Isnin, April 13, 2009

Kupasan Eksklusif Mampukah TTS Merangkul Gelaran Juara FTP '09?

oleh Akin Muhammad


Bermula dengan menyertai Pekan Teater Perak pada tahun 2003, Tronoh Theatre Shop (TTS) telah menonjolkan potensi yang tinggi dengan merangkul Anugerah Naib Juara dan Teknikal Terbaik melalui persembahan teater "ASYLUM", karya sulung Dr Shamsul Rahman Mohamed Kutty atau lebih dikenali sebagai Dr Shark. Kejayaan yang diraih oleh kumpulan yang baru ditubuhkan itu telah mendorong dan menaikkan semangat mereka untuk menyertai Pekan Teater Perak pada tahun berikutnya. TTS telah menunjukkan prestasi yang konsisten setelah mementaskan karya Dr Shark berjudul "Miao Miao Sang Arnab" dan memenangi tempat Naib Juara buat kali kedua serta Anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik yang disandang oleh Haryanni Masarip. Kejayaan mereka tidak berhenti di situ. Pada tahun 2005, TTS mempertaruhkan karya Dr Shark "Hmm..Begitu Panasnya!!" dan akhirnya mengulangi kejayaan mereka pada tahun 2003, iaitu Naib Juara dan Teknikal Terbaik di dalam Manifestasi Teater Perak. Mulai tahun 2007, Festival Teater Perak diadakan setiap dua tahun sekali. TTS lagi sekali membawa karya "ASYLUM" ke atas pentas Taman Budaya Perak, tetapi telah diberikan nafas baru dan menamakannya sebagai "ASYLUM 50" sempena 50 Tahun Kemerdekaan Malaysia pada tahun tersebut. Keputusannya, TTS jatuh satu anak tangga dari tempat Kedua ke tempat Ketiga. Namun begitu, kejatuhan tersebut terubat apabila Ainifadhilah Mahayudin telah berjaya membawa pulang Anugerah Pelakon Harapan Wanita.

Tahun 2009, TTS akan kembali beraksi di pentas Taman Budaya Perak. Kali ini, Dr Shark tidak membawa karyanya sendiri, tetapi karya sasterawan negara iaitu "JEBAT" oleh Hatta Azad Khan. Persoalannya, apakah TTS akan berjaya menjejakkan kaki di tangga Juara lantas memenangi lain-lain anugerah kerana kebiasaannya, kumpulan yang menjadi juara turut memenangi beberapa anugerah lain seperti Pelakon Lelaki/Wanita Terbaik, Pengarah Terbaik dan lain-lain.

Ada beberapa faktor yang saya akan kupas di sini.

Pertama, latihan. TTS sudah memulakan latihan secara berperingkat sejak sebulan yang lalu dan sudah memasuki fasa latihan intensif mulai bulan April ini. Pada firasat saya, TTS terpaksa memperlahankan sedikit proses latihan kerana bulan Mei merupakan bulan peperiksaan akhir semester di UTP. Dan seperti yang baru sahaja ditetapkan, tarikh Festival Teater Perak 2009 jatuh pada 29 Mei hingga 8 Jun 2009. Apa yang dikhuatirkan adalah sekiranya slot pementasan TTS jatuh pada hujung Mei tersebut dan ada pelakon atau krew produksi yang akan menduduki peperiksaan. Nampaknya, TTS harus berdoa agar mereka akan dapat slot pada awal Jun atau lebih baik lagi pada 8 Jun yang merupakan Malam Penganugerahan.
Semakin lama proses latihan, semakin berkualiti sesebuah persembahan. Latihan yang dijalankan amat berkait rapat dengan faktor-faktor berikutnya.

Komitmen merupakan satu faktor yang amat memberi impak yang besar pada sesebuah produksi. Apa gunanya pengarah yang hebat, pelakon yang bagus, krew produksi yang berkemahiran tinggi apabila tiada komitmen yang diberikan oleh setiap pihak? Tiada gunanya. Malah bagi diri saya secara personal, komitmen adalah perkara yang paling penting dalam sesebuah produksi teater. Selepas itu barulah saya akan melihat pada bakat dan kemampuan seseorang.
Bagi produksi JEBAT oleh TTS kali ini, komitmen yang diharapkan adalah dari para pelajar UTP sendiri yang mana perlu membahagikan masa mereka dengan akademik. Sememangnya TTS tidak akan memaksa pelajar memonteng kelas atau ujian atau mengekang masa pelajar untuk menyiapkan tugasan mereka. Oleh sebab itulah, organisasi baru TTS telah memudahkan kerja para pelakon dengan menyediakan jadual latihan yang tidak memerlukan semua pelakon hadir dalam sesi latihan. Saya masih ingat lagi sewaktu TTS tiada organisasi mahupun kumpulan pengurusan, semua pelakon mesti hadir tanpa mengira sama ada pelakon tersebut ada babak yang memerlukannya atau tidak. Bila mana ada sesi latihan, setiap pelakon yang terlibat mestilah hadir.
Komitmen yang tidak konsisten adalah satu masalah yang sering dihadapi oleh produksi teater kita di Malaysia. Namun begitu, saya baru mendapat tahu bahawa kenyataan saya ini tidak tepat. Buktinya di sini [Klik]
Ya, kumpulan produksi berbangsa bukan Melayu tersebut telah membuktikan ketidaksahihan kenyataan saya itu. Bukan hendak merendahkan bangsa sendiri, tetapi untuk memberikan tauladan kepada semua.
Persoalannya sekarang, adakah pelakon dan krew produksi JEBAT-FTP09 ini mampu memberikan komitmen yang mampu melepasi 'benchmark' yang telah ditunjukkan oleh produksi ASYLUM50-FTP07? Dr Shark berkata, "Team Asylum (Asylum 50-FTP07) kali ini adalah team yang paling bagus dari segi TEAM WORK."

Kemampuan para pelakon juga adalah satu perkara yang penting. Berikut disenaraikan watak-watak dan para pelakon yang membawanya:

Jebat - Fauzan
Tuah - Ermie
Sultan - Nizam
Narator (Dang Anum) - Ainifadhilah
Dato' Bendahara - Anwar
Datuk - Khairil
Orang-orang Kaya - Firdaus, Din, Azizi
Dang Wangi - Tasha
Pemuda-pemuda - Izzi, Asyraf
Pengamuk - Syafiq

Pelakon dibarisi oleh muka-muka lama dan baru. Watak utama Jebat dipegang oleh Fauzan buat kali kedua. Watak Narator, Dato' Bendahara, Datuk, dan Pengamuk juga masih dipegang oleh orang yang sama. Cabaran yang sebenar adalah pada watak Tuah dan Sultan yang dipegang oleh pelakon baru yang masih mentah tetapi berpotensi. Watak Tuah diberikan kepada Ermie adalah satu pemilihan yang tepat. Jika saya yang melakukan casting pun, saya akan pilih dia untuk pegang watak tersebut. Ini kerana, pada pandangan saya, dia mempunyai karisma yang sesuai untuk menjadi Tuah. Aspek luaran sudah cukup, maka aspek dalaman perlu diberikan perhatian oleh Ermie. Begitu juga dengan watak Sultan yang dipegang oleh Nizam. Bila ditanya kepada Dr Shark, kenapa memilih first-timer untuk pegang watak utama? Jawabnya, 'He's got a charm' yang mana pada pandangan saya membawa maksud karisma yang ditunjukkan. Pengarah perlu ada kualiti ini. Pengarah perlu tahu apa watak yang patut diberikan kepada seseorang pelakon. Sekiranya watak yang kurang sesuai diberikan kepada pelakon yang bagus sekalipun, maka akan nampak sedikit kekurangan di situ. Dan kekurangan adalah satu perkara yang perlu dikurangkan bagi sesebuah produksi teater.

Faktor skrip. Skrip juga menjadi salah satu faktor kalah-menang dalam Festival Teater. Ada sesetengah pihak berpendapat bahawa karya sendiri kurang wajar dipentaskan untuk Festival Teater dan ada juga yang menggalakkan karya-karya baru untuk dibawa masuk ke panggung. Pada hemah saya, kedua-dua pandangan harus diambil kira. Karya sasterawan negara sudah pasti diiktiraf dan ia seharusnya dipentaskan dari semasa ke semasa supaya para penggiat teater boleh belajar sesuatu daripada karya sasterawan negara tersebut. Dalam masa yang sama, pengkarya baru harus dilahirkan dan diberikan sokongan supaya idea-idea baru dapat menjadi lebih matang dan berkembang sehinggalah menjadi karya-karya yang bermutu tinggi dan diiktiraf. Kesimpulannya, kedua karya sasterawan negara dan karya baru ciptaan sendiri wajar ditonjolkan sewaktu Festival Teater di setiap negeri. Selari dengan namanya 'festival', disitulah ruang dan peluang bagi setiap aktivis teater berkumpul dan berkongsi pengetahuan dan pengalaman antara satu sama lain. Saya selalu juga berhadapan dengan orang-orang yang mengatakan skrip seseorang itu tidak bagus lantas mengaitkannya dengan kekalahan dalam sebuah pertandingan. Ternyata ini tidak benar. Skrip tidak ada yang tidak bagus, tetapi skrip ada tahap mutu dan kualitinya. Tinggi rendah mutu skrip bergantung juga kepada idea, imaginasi dan pengalaman penulis itu. Dalam hal ini, TTS mengubah citarasa. Sudah empat kali menyertai Festival Teater dengan mengangkat karya sendiri, kali ini TTS mahu membuktikan bahawa mereka mampu mengangkat sebuah karya sasterawan negara yang saban tahun dipertandingkan untuk meraih gelaran Juara. Jika kita lihat senarai karya yang sudah menjadi Juara Festival Teater Malaysia yang sudah tidak boleh dipertandingkan, karya-karya Hatta Azad Khan telah mendominasi senarai tersebut. Apakah TTS mampu memasukkan JEBAT ke dalam senarai 'Karya Yang Tidak Boleh dipertandingkan' itu?

Faktor berikutnya, 'Faktor-X'. Dalam sesebuah pementasan, faktor-X ini adalah sesuatu yang unik yang tiada pada persembahan kumpulan lain. Ia sesuatu yang boleh membuat penonton kagum dan terpukau dan boleh mengingatinya selepas keluar dari panggung. Ia boleh jadi suatu aksi, boleh jadi juga seorang karakter yang membuatkan penonton bersorak semasa curtain call. Dalam hal ini, TTS amat bertuah kerana dipimpin oleh seorang yang cukup berpengalaman dalam bidang teater iaitu Dr Shark. Pengalamannya terlibat dengan pelbagai kumpulan produksi telah membentuk pemikirannya menjadi kreatif dan menarik apabila mementaskan sebuah teater. Ditambah lagi dengan pengetahuan dan kemahirannya di dalam persembahan 'mime', TTS memang sangat beruntung. Saya akuinya sendiri kerana apabila TTS sedang menjalani latihan, idea-idea baru akan sentiasa ada untuk ditambah ke dalam persembahan yang mana saya sendiri pun tidak terfikir (kerana hanya memikirkan tentang lakonan semata-mata).
TTS sudah ada faktor-X. Namun, faktor-X ini perlu direalisasikan selari dengan faktor latihan dan komitmen itu sendiri. Barulah persembahan itu boleh dikatakan sebagai 'a great show'.

Faktor seterusnya, 'politik teater Melayu' di Perak? Oppsss!

2 ulasan:

  1. artikel yg menarik
    sayangnya takda org komen. haha
    aku pun taktau apa nak komen
    hanya mengharap yg terbaik =)
    insyaAllah

    BalasPadam
  2. ermmm...terpulang pada individu...teater tu seni..seni itu halus...bukan semua yg dpt nampak seni tu dimana...biarlah hanya sapa2 yg memahami perih dah jerih berteater...jgnlah kite sombong dan bongkak dgn ilmu yg kite ada...dh takder rezeki so redha..kadang2 berundur skunk lagi elok tuk buat perancangan tuk masa hadapan...bukan mengalah tp memberi ruang tuk kite musahabah diri kay...KARYAWAN PERAK

    BalasPadam