Jumaat, Januari 01, 2010

010110 (Tukang Kasut Jalan Rogayah)

Dinihari ini aku hirup udara segar tahun baru 2010.

Tanpa banyak kata, aku siarkan sinopsis pendek dan babak-babak dalam "Tukang Kasut Jalan Rogayah"

"Kejamnya Pelayan Chicken Chop Itu" tergendala kejap sebab aku ada rasa tak best dengan ceritanya sekarang.

Kena ubah, kena ubah, kena ubah.

Macam biasa, bila dah tulis sekali, memang jadi draf dan akan jadi draf sampai siap.
Jadi mungkin cerita akan berubah bila skrip siap nanti.



“TUKANG KASUT JALAN ROGAYAH”
Oleh Akin Muhammad


Cinta si tukang kasut, Jefri terhadap Rogayah, penjaja kuih, mula berputik sejak perempuan idamannya itu datang untuk membaiki kasut kesayangannya itu. Rogayah memang sayang sangat pada kasutnya itu. Tukang kasut pula sayang sangat pada Rogayah.
Rasa sayang mereka telah merubah mereka berdua menjadi obsesif. Rogayah obses pada kasutnya yang buruk itu. Tukang kasut obses pada Rogayah. Hinggakan, mereka berdua sanggup buat apa saja kerana kasih sayang.


BABAK 1
ROGAYAH SI PENJUAL KUIH TALAM DAN KASUT KESAYANGANNYA
Pelanggan datang membeli kuih talamnya yang sedap. Sedang sibuk melayan pelanggan, kasut yang dipakainya terkoyak bibir kasutnya. Kasutnya itu memang sudah lama dan lusuh tetapi tetap dipakainya kerana ada kisah di sebalik kasut tersebut.

BABAK 2
PERJALANAN ROGAYAH KE KAKI LIMA TUKANG KASUT
Dalam perjalanan Rogayah ke tempat si tukang kasut, ramai orang-orang sekeliling yang mengumpatnya, mengata yang Rogayah memang terkenal dengan talamnya, lalu difitnah yang dia adalah talam dua muka; dan seri mukanya, lalu difitnah yang dia ada pakai susuk. Rogayah tidak melayan kata-kata orang kerana ada kisah di sebalik perniagaan yang laris dan tiba-tiba jadi tak laris.

BABAK 3
JEFRI MENUNGGU PELANGGAN TIBA
Jefri yang hanya membaiki kasut di kaki lima tidak selalu didatangi pelanggan. Tetapi Rogayah adalah pelanggan tetapnya. Kasut kesayangan Rogayah masih boleh dipakai kerana Jefri yang selalu membaikinya bila rosak. Sambil menunggu, Jefri meluahkan perasaannya terhadap Rogayah seorang diri dan cuba berlatih untuk memberitahu perasaannya terhadap Rogayah pada hari itu.

BABAK 4
ROGAYAH DAN JEFRI BERTEMU DI KAKI LIMA ITU
Seperti biasa Rogayah akan hantar kasutnya untuk dibaiki oleh Jefri dalam masa satu jam. Rogayah juga biasanya akan bawa sekali kuih talamnya dan makan bersama-sama Jefri. Kaki lima itu seperti restoran untuk pasangan bercinta. Semasa sedang membaiki kasut, Jefri dan Rogayah berbual-bual dan Jefri semakin menuju ke topik untuk memberitahu perasaannya terhadap Rogayah.
Jefri belum sempat memberitahu isi hatinya yang sebenar, Rogayah seperti sudah boleh mengagak dan terus memberhentikan perbualan tentang topik tersebut. Rogayah tidak mahu Jefri bercinta dengannya. Jefri sudah pasti tetap mahukan jawapan, kenapa?
Akhirnya Rogayah memberitahu bahawa dia lebih cintakan kasutnya itu. Ya, kerana memang ada kisah di sebalik kasut kesayangannya itu.

BABAK 5
OBSES PADA KASUT DAN ROGAYAH
Jefri tidak dapat menerima kenyataan itu. Jefri sebenarnya sudah obses pada Rogayah dan memang terlalu hendak memiliki Rogayah. Rogayah pula terlalu obses pada kasutnya itu dan terpaksa mengecewakan dan mematahkan niat Jefri untuk bercinta dengannya.
Oleh sebab terlalu obsesif, Jefri bertindak agresif. Jefri mengugut tidak mahu menyiapkan kasut yang sedang dibaikinya malah akan merosakkannya lagi. Rogayah pula terpaksa menjaga kasutnya itu dan pergaduhan berlaku. Akhirnya Jefri membunuh Rogayah dalam keadaan diri yang sudah tidak waras. Sebelum Rogayah menghembuskan nafas terakhir, dia sempat memberitahu pada Jefri supaya membaiki kasutnya itu, kerana... ya, memang ada kisah tentang kasut itu.

---------------------------

Dan mungkin lepas ni aku kena tonton kembali filem P Ramlee "Sabarudin Tukang Kasut".
Atau hanya sekadar memerhati tukang kasut di kaki lima yang ada.



ps:

The Cobbler Tools? Hm?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan