latihan. Kadang kala tidak.)
Sedang cuba berlatih untuk memberi makna pada tiap patah perkataan, enjoy tiap patah perkataan. Itulah latihan yang dapat aku lakukan sendiri. Lepas itu tunjuk depan direktor, macam mana.
Tapi aku dapat rasa sedikit kelainan kali ini.

Bagi watak-watak lain pula, aku rasa mereka perlu berlatih dengan lebih gigih lagi.
Semua watak (termasuk watak aku sendiri) ada masalah.
Macam Y.B masih belum dapat relaks dan light sepenuhnya.
Macam Atendan pula karaktor masih ON-OFF.
Macam Baby pula masih kurang comel.
Macam Pak Cik pula adakalanya pacing terlalu cepat.
Macam Mat Merah dan Mat Hijau pula kegilaan belum nampak lagi, tidak cukup hiper, tidak cukup reaksi (watak berdua ni akan sentiasa ada dari awal sampai akhir).
Macam Penagih pula belum cukup desperado dan high. Lontaran vokal menjadi masalah biasa.
Macam Pengedar pula masih belum dapat variasikan dialog. Selalu cenderung untuk menjatuhkan energi.
Macam Fura Panda pula perlu enjoy lebih lagi (karaktor dah ada, cuma perlu diasah lagi).
Macam Wartawan pula (eh, dia dah final exam kan.. Trimester katakan) perlu lebih hangat dan hangit lagi. (Tapi aku rasa tak banyak masalah sangat watak ni...)
Macam Uncle Sam pula perlu lebih relaks, enjoy, variasikan dialog, be more as the REAL Uncle Sam. (Tapi Englishnya dah good enough. Cuma ada pacing yang perlu dijaga.)

Well, aku rasa itu sahaja masalah besarnya.
Watak-watak PBB tak ada masalah.
Watak Penonton pun tak ada masalah sangat.

Okay. Esok malam macam biasa ada latihan. Pagi esoknya ada ujian Pencemaran Udara. Tapi aku tak jadikan malam sebelum ujian itu sebagai alasan untuk tidak datang latihan. Lepas latihan boleh ulang kaji pelajaran, tidak begitu?



ps: Jangan contohi orang lain, tetapi jadikan orang itu sebagai contoh untuk kau kembangkan dan bangunkan diri kau sendiri, ikut cara kau sendiri. Jadi diri sendiri adalah yang terbaik daripada jadi diri yang mengikut contoh orang lain. Diri sendiri adalah yang asli. Yang asli dan tulen sudah pasti yang terbaik! Jadi belilah barangan asli, tulen dan original demi mutu dan kualiti yang berpanjangan.

Rabu, September 09, 2009

Darah Muda

Orang-orang muda sekalian
agresif agresif
apa guna darah muda dalam tubuh kalian kalau tidak agresif
dah agresif
barulah progresif



ps: Alah, aku berkias sikit ja ni... Takkan susah sangat nak faham kot...

Bercinta & Berkorban Hanya Sekadar Satu Perkataan

Dalam sibuk-sibuk dengan projek-projek tahun akhir ni, aku sempat lagi jalan-jalan berbelanja di pusat membeli-belah terkenal di tanah air.
Hari tu aku baru angkat satu coffee maker jenama ELBA warna hitam-perak.
Lepas ni aku target nak angkat toaster pulak. Lepas tu kipas air-cond berdiri.
Dan lain-lain barang perabot dan elektrik elektronik. Bukan apa. Sikit-sikit lama-lama jadi bukit.
Dah kahwin nanti dah banyak perkakas rumah yang dah ada.

(Jadi tak perlulah aku canang pada dunia betapa aku serius bercinta kan... Bercinta itu hanya satu perkataan. Kalau tidak diberi makna pada perkataan tu, ia hanya sekadar satu perkataan yang tiada makna. Jadi, setiap orang ada makna tersendiri yang boleh dia masukkan dalam perkataan itu.)

Hidup kena banyak berkorban. Barulah kau dapat rasa yang kau tu betul-betul hidup.
Ramai saja manusia yang tidak hidup dengan betul. Malah ada sahaja manusia yang sudah jadi mayat. Mayat hidup.

Macam aku katakan tadi. Berkorban hanyalah satu perkataan. Kalau tidak diberi makna pada perkataan tu, ia hanyalah sekadar satu perkataan yang tiada makna.
Jadi, mengikut pandangan aku, apa-apa sahaja perkataan wujud dalam dunia ini, jika tidak diberi makna (oleh si pelaku) maka, ia tidak bermakna.
Tidak bererti. Dan boleh blah. Berambus. Bye. Bye.



ps: Boleh jadi isi dalam skrip ni...

Selasa, September 08, 2009

Puisi Untuk Orang Tin Kosong

Bagi aku
biar kurang cakap
biar kurang bunyi
asalkan orang tahu
aku bukan loser
aku bukan cakap kosong

Bagi aku
biar aku nerd
biar aku skema
asalkan orang tahu
aku bukan loser

Cakap banyak tak guna
Banyak bunyi tak guna
kalau CaTakSeruKin
cakap tak serupa bikin
bak kata Pak Samad Said
habuk pun tak ada

Cit
poda

Tak payahlah bazir masa jadi tin kosong
Dahlah bunyi bising
Berbahaya pula tu
Kalau jadi ubi kayu ke okaylah juga
Sedaplah juga dimakan

Cit
poda

Isnin, September 07, 2009

Teater Antarabangsa?

Dulu Dr Shark pernah mencetuskan idea untuk tidak bertanding dalam pertandingan teater Melayu di Malaysia. Lantas disuruhnya aku untuk mencari mana-mana peluang pertandingan teater antarabangsa.

Tapi itu cerita lama.

Tapi baru tadi aku terfikir semula akan perkara ini. Lantas aku memasukkan kata-kata kunci "international theatre festival" dan akhirnya ada beberapa laman yang berkaitan:

Rubicon International Theatre Festival

Revolutions International Theatre Festival

Fringe Theatre Festival


Dan banyak lagi lah.

Jadi, selain Asylum The Movie dalam projek masa depan TTS, apalah salahnya mencuba untuk menyertai festival teater antarabangsa pada masa akan datang.



ps: Tapi apa-apa pun, aku perlu menimba banyak lagi pengetahuan dan pengalaman dalam bidang teater ni. Aku ada disuruh oleh Dr Shark (lagi, ya dan lagi) untuk menjadi salah seorang pendidik TTS.

So?

So?

Siang hari ini aku pergi ke Menara DBKL 3, bersebelahan dengan UniKL.
Urusannya untuk hantar dokumen yang diperlukan untuk mendapatkan lesen hiburan mementaskan teater di KL nanti.
Aku bergegas pergi dan balik sebab tiket aku perlu kejar bas balik ke UTP sebelum pukul 12.30 tengah hari.

Atmosfera kerja di situ sedikit lembab. Gerak kerja sedikit perlahan.
Tapi memandangkan tidak ramai orang di Jabatan Perlesenan itu, ia tidak menjadi masalah.
Seorang pekerja wanita 40-an yang melayan aku.

Dalam masa menunggu dia menyemak dokumen-dokumen itu, aku amat berharap tiada masalah yang akan berlaku dan semua akan berjalan lancar.

Tetapi...

Borang Permohonan Lesen Hiburan yang berwarna kuning itu berserta dokumen-dokumen yang diperlukan didalamnya perlulah disediakan sebanyak 5 set. Aku hanya bawa 1 set saja.

Pasal banner dan bunting pula lagilah banyak yang perlu diperbetulkan. Tak perlu rasanya nak tulis satu-satu dekat sini.

Tapi syukur. Sempat sampai di Pudu Raya untuk balik ke UTP.


ps: Sepanjang dua malam ini aku dapat SMS untuk pergi latihan teater. Nampaknya bukan aku seorang saja yang tidak datang latihan. Masa suntuk. Sekarang terpulang kepada pelakon sendiri untuk berlatih watak yang perlu dibawa nanti.

So?


Oh ya, aku dah pun hantar ketiga-tiga skrip aku ke Kakiscript

Jumaat, September 04, 2009

8CO2.46H2O





8
CO2.46H2O




Tidur. Mati.

Bila aku kepenatan yang amat.
Aku akan tidur mati.
Letaklah bunyi loceng sebising mana sekalipun dekat dengan telinga aku.
Aku tak akan bangun.
Kecuali nama aku dipanggil oleh seseorang yang sedar.

Menjadi satu entiti yang unik bukannya mudah.
Kau rasa kau perlu jadi lain.
Dan dalam masa yang sama.
Kau rasa kau perlu jadi diri sendiri.
Tak perlu jadi orang lain lah.

Sebagai orang seni, aku terpanggil untuk memerhati orang-orang sekeliling.
Sikap dan sifat mereka. Bagaimana mereka berfikir. Bagaimana mereka menjalani kehidupan.
Dan semuanya itu meresap masuk ke dalam hati aku dalam bentuk rasa.
Rasa dalam jiwa.
Rasa dari rupa.

Aku akan gembira bila orang lain sedih.
Aku akan sedih bila orang lain gembira.
Aku akan faham bila orang lain tak faham.
Aku akan tak faham bila orang lain faham.

Nah. Kan aku dah kata.
Menjadi entiti yang unik ini (yang jauh dari dunia yang sepatutnya aku diami) bukanlah mudah.

Tapi, hidup telah dirancang.
Dan perlu diteruskan. Bukan?




Kau tidurlah selagi kau boleh rasa nikmatnya sebelum kau tidur selama-lamanya.
Kau bersyukurlah atas segala nikmat yang kau rasa, asalkan jangan kau lupa dan alpa, beta, gamma, x-ray.

Khamis, September 03, 2009

Asylum The Movie

Hari tu aku ada chatting dengan Acab Bond.
Pasal pertandingan filem pendek sempena Digital Art Competition (DAC) yang dianjurkan oleh Medtech.
Sekarang ni musim filem dan teater pendek agaknya.
Teater 10 minit pun dah popular sekarang ni.
Filem pendek pun boleh tahan berkembang. Contohnya sekarang, 15Malaysia tu.

Jadi, temanya Community Message. Mesej untuk komuniti.
Acab sudah ada idea. Jadi aku tuliskan skrip untuk dia.
Minta-minta dia jadi buat. Tinggal seminggu saja lagi sebelum tarikh tutup penyertaan.

Masa tengah chatting ada pula idea nak buat trailer teater Asylum nanti.
Skrip pun aku dah buat.
Tinggal nak shooting saja.
Entah bila.

Masa tengah chatting ada pula lagi idea nak filemkan Asylum.
Jadinya, Asylum The Movie ini ada teater dalam filem. Cerita pasal pesakit-pesakit mental di Unit Psikotik Negara. Dalam masa mereka berlatih untuk pentaskan teater tu, adalah flashback kisah-kisah hidup mereka sebelum masuk ke Asylum tu.
Kalau macam si Y.B tu dulunya Y.B tapi adalah ceritanya yang menyebabkan dia jadi gila.
Dan begitulah seterusnya untuk watak-watak lain yang significant.
Watak-watak sampingan boleh juga dimasukkan dalam flashback sebagai kaitan cerita silam Y.B, Baby, dan Pak Cik.
Masa berlatih tu jugak pesakit mental tu semua adalah konflik. Bergaduh ke. Skandal ke. Dilema ke. Apa-apa sajalah.
Dan akhirnya mereka berjaya mementaskan teater, walaupun mereka orang gila.
Dan, sudah pasti, aku terfikir untuk twistkan ending cerita Asylum The Movie ni. (Hehehe)

Apa pun, kalau betul-betul merancang nak filemkan Asylum ni, kena kerja keras la kot.
Kena dapatkan sponsor. Kena ada banyak duit. Hmmmm...

Rabu, September 02, 2009

Why, B?

Kredit foto: nazkhalid


Why, B? (Kenapa, B?) (B, itu panggilan manja)

Yang Berhormat
Yang Berkuasa
Yang Busuk
Yang Besar
Yang Bodoh
Yang Bongok
Yang Bengap
Yang Bosan
Yang B***
Yang B****


Ha ha.
Kalau tengok foto ni, teringat watak Y.B Asylum yang dibawa oleh Pot (Faiz Putra).

Dalam teater Asylum, perkara pertama sekali, semua pelakon sakit mental. Kecuali Atendan lah. Tapi kalau tengok pun, Atendan boleh jadi gila dengan perangai pesakit-pesakit mental ni, lebih-lebih lagi dengan Pak Cik.

Setakat ni yang aku alami, Y.B pernah dipegang oleh:

Koba
Pot
Abang Shamsul (MINDEF)
Dr Shamsul

[UPDATED] Dan, Y.B pertama dalam Asylum adalah Osman Affan.



Petang tadi pula sesi latihan peribadi (lain macam bunyinya) bersama Dr Shark. Atendan juga turut sekali.

Macam biasalah.
Kena beri makna pada setiap patah perkataan.
Kena enjoy setiap patah perkataan.
Kena exaggerate setiap patah perkataan.
Kena hiper. (SEFA, kalau kau tak berehat, kau mesti pakar bab menghiperkan diri ni.)

Pendek kata, perlu lebih teliti lah kalau berlatih sendiri pun. Bukan hanya setakat nak habiskan dialog. Bukan hanya setakat nak variasikan intonasi.

Malamnya pula ada latihan lagi dengan watak-watak lain.
Walaupun hanya berdiri di satu tempat sebab nanti atas pentas berdiri dekat rostrum, tapi boleh tahan juga penatnya. Jadi boleh bayanglah bagaimana penatnya Mat Merah, Mat Hijau dan Baby yang perlu sentiasa hiper di atas pentas selama satu jam.

Lepas latihan pula ada meeting FYDP yang memeningkan kepala hotak.



Tapi tak sabar nak berlakon di KL (walaupun hanya di Taman Budaya (yang orang KL pun ramai tak tahu dan ada yang confuse dengan Istana Budaya) tapi, well, not bad lah tu!) pada bulan Oktober ni.

Oh ya, TTS dah labelkan show ni sebagai "THE SHARK ATTACK THEATRE TOUR 2009"
Perkataan "Attack" itu diilhamkan oleh SEFA.
Dan aku menambah "Shark" di hadapannya.

Dan inilah logo tour TTS yang direka oleh Half.