Isnin, September 03, 2007

Suara Akin II - Episod 18 - Kembalikan Aku Ke Kampung Halaman

Sudah beberapa kali saya pergi ke kaunter tiket bertanyakan tentang tiket balik raya.
Pertama kali pergi tersangatlah awal dan diberitahu hanya akan dijual pada pertengahan September.
Namun beberapa hari yang lalu ada seorang kawan saya yang mengatakan tiket balik raya sudah boleh dibeli.
Jadi malam semalam saya pun pergilah.
Tetapi saya agak terlewat sedikit kerana menunggu hujan yang lebat reda.
Kaunter telah pun tutup.
Siang tadi pula saya pergi tetapi berita yang sama diberitahu bahawa tiket balik ke Johor hanya akan dijual mulai pertengahan September.
Nak kata buang masa, memang pun.
Tapi tak mengapalah.
Sekurang-kurangnya saya tahu berapa haribulan saya harus pergi membeli tiket.
Yang ada dijual hanya tiket ke Kuala Terengganu dan Kota Bahru.
Belah pantai timur sahaja.
Mungkin ramai pelajar UTP dan UiTM Sri Iskandar berasal dari kawasan tersebut.
Mungkin sebab itu tiket dijual lebih awal.

Saya mahu pulang ke kampung halaman.
Tidak kira jika dalam bulan Ramadhan sekali pun.
Tapi seronok juga jika dapat berpuasa bersama keluarga di kampung.
Bukankah kampung itu indah?

Alhamdulillah saya dapat menyelesaikan kerja-kerja tertangguh saya dalam masa satu hari ini.
Huhu. Itulah padahnya jika bertangguh.
Terpaksa bersengkang mata menyiapkan apa-apa perkara.

Bila bersengkang mata waktu tidur pun tidak betul.
Silap hari bulan, Subuh pun lingkup.
Bukan setakat Subuh, kelas-kelas di waktu pagi pun turut sama.
Sudah berapa banyak kali sudah terponteng.
Terponteng membawa maksud tidak sengaja.
Tetapi tidak sengaja disebabkan tidur lewat.
Tidak sengajakah begitu?

Saya suka subjek matematik.
Setelah beberapa semester saya belajar di UTP, subjek matematiklah yang menyerikan hidup saya.
Tetapi Ujian Kaedah Numerikal petang tadi saya tidak dapat selesaikan dengan seratus-peratus keyakinan.
Tetapi saya rasa jiwa matematik saya sedikit sebanyak membantu.
Walaupun mengulang kaji secara kilat di saat-saat akhir menghafal rumus hanya sekadar untuk ujian (yang mana merupakan tabiat saya sehinggalah tibanya Minggu Belajar sebelum Minggu Peperiksaan Akhir).
Saya memang tidak bersedia awal.
Apa nak jadi dengan saya?
Saya memang suka bertangguh tugasan.
Apa nak jadi dengan saya?

Mungkin saya kurang gemar gaya hidup belajar sebegitu.
Mungkin saya lebih suka kerja ikut kesukaan saya.
Walaupun tidak setiap masa saya boleh buat begitu.
Saya tahu itu secara tampaknya bukanlah sikap optimistik.
Bukan sikap seorang pelajar yang mengkehendakkan Anugerah Canselor Emas, Perak mahupun Gangsa.
Tetapi satu yang saya pasti, saya jadi diri saya sendiri.
Saya tidak mengikut orang.
Sebab saya rasa saya tidak suka ikut-ikut orang.
Terpulanglah pada individu jika ingin ikut cara orang lain belajar dan jalani hidup.
Itu hak masing-masing.

Tiba-tiba saya berceloteh tak ingat dunia.
Oh ya, di kesempatan ini saya ingin mengucapkan salam takziah buat rakan sejurusan kimia saya, saudara Khairul Fahmi yang baru sahaja kehilangan bonda yang tercinta.
Saya doakan agar roh ibunya bersemadi dengan aman tenteram, dicucuri rahmat ALLAH, di alam barzakh dan akhirat yang kekal.
InsyaALLAH..

Bagi mengakhiri entri saya kali ini, suka saya siarkan alamat blog Tuan Direktor TTS:

http://drshark.blogs.friendster.com/dr_shark/

Bacalah. Sekadar untuk pengetahuan sesiapa yang telah lama, baru ataupun belum mengenali TTS.

Salam kampung.
Salam matematik.
Salam takziah.

1 ulasan:

  1. yaa!!! jadi diri sendiri lebih baik!!
    improvement is a must but it doesn't mean we have to follow others. do it our own way =)

    BalasPadam