Ahad, Februari 13, 2011

PRA 31 - Kerja Teater Juga Suatu Ibadah, Bukan?

Alhamdulillah. Rasanya semakin hari aku menuju ke hari pernikahan aku, jiwa aku semakin hampir untuk lebih mendekati Allah. Sesungguhnya persediaan rohani sebegini adalah amat penting bagi aku yang ingin mendirikan rumah tangga menjadi suami dan bapa suatu hari nanti insyaAllah. Kebetulan pula khutbah Jumaat di masjid kampung aku waktu cuti hari tu berkenaan tanggungjawab orang lelaki sebagai pemimpin dan ketua keluarga. Dan yang terbaru hari tu di masjid tempat kediaman aku di KL, khutbahnya tentang Cinta. Memang masuk mood lah. Lagipun sememangnya khutbah Jumaat adalah peringatan kepada kita sebagai orang Islam. Tapi sayangnya masih ramai lagi yang tidak khusyuk mendengar khutbah sehingga ada sahaja yang tertidur. Aku doakan agar kita semua diberikan kekuatan yang lebih bersemangat dalam menjalani kehidupan beragama.

Sebut fasal pernikahan, dan bila merujuk judul tulisan ini, suka untuk aku berkongsi sebuah cerita peribadi aku. Macam biasalah, aku memang suka dan selalu menulis apa-apa fasal teater.

Aku pernah berniat untuk berhenti dari bidang seni teater buat selama-lamanya. Berlaku pada awal tahun 2009. Waktu itu The Qum Actors baru ditubuhkan. Dan sedang menjalani latihan untuk teater Miao Miao Sang Arnab untuk Festival Teater KL 2009. Tetapi aku tarik diri dari memegang watak playboy. Sempat juga lah berlatih dua kali. Sebab aku tak mahu menyusahkan Pacel, aku tarik diri awal-awal. Dan waktu itu aku sedang menjalani latihan industri di KLCC.

Tak ada siapa pun tahu kenapa aku tarik diri. Sudah tentu, ada sebabnya.

Sewaktu itu, aku memang seorang theatregoer yang tegar. Semua show teater yang ada di KL aku pergi tanpa mengambil kira perbelanjaan dan wang. Aku tidak kisah untuk belanjakan wang untuk tiket RM30, CD RM20, buku program RM10 hanya untuk sebuah pementasan sahaja. Dan bukan satu pementasan sahaja yang aku telah pergi menonton. Banyak. Tak terkira. Jadi aku boleh katakan, wang sara hidup pinjaman boleh ubah dan elaun praktikal itu banyak aku habiskan untuk teater sahaja.

Walaupun aku banyak belajar dan terdedah dengan pelbagai jenis gaya pementasan, pada satu masa, di dalam bas, aku bergaduh dengan tunang aku sekarang ini tentang perihal ini; iaitu tentang perangai aku yang terlalu boros dan banyak belanja terhadap teater sahaja. Kami gaduh dalam SMS sahaja sebab kalau gaduh depan-depan kami tak reti, sebab kami akan saling diam dan bermasam muka, sampai kami dua-dua menangis dan bermaafan lepas itu. Geli kan? Sila berhenti baca dan tutup browser anda sekarang.

Satu ayat yang tunang aku katakan pada aku dalam SMS berbunyi lebih kurang begini: "Kadang kala kita tak boleh terlalu ikutkan minat kita. Kita kena korbankan minat kita untuk hidup." Ayatnya itu terus mencengkam jiwa aku. Memang ada benarnya. Dan aku terasa bersalah. Waktu itu memang penuh dengan emosi. Aku berasa sedih kerana memang salah aku pun terlalu boros, tidak pandai urus kewangan. Kerana pergaduhan SMS itu penuh dengan emosi, aku lantas berniat untuk terus berhenti daripada bergiat dalam bidang seni teater ini, supaya wang aku tidak banyak dibelanjakan untuk teater sahaja.

Dan itu sebabnya, aku menarik diri daripada produksi itu. Dan Alhamdulillah, The Qum Actors berjaya mendapat tempat ketiga dengan Pelakon Harapan Lutfi Othman.

Peristiwa itu mengajar aku untuk menjadi seorang lelaki dan bakal suami dan bapa yang lebih baik. Aku menjadi sedar, yang aku perlu urus kewangan aku demi masa depan keluarga aku nanti. Pergaduhan kami biasanya tidak berlarutan dan berpanjangan. Kami memang jarang gaduh, dan bila gaduh pun, sekejap sahaja dah baik semula. Dan selepas peristiwa itu, aku memang dah kurang menonton teater di KL. Dan aku hanya mula terus bergiat aktif semula dalam teater selepas aku pulang dari latihan industri dan menyambung pengajian aku dalam tahun akhir.

Sekarang ini.. Alhamdulillah, aku bersyukur kerana aku sudah reti membuat bajet perbelanjaan bulanan. Sepanjang aku bekerjaya ini, belum pernah lagi aku tidak cukup wang. Dan lagi, aku akan berkahwin tak lama lagi, sudah tentu belanjawan aku kena cukup baik dan stabil. Aku bersyukur, aku ditemukan dengan bakal isteri aku yang kini, yang reti mengurus kewangan, reti menjaga diri dan keluarga, reti memasak, reti mengemas rumah, dan mempunyai latar belakang agama yang baik.

Aku berdoa pada Allah, semoga pernikahan kami nanti dirahmati dan semoga semua urusan berjalan lancar. Semoga kami dikurniakan kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan. Tahun ini bakal mencatat sejarah di mana tiga orang ahli Tronoh Theatre Shop & The Qum Actors akan menamatkan zaman bujang dan melayari bahtera rumah tangga. InsyaAllah...

Kepada tunangku dan bakal isteriku... Terima kasih kerana memahami kerja seni teater aku dan terus menyokong minatku ini... Aku tahu, kamu dah buktikannya sewaktu kamu sanggup menemani aku pergi ke Pekan Frinjan Shah Alam tempoh hari, dan ke UTP untuk tengok show Bangsawan Tuah Hang Jebat, memandu kereta ke Taman Budaya KL untuk tengok teater yang sama Tuah Hang Jebat, menemani aku untuk ke majlis penghargaan TTS sewaktu konvokesyen aku tempoh hari.. Dan banyak sangat sokongan moral dan persefahaman kamu terhadap kerja teaterku...

Nurnajwa, terima kasih. Saya sayang kamu!


p/s: Ya, kerja teater juga suatu ibadah, jika benar-benar baik manfaat dan tujuannya, jika benar cara dan gayanya. Ya Allah.. terangkanlah dan bukakanlah sentiasa pintu hatiku dan rakan-rakan seperjuangan teaterku dalam melaksanakan kerja teater ini...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan