Khamis, September 06, 2007

Suara Akin II - Episod 21 - Setengah & Separuh

"Madah Muqaddimah"

Dunia ini ibarat pentas lakonan
Manusia itulah pelakon dan pengarah utamanya
Al-Quran dan as-Sunnah itulah skripnya
Malaikat itulah jurugambarnya
Islam itu jalan ceritanya
Kiamat itulah kesudahan penggambaran
Padang Makhsyar tempat penganugerahannya
Rasulullah S.A.W adalah penerima anugerah terbaiknya
ALLAH S.W.T adalah hakimnya
Syurga atau Neraka adalah trofinya


Malam tadi saya telah pergi ke Konsert Kembara Sufi kali ke-6 anjuran Kelab MedTech bersama Rakan Masjid UTP sempena Minggu Penghayatan Ramadhan 2007.
Artis jemputan tahun ini adalah Ustaz Akhil Hayy dan Nazrey Johani.
Ustaz Nazrey Johani yang kini bergerak solo selepas berada di dalam kumpulan Raihan tampil memulakan persembahan dengan mendendangkan 6 buah lagu, 3 lagu dari album terbarunya dan 3 lagu dari album lamanya bersama Raihan.
Alunan suara yang cukup tenang dan menenangkan telinga si pendengar.
Si anak kecilnya juga turut bersama menghiburkan hati para penonton yang dapat dibanggakan kehadirannya yang hampir memenuhi tempat duduk yang tersedia.
Cukup bersahaja persembahannya.
Memang otai.
Otai nasyid tanah air.
Nasyid hiburan alternatif.
Nasyid yang kian berkembang, setelah diperintis secara komersial oleh kumpulan Raihan pada tahun 1999 kalau tidak silap saya.
Di mana abang saya dan saya sendiri turut menggemari lagu hit pertamanya 'Puji-pujian' yang saya ingat, telah menduduki tempat teratas dalam carta satu rancangan muzik di TV selama berminggu-minggu suata masa dahulu.
Setelah lahirnya Raihan, muncullah kumpulan-kumpulan nasyid yang lain seperti In-Saff. (Err...)

Apa pun, malam itu Dewan Canselor terus digemparkan lagi dengan persembahan bertenaga oleh Ustaz Akhil Hayy yang telah agak lama juga saya kenali sewaktu di sekolah menengah dulu.
Maklum sajalah, beliau merupakan penceramah dan pendakwah bebas yang merupakan bekas penyanyi kumpulan rock suatu ketika.
Saya pernah juga menghadiri ceramah beliau.
Dan ayah saya juga dulu banyak membeli kaset ceramahnya.
Memang sudah tahu caranya berceramah.

Apa pun, Akhil Hayy turut mendendangkan 6 buah lagu yang terdiri daripada lagu dari album keduanya dan beberapa lagu lain yang didendangkan khas sebagai tribut.
Memang stail yang cukup rock.

Dan akhir sekali, saat yang ditunggu untuk lagu hit 'Suara Hidayah' yang cukup indah gabungan sari kata dan susunan lagu dan irama yang cukup menarik jiwa, memikat kalbu.
Malam Kembara Sufi itu berakhir pada pukul 12.30 tengah malam.

Apa yang cukup bagus dalam hiburan sebegini adalah di samping berhibur, pengajaran juga turut diperoleh.
Dan itulah hiburan yang dituntut.
Hiburan yang mampu mendekatkan diri kita pada Pencipta.
Hiburan yang mampu mendidik jiwa dan membentuk minda.
Bukan sekadar hiburan kosong! Yang melalaikan!
Itu yang mendatangkan salah dalam berhibur jika terlampau batasan hukum-hakam agama.
Saya pun pendengar musik.
Siapa (manusia) yang tidak dengar musik di dunia ini?
Saya pun dengar pelbagai genre musik.
Bukankah musik itu INDAH?
Bukankah musik itu sub-SENI?
Bukankah SENI itu JIWA saya?

Saya ucapkan tahniah dan syabas kepada pihak penganjur kerana berjaya mengajak umat ke arah hiburan sebegini.
Promosi yang dijalankan cukup baik dan berkesan.
Dan konsert tersebut juga diadakan pada waktu dan hari yang sesuai, tidak seperti sebelum ini (sejak saya berada di UTP) yang diadakan pada waktu cuti pertengahan semester.
Oh, mungkin sebab cuti pertengahan semester ini sudah tiada?
Oh, tidak! Jika ada sekalipun, ia akan bermula pada 8 September ini.
Sebut tentang cuti 8 September, saya sudah berangan-angan untuk berhujung minggu bersama famili tercinta di kampung halaman.
Mungkin esok malam saya hendak pulang ke Batu Pahat, jika tiada aral melintang, jika diizinkan.
Saya pasti, keluarga di rumah juga turut merindui kepulangan saya.
Mana tidaknya?
Lebih-lebih lagi ibu saya yang sering mengatakan kerinduannya semasa saya di sini apabila saya berada di kampung.
Walaupun hujung minggu itu hanya 2 hari, tetapi saya akan jadikannya seolah-olah satu minggu menggantikan cuti pertengahan semester saya kali ini. (Hehe..)
Tetapi, adakah tiket bas pulang ke Johor?
Saya tidak tahu.
Dan saya mesti ambil tahu seberapa yang segera.

Setengah & Separuh.
Manusia perlukan rehat.
Manusia perlukan tenaga.
Manusia perlukan hiburan.
Setengah hiburan itu menghiburkan.
Separuh hiburan itu mengajarkan.
Islam itu suci.
Tetapi Islam itu tidak separuh atau setengah.
Islam itu menyeluruh.
Islam itu agama kita.
Agama yang satunya menuju ke arah HAKIKAT YANG SATU itu.

Salam Kembara Sufi.
Salam hibur libur.
Salam hakikat.
Salam Islam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan