Sabtu, Januari 15, 2011

PRA 25 - Rasis Di Dalam Bas

Dalam perjalanan aku menaiki bas dari Batu Pahat ke Kuala Lumpur tempoh hari.
Ada dua orang wanita Cina yang sudah agak berusia.
Mereka berdua berborak dengan suara yang agak kuat. Satu bas boleh dengar.
Aku tidak kisah dan tidak hirau sangat. Sebab aku dah faham orang Cina khususnya dari Batu Pahat memang suka berborak dalam bas dengan suara yang kuat. Jadi sebab aku tak kisah dan tak hirau, aku layan sahaja tidur dalam bas sehingga hampir sampai ke Kuala Lumpur.
Biasanya bas akan singgah di salah sebuah perhentian sebelah di lebuh raya untuk beri peluang kepada penumpang dan pemandu basnya sendiri membuang air kecil atau besar atau hisap rokok atau beli makanan atau minuman ringan.
Biasanya bila bas berhenti aku secara automatis akan tersedar dari tidur. Dan selepas itu aku tak akan sambung tidur kecuali aku terlalu letih atau kurang sihat.

Wanita Cina tadi pun terus sambung berborak dengan suara yang masih kuat.
Lalu seorang lelaki muda yang duduk di hadapan aku tiba-tiba menegur dua wanita Cina itu dari tempat duduknya.
Sedikit pertengkaran berlaku tanpa diganggu oleh orang lain.

Kalau nak cakap perlahan sikit boleh tak? Dari BP sampai dah nak dekat KL tak henti-henti bercakap. Satu bas boleh dengar?!

[Pause]

Tak boleh cakap ka? Kalau tak nak dengar orang cakap naik teksi lah!

You lah pergi naik teksi!

[Pause] Lelaki muda Melayu itu tadi mengomel sendirian. Dua wanita Cina itu juga merungut sesama sendiri dengan suara yang sudah perlahan.

Nasib baik pertengkaran tidak berpanjangan. Mungkin kerana jarak antara mereka agak jauh. Kadang-kadang orang bila terlalu dipandu oleh emosi tidak sedar dan tidak kisah walaupun ramai orang di sekeliling.

Babak yang aku kira hanya sedikit masalah toleransi antara manusia, bukan kerana rasis. Mungkin orang boleh pandang ianya bersifat rasis tetapi jika yang bercakap kuat itu juga orang Melayu, mungkin akan ada orang Melayu lain yang menegur dan pertengkaran yang serupa juga boleh berlaku.

Kesudahannya, wanita Cina tadi terus berborak dengan nada suara yang sudah diperlahankan. Dan lelaki muda Melayu tidak berkata apa-apa hingga sampai di destinasi. Nah, itu adalah salah satu gambaran realiti dalam negara ini. 

Bertengkar, bergaduh, bertekak antara bangsa yang berlainan, tetap kita semua akan duduk di dalam satu negara (di dalam satu bas yang sama), suka atau tidak kita, benci atau tidak kita, kita tetap teruskan perjalanan hingga sampai ke destinasi (yang terakhir....).

Ada juga peristiwa di mana aku melihat kereta seorang wanita berbangsa India rosak dan tidak dapat dihidupkan enjinnya ketika berhenti di hentian sebelah di lebuh raya. Kemudian ada orang berbangsa Melayu datang melihat cuba untuk menolong. Kemudian datang pula orang berbangsa Cina datang melihat untuk cuba memberikan pertolongan.

Jika ada yang rosak, ada juga yang baik.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan