Sabtu, Julai 31, 2010

PRA 0.5 - HBodoh

Mahu sampaikan kata-kata terakhir sebelum PRA bermula secara rasmi Isnin ini.


"hari terakhir di kampung,
bakal meninggalkan batu-batu terbiar tidak terpahat,
parit-parit tidak beraja.
hanya akan datang menjenguk sekali-sekala.

selamat tinggal kampung halaman; parit raja, batu pahat.
selamat datang kota lumpur.
akan hidup dalam lumpur yang kotor.
dan dalam itu aku mahu mencari keindahan di sebalik kekotoran lumpur itu..."

Jumaat, Julai 30, 2010

PRA 0.4 - "Bedahlah Dadaku..."

"Bedahlah dadaku...", ujar Bedah.

Alang-alang aku sedang berniat murni waktu aku menulis ni
aku nak hebahkan sedikit tentang show TTS yang akan datang.
Bawah ni adalah poster hitam-putihnya.
Asalnya aku tengok draf-draf poster ada warna tema hitam merah kuning, macam biasalah warna TTS
dan warna TQA juga.
Tapi hitam-putih mungkin lebih baik.


TTS BUNDLE SHOW yang pertama, walaupun aku rasa bukanlah yang pertama sangat pun.
Selalu sahaja TTS buat banyak show dalam satu malam. Sebagai contoh, tempoh hari, MIME IN ACTION, NASI LEMAK 10 SEN dan TUAH HANG JEBAT. Dah bundle dah tu...
Oh mungkin sebab kali ini lebih daripada 3 show. Kali ini ada 4 show. Oh mungkin itu standard untuk TTS dikira sebagai BUNDLE SHOW. Walaupun TTS tak pernah ada standard operating procedures pun.

Seperti yang terpampang pada poster tu, perkataan BEDAH adalah yang terbesar. Jadi memang asalnya show BEDAH sahaja yang hendak dipentaskan. Tapi sebab setahu aku BEDAH itu tidaklah panjang mana pun. Silap-silap kurang daripada satu jam. Jadi adalah show-show yang lain seperti MIME IN ACTION LAGI LAH yang mana show MIME adalah sesuatu yang wajib mengiringi bersama dengan show teater TTS.

Show KETOPAT OH KETUPAT tu pulak sebab semester Januari 2010 yang lepas tak jadi dipentaskan sebab penganjur mengubah tarikh di saat-saat kritikal rehearsal bangsawan Tuah Hang Jebat. Jadi show tu pun dibatalkan walaupun penganjur nak sangat-sangat TTS buat show untuk event tu. Tapi sebab rehearsal BTHJ waktu tu adalah waktu kritikal, nak tak nak terpaksa batalkan.
Dan akhirnya, ia akan dipentaskan semester ini...

Show monolog PONDOK TOK AYAH tu pulak sebenarnya tak ada pun tak apa. Kalau aku ada lagi di UTP waktu meeting tu memang aku tak sokong idea ada show monolog ni. (Eh, tapi primadiva tu ada juga SMS aku secara peribadi bertanyakan pendapat untuk masukkan show monolog Pondok Tok Ayah ini dan aku rasa aku jawab begini, "Ye laa.. You berlakon.. Gatal." Patutnya aku tak encourage dia. Menyesal pulak jawab macam tu. Kah kah kah!)

Aku kemungkinan besar tidak dapat menghadirkan diri untuk menonton.
Aku perlu ke kampung.
Kerana ada hal kekeluargaan yang lebih penting.
Dan aku difahamkan, ramai juga pelakon-pelakon hot tidak dapat beraksi sebab hal lain yang lebih penting.
Begitulah lumrah hidup para artis pelakon. Kadang kala terpaksa menolak tawaran berlakon disebabkan hal-hal lain yang lebih penting..

Apa yang menarik kali ini adalah pengarahan yang segar dan baru daripada pengarah muda, Daus.
Mengarah sebuah teater bukanlah mudah. Banyak perkara yang perlu diambil kira.
Sama juga macam bos di tempat kerja. Banyak hal yang perlu difikirkan. Dan tanggungjawabnya lebih berat dan besar berbanding pekerja di bawahnya.
Diharapkan teater BEDAH ini menjadi platform terbaik untuk Daus mendapatkan pengetahuan dan pengalaman dalam pengarahan. Kalau tengok orang mengarah tak sama rasanya bila mengarah betul-betul.
Dah pasti lah bila mengarah betul-betul kau akan rasa betul-betul tertekan.
Kalau sebelum ni pelakon rasa kesian tengok pengarah tertekan, bila jadi pengarah kau akan rasa kesian tengok diri sendiri yang tak terurus rambutnya, baik di luar mahupun di dalam.

Abaikan. Kata-kata aku penuh dengan subteks dan imaginasi.
Seperti kata CEO TQA yang aku tengah buru sekarang ni, "Aku penuh dengan imaginasi."

Tak ada sinopsis BEDAH, dan aku pun dah lupa jalan ceritanya bagaimana. Tapi tak mengapa.
Selamat berjaya dan menjalankan tugas masing-masing kepada semua cast dan crew.

PRA 0.3 - Menti : Tiakust

Menti
Menanti
Tikus
Takut
Tiakust

Menti itu tikus, ujar mak aku.

Mentikus, barangkali molek bunyinya.

Pagi-pagi buta di rumah kampung ini
aku berpeluang melihat kelibat aksi seksi menti-menti comel
orang putih sebut mice
memang banyak dalam rumah ini
kucing pula hanya seekor
dan yang seekor ini pun bukan jenis pemburu
kucing manja nan lembik
dapat tangkap menti pun dia pergi buat main menti tu
bukan nak bunuh ke.. makan ke..
mana lah menti-menti tu nak takut
memang banyak menti-menti yang walaupun comel dan seksi
tetapi perangainya menggigit dan membuat lobang amatlah menyakitkan hati manusia isi rumah
habis peralatan rumah semua nak digigitnya
pernah juga mengganggu aku tidur pagi buta dengan bunyi kresekk..kresekk.. dekat dinding plywood bilik tidur aku tu
kalau dapat tangkap menti-menti tu memang aku nak awetkan
cat dan corak lain-lain
buat macam collectibles kereta mainan HotWheels tu
lepas tu aku boleh jadikan menti-menti awet tu sebagai artwork masterpiece aku
kemudian aku letak gambar ment(err)i-ment(err)i sebagai latak atau tapak
mungkin letak sedikit titisan air kencing menti kena tepat pada muka-muka yang bermuka-muka dan bermukah-mukah

tidaklah aku bermaksud nak buat betul-betul
selalunya orang seni ni banyak keluarkan idea gila dan tak betul
itu adalah salah satu cara untuk jadi kreatif dan berfikir di luar kotak - iaitu fikir yang gila, tak betul dan mustahil
yang mustahil sekarang boleh jadi tidak mustahil akan datang

kalau menti-menti yang comel dan seksi itu sudah jadi banyak membiak
sudah tentu boleh lawan dan tak takut pada seekor kucing yang lemah, lembik dan pengecut
ah, kalau kau samakan menti-menti tu sebagai rakyat (sanggup ke nak samakan?)
dan seekor kucing tu sebagai pemimpin
ah, jangan!
jangan jadikan idea aku ni sebagai political play pulak!
ia hanya fasal menti, tikus, dan menti-menti yang tak takut pada kucing!
bukan fasal rakyat yang tak takut pada pemimpin, bukan bukan!

Khamis, Julai 29, 2010

PRA 0.2 - Pragkuts R.M.

Pragut.
Prakus.

Cinta.
Kalau kau rasa geli, kau boleh minta diri, undur diri atau pergi mati.

Ini perihal pragut cinta.
Ini juga perihal prakus cinta.

Aku umpamakan
duit itu sebagai cinta dan
cinta itu sebagai duit.

Pragut cinta adalah
pragut duit
Prakus duit adalah
prakus cinta
dan sebaliknya

R.M.
Ringgit Malaysia
Ringgit Manusia
Ringgit Melayu

R.M.
Ragam Manusia
Rasukan Manusia
Rusuhan Melayu

R.M.
Rogol Manusia
Reman Manusia
Rosak Manusia

R.M. sekadar abreviasi terdiri daripada
abjad-abjad
yang memberi makna di sebalik abreviasi adalah kita

Pragut cinta meragut sebab dia tak ada cinta dan
dia perlukan cinta untuk membeli nikmat dunia
Prakus cinta merakus sebab dia ada cinta tapi
tak cukup dan
dia perlukan cinta lagi untuk menambah koleksi nikmat hikmat dunia
Manusia memang tak pernah rasa cukup dengan apa yang ada
kalau mereka tidak sedar akan garis batas di depan mata yang ada

Kerja?

Kerja.

Makan gaji?

Makan nasi daripada gaji.

Gaji berapa?

Tak banyak mana.

Kerja susah-susah, penat-penat tapi gaji sikit? Tak berbaloi!

Tak mengapa. Aku suka kerja tu. Aku buat kerja tu bukan sebab terpaksa. Jadi bila aku suka buat kerja yang aku suka, hasilnya pun aku suka dan bos pun suka. Lagipun gaji tinggi tidak tentu lagi kita akan dapat kecapi bahagia yang diimpi. Aku bukan orang yang pentingkan wang lebih daripada segala-galanya.

Tetapi tanpa wang, kau tak boleh beli apa yang kau ingin beli. Kau tak dapat beli kereta mewah, rumah besar, barang-barang mahal kalau tak banyak wang.

Itu bukan kebahagiaan yang aku maksudkan. Ada perkara dalam dunia ini yang kau tak boleh beli dengan wang.

Apa? Contohnya, cinta? Huh, sekarang ni cinta pun boleh dibeli dengan wang!

Itu cinta palsu, cinta kotor, cinta jijik.

Apa? Kau fikir, kau rasa sekarang ni masih ada cinta yang suci? Cinta suci itu hanya satu angan-angan yang tak akan dicapai oleh manusia! Cinta suci itu yang palsu. Ilusi!

Ya, cinta suci itu palsu dalam ilusi.. jika kita hidup dalam ilusi.

Hahaha! Wahai kawan.. sedarlah. Hidup ini realiti.. bukan ilusi.. Cuba kau cubit lengan kau tu. Sakit kan? Ini realiti! Kau sahaja yang khayal dan menganggap hidup dalam dunia ini adalah ilusi.

Ya, sebab hidup di dunia ini hanya sementara. Yang bukan ilusi itu adalah yang abadi di Akhirat sana.

Hahaha! Sekarang kau nak berceramah pula tentang ilmu agama? Kau sedar tak diri kau tu pun bukan ustaz! Ada tauliah ke?

Percaya akan Akhirat - semua orang kena tahu. Orang yang tak tahu itu mungkin tak ada peluang lagi nak tahu. Lagipun, bukan ustaz sahaja yang boleh sebut pasal agama. Orang yang beragama mestilah boleh sebut pasal agama. Kalau orang tu tak beragama, tak hairan kalau mereka tak tahu pasal agama. Tapi ada juga orang yang beragama tapi tak tahu pasal agama. Kerana mereka dapat agama secara percuma tapi tak guna dan letak atas meja perhiasan. Oh, maaf. Agama bukan alat. Bukan objek. Mana boleh letak atas meja perhiasan. Oh, maaf. Kau tak faham seni, kau tak faham sastera. Kau kan orang logik akal. Kau orang sains. Maaf, encik saintis tersohor.

Hahaha! Kau memang dah gila, agaknya. Maaf, aku tak layan orang gila. Pergi kau dari sini orang gila.

Baik. Aku mengaku, aku orang gila. Baik, baik. Aku pergi dari sini. Aku tak mahu kau pula yang berjangkit jadi orang gila. Aku pergi dulu ya...

[Orang keluar.]
[Wang-wang R.M. jatuh berterbangan dari atas secara pukal.]
[Orang yang tinggal di atas pentas naik gila dan mengambil wang secara rakus. Dia kemudian menjadi terlalu obses dan takut ada orang lain yang akan curi wang itu darinya lalu dia memakan wang-wang dengan harapan orang lain tak dapat ambil wang jika sudah dalam perutnya.]
[Perut orang itu bertambah kembung dan buncit.]
[Perut orang itu meletup. EFEK BUNYI. BLACKOUT.]
[Pentas terang semula. Di tengah-tengah, orang itu mati akibat makan wang yang terlalu banyak.]

PRA 0.1 - Orang Busuk Hati Memang Begitu...

Telus.
Aku.
Yang kali ini.

Kita, iaitu orang,
kadang-kadang sangat mudah untuk
cemburu, iri hati
dan akhirnya hasad dengki
pada orang lain yang lebih
berjaya, pandai, cantik, berharta, berharta (walaupun tak kaya),
daripada kita
Kita, iaitu orang,
kadang-kadang berasa cemburu bila
ada orang lain yang baik dan
kerjanya pun baik dan
hasil kerjanya pun baik dan
ada orang lain yang suka dan puji dan
ramai orang yang suka dan puji dan
itu buat kita berasa cemburu

Semua itu adalah penyakit hati
sudah pasti perasaan cemburu itu akan diapi-apikan oleh api setan
dan sebab itu kalau kita, iaitu orang, atau manusia,
kalau layan sangat perasaan cemburu pada orang lain itu
akan memudaratkan lagi penyakit hati kita
jika sudah terlalu teruk
hati akan jadi kotor dan
hati jika terlalu kotor dan tak dibasuh
sudah pasti akan busuk
macam pakaian yang kotor dan tak dibasuh
busuklah ia
pakailah perfume wangi tahap bidadari sekalipun
tak akan dapat menutup bau busuk

Jadi kepada orang-orang sekalian,
tak ada orang yang suka orang yang berhati busuk
malah bukan sahaja orang yang tak suka orang yang berhati busuk tetapi
Tuhan juga tidak suka orang berhati busuk
jadi sama-sama kita cuba sentiasa bersihkan hati kalau sudah mula kotor
yang dah kotor masih boleh dicuci lagi
selagi ia tak mati
kalau dah mati memang tak akan hidup kembali

Ditujukan khas kepada orang-orang di sawah padi...

Rabu, Julai 28, 2010

PRA 0 - Pra Pang Pung Ping Pong Tong Ting Tang Bin Man Gen Lima Ma Lai Lai Sia Sia Pu Pu Luluh Luh

Waktu PASCA sudah tamat. Kini aku persembahkan pula..

PRA
Perkataan-prakataan dalam Rasa Asimilasi Akin Muhammad



PRA adalah catatan-catatan kisah hidup aku sebermulanya alam kerjaya aku.
PRA juga adalah untuk PRA-perkahwinan.
PRA adalah permulaan bagi apa-apa saja yang baru dalam hidup aku.


ASIMILASI
Asimilasi ialah proses kognitif yang membolehkan individu mengintegrasi pengalaman baru dengan skema yang sedia ada. (Iaitu, melatakkan rangsangan atau pengalaman baru ke dalam skema sedia ada. Asimilasi berlaku sepanjangn masa kerana manusia sentiasa memproses rangsangan yang kian dialami dan kian bertambah. Skema adalah seperti ballon dan asimilasi ialah seumpama memasukkan angin ke dalam ballon itu. Lama kelamaan, ballon itu menjadi besar (iaitu perubahan kuantitatif sahaja) tetapi bentuknya tidak berubah (iaitu tidak ada perubahan qualitatif). Skema baru tidak dihasilkan kerana skema yang lama digunakan dan ini bermakna tidak ada perkembangan skema.

SKEMA
Skema ialah struktur-struktur kognitif atau mental yang diperolehi oleh individu untuk mengadaptasi dengan persekitaran dan mengorganisasi persekitaran berkenaan. Skema ialah seperti fail indeks (seperti terdapat di perpustakaan) yang terdiri daripada beberapa kad dan setiap kad ini ialah satu skema. Skema tidak statik tetapi sentiasa berubah menurut perkembangan intelektual dan pengalaman. Ia diandaiakan seperti konsep atau kategori berkenaan sekumpulan objek, peristiwa atau sifat/ciri. Orang dewasa memiliki banyak skema manakala bilangan skema bayi terhad dan bertambah apabila membesar.

Teori Pembelajaran Piaget; salin dan tampal dari sini: http://peoplelearn.homestead.com/psycholearnpiaget.html 


A + B + C = A
i + I + 1 = eS


Rumus apa tu?
Mengarut.
Rumus-rumus itu mengarut.
Rumus-rumus sekadar simbol-simbol.
Simbol-simbol adalah dalam simbolism.
Simbolism adalah seni.
Rumus-rumus adalah seni.

Tak percaya dan skeptikal yang jurutera boleh berseni?
Ya, aku sendiri pun tak percaya.
Mengarut semua ini.

Entah. Layan sajalah hidup ini!



p/s: Untuk TQA menempek (ya, menempek, aku ulang, menempek..) dengan TTS lagi untuk show Palestin hujung tahun ini (InsyaAllah) bersama SEFA's Bukan Cerita Palestin Lah, idea sudah wujud, ilham sudah muncul, dan macam biasa, aku tak akan faham apa yang aku akan tulis nanti... aku akan persembahkan... "man bin tang gen lima puluh" dengan simbolism sebagai akar umbi idea ini terhasil.. dan mungkin aku nak abstrakkan sehabis mungkin nasib lah kalau aku sendiri pun tak faham, tak apa tak apa tak apa tak apa tak apa biar mati terus semua sel otak orang kampong...

Isnin, Julai 26, 2010

PASCA 16 - Dehidrasi Dalam Hidrat

"Dehidrasi"

penat
lelah
jalan jauh
banyak jalan
peluh leleh
kurang kencing
air kurang
cari air
minum air
pergi kedai
raba bontot
seluk kocek
dompet tiada
seluk saku
wang tiada
tiada air
tambah letih
tolak air lebih

tangan siapa panjang
dekat mana
waktu bila
cilik, tidak sedar
siapa langgar bahu
tidak tegur
siapa langgar sikut
pandang depan
buat tak tahu
tangan siapa raba-raba
panjang pendek
tuan punya yang tahu

wang tiada
air tiada
wang tiada
balik rumah jalan kaki
wang tiada
dompet tiada
kad tiada
apa pun tiada
peluh leleh bau masam saja ada
wang tiada
air tiada
air peluh leleh bau masam saja ada
air peluh leleh bau saja ada
air peluh leleh saja ada
jangan fikir kotor
tak nampak ada pili air dekat situ?

(dehidrasi menyihatkan tapi meletihkan)

wang tiada
hidup hari sukar
air tiada
hidup hari pun sukar
air tiada lansung
hidup pun tiada
wang boleh alir bak air
kerana kaitan
wang tiada - air tiada

ini bukan fasal wang
ini fasal air
dan dehidrasi menghilangkan air
tiada air
tiada wang
kolerasi tepat
wang tiada
air tiada
balik rumah jalan kaki
tak payah fikir lagi
esok buat IC

celaka.

(dehidrasi meletihkan tetapi menyihatkan)

aku perlu simpan wang dalam pakaian dalam lepas ini.

celaka lagi.

(hilang dompet merugikan tetapi menguntungkan)



nota tengah: ini sekadar puisi, bukan benar-benar terjadi pada diri.



"Dalam"

kalau simpan dalam pakaian dalam lebih selamat
itu pun kalau pakai pakaian dalam
kalau simpan dalam kocek depan lebih selamat berbanding dalam kocek belakang
itu pun kalau berkocek depan

dalam pakaian ada pakaian lagi
sekonsep
dalam kotak hadiah ada kotak lagi
sekonsep
dalam kulit ada kulit lagi
dalam saku ada saku lagi
dalam kocek ada kocek lagi
dalam poket ada poket lagi
cuba seluk ketiga-tiga, mana yang ada
apa ada dalam ketiga-tiga dalam yang ada?
ada wang kah?
ada kad kah?
ada nota kah?
ada bil kah?
ada habuk kah?
ada air kah?
air?
ada air simpan dalam kocek.

simpan air dalam-dalam
simpan wang dalam-dalam
dalam-dalam lebih selamat
dalam-dalam lebih berkat
dan tolong jangan fikir bukan-bukan
bukan-bukan bukannya dalam-dalam




"Hidrat"


Di kesempatan ini aku nak ucapkan terima kasih kepada supervisor projek tahun akhir aku, Dr. K kerana telah membuka ruang dan memberi peluang kepada aku untuk mengenali perihal kejuruteraan hidrat.
Walaupun hasil projek aku tidak seberapa sebab masa banyak terbuang 'menunggu hidrat tak terbentuk-bentuk' (mungkin sebab 'tekanan' tak cukup tinggi, atau 'suhu' tak cukup rendah..) tapi projek ini telah berjaya menarik minat aku untuk memulakan dan meneruskan kerjaya dalam bidang yang sama juga.
Dalam mengejar kerja hidrat aku telah melalui tempoh dehidrasi yang menduga.
Hampir-hampir aku berpatah kaki dalam aku berlari-lari.
Bergema-gema taluan soalan demi persoalan dalam kepala otak yang menolak-menarik, menghasut-mendorong.


Tiada hidrat terbentuk tanpa tekanan yang tinggi.
Tiada hidrat terbentuk tanpa suhu yang amat dingin.
Dan secara subteksnya, tiada hidrat jika tiada dehidrasi.

Ahad, Julai 25, 2010

PASCA 15 - Antiduran Antiwanita

Aku pernah anti dengan perempuan suatu masa dahulu.
Ada sejarah hitam aku terhadap spesis manusia berjantina perempuan.
Lumrah manusia, kerana seorang perempuan, aku jadi tak betul dan anti terhadap perempuan.
Kisah aku bukan seperti kisah MAT dalam Miao Miao Sang Arnab.
Sebab aku tak berjumpa dengan Arn, arnab yang boleh bercakap.
Namun begitu manusia berubah.
Perubahan pada manusia dilihat dan dianggap seperti tidak dapat dielakkan.
Akan tetapi, perubahan pada diri manusia tetap tidak akan dapat mengubah siapa diri kita yang sebenar-benarnya.

Oleh itu, kali ini suka untuk aku berkongsi petikan skrip aku yang berjudul "She (Dia, Perempuan)"...


MULA.

SHA
Kita... Sayu dan atmosfera layunya bunga.

SHE
Bunga?

SHU
Orang perempuan adalah bunga.

SHI
Ibarat... Ia hanya suatu perlambangan.

SHO
Klise! Tipikal! Boring! Cubalah sesuatu perlambangan yang lain.

SHE
Misalan?

SHO
Orang perempuan adalah perfume.

SHA
Sama saja tu... Perfume dari bunga. Bunga harum, perfume pun wangi.

SHO
Sekurang-kurangnya aku mencuba.

SHA
Alahai perempuan...

SHU
Ladies...

SHO
Girls...

SHE
Muslimah...

SHI
Wanita...

[Pause]

SHO
Aku cuba lagi sekali. Orang perempuan adalah almari kaca.

SHU
Pantang nampak kaca

SHI
Pantang nampak apa-apa yang ada refleksi

SHE
Cermin kereta

SHA
Cermin mata

SHI
Dinding masjid kristal

SHU
Dinding kedai emas

SHO
Atau kepala si botak licin

[SEMUA ketawa tetapi berhenti secara tiba-tiba.]

SHA
Mak kita generasi Hawa sejati

SHE
Mak kita ibu sejati

SHI
Mak kita isteri sejati

SHO
Mak kita muslimah sejati

SHU
Mak kita manusia sejati

SHA
Tapi mak kita sudah tiada

[SEMUA menangis tetapi berhenti secara tiba-tiba.]

SHA
Kita kena tabah dan redha.

[SEMUA menangis tetapi berhenti secara tiba-tiba.]

SHA
Kita kena teruskan hidup kita menjadi orang perempuan, lady, girl, wanita dan muslimah yang baik.

[SEMUA menangis sekuat hati dan akhirnya berhenti.]

SHA
Kita pasakkan lidah kita pada hati yang membara.
Kita cantumkan hati kita pada genggaman tangan yang meronta.
Kita.. tetapkan, tegakkan keperempuanan kita, kewanitaan kita.

SHU
Aku bukan pisau kaca.

SHO
Aku bukan perfume.

SHI
Aku bukan almari kaca.

SHE
Aku bukan bunga.

SHA
Aku bukan objek cantik bahan solek.

SHU
Aku bukan untuk kegunaan 24 jam pakai buang.

SHO
Aku bukan untuk permainan kegembiraan.

SHI
Aku bukan untuk eksploitasi seksi dan sensasi.

SHE
Aku bukan untuk perhiasan meja makan.

SHA
Aku bukan untuk bahan jamuan kenduri.

SHA, SHE, SHI, SHO, SHU
Aku, aku, aku, aku, dan aku.. bukan sesiapa atau apa-apa. Tetapi aku, aku, aku, aku dan aku... adalah manusia hamba.

SHA
Untuk mak kita, kita menadah tangan.

SHA, SHE, SHI, SHO, SHU
Amin...

SHA
Innalillah.

SHA, SHE, SHI, SHO, SHU
Selamat jalan, mak. Assalamualaikum...


TAMAT.



Ibu adalah satu pangkat, satu gelaran yang cukup tinggi dalam kehidupan manusia.
Dan gelaran Ibu hanya dapat dipegang oleh manusia perempuan.
Manusia lelaki tidak akan dapat.

Dah. Habis.

Sabtu, Julai 24, 2010

PASCA 14 - Lepakan Artistik

Sewaktu di kota lumpur tempoh hari aku sempat singgah ke Galeri Petronas. Kebetulan ada pameran baru.
Tak lama hari tu  baru sahaja aku singgah melawat pameran NOVA - Exploring New Ideas di tempat yang sama. Kali ni pameran seni ini dijudul "young malaysian artists - new object(ion)" / "seniman muda malaysia - ba(nta)han baru". Judul pameran saja sudah cukup kreatif. Ada dua; new objection / bantahan baru; dan new object / bahan baru jika tiada huruf dalam kurungan itu. Malah, (ion) itu sendiri yang menarik minat aku pertama kali melihat iklan pada billboard. Mentang-mentang lulusan kejuruteraan kimia, nampak (ion) saja sudah tertarik.

Apa pun, kedua-dua pameran NOVA dan new object(ion) ini menampilkan artwork kontemporari. Dan sudah pasti, bagi diri orang muda macam aku ni, seni kontemporari dilihat dan dirasakan yang paling cocok dengan jiwa muda. Tapi jika dilihat pameran lukisan sajak Pak Samad Said yang terbaru tahun ini, juga turut menjurus kepada gabungan harmoni antara seni konvensional dan kontemporari. Ah, Pak Samad memang otai seni. Walaupun lahir di zaman dahulu kala tetapi tetap mampu melahirkan karya-karya seni berjiwa moden dan sesuai dinikmati dan dicontohi oleh penggiat muda seni tanahair. Tabik sama Pak Samad. Lebih-lebih lagi kolaborasi deklamasi sajaknya bersama dengan Space Gambus Experiment telah membuktikan bahawa Pak Samad berjaya mengangkat persepsi (sekurang-kurangnya pada diri aku sendiri) yang seni itu satu perkara ciptaan Tuhan yang cukup meluas, universal, subjektif dan boleh pakai dan boleh masuk pada bila-bila zaman, di mana-mana sahaja, untuk apa-apa bangsa, agama dan budaya.




Sepanjang pengalaman aku menjelajahi pameran seni "new object(ion)", aku banyak kali menyebut WOW!, Superb! Excellent! dan seumpamanya secara perlahan secara lisan mahupun di dalam hati. Karya-karya seni yang dipamerkan berjaya menzahirkan, menunjukkan, dan memberitahu perasaan para pengkarya terhadap isu-isu yang mereka ingin sampaikan dalam karya masing-masing. Sudah tentulah, perkara ini hanya berlaku bagi mereka yang betul-betul menghargai seni. Bagi mereka yang hanya saja-saja masuk galeri tu sebab baru lepas makan dan nak tunggu waktu masuk pejabat pukul 2 petang mungkin tak dapat merasai 'perasaan' artwork tersebut. Respon mereka mungkin sahaja Cantik! Pelik! dan seumpamanya.

Dari surrealism kepada experimental; abstrak, absurd, sinikal, minimal melalui karya-karya yang dihasilkan melalui medium instalasi, arca, mahupun gabungan lukisan konvensional cat-cat di atas kanvas bersama dengan instalasi dan arca merupakan gaya kontemporari yang aku dapat lihat dalam fenomena seni di Malaysia ini. Sejak aku mula mengenali seni dengan lebih mendalam pada tahun 2008, banyak juga pameran seni yang telah aku hadir menyaksikan. Itu pun banyak juga yang aku nak pergi tetapi tak berkesempatan. Sesungguhnya pengalaman menyaksikan pameran seni sebegini telah mencetuskan minat aku untuk lebih mendalami seni itu dan melakukannya, bukan setakat seni teater, tetapi cabang-cabang seni yang lain. Dan oleh sebab itu aku sudah menanam cita-cita baru untuk menghasilkan sebuah artwork lukisan pada suatu hari nanti. Aku akan melukis pula nanti.

Kadang-kadang hendak juga aku ajak seorang orang seni untuk duduk atau berdiri di hadapan sebuah artwork (apa-apa genre dan stail), ambil masa masing-masing untuk menghayatinya dan berborak-borak tentang interpretasi masing-masing secara kasual. Oh, mungkin ini hanya angan-angan imaginari.

Jumaat, Julai 23, 2010

PASCA 13 - Hamis Dalam Habis

"hamis"
busuk spt bau kambing (terutama dagingnya) atau bau lembu (peluh dsb); kehamisan perihal hamis, bau hamis: ~ daging kambing dapat dihilangkan dgn mencucinya dgn tepung gandum.
Kamus Dewan Edisi Empat

Aku tahu perkataan hamis daripada mak aku.
Mak aku kata maksudnya adalah hanyir.
Kita, sebagai manusia, yang merupakan makhluk ciptaan yang terbaik, mungkin tidak suka akan bau haiwan yang hamis. Kita tutup hidung cepat-cepat. Atau tahan nafas bagi mereka yang nak control macho. Sampai begitu sekali.
Namun begitu, manusia mungkin tak sedar yang badan mereka pun akan berbau busuk kalau tak mandi. Dan kalau tak reti nak pakai minyak wangi. Bau badan yang busuk sudah pasti akan mengganggu ketenteraman manusia lain. Paling teruk boleh menyakitkan hati orang lain.
Di sebalik kehamisan haiwan, manusia masih tidak sedar akan kehamisan yang lebih besar, bukan pada bau badan tetapi pada hati. Haiwan tidak akan punya kehamisan hati. Manusia boleh mempunyainya.
Apakah manusia masih boleh berbangga dengan status makhluk ciptaan terbaik jika kehamisan hati meresap ke serata atmosfera?


"dalam"

dalam kehamisan hati haiwan misalnya ayam atau lembu
masih boleh dibasuh bersih-bersih dan dimakan oleh manusia
dalam kehamisan otak haiwan misalnya otak lembu
masih boleh dibasuh bersih-bersih dan dimakan oleh manusia
dalam kehamisan ikan-ikan dan telur-telur ikan
masih boleh dibasuh bersih-bersih dan dimakan oleh manusia
manusia kenyang
haiwan mati
tetapi itu ketetapan
dalam kekenyangan manusia memakan organ-organ haiwan yang hamis tetapi sudah bersih itu
jika kehamisan lahir dari manusia
manusia yang akan salahkan makanan yang mereka telan
salah makan
sakit perut
cirit-birit
salahkan makanan
tidak bolehkah manusia salahkan diri sendiri?


"habis"

habis.
habis...
habis!
habis?
habis sudah aku mengaji ilmu kejuruteraan kimia
syukur
pertama sekali aku nak sampaikan rasa bersalah dan nak minta maaf kepada para ilmuwan sejati kejuruteraan kimia sebab banyak benda yang aku belajar yang aku dah tak ingat.
aku tak mahu salahkan sistem pembelajaran (sistem pendidikan di Malaysia adalah satu isu dalam teater pendek "bab i" - yang mana rasanya aku seorang sahaja yang baru faham sebab karya itu pun belum dikuatkan lagi) tapi aku mahu salahkan diri aku sendiri sebab tidak menghargai dan mencintai ilmu itu sewajarnya.

sebut fasal habis ini
teringat aku, yang aku tidak habis melalui kem khidmat negara dulu.
dua bulan daripada dua bulan setengah sahaja.
aku teringat yang aku tidak habis khidmat negara ini sebab aku baru dapat jejaki semula beberapa rakan satu kompeni dahulu di laman sosial.
masing-masing dah besar dan BESAR.

dan bila fikir-fikir sejenak fasal habis ini
sebenarnya banyak juga perkara yang kita tidak berjaya habis lakukan.
misalnya bagi diri aku sendiri, ada skrip yang aku tidak berjaya habis tulis lagi.
dan oleh sebab itu suka untuk aku mengajak semua orang untuk habiskan apa yang kita perlu dan hendak habiskan

dan mahu juga aku untuk melaksanakan misi menjejak padang hijau pada suatu hari nanti...

habis, siapa lagi yang boleh habiskan apa yang kita perlu atau hendak habiskan kalau bukan kita sendiri yang habiskan?

habis, siapa yang nak habiskan makanan yang tak habis ni?

habis, siapa yang habis-habisan menghabiskan habisan-habisan kehamisan hati manusia?

PASCA 12 - Pasca

Makna pasca menurut Kamus Dewan Edisi ke-4 ialah awalan asing bagi sesudah, selepas, setelah, dan sebagainya, misalnya pascasiswazah.


1) pascasiswazah - berkenaan penuntut yang meneruskan pendidikan yang lebih tinggi selepas menamatkan ijazah pertama.
2) pascamerdeka - berkenaan keadaan atau aktiviti yang dilakukan selepas kemerdekaan
3) pascamajlis - berkenaan keadaan atau aktiviti yang dilakukan selepas majlis.
4) pascanilai - berkenaan keadaan sesuatu selepas dinilai.
5) pascasejarah - berkenaan keadaan selepas sejarah sesuatu zaman.

Ini hasil carian melalui laman DBP.

* * *

PASCA mungkin akan berakhir tidak lama lagi, mungkin sedikit lama lagi.
Selama sebulan selepas pulang dari projek teater di KL tempoh hari, aku tidak lekat duduk di rumah.
Pergi cari kerja. Nak jadi jurutera kononnya.

Dalam masa yang sama juga aku sudah siap bikin brosur The Qum Actors. Brosur ini akan digunakan secara rasmi untuk publisiti. Ini cubaan pertama aku bikin brosur yang nampak profesional. Walaupun aku rasa tak berapa nampak profesional lagi, tapi ya lah, ini cubaan pertama aku. Mungkin lepas ni boleh belajar dengan betul melalui apa-apa rujukan.


Gambar-gambar yang digunakan untuk brosur ini kredit kepada Farhan Iqbal Mohd Yusof, Azmi Yaacob dan Zulfadzli CJ.

Dalam masa yang sama juga aku berniat untuk tulis satu skrip bangsawan pada masa akan datang. Dan yang ada dalam fikiran sekarang adalah Bangsawan _ _ _ _ _   _ _ _ _ _ _. Sengaja tak mahu dedahkan judulnya. Sebab cerita tu tak pernah lagi dipentaskan dalam bentuk bangsawan setakat dalam pengetahuan dan pengalaman aku.

Secara peribadi, waktu PASCA ini memang satu tempoh masa yang menarik dan mengujakan bagi diri aku. Banyak perkara yang telah berlaku. Dan banyak pengalaman dan pengajaran baru dalam hidup. Dan sudah pasti, setiap satu mendidik diri ini supaya menjadi lebih matang. Setakat berusia 20-an, tak payah lah nak perasan yang diri tu dah matang. Tapi usia bukan penentu. Boleh jadi manusia berumur 12 tahun sudah jadi cukup matang untuk hidup kerana pengalaman hidupnya yang banyak mendidik diri. Dan boleh jadi juga manusia berumur 30-an masih belum matang lagi. Hidup banyak perkara yang subjektif. Dan sudah tentu, usia bukan kayu ukur sebenar kematangan diri.

Bila PASCA sudah tamat nanti, IIIES akan muncul dengan kisah-kisah PRA. PRA apa? Faham-faham sajalah... Dan bila sudah tamat PRA, akan kembali semula dengan PASCA dan mungkin akan berterusan kitaran ini selagi hayat dikandung badan...

Dengan izin Allah, selagi aku mampu, aku akan teruskan hayat IIIES ini sehingga hembusan nafas aku yang terakhir... Dan selepas itu, episod-episod PASCA tidak akan tercatat lagi dalam blog ini, tetapi dalam .......

Khamis, Julai 22, 2010

PASCA Khas - "Antidot" / "Cinta Yang Tidak Tidur"

Sebuah puisi aku karang pada hari Rabu, 21 Julai 2010. Jam 2.20 pagi.
Puisi khas buat Nur Najwa, sempena hari ulang tahun kelahirannya.
Aku judulkan "Antidot" atau yang lebih mudah difahami, "Cinta Yang Tidak Tidur"


(i)

pada ufuk aku meniarap
menyaksi paksi pada genap titik kosong
sebuah botol kaca lutcahaya di atas tanah
terpasak separa menganga
menadah air tak jatuh tiba
menakung embun tak lekat
terbiar lama di situ
tiada siapa tahu
tiada siapa peduli
hanya aku yang masih terlantar pada ufuk yang satu itu


gelisah aku tidak keruan meniarap
aku melentang
memandang luas hamparan langit yang putih
ada juga bertanya-tanya aku ke atas langit
"apakah keputihan itu hanya satu ilusi?"
"apakah keputihan itu adalah satu kegelapan yang kau cuba selindung?"
"di mana bahagia jika kegelapan itu diputihkan?"
hanya taluan soalan yang tidak terjawab
malah dilontar semula pada muka
secara keras merintang angin


lalu langit kian gelap
lantas mata aku lelap


(ii)

satu garis halus cahaya melintas mata
terjaga aku lalu terpukau
seluruh isi alam kini bergembira bersama-sama
tanah yang tandus kini berwarna hijau girang
benih pohon yang tidak tumbuh kini menghiasi setiap denai
laluan makhluk bersayap, berkaki, bertanduk
cahaya sekitar membuak-buak
melonjak-lonjak
hanya bahagia mengisi segenap sudut


hujan juga membasahi wajah tanah seceria wajah mentari pagi
melembuti batu-batu dasar cetek sungai mengalir
melembapi kayu-kayu ranting pepohon membirui langit sesempurnanya


keasyikan tidak memudarkan ingatan pada botol kaca pujaan
penuh berisi titisan hujan
jernih, sejuk dan basah
penuh dengan kecintaan


seperti hari-hari yang telah lalu dan akan pergi
langit kian gelap dihiasi bintang dan bulan
lantas mata aku lelap bermimpikan angan-angan


(iii)

layar mimpiku putih meluncur tenang di lautan membiru

satu garis halus hitam melintas mata
terjaga aku lalu silau



garis hitam itu tadi meretakkan botol kaca
masih tegar tidak bocor
hanya air yang terhitam oleh hentaman garis hitam

keharuan kini menconteng segenap ruang
langit kini kekacauan
tanah kini lecak dan lumpur
sungai kini terputus arus

ketakutan menyelubungi
melihat akan likatnya kehitaman di dalam botol kaca itu
aku mahu buang ia sejauh-jauhnya
tidak mahu melihatnya lagi

air hitam itu mungkin racun
lalu aku tekad meminumnya
supaya botol kaca itu kembali kosong
dan dengan harapan akan diisi semula dengan titisan hujan

air hitam itu memang racun
lalu pandangan aku kian gelap
lantas mata aku pejam

titik.


(iv)

dan aku bangun semula
tiada petunjuk akan apa-apa
buntu tiada ditutur apa-apa
cuma ada sebuah botol kaca yang penuh berisi air putih
dan botol itu kini di dalam genggaman tanganku

cinta itu antidot
membangunkan semula jasad beracun
cinta itu membangunkan jasad yang tidur
kerana cinta itu tidak tidur



Isnin, Julai 19, 2010

PASCA 11 - Tasmat

Sabtu yang lalu, 10 Julai, aku ke Panggung Bandaraya untuk menonton Bangsawan Aladin.
Show mula 8.30 malam dan bila aku tiba dekat panggung aku nampak ramai orang.
Ah, sudah. Mesti dah tak ada tiket. Tapi aku harap-harap ada lagilah tiket malam tu.
Tapi memang benar sangkaan aku. Tiket untuk show malam tu dah sold out.
Jadi aku beli tiket untuk show matinee petang Ahad.
Mungkin sebab hari Sabtu, dan mungkin sebab bangsawan in cerita Aladin, jadi budak-budak teruja hendak nonton. Dan mungkin juga promosi diaorang sangat hebat.
Tapi tak mengapa. Kita lihat bagaimana pula hasil bangsawan yang telah dipersembahkan.



Ahad, 11 Julai, 3.00 petang.

Aku tiba di panggung tepat pukul 3.00 petang. Terus masuk dan kedengaran sudah ada nyanyian lagu.
Selama setengah jam penonton diberikan masa untuk memenuhi panggung. Panggung tidak penuh petang itu. Mungkin sebab show petang. Jadi selama setengah jam itu, penonton dihiburkan dengan dendangan lagu Melayu lama oleh.. orang lama. Aku tak tahu nama pakcik tu.

Show bermula, Aladin keluar dari pintu belakang panggung menuju ke sudut kanan bahagian hadapan. Penggunaan ruang penonton sekarang ni sudah menjadi kebiasaan. Ini menunjukkan bahawa seni tidak perlu dibataskan pada aplikasinya, kecuali batasan agama, ini sudah pasti. Jadi adalah elok jikalau ada sebarang peraturan pentas sewaktu pertandingan, larangan menggunakan ruang penonton itu dibuang. Hehehe. Tapi ya lah, suka hati penganjur lah kan nak tetapkan peraturan macam mana. Akhirnya, pengkarya juga yang kena jadi lebih kreatif untuk hasilkan karya kreatif di dalam batasan peraturan itu.

Gaya persembahan yang interaktif juga sesuatu yang tidak asing lagi. Aladin memberikan beberapa biji buah epal betul kepada penonton. Nah, sah-sah lah orang tertarik dan yang dapat epal sukalah dapat epal percuma. Sebut pasal interaktif, ia juga merupakan salah satu gaya yang sangat penting bagi seorang Tauke Panggung atau Raja Panggung. Tauke Panggung bagi aku bukanlah satu karakter yang perlu dilakonkan dengan teknik lakon. Ya, teknik improvisasi boleh digunapakai oleh Tauke Panggung, akan tetapi untuk hasil yang cukup natural, Tauke Panggung harus lebih 'biasa' - walaupun panggung tu bukan dia yang punya secara realitinya, tetapi dia harus menganggap yang panggung tu dia punya, dan cara pertuturannya harus seperti orang biasa. Alah, senang cakap, Tauke Panggung ni kena jadi macam pengacara apa-apa majlis atau program lah. TTS, pada masa akan datang, harus mengambil Tauke Panggung yang sebegitu. Yang biasa, bersahaja dan kalau boleh, yang lively dan kelakar.

Memandangkan aku tak buat apa-apa catatan sewaktu menonton, jadi suka untuk aku memberikan sedikit pandangan secara umum tetapi masih mengikut plot babak-babak cerita bangsawan Aladin ini. Itu pun yang mana yang aku masih dapat ingat lagi lah.


Babak 1 - Pasar di Padang Pasir
Cubaan untuk menindankan dialog-dialog para pelakon atas pentas pada satu adegan yang terbahagi kepada dua sub-set. Mungkin ada orang yang akan pertikaikan, kenapa tidak adegan pada sub-set latar dibisukan dengan mimikan sahaja dan adegan sub-set yang utama difokuskan supaya penonton lebih faham dan jelas? Sebaliknya, pengarah cuba menindankan kedua-duanya. Maka jadilah bunyinya seperti kekacauan dan memang adegan yang cuba ditunjukkan itu seharusnya menunjukkan kekacauan. Akan tetapi, kalau tindanan itu tidak menjadi, maka penonton tidak dapat apa-apa pun. Boleh jadi dalam hal ini penonton akan cuba memberi fokus pada satu adegan sub-set, kemudian beralih perhatian pada sub-set yang lain, dan beralih semula kepada yang tadi. Dan boleh jadi juga penonton hanya menumpukan perhatian pada satu adegan sahaja. Muzik ambient pula? Kena dan bersesuaian akan tetapi leveling muzik kadang kala tidak berapa selari dengan lontaran suara sesetengah pelakon. Ya, memang bukan mudah untuk samakan aras kekuatan lontaran suara para pelakon. Yang lebih berpengalaman, lontaran suaranya memang baik. Yang kurang berpengalaman, kurang baik jugalah. Oleh itu untuk mewujudkan harmoni dalam lontaran vokal para pelakon memang payah dan makan masa, lebih-lebih lagi melibatkan pelakon wanita dan kanak-kanak. Oh ya, lakonan kanak-kanak boleh dimaafkan kalau tidak menjadi atau kekok sekalipun, ya lah, kanak-kanak kot! Akan tetapi, tidak dapat dinafikan memang ada pelakon kanak-kanak di luar sana yang berbakat lakonan semulajadi. Jadi untuk memastikan lakonan pelakon kanak-kanak tidak terlalu meminta-minta belas simpati dan kemaafan daripada penonton (seperti aku, misalnya), adalah amat penting sewaktu casting, memilih pelakon yang tepat, bukan sekadar terpaksa ambil sebab tak cukup pelakon (masalah yang biasa dalam TTS).
Backdrop yang digunakan pula terpampang dua ekor unta berlatarbelakangkan padang pasir. Haiwan unta banyak juga diperalatkan di dalam bangsawan ini. Mungkin 'diperalatkan' sedikit kasar bunyinya. Apa yang aku maksudkan adalah subjek 'unta' digunakan di dalam dialog dan diberi makna yang lucu; walaupun pada pandangan hati aku, unta itu suatu subjek haiwan yang begitu banyak menyimpan khazanah padanya, khazanah rasa dan jiwa. Ah, mungkin saja aku boleh catatkan sesuatu tentang unta dalam nota idea-idea karya aku.
Ada nyanyian miming pra-rakaman oleh watak anak-anak miskin. Mungkin sekarang sudah jadi trend bangsawan moden.


Babak 2 - Istana
Biasalah, sebaik saja tirai untuk babak istana dibuka, dan lampu pentas dinyalakan, kekaguman pada set istana mesti ada. Set istananya memang cantik. Dah nama pun di istana kenalah tunjukkan kecantikan duniawi walaupun sebenarnya kecantikan itu sementara dan nikmatnya hanya memalsukan hati manusia. Untuk babak istana ini, tiada backdrop digunakan. Hanya kain-kain yang direntang secara menegak digunakan. Bila tengok punya tengok punya tengok, macam set kamar permaisuri tun teja dalam Bangsawan THJ pula gayanya. Dan kebetulan pula, jenis kainnya kelihatan sama cuma berbeza warna.
Aku takut. Aku takut dengan babak istana dalam bangsawan ini. Budaya istana di latar tempatnya. Bagaimana? Budaya istana padang pasir? Budaya istana adalah satu perkara yang amat penting yang perlu diambil perhatian berat dalam bangsawan. Sewaktu mengarah BTHJ tempoh hari, aku memang menghadapi masalah dalam hal ini. Masalahnya, aku tak tahu pasal budaya istana. Jadi apa yang aku boleh lakukan adalah hanya membuat rujukan yang tak seberapa. Sekurang-kurangnya aku tahu, aku tak hentam atau bantai saja. Kalau ada salah silap memang patut ada pun sebab aku baru belajar.
Jeng jeng jeng. Tibalah masanya yang aku nanti-nantikan, yang aku cari-cari dalam mana-mana pementasan bangsawan, iaitu tasmat atau kesan khas (malangnya aku tak cari-cari tasmat dalam pengarahan BTHJ aku sendiri kecuali cucukan lembing-lembing yang tak berapa menjadi akan tetapi terima kasih buat Iqbal haha). Tasmat ini juga seharusnya menjadi WOW-Factor dalam sebuah pementasan bangsawan.
Ular sawa hidup. Aku ingat dia akan main ular sawa tu tapi tak.
Kuasa sakti menghidupkan arnab yang dah mati. Walaupun kita tahu arnab yang ditunjuk itu arnab tiruan, penonton gelak sebab tahu itu arnab tiruan bukan arnab hidup akan tetapi apa yang cuba ditunjukkan itu adalah cubaan yang baik sebab arnab tiruan tu seakan-akan dengan arnab hidup.
Kuasa sakti menukar barang menjadi emas. Yang ditunjukkan adalah menukarkan gelang perak kepada emas. Okay, trick ini memerlukan khidmat ahli silap mata kalau hendak ia betul-betul menjadi. Begitu juga dengan arnab mati kepada arnab hidup. Kepakaran ahli silap mata boleh digunakan.
Dari segi lakonan pula, slang bahasa Arab tiada pada watak Puteri Balkis dan Permaisuri Baghdad. Watak-watak yang lain di istana pula telah cuba yang terbaik menuturkan dialog Bahasa Melayu dengan slang Arab. Ini satu kesilapan yang aku tidak boleh maafkan. Puteri Balkis adalah watak perempuan utama akan tetapi elemen penting dalam lakonannya iaitu slang Arab tiada. Sangat mengecewakan.
Suka aku untuk berkongsi watak Sultan Harun Amirul Rashid yang dibawa oleh pelakon drama terkenal iaitu Rahim Kidol. Karakternya ringan dan membawa watak Sultan dengan gaya yang bersahaja dan tidak terlalu tegas atau bengis. Adakalanya watak Sultan ini kelihatan seperti seorang yang bangang dan suka berlawak dan hanya marah apabila murka terhadap sesuatu. Olah tubuhnya juga sebegitu, selari dengan karakter yang dibawanya.
Aku tidak ada masalah untuk menerima sesuatu yang melanggar kebiasaan. Misalnya, watak Sultan yang bangang. Ataupun Jebat hidup, Tuah yang mati. Kadang kala aku ingin lakukan sebegitu rupa. Mungkin akan ada pihak yang akan pertikaikan, kita tidak boleh ubah cerita sejarah. Tapi bagi aku, atas pentas teater itu, apa-apa sahaja boleh dilakukan. Cuma aku boleh faham, khuatir jikalau generasi muda yang menonton sebuah teater yang diubah cerita sejarahnya, boleh jadi salah faham dan kekeliruan di situ. Tapi ya lah, bak kata panel penemuduga aku hari tu, "So, who wins? Jebat or Tuah?", "Oh, we don't want to change the story-", "Oh c'mon. It's performing arts!"
Dan mungkin saja aku akan buat Jebat hidup, dan Tuah mati (literally) suatu hari nanti.
Dan pada permulaan babak ada tiga orang gadis penari gelek yang .... entahlah. Kalau tak ada orang tepuk (adalah seorang dua) maknanya tak berapa nak menggelek lah kot. Sebab penari tidak nampak enjoy menari. Macam terpaksa. Dan ada seorang penari yang kayu. Ah, lebih baik tak payah buat adegan tarian untuk persembahan raja ni.



Babak 3 - Pasar di Padang Pasir
Daripada set istana yang banyak kepada set pasar di padang pasir yang boleh tahan banyak itu, dalam hati aku berbunyi, "Woah!". Kerja keras di belakang sana. Tapi itu tidak penting.
Babak 3 ini babak singkat. Dan tiada apa yang significant yang aku perlu ceritakan.
Puteri Balkis menyanyi bersama anak-anak miskin. Juga miming pra-rakaman. Tapi dengarnya macam Puteri Balkis nyanyi betul. Sebab dia pun memang artis AF kalau telinga aku tak silap dengar. Tapi mikrofonnya bergema sedikit. Entah mana dia sorok mikrofon pun aku tak perasan.


Babak 4 - Istana
Kembali ke Babak Istana. Kerja keras belakang pentas lagi. Apa pun, babak ini biasa. Tiada tasmat. Tiada WOW-Factor.


Babak 5 - Gua Bawah Tanah?
Kalau baca sinopsis Aladin terjatuh masuk ke dalam pasir jerlus. Jadi aku anggap ada gua bawah tanah. Babak ini menarik sebab babak ini lah Aladin jumpa pelita ajaib. Nak tengok juga macam manalah jin keluar dari pelita ajaib tu.
Ada satu set macam batu dalam gua yang hanya dibuat daripada sekeping papan kertas keras. Boleh nampak orang sembunyi belakang batu tu. Bagi aku ini satu kekurangan. Belum tiba adegannya, orang boleh tahu ada orang akan muncul dari belakang batu itu. Dah hilang elemen surprise yang mungkin ingin ditonjolkan. Tetapi tak mengapa. Kita abaikan perkara tu.
Aladin jaga dari pengsan. Sedar saja ada ular sawa (tadi) pada badannya. Adegan yang sebegini memang sedikit membuat penonton berasa kurang selesa bagi yang geli akan ular. Aku ingat Aladin akan campak ular tu ke tepi pentas, sebaliknya dia pergi bawa ular itu masuk ke dalam ruang tepi pentas. Kalau realitinya, bila geli dengan ular akan cepat-cepat campak ular tu. Tapi atas faktor keselamatan pentas, tidak boleh juga buat begitu. Faktor keselamatan pentas juga adalah satu faktor yang perlu diambil kira. Dr.Shark juga selalu pesan pada aku sebagai pengarah supaya memastikan keselamatan pelakon dan kru dijaga dan diawasi. Buat junior TTS, ini adalah satu pelajaran buat kau orang semua.
Efek asap adalah tipikal. Oleh itu aku menjangkakan sesuatu efek yang lain dalam babak ini. Aku terfikir akan buih-buih. Sebab hari tu sewaktu Festival Teater Pendek Anugerah Merdeka, sebuah kumpulan menggunakan buih-buih. Mungkin ada mesin buih digunakan. Bubbles Machine.
Jin keluar dari belakang backdrop gua. Backdrop gua ada macam ruang pintu di tengah-tengah. Aku tak tahu kenapa sehinggalah hujung babak. Jin yang keluar adalah Jin Islam. Perempuan. Ketawa mengilai. Tapi yang bagusnya Jin Islam ni tutup aurat dengan betul dan sempurna. Dia pegang kayu sakti.
Permintaan pertama, Aladin meminta berada seperti dalam malam 1001 Malam. Okay, expected. Waktu inilah penari gelek (tadi) keluar dari belakang set batu beserta buih-buih. Dan asap. Penari gelek macam tadi juga. Tidak enjoy. Jadi, penonton tidak beri respon apa-apa pun.
Permintaan kedua. Aladin mahu ke istana jumpa Puteri Balkis. Jin jelmakan permaidani terbang. Dan tasmat permaidani terbang adalah WOW-Factor bagi keseluruhan persembahan bangsawan tersebut. Dan sudah pasti, mendapat tepukan gemuruh daripada penonton.
Dan permaidani terbang itu dijelmakan pada ruang pintu tengah backdrop gua itu, dan itulah tujuannya ada ruang pintu tengah itu. Dan permaidani itu dihamparkan pada sebuah platform hitam kecil dan Aladin duduk di atasnya, jadi nampaklah sedikit yang permaidani itu mula naik terbang membawa Aladin. BLACKOUT.


Babak 6 - Padang Pasir
Babak ini juga biasa. Tiada apa yang WOW untuk diceritakan. Watak antagonis anak Raja Mati Hidup Semula menyamar menjadi orang miskin ingin meminjam pelita ajaib Aladin dan merampasnya.


Babak 7 - Kamar Istana
Babak penamat. Anak Raja Mati Hidup Semula cuba menggunakan pelita ajaib untuk menyedarkan Puteri Balkis tetapi tidak berjaya. Dia dikenakan hukuman pancung. Kemudian Aladin pula yang mencuba. Berjaya. Jin Islam tidak keluar. Hanya asap dan gelak hilai Jin itu sahaja. Kesudahannya, Sultan menjodohkan Puteri Balkis dengan Aladin. TAMAT.


Keseluruhannya, kualiti bangsawan Aladin ini berada pada tahap sederhana. Extra turns pula menampilkan penari kanak-kanak. Mungkin sasaran bangsawan ini memang untuk kanak-kanak, jadi tak mengapalah. Malah, ada dua orang kanak-kanak juga yang membawa ular sawa sewaktu extra turn. Selain itu, ada juga nyanyian lagu "Wassini" dan "Mimpi Laila" yang tidak seberapa. Dan orang asli yang tiup seruling hanya dengan menggunakan hidung.

Rabu, Julai 14, 2010

PASCA 10 - Keberatan Dalam Keberkatan

"Keberatan"

Berat hati.
Berat tulang.
Berat mulut.
Berat tangan.

Wang kertas itu hanya sehelai kertas bernilai sementara.
Hilang nilai sebenarnya, tiada nilai wang itu, jadi hanya sehelai kertas bercorak bercap.
Sehelai kertas yang memang ringan.
Tapi boleh jadi berat.
Kalau nak beri pada orang.

Jadi sebaliknya pula dalam masa kemuncak alam sekarang.
Keterbalikan dalam dilema manusia normal dan neutral.
Bukan ringan tangan.
Bukan ringan mulut.
Bukan ringan tulang.
Bukan ringan hati.

Tapi ringan punggung.
Mudah benar nak beri tahi...
...pada orang lain.



"Dalam"

Sastera memang susah.
Sains pun memang susah.
Ada kah benda yang tidak ada langsung kesusahan?
Berak pun boleh jadi susah bila sembelit.

Dalam yang berat-berat, harus ada yang ringan-ringan.
Dalam maksud yang berat-berat, terselit maksud yang ringan-ringan.
Berat penuh dengan tangis tragis. Ringan penuh dengan gelak komedi.
Tak tak tak!
Ini bukan komedi lawak jenaka apa-apa yang humorous.
Ini sesuatu yang jauh lebih dalam daripada apa yang ditertawakan.
Jika tangisan itu digelakkan.
Dan gelak tawa itu ditangiskan.
Memang benarlah, keterbalikan dalam dilema manusia normal dan neutral.
Semua itu hanya konon-konon belaka.

Aku tak pernah tengok depan mata sendiri.
Ada orang gelak bila ada orang mati.
Ada orang mati bila ada orang gelak galak.
Realitinya ada, cuma belum rezeki mata kasar aku lihat dan saksi.
Tapi mata hati punya kuasa yang dikurnia olehNya.
Mata hati boleh lihat dan saksi dengan rasa dan perasaan serta jiwa dan kejiwaan.

Nah, tenung lah dalam-dalam tapak tangan sendiri.
Kau boleh teringat yang tak semua orang ada tapak tangan.

Sedalam mana pun kau gali, korek lubang untuk timbus tahi yang kau berakkan,
tidak dapat melawan dalamnya kata-kata berkuasa penyatu dan pemusnah.

Hanya dengan kata-kata...



"Keberkatan"

Berkat.
Lepas kenduri. Di bawa pulang.
Untuk ahli keluarga di rumah makan.
Alhamdulillah rezeki majlis kesyukuran.
Berkat memang penting.
Kalau tak ada berkat, kelaparan.
Ada berkat, boleh makan, kenyang.
Sendawa.
Burp.
Alhamdulillah.
Syukur.

Keberkatan meluas dan sangat luas.
Ia ada di mana-mana, untuk apa-apa.
Keberkatan belajar.
Keberkatan bekerja.
Berkat - kita boleh nampak berkat depan mata, ngap saja apa yang ada.
Keberkatan - kita tidak boleh nampak depan mata terang-terang, tapi bila dapat, boleh rasa tenang, bahagia dan berjaya.

Dalam keberkatan tidak harus ada keberatan.
Jangan dibuang K dalam keberkatan.
K memang hanya satu abjad. Peranannya membentuk kata dan memberi makna.
Hilang ia, lain pula maksudnya.
Keberkatan jadi keberatan.
Kerana satu perkara (huruf K tadi adalah simbol kepada satu perkara), kita boleh jadi keberatan untuk memberi.
Padahal jika tidak kerana satu perkara itu, kita boleh jadi dapat menerima keberkatan.

Kaf.
Ba.
Ra.
Kaf.
Alif.
Ta.
Alif.
Nun.



p/s:
Dah kerja dapat gaji nanti jangan lupa beri pada kedua orang tua atau mereka yang telah banyak berjasa pada kita, tiap bulan, tiap kali masuk gaji, berilah sewajarnya, seikhlasnya, seeloknya, keberkatan pasti akan ada. Bukti ketidakberkatan ada, berlaku, banyak, depan mata kita, belakang mata kita, itu semua tak perlu dicerita lagi. Kita tahu, keberkatan itu penting. Bukan kita tak tahu, kita tahu, cuma kadang kala kita buat-buat tak tahu sebab wang kertas itu. Ya, kerana kertas-kertas itu...

PASCA 9 - Pemes Pobulos Kechoh Kecoh Pii-Rah

Dalam perjalanan ke Perak tempoh hari, berhenti makan tengah hari di salah satu hentian Rehat & Rawat.

Ada seorang makcik, usia pertengahan, duduk makan sekali.
Anak-anaknya pergi makan KFC. Dia duduk makan nasi seorang.
Sebab waktu tu ramai sangat orang, tempat duduk semua penuh, jadi berkongsi tempat duduk lah.

Borak-borak jugalah pasal kerja dan situasi pekerjaan semasa.
Tapi bukan pasal kerja yang aku nak cerita.
Tapi pasal sifat merendah diri yang dimilikinya.

Walaupun dia tak tunjuk pada orang yang dia orang kaya, tapi kita tahu yang dia orang kaya.
Tutur katanya juga lembut dan bahasanya juga berbudi.
Dan kita boleh tahu, dia kaya pun atas hasil usahanya sendiri dari dulu.
Kita boleh tahu, selagi kita punya akal waras, kita boleh tahu, kita tak perlu tanya tanya.

Orang tak akan cari kau.
Kalau kau tak mencari apa yang orang lain cari.

Kau tak perlu cari orang.
Kalau kau ada apa yang orang lain cari.

Bila dah pemes.
Dan pobulos.
Mulalah kechoh kecoh.
Pii-rah!
Semak balik ejaan pemes tu.
Kau asal dari mana?

Di kampung ini.
Sekarang musim kucing mengawan.
Cicak mengawan.
Haiwan tidak perlukan perhatian orang.
Namun begitu haiwan perlukan kemanusiaan.
Kerana jikalau haiwan terlalu kebinatangan, maka binatanglah.
Jikalau haiwan diberikan kemanusiaan, maka manusialah haiwan itu, bukan binatang.

Nah, apa bezanya haiwan dengan binatang?

Haiwan tidak perlu rasa terkenal.

Nah, cukup jelaslah, bukan?

Khamis, Julai 08, 2010

PASCA 8 - Jangan Bakar Buku-buku Lama

Nah. 

Sebelum buku-buku lama ini dibakar atau dibuang ke tempat-tempat yang tak sepatutnya oleh kedai buku, aku sempat selamatkannya dengan harga RM 2.00 sebuah.
Ada sebuah buku drama "T.Pinkie's Floor", iaitu karya "Lantai T.Pinkie" oleh A.Samad Said yang diterjemah ke dalam Bahasa Inggeris. Tapi berharga RM 10.00. Tak apa, lain kali lah. Bukan ada orang lain di Batu Pahat tu yang sudi nak beli buku-buku lama macam tu.

Buku "Sembang Mak Alang" menarik. Kisah-kisah pengalaman hidup diceritakan secara pendek dan ringkas. Itu yang aku suka tu. Sesuai dengan citarasa aku. Klik gambar-gambar di bawah ini kalau mahu tahu ringkasan kandugannya.


Dan tiga yang berikutnya adalah buku memuatkan skrip drama-drama TV. Boleh jadi rujukan untuk aku menulis skrip drama TV akan datang.







Sesi temuduga kerja memang makan masa dan wang.
Jadi untuk pastikan yang kita tidak rasa kerugian atau rasa tidak berbaloi.
Haruslah positifkan fikiran bahawa temuduga-temuduga yang dihadapi itu bisa menjadi pengajaran dan pengalaman bernilai dalam kehidupan.
Dan jikalau akhirnya dapat kerja yang memang amat kena dengan diri kita, nah, dengan berkat doa dan rezeki kurniaanNya, syukur syukur syukurlah.

Dan ya, aku mahu jadi jurutera untuk sara hidup.
Dan ya, aku mahu jadi penteater untuk sara hidup.
Dan ya, aku berikan maksud yang tersendiri dan berlainan bagi perkataan 'sara' itu.
Tapi ya, masih, aku berikan maksud yang sama bagi perkataan 'hidup'.

Jangan dibakar buku-buku lama.
Buku-buku lama pun masih berbalut plastik cantik.
Kertas-kertasnya pun sudah lama.
Dan berbau lama.
Dan berhabuk. Pegang sikit saja sudah hitam jari-jari tangan.
Memang kalau orang cantik, orang jaga kebersihan, tidak mahu buku-buku lama tu.
Tapi buku-buku lama itu sudah ada sebelum adanya buku-buku baru.

Dunia memang tidak aci.
Dunia memang tidak adil.

Sepatutnya, buku-buku lama itu lebih mahal daripada buku-buku baru.
Tetapi ya, perkataan 'mahal' boleh diberikan maksud yang berlainan.

Selasa, Julai 06, 2010

PASCA 7 - Cermin-Separa-Satah-Separa-Lutsinar, Nice To See Nice To Hold, Once Broken Considered Sold

Lapis Luar.


Baru pulang dari kota lumpur. Selama seminggu di sana. Dan di antaranya berada di Perak.

Dalam perjalanan aku mencari peluang kerja untuk cari makan sara hidup, tidak banyak ilham yang muncul.
Hanya beberapa. Cuma sekarang ini aku mahu beri fokus untuk cari idea iklan promo dan filem pendek bertemakan ZAKAT.
Kenapa aku berminat nak masuk? Tipu lah kalau bukan sebab hadiah wang tunainya.
Selain memang minat aku untuk menghasilkan karya kreatif - pertandingan juga satu ruang untuk pengkarya menghasilkan karya. Ia akan membantu dan mendorong otak kreatif pengkarya. Sebab kadang kadang pengkarya ni ada writer's block, atau empangan bak kata Pak Samad iaitu sifat malas.

InsyaAllah kalau dikurniakan ilham, aku akan hasilkan dua karya kreatif dalam bentuk video.



Lapis Dalam.


Dalam kekecohan. Aku memerhati.
Kekecohan adalah hasil adunan kalut bunyi-bunyian dari sumber-sumber verbal atau bukan verbal yang berpunca daripada cip-cip otak manusia yang tidak sama taraf spesifikasi kecanggihan teknologinya.
Teknologi yang gila dan menggilakan, yang digilai dan digila-gilakan.
Teknologi membunuh kepakaran sejati sel-sel otak manusia.
Runut-runut bunyi cip otak terlalu tekno, terlalu logik.
Macam mana mahu nilai baik buruk yang sebenar kalau terlalu logik?
Yang buruk boleh salut dengan kebaikan kecantikan.
Yang baik boleh pudar warna asalnya.
Padahal yang buruk itu tidak baik, yang baik itu tidak buruk.
Padahal yang cantik itu buruk, yang hodoh itu baik.
Tapi bukan begitu caranya jika dunia lahir secara teknologi.
Tetapi bukankah hidup kita sudah banyak bergantung pada teknologi?
Ah, gila. Teknologi ini gila.



Lapis Luar (Yang Satu Lagi).


Batang.
Matang.
Datang.
Natang, binatang, bi-natang.

Batang tebu.
Buat air - buat minum - buat hilang dahaga - hilang haus.
Batang tebu kena penyek masuk dalam mesin teknologi yang gila.
Manisnya.
Sejuknya.
Minum air manis itu.
Buat rasa makin haus.
Kerana air yang manis itu hanya beri nikmat sementara - tidak menyelesaikan masalah tekak yang dahaga.
Air putih, air kosong, air masak, air jerang, jus langit, air mineral, yang tidak sedap, tiada rasa manis - itulah yang mampu merawat mengubat dan memberi nikmat kesihatan pada hujungnya.
Tetapi kalau aku tanya kau, "Apa air kegemaran kau?"
Adakah air kosong? Kalau ada pun, tidak ramai jawab sebegitu.
Dan jangan pelik, kalau ada yang akan jawab "Aku suka air taik."


Natang, binatang, bi-natang.
Datang.
Batang
Matang.
Kontang.
Lantang.
Pantang.
Larang.
Curang.
Pulang.
Lalang.
Dalang.
Palang.
Malang.
Tulang.
Dulang.
Garang.
Parang.
Orang.
Orang.
Orang.
Orang.
Orang.



Versi ada ayat dalam kurungan:

Natang, binatang, bi-natang.
Datang (binatang).
(yang berbatang) Batang
(yang dah matang) Matang.
(tetapi isinya kontang) Kontang.
(namun ia, diulang, ia bersorak lantang) Lantang.
(pantang dicabar) Pantang.
(pantang dilarang) Larang.
(pantang dicurang) Curang.
(kalau tak nanti ia nak pulang) Pulang.
(menjadi seperti lalang) Lalang.
(dan menjadi dalang dalam menjatuhkan) Dalang.
(melanggar segala palang yang terpasak pada tanah larangan untuk mencari sebatang tulang) Palang.
(malangnya dia memang malang) Malang.
(tulang sudah hilang kerana tulang tiada dan yang dicari tiada bertulang) Tulang.
(maka dulang sedia kosong dengan kekosongan) Dulang.
(maka garanglah bila pulang dengan dulang yang penuh dengan kekosongan) Garang.
(dicapainya parang cengkaman cakar) Parang.
(diserangnya satu orang) Orang.
(dicakarnya satu orang yang lain) Orang.
(disiatnya daging orang yang lain) Orang.
(dimamahnya tulang orang yang lain) Orang.
(dimakannya orang yang lain yang lain yang lain pula) Orang.

Nah, hidup dalam dunia ini bukannya macam dunia ini untuk engkau, untuk kita seorang orang.
Hidup dalam dunia ini juga melibatkan orang orang lain dan yang lain-lain orang, itu hakikatnya - dan terimalah, walaupun engkau dan kita dalam keseorangan, dan dalam keseorangan ada orang, ada seorang dan ada angan.

Ada faham?

Kau mesti jawab tak. Sebab kau tak akan faham kalau kau tak nak faham. Kah kah kah!




p/s: Adakah peminat air taik akan faham? Kita lihat.