Khamis, April 30, 2009

INT & EXT: I Love You Too

oleh Akin M.

Internal dan external. Pinjam Bahasa Omputih sekejap. Orang kata, Bahasa Omputih ni canggih. Moden. Ada kelas. Kalau orang-orang kat bandar sana tu, bila berborak cakap guna Bahasa Omputih ni lah. Aku dengar diaorang bual-bual, ternganga juga lah aku. Bukan apa, aku kagum. Kagum dengan orang sebangsa dengan aku, fasih cakap bahasa asing. Aku pun tak adalah reti sangat cakap Omputih ni.. Setakat Yes, No, Thank You, Okay tu aku retilah. Itu pun loghat tak betul. Pening lidah aku. Nak sebut Thank you pun ada mahrajnya. Ada tajwidnya. Ibarat sajalah. Tajwid ni masa nak baca al-Quran. Kita suci kita. Sebut pasal Quran ni, aku nak tanya kat kau orang semua, kau orang baca Quran tak? Eh, eh.. Kena baca.. Kena! Mana boleh tak baca. Nak tak nak kena baca. Ha, dah baca tu kenalah faham. Aku tahu, bukan senang nak faham Bahasa Arab. Bahasa Omputih pun susah, nak kena belajar bahasa Arab pula. Eh, aku kan Melayu. Buat apa aku kisah nak belajar cakap bahasa lain? Jadi, susah-susah, aku cakap sajalah bahasa Melayu ya. Atau pun aku rojak sedikit bahasa Omputih.

Dalaman dan luaran. Aku berdiri depan cermin satah. Cermin satah panjang. Boleh nampak satu badan aku. Dari atas sampai bawah. Dari hujung rambut sampai hujung jari kaki. Aku berdiri depan cermin tu tengok diri aku. Selalu aku tengok cermin. Lepas mandi, aku tanggalkan tuala dan berdiri menghadap cermin tu. Aku nampak diri aku yang natural. Dalam keadaan baru lahir. Suci. Macam bayi. Bayi comel. Jadi bila aku tengok diri aku tu, aku rasa aku comel. Aku tengok lama-lama diri aku dalam cermin tu. Aku tengok diri aku yang sebenar sekejap, kemudian aku tengok diri aku dalam cermin semula. Aku nak pastikan, yang diri aku dalam cermin sama dengan diri aku yang sebenar. Mana lah tahu, kot-kot tak sama ke..

Jadi lepas aku puas hati dengan diri aku dalam cermin dan diri aku yang sebenar tu, aku pun kenakanlah pakaian yang sesuai untuk aku. Aku suka pakai biasa-biasa saja. Aku pakai seluar dulu satu per satu. Seluar pun ada yang dalam, ada yang luar. Begitu juga dengan baju. Aku suka pakai baju T warna merah menyala macam saga ni. Aku suka sebab bila aku pakai, aku nampak menyerlah. Lagipun, aku tak perlu risau sebab di kampung aku ni tak ada lembu yang akan menanduk aku sebab pakai baju merah. Setakat ayam, itik, monyet tu ada lah. Oh ya, monyet kat kampung aku ni nakal-nakal. Pernah dulu ada seekor monyet masuk rumah aku ikut belakang dapur. Habis periuk-periuk disepahkannya. Kebetulan pula masa tu ada letak pisang kat meja makan. Memang tak tinggal hampas langsung. Disebat semua yang dia suka. Macam tu sekali monyet-monyet di kampung aku.

Dah siap pakai seluar dalam, seluar jeans, baju T merah. Aku tengok balik cermin. Hah! Nasib baik aku tengok cermin. Aku tak zip seluar aku rupanya. Dan nasib juga aku pakai seluar dalam. Kalau aku terus keluar rumah tadi tanpa pakai seluar dalam dan zip terbuka, habislah aku kemaluan besar nanti. Okay, aku dah zip kemas-kemas. Kemudian aku tengok rambut aku. Hmm.. Nak pakai krim minyak rambut atau gel? Ah, aku pun sapu sajalah gel pada rambut aku. Tahan lama sikit pakai gel ni. Boleh tahan sampai tengah malam. Aku pun sikatlah rambut aku. Aku tak pandai sangat menggayakan rambut aku. Rambut aku lurus dan belah tepi. Jadi, aku pun sikat belah tepi sajalah. Macam budak nerd pun ada aku tengok. Tapi, tak apalah. Awek aku tak kisah dan suka apa saja pada diri aku. Haa, aku siap-siap lawa-lawa ni sebab aku nak jumpa awek aku lah. Kami dah janji nak jumpa di KL Sentral. Kemudian naik teksi pergi Zoo. Aku dan dia pernah pergi sana dulu. Tapi masa tu tak sempat nak bergambar dengan gajah dan zirafah sebab bateri kamera dah habis. Jadi kali ini, kami nak pergi Zoo dan terus bergambar dengan gajah dan zirafah. Harap-harap gajah kat sana masih gemuk dan zirafah masih panjang lehernya.


(Bersambung..)



Asalnya, aku nak tulis entri pasal luahan perasaan sewaktu post-mortem latihan penuh Jebat tempoh hari. Ya, walaupun aku tiada di tempat kejadian, tetapi berdasarkan sumber-sumber yang boleh dipercayai (dan juga CCTV maya aku), aku sudah tahu apa yang telah berlaku.

Tetapi, sebaik saja aku taip ayat pertama.. Internal dan external.. tiba-tiba tangan aku terus laju menaip tanpa henti sehinggalah terhasil monolog dengan judul seperti yang tertera. Monolog ini hanya saja-saja dan suka-suka. Masih perlu dipanjangkan lagi sehingga wujud sebuah cerita. Cerita cinta. Kan dalam monolog ni dia nak jumpa awek dia. Dia tengah kemaruk bercinta!

Menulis monolog macam mudah, tetapi melakonkannya... Mencabar potensi pelakon. Lebih mencabar bila banyak watak wujud dalam cerita tersebut. Tak sabar rasanya aku hendak menonton Dr Shark berlakon dalam monolog Tok Janggutnya nanti. Ingin belajar macam mana dia membawa banyak watak sekaligus dalam sebuah monolog. Sebelum ini hanya menyaksikan dia berlakon dalam Terrorist in Custody. Satu watak saja. Watak Terrorist.

Apa pun, tentang luahan perasaan sewaktu post-mortem tersebut apa yang aku nak tekankan di sini adalah pengurusan masa. Memang aku akui tentang masalah yang dinyatakan. Dan semua orang hadapi masalah yang sama. Solusinya, pengurusan masa. Pengurusan masa ni kita kena belajar sendiri. Sebab kita sendiri yang tahu apa yang kita perlu uruskan dalam hidup seharian kita.

Aku yang dulu. Ada sama macam seseorang. Hampir samalah. Mula-mula masuk dan bergaul dengan senior-senior sangatlah malu-malu. Hanya menurut apa saja pendapat yang elok. Berlakon pun mengharapkan pengarah mengarahkan aku. Bukan setakat malu-malu. Takut-takut pun ada juga. First-timer yang memang betul-betul first-timer. Noob yang memang betul-betul noob. Budak baik, katakan. Eurgh. Nampak baik tak semestinya baik benar. Nampak jahat tak semestinya jahat benar. Nampak baik boleh jadi jahat benar. Nampak jahat boleh jadi baik benar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan