Selasa, Mei 12, 2009

Musim Derhaka II - Monolog Tok Janggut

Sebelum ini saya telah siarkan entri berjudul "Musim Derhaka" yang memuatkan reviu dan pandangan saya terhadap pementasan Jebat oleh Tronoh Theatre Shop (TTS). Tirai pentas Multipurpose Hall (MPH) UTP itu dibuka dengan persembahan monolog Tok Janggut yang merupakan karya asal Salju Putih (Norlina Alfan) dan telah diolah oleh Dr Shark sendiri.

Tentang karya.

Karya ini diambil dari sejarah Tok Janggut yang dilabel secara rasmi sebagai pejuang kemerdekaan, serta pembela agama. Namun, dia juga dikatakan sebagai penderhaka terhadap perintah Sultan.

Isu utama dalam karya ini sudah pasti isu yang menjadi perjuangan Tok Janggut itu. Tentang cukai. Cukai yang dikenakan oleh pihak British. Cukai kepala sebanyak RM 1.00 seorang setahun, cukai pokok buah-buahan sebanyak 3 sen setahun, cukai kelapa sebanyak 3 sen setandan dan cukai sireh sebanyak 5 sen sejunjung. Disebabkan cukai inilah, kekacauan bermula dan seterusnya menjadi prolog kisah perjuangan Tok Janggut.

Isu utama yang lain adalah jihad. Sewaktu Perang Dunia Pertama tercetus, fatwa Syaikhul Islam, Khayri Effendi, mewajibkan umat Islam berjihad menentang British dan sekutunya. Dek tersepit dengan perjanjian Inggeris-Kelantan 1910, Kerajaan Kelantan dipaksa menyatakan bahawa mereka menyebelahi England dalam peperangan itu. Sultan pula telah membuat keputusan memihak kepada British dan bukan Turki Uthmaniyah. Oleh sebab itu, di dalam karya ini ada disebut berulang kali bahawa Tok Janggut bukan menderhaka pada Sultan, tetapi demi berjihad menentang British.

Tentang persembahan monolog ini.

Ingin saya ingatkan, komen yang saya siarkan di sini adalah berdasarkan apa yang dapat saya ingat sahaj. Persembahan monolog tersebut tidak dirakam, jadi saya tidak dapat memberi komen dengan terperinci.

Apa kata, saya mula dari belakang?

Penamat monolog ini tragis. Babak terakhir menunjukkan Tok Janggut sudah mati di tali gantung dan 'moment' yang diwujudkan hanya selama 2-3 saat. Asalnya, mayat Tok Janggut diarak sekitar Pasir Puteh sebelum dibawa ke Kota Bharu dan digantung dengan kaki ke atas, kepala ke bawah di Padang Merdeka. Tragedi ini hanya disebut oleh Tok Janggut yang telah mati secara bercerita, tidak ditunjukkan di atas pentas.
Pada hemah saya, babak terakhir tersebut harus dilakukan mengikut sejarah asal dan tidak diubah - digantung dengan kaki ke atas, kepala ke bawah. Mungkin agak sukar hendak melakukannya, tetapi teknik boleh difikirkan. Malah, 'moment' yang hendak diwujudkan itu akan menjadi lebih berkesan terhadap penonton.
Kenapa terlalu terikat dengan sejarah? Ini kerana cerita Tok Janggut ini adalah berdasarkan sejarah secara keseluruhannya, jadi jika ada sedikit yang diubah, itu mungkin akan mendatangkan pendapat yang mengatakan kita telah mengubah sejarah. Kesnya berlainan jika Tok Janggut ini diadaptasikan menjadi sebuah cerita yang lain. Mengubah elemen cerita sudah pasti tidak menjadi masalah.
Untuk babak tersebut, 'moment' yang senyap tanpa sebarang audio sudah cukup berkesan. Lagipun, hanya beberapa saat sahaja.

Adegan perang, pasukan Tok Janggut bertempur dengan tentera Inggeris di Kampung Dalam Pupoh. Dalam pertempuran itulah Tok Janggut terbunuh. Adegan tersebut ditunjukkan secara mati dibunuh bergilir-gilir, setiap seorang menggunakan senjata berlainan (parang, kapak, keris) bagi membezakan antara setiap watak. Teknik menggunakan jalur kain berwarna merah untuk menunjukkan darah terpancut keluar dilakukan dengan kemas. Dan akhir sekali ketika Tok Janggut dibunuh, dia sempat menyebut yang dia bukan penderhaka terhadap Sultan yang mana mampu memberi impak pada klimaks cerita tersebut. Tambahan, Dr Shark memegang kain kuning ketika saat Tok Janggut mati merupakan simbolik 'tercemarnya' kedaulatan raja dengan darah merah. Audio bagi babak pertempuran itu bagi saya perlu diteliti lagi kesesuaiannya dengan emosi babak tersebut.

Babak sebelum pertempuran, Sultan Muhammad IV bersama Penasihat British Langham-Carter dan Datuk Bentara Setia bagi saya adalah faktor-X dalam monolog ini. Stail yang saya istilahkan sebagai '3 dalam 1' itu cukup unik dan menarik. Baik dari segi lakonan mahupun rekaan kostumnya, babak ini adalah satu babak di mana perkataan 'WOW' akan terkeluar dari mulut penonton.
Dari segi rekaan kostum, Sultan Muhammad IV adalah yang lebih utama. Topeng separuh muka berwarna kuning, tengkolok Sultan dan vest kuning dikenakan. Manakala bagi watak Langham-Carter, lengan kostum sebelah kanan berwarna hitam dengan topeng berwarna putih. Bagi watak Datuk Bentara Setia pula, lengan sebelah kiri berwarna merah dengan topeng berwarna merah juga. Kedua-dua belah lengan ini kemudiaannya dililit dengan rantai berwarna merah sedikit bebas kepada tubuh Sultan. Permainan simbolik cukup baik di sini.
Namun begitu, permainan lengan bagi kedua-dua belah Langham-Carter dan Datuk Bentara Setia kurang. Adakalanya saya melihat siapakah yang sedang bercakap? Sultan atau Datuk Bentara Setia? Mungkin bagi watak Langham-Carter tidak bermasalah kerana dimainkan dengan loghat orang putih cakap Melayu. Dr Shark memainkan watak Datuk Bentara Setia dengan menukar nada suara tetapi ada ketikanya kurang konsisten.
Namun, babak ini tetap menjadi pilihan saya sebagai babak terbaik dalam monolog ini. Bukan hanya kerana kostum '3 dalam 1' yang menarik itu, tetapi permainan karaktor tiga watak berbeza.
Sebelum mengenakan kostum tersebut, saya rasa lebih baik jika kostum itu ditutup dengan kain putih bagi mengelakkan penonton paling tepi dapat melihat kostum yang disorok di belakang platform pintu berkain hitam itu.

Babak Tok Janggut berkempen menentang cukai. Permainan dalam babak ini juga menarik. Ketika Tok Janggut memanggil dan menjemput masuk Pegawai British (kalau tidak silap saya) dari pintu belakang dewan, penonton benar-benar telah 'tertipu' dan ada sesetengah yang menoleh ke belakang, sama ada benar-benar ada orang akan masuk duduk di depan atau pun tidak. Apa yang bagus di sini adalah lakonan Dr Shark yang benar-benar percaya apa yang disebutnya, lantas turut memberikan kepercayaan kepada penonton.
Dalam babak ini juga, ada adegan Tok Janggut hendak ditangkap oleh Ketua Balai Polis, Sarjan Che Wan Sulaiman dan Dr Shark hanya bermain secara 'mime' sewaktu pistol diacu oleh Sarjan tersebut. Apa yang kurang jelas adakah Tok Janggut membunuh Sarjan tersebut atau Latiff, Pegawai Jajahan Pasir Puteh. Kerana apa yang dapat dilihat, pistol diacu di belah kanan pentas (Sarjan) dan Tok Janggut menghunus keris di belah kiri pentas. Mungkin, bahagian ini dapat dijelaskan lagi.
Apa pun, pengakhir babak ini yang berbunyi "Dasar tali barut British!" cukup berkesan.

Babak sebelum itu, perbincangan bersama Ungku Besar Jeram dan seorang lagi watak yang (Tok Nik Bas, kalau tidak silap saya) tentang bagaimana hendak menentang penindasan British mengutip cukai. Mesyuarat itu dibuat berikutan kekacauan yang berlaku apabila pejabat jajahan mengambil masa tiga hari untuk mengutip hasil keranahanya ada seorang petugas sahaja hingga menyukarkan orang kampung.
Tiga bangku kecil diletak di sudut paling kiri pentas (dari pandangan penonton) dan pemain menukar-nukar watak dengan mengenakan props yang berbeza pada setiap bangku tersebut. Props bagi Tok Janggut adalah serban yang dililit pada kopiah, bagi Ungku Besar adalah kain serban yang dilepaskan, dan bagi Tok Nik Bas adalah rokok daun. Transition Dr Shark menukar watak dilakukan dengan 'go-through' tanpa ada gap dialog atau menggelapkan pentas, malah menyebut dialog watak yang berikut sambil mengenakan props bagi watak yang berikut itu. Transition sebegini selalu saya lihat bagi mana-mana persembahan monolog. Ini dapat mengelakkan penonton tertunggu-tunggu untuk babak seterusnya.
Sebut tentang transition dan gap ini, baru saya teringat ada dua kali transition di mana pentas digelapkan dan Dr Shark ad-lib dalam gelap sewaktu mengenakan kostum '3 dalam 1' dan menanggalkannya semula yang mana jika kita fikir secara logik memang perlukan masa yang agak lama. Jadi, pada saya ad-lib adalah teknik yang sesuai bagi mengisi gap yang ada. Namun ia agak berisiko kerana kemungkinan ada kesilapan teknikal sewaktu pentas gelap dan akan menyebabkan pemain tidak dapat ad-lib. Maka, penonton tertunggu-tunggu dan sudah pasti sebagai pemain pentas, kita tidak mahu penonton tertunggu-tunggu. Walaupun hanya 10 saat, namun 10 saat tersebut boleh dirasakan begitu lama bagi penonton. Lebih-lebih lagi bila cerita itu sudah bergerak dengan laju ke kemuncak, minat dan semangat penonton tidak boleh disia-siakan dek gap yang membuatkan penonton tertunggu-tunggu. (Sebab itu lah, dalam teater Mahsuri yang lalu, keseluruhan persembahan membosankan. Dek banyak sangat gapnya walaupun diisi dengan menutup pentas dengan curtain, menggelapkan pentas dan memasang lagu pengisi. Tapi tetap bosan.)

Saya hampir terlupa tentang watak Pembaca Utusan. Pembaca Utusan akan memukul gendang ketika hendak membaca utusan dan selepas membacanya. Gendang itu jadi permainannya yang utama. Rasa seronok memukul gendang harus lebih ditunjukkan dan juga ketika membaca utusan, mengepit gendang di celah kelengkang. Selebihnya, tidak ada sangat yang dapat saya komen kerana watak Pembaca Utusan hanya keluar dua kali. Oh, mungkin mood dan emosi pada kali pertama dan kedua keluar boleh berbeza kerana utusan yang dibaca juga berbeza. Barangkali?

Babak sewaktu Tok Janggut mengajar budak-budak kampung mengaji Quran dan kemudian didatangi oleh orang-orang kampung. Babak ini yang saya rasa sesuai bila dilakonkan dengan humor berbanding babak-babak lain. Pada pandangan saya, adalah bagus bila penonton dapat bergelak ketawa habis-habisan pada awal cerita dan suspens pada klimaks cerita dan sedih dengan kematian Tok Janggut, pejuang agama dan bangsa. Saya sebagai penonton telah dapat merasa sebegitu, cuma kalau boleh Dr Shark dapat memberikan lebih lagi sewaktu Festival Teater Perak akan datang.

Intro monolog ini adalah syair. Saya rasa kurang sesuai. Jika hendak melambangkan kekuatan budaya Melayu di Kelantan, wayang kulit, mak yong atau menora boleh dipilih. Tetapi mungkin tidak relevan bila hanya dibuat di awal cerita dan hilang begitu saja. Jika ia dibuat untuk menceritakan Tok Janggut mungkin boleh dipertimbangkan. Tetapi masih kurang relevan bila cerita ini ditamatkan dengan Tok Janggut digantung dan pencerita tadi hilang begitu saja. Cerita boleh terus dimulakan dengan Tok Janggut memperkenalkan dirinya, tetapi saya rasa ia akan mengurangkan rempah dalam resipi monolog ini. Keseluruhan persembahan harus mencerminkan Kelantan; budayanya, rakyatnya, loghatnya, keagamaannya dan ini semua akan melengkapkan cerita Tok Janggut sebagai satu pakej teater monolog yang berpotensi tinggi.

Saya rasa sudah cukup saya memberi komen yang panjang lebar di sini. Secara keseluruhannya, pementasan pada malam pertama tempoh hari lebih bertenaga, beremosi dan 'enjoyable' berbanding malam kedua. Loghat Kelantan Dr Shark juga perlu lebih diperbaiki dan dihalusi setiap patah perkataan. Ada sesekali Dr Shark menggunakan perkataan yang bukan disebut oleh orang Kelantan. Mungkin boleh disemak satu persatu perkataan yang tidak tepat. Namun, sebutan masih perlu dijaga supaya dapat didengari dengan jelas.

Apa pun, saya mengharapkan persembahan yang lebih mantap daripada Dr Shark pada Festival Teater Perak dalam monolog Tok Janggut pada 31 Mei 2009 akan datang. InsyaAllah, saya akan hadir ke pementasan tersebut jika tiada aral melintang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan