Ahad, Januari 09, 2011

PRA 23 - Kalau Dah Tak Tahan Nak Lepas, Lepaslah. Tapi Biar Lah Bertempat

Aku tiba-tiba jadi suka hati bila pentaskan skrip teater pendek aku "L.I.F" sewaktu Festival Teater Pendek Anugerah Merdeka tahun lalu yang dibuat di Dewan Bahasa dan Pustaka. Idea aku secara lantang tapi senyap menyatakan bahawa "Melayu telah hilang kemelayuannya.". Mungkin cara lantang tapi senyap aku itu tidak berkesan. Tapi bila cara lantang sangat nanti jadi kes kena ugut minta maaf pula (kau tahu lah kan?). Kerana itu, itu adalah idea utama teater pendek "L.I.F". Tambahan pula, aku sengaja meletakkan watak hantu pada watak yang dimainkan oleh pelakon Melayu. Ya, karya aku ini menyentuh sensitiviti. Malah sewaktu ia dipentaskan tempoh hari, aku perasan Dr.Shark telah "perbetulkan" satu dialog yang amat sensitif. Namun memandangkan karya aku itu hanya bermain di sekitar arena teater di Malaysia yang tidak popular dan tidak sampai pada khalayak pada skala yang ramai, aku kira, karya aku ini tidak cukup hangat untuk menjadi isu. Mungkin jika ia telah dijadikan novel yang digunapakai dalam pelajaran (seperti kes novel Interlok), mungkin boleh jadi isu. Ah, sedangkan dalam masa yang sama sudah banyak pergerakan alternatif dalam kelompok indie dalam arena teater berprofil rendah di Malaysia. Malah ada yang sangat sangat lantang. Cuma kewujudan mereka masih tidak disedari!

Mungkin kebenaran itu pahit untuk ditelan. Bagi aku yang sudah lali dengan parasitamol. Tiada masalah.

Aku bangga jadi rakyat Malaysia. Aku juga bangga aku anak bangsa Melayu. Aku juga paling bangga aku dilahirkan dalam Islam. Tetapi sebagai manusia aku tak seharusnya terus berbangga-bangga kerana sifat itu bakal merosakkan hati seorang manusia sedikit demi sedikit. Boleh sahaja berbangga dengan diri sendiri kerana memang kejayaan yang kita kecapi itu datang dari hasil penat lelah kita. Tetapi siapa kita untuk merasa bangga akan nikmat dan kurnia agama, bangsa dan  negara ini? Ada sahaja manusia yang tidak punya agama, tidak punya bangsa, dan tidak punya negara.

Kalau betul-betul dah tak tahan nak lepas, lepaslah.
Tapi biarlah bertempat.

Sensitiviti perkauman bukanlah isu baru. Bagi aku ia akan sentiasa menjadi sebuah dilema. Malah dilema dalaman sesebuah kaum juga akan sentiasa menjadi isu. Konflik adalah satu elemen yang pasti ada dalam sebuah drama realiti kehidupan.

Seperti mana payung.

Payung ada pelbagai jenis. Ada payung parti politik yang telah dipadam logonya. Ada payung Zunar (payung kartun politik) yang telah digam. Ada payung berbentuk botol minuman. Ada payung macam topi pakai di kepala. Ada payung yang dah karat-karat tapi tetap dicuri oleh orang. Dan macam-macam lagi jenis payung.

Tapi ada benarnya. Tata Bahasa Melayu aku pun tidak betul sepenuhnya. Tetapi aku masih tetap gemar dan cuba menulis blog atau skrip menggunakan perkataan Bahasa Melayu yang penuh. Ia salah satu usaha aku untuk lebih menghargai dan mengangkat martabat Bahasa Melayu yang seharusnya dicintai oleh semua orang berbangsa Melayu. Kalau nak cakap Bahasa Melayu baku memang macam susahlah. Lebih praktikal menggunakan bahasa Melayu pasar. Akan tetapi, jika menulis, adalah elok kita menggunakan Bahasa Melayu yang betul. Dahulu aku suka menggunakan istilah cedukan yang menceduk istilah Bahasa Inggeris menjadi Bahasa Melayu seperti yang ada pada nama aku sendiri: Aspirasi, Konsistensi, Inspirasi. Jika diikutkan, itu bukan perkataan Melayu. Semuanya cedukan dari perkataan Inggeris. Bagi pejuang Bahasa Melayu, mungkin boleh menimbulkan kemarahan. Akan tetapi, aku tetap sedar bahawa perkataan cedukan itu memang aku ceduk, dan aku masih tahu istilah dan erti Bahasa Melayunya.

Kerana itu pentingnya ilmu pengetahuan. Pentingnya mencari kekayaan ilmu, kekayaan budi, lebih daripada mencari kekayaan harta benda. Hidup orang berjaya yang seimbang sudah pasti kaya ilmu, kaya budi, kaya harta, kaya pahala. Kaya pahala itu hanya Allah sahaja tahu. Kaya yang lain itu kita boleh ukur sendiri.

Akhir kata, sediakan payung sebelum hujan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan