Ahad, Januari 02, 2011

PRA 20 - Manipulasi Masa

Konsep Time manipulation / Manipulasi masa menarik minat aku sewaktu bermain permainan komputer Braid. Permainan puzzle. Mudah, tapi mencabar IQ. Aku tahu game ini wujud pun dari abang aku. Dan akhirnya aku main sehingga habis. Tambah menarik lagi, soundtrack yang digunakan untuk game ini sedap-sedap bunyinya, terutamanya soundtrack utamanya, "Maenam", oleh Jami Sieber, dari album Hidden Sky. Soundtrack lain pula seperti dalam blog Braid.

Dunia game tiada batasan. Dunia fiksyen juga tiada batasan. Manipulasi masa adalah tidak mustahil dalam dunia sebegitu. Namun realitinya, dunia ini - hidup ini - adalah realiti dan masa tidak boleh dimanipulasi. Jika boleh sekalipun, mungkin banyak impak buruk yang akan terjadi. Seperti dalam filem Butterfly Effect atau paling mudah Back To The Future, atau banyak lagi cerita yang seumpamanya. Hakikatnya, masa terus bergerak tanpa berhenti ke hadapan tanpa menunggu manusia yang boleh jugalah nak dikatakan - selalu ketinggalan, jika tidak bersedia.

Skrip teater penuh Nasi Lemak Seposen aku sudah siap dan sedia untuk digunapakai. Aku tak mahu fikir sangat macam mana nak pentaskannya nanti. Biarkan sahaja waktu berlatih itu baru aku terfikir dan rasa, supaya ia lebih jujur dan tidak dipaksa-paksa. Walaupun aku selalu rasa karya aku macam sampah lepas ianya siap, tapi bila ia dipentaskan dan mendapat komen balas penonton baru aku rasa sampah tu dah dikutip dan dijadikan bahan yang boleh digunakan - gunasemula.

Waktu aku cuti panjang di kampung ini juga, Najwa dan keluarganya sempat ziarah ke rumah aku di kampung Batu Pahat ini. Memang dari dulu lagi dia nak datang - tapi baru hujung tahun 2010 sahaja baru berkesempatan. Kebetulan dia pun cuti panjang juga, dan waktu cuti sekolah, dan kebetulan juga adiknya akan sambung belajar izajah di UTHM - memang satu takdir yang menyebelahi kedua-dua belah pihak. Terima kasih Allah. Sememangnya berkumpul ramai-ramai dalam keluarga adalah sesuatu yang amat cool. 

Konsep Manipulasi Masa yang digunakan dalam game Braid itu seperti masa bergerak ke belakang (reverse) atau objek sekeliling kita sahaja yang reverse tetapi diri kita boleh ke hadapan - adalah cukup menarik jika ianya dipentaskan, dan ya, ia telah pun dipentaskan "Braid: A Movement Piece". Aku dah tonton dan ada beberapa babak yang menarik dan ada juga yang tidak.

Sebut tentang movement - sebuah pementasan yang dialognya bukan secara verbal tetapi physical adalah satu kerja yang mencabar. Mencabar dari segi penyampaian kepada penonton. Aku pernah menonton tarian kontemporari hasil A.Aris Kadir "Berinai" dan "Nasi Putih" serta hasil Naim Syahrazad "Line" yang pelik dan sedikit sukar difahami di klpac pada tahun 2009 [Review]. Ceritanya dan isinya ada dan boleh difahami tetapi intipati yang lebih teliti itu sukar dilihat jika ditonton sekali pandang sahaja.

Hal yang sama juga dengan hasil karya corporeal mime / mime abstrak oleh SEFA / A.Noisef yang aku tidak menghalangnya buat sewaktu Art For Grabs dan Rantai Art Festival yang lalu. Aku tidak layak menghalang orang daripada berseni. Seni untuk semua. Namun, peluang yang ada haruslah digunakan sebaik mungkin. Kerana aku juga ada sisi-sisi komersial sewaktu menjalankan kerja teater.

Tajuk karya Teardrops dan Throw itu yang membantu penonton (termasuk aku) untuk menonton dan mengetahui (belum lagi memahami) karya itu tentang apa sebenarnya. Teardrops yang menggunakan lagu latar Sudirman - Pelangi Petang sudah tentu tentang kesedihan (teardrops = titisan air mata) dan pelangi petang sudah tentu tentang kegembiraan. Dah, itu sahaja rasanya isi yang mampu disampaikan bagi penonton yang melihat sekali pandang. Intipati yang lebih teliti sukar dilihat, kecuali jika ia ditonton berkali-kali dan dikaji di dalam kelas.

Throw pula bermaksud buang atau lontar. Aku tak tahu apa yang dia nak buang atau lontarkan itu. Mungkin kesedihan yang berkait dengan Teardrops tadi. Apa pun pendapat aku, teater yang lebih menggunakan fizikal (malah teater kompilasi TANDA arahan Nam Ron) pun sukar untuk difahami oleh kebanyakan orang ramai. Mungkin hanya penonton yang mempunyai asas pengalaman dalam pergerakan / tarian boleh memahaminya. A.Aris Kadir mungkin lebih mudah memahaminya.

Bila nama karya itu karya abstrak, sudah tentu sukar untuk difahami. Aku juga ada kecenderungan menghasilkan karya abstrak. Ia bukan mudah. Pengkarya abstrak sudah semestinya menghasilkan karya abstrak itu mengikut rentak jiwanya tanpa memikirkan bagaimana ia dapat difahami oleh orang ramai. Mungkin lebih baik jika setelah karya abstrak itu siap - pengkarya memikirkan sedikit tentang aplikasinya di atas pentas. Kerana sudah tentu - karya seni itu memerlukan penonton sebagai pelengkap. Karya hanya satu medium (perantara) antara pengkarya dan masyarakat. Karya seni yang tidak ditunjukkan barangkali hanya dibuat koleksi peribadi.

Entahlah. Aku pun tidak ada pengalaman sangat dalam bidang pergerakan fizikal dalam teater. Aku pernah berangan-angan nak belajar dan masuk kelas tarian di KL. Tapi mungkin belum kesampaian dan berpeluang. Atau biarkan sahaja angan-angan jadi angan-angan.


p/s: Jika aku boleh manipulasi masa, aku mahu terus ke bulan November 2011.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan