Ahad, Januari 30, 2011

Theatre of the Oppressed "Jom Pergi Solat" - Percubaan Pertama

Malam semalam aku pergi menonton show TTS sempena Karnival ForTeen anjuran SaifulIslam Training & Consultancy. Show tersebut dibuat di perkarangan Masjid Bukit Indah, Ampang. Teater yang dibuat oleh TTS berbentuk interaktif - mengaplikasikan Theatre of the Oppressed, salah satu teknik lakonan improvisasi Boal yang turut sama mengajak penonton menjadi sebahagian daripada pelakon dalam teater itu bagi memberi penyelesaian kepada permasalahan terhadap situasi kehidupan realiti. Aku hanya pernah belajar teknik ini sekali sahaja dahulu dibawah tunjuk ajar Dr.Shark yang mana berpengalaman dalam improvisasi Boal sewaktu beliau di USA dulu. Dan TTS belum pernah buat teater dengan teknik ini di khalayak ramai sebelum ini, dan malam semalam, adalah yang pertama kali, dan pertama kali buat show di kawasan masjid. Mungkin lepas ini boleh buat show di DALAM masjid pula.

Situasi yang diwujudkan untuk teater itu adalah tentang seorang pemuda yang bernama Bedul yang hendak pergi solat Maghrib di masjid dan terserempak dengan tiga orang anak muda yang lain yang sedang melepak dan merancang apa yang hendak dibuat pada malam itu. Tiga orang anak muda itu menghasut dan mengajak Bedul supaya tidak pergi solat di masjid sebaliknya melakukan aktiviti yang tidak bermanfaat dan berfoya-foya. Penonton perlu menghentikan perjalanan teater itu dengan mengatakan 'STOP!' dan memberikan cadangan apa yang perlu dibuat oleh Bedul supaya dia tidak terperdaya dengan hasutan anak-anak muda yang lain itu dan mengajak mereka pergi solat di masjid, dan penonton itu akan menggantikan tempat Bedul sebagai pelakon. Tiga penonton bertuah telah berjaya memberikan cadangan yang baik dan juga pada hemah aku, berjaya memberikan jalan penyelesaian yang sewajarnya.

Para pelakon TTS yang rata-ratanya masih muda (tahun pertama pengajian) juga telah memainkan peranan yang bagus dalam teater interaktif itu. Lakonan spontan bukanlah mudah. Ia memerlukan pengalaman, fokus dan daya kreativiti yang tinggi. Namun begitu aku percaya, bila dah berada di hadapan penonton, bila dah namanya pelakon, lakonan spontan tidak menjadi masalah. (Dah naik syeikh)

Selepas selesai theatre of the oppressed, ada sedikit sketsa Dia yang kemudian diiringi dengan monolog Haram Jadah SEFA. Oleh kerana aku asyik memikirkan tentang festival teater, banyak idea yang keluar sewaktu aku menonton monolog itu - tentang bagaimana hendak meningkatkan kualiti monolog itu ke tahap yang bagus dan tinggi. Monolog pada malam itu sedikit berlainan berbanding yang aku tonton waktu majlis konvo tempoh hari. Mungkin banyak yang telah diolah.

Tahniah buat team TTS untuk show ini. Bagi aku, ia berjaya, kerana aku dapat rasakan kesannya terhadap diri aku sendiri, dan aku pasti, terhadap sesiapa yang menontonnya dengan penuh perhatian. Tahniah kepada Dr.Shark, SEFA, Hissam, Izzat, Najmi dan juga Hazim. The Qum Actors yang hadir pula adalah aku, Pacel dan Am.


p/s: Baru dan dapat kenal Al-Farabi Band. Catchy juga lagu-lagunya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan