Rabu, Januari 13, 2010

Monolog: HAHA HUHU HIHI HIDUP

"HAHA HUHU HIHI HIDUP"
Oleh: Akin Muhammad

Gelap.
Lampu sorot dinyalakan ke tengah pentas.
Seorang lelaki berpakaian putih yang lusuh dan comot sedang baring mengiring.
Muzik sedih dimainkan.
Lelaki tersebut tersedar dan terus menangis teresak-esak.
Muzik sedih dipadamkan sedikit-sedikit sekata dengan tangisan yang semakin reda.
Lelaki terus memulakan monolognya dalam keadaan bersimpuh, bersila dan pelbagai gaya.


LELAKI:

(Gelak) HA HA HA HA HA HA HA
(Menangis) HU HU HU HU HU HU HU
(Mengilai) HI HI HI HI HI HI HI

Ujian hidup untuk manusia hidup.
Bila kali terakhir kau diuji dengan ujian yang berat dan dugaan yang hebat?
Yang buat kau rasa sudah tiada harapan dan masa hadapan.
Yang buat kau rasa segala yang kau usahakan dalam hidup kau selama ni hancur berkecai begitu saja.
Yang buat kau menangis dan terus menangis mengharapkan Tuhan mendengar kata-kata hati dari doa tulus kau.
Bila?
Aku tanya kau, bila kali terakhir?
Kau masih ingat?
Apa yang kau buat?
Kau teruskan hidup kau, bukan?

Ujian hidup tidak berjadual.
Ujian hidup tidak berskala.
Ujian hidup tidak berskema.
Ujian hidup tidak bertemplat.
Ujian hidup tidak memilih jenis manusia.
Kerana kita tidak tahu semua tu.
Kerana bukan kita yang tahu semua tu.

Bila ujian berat menimpa kita, kita sedih dan menangis.
Seabnormal atau pelik mana pun manusia itu, dia tetap akan menangis bila ujian menimpa dirinya.
Bila rezeki dicurahkan kepada kita pula, kita gembira dan tersenyum.
Ada yang dapat ingat Tuhan dan bersyukur. Ada juga yang lupa Tuhan dan tidak bersyukur.
Bila?
Aku tanya kau, bila kali terakhir kau bersyukur pada Tuhan?
Kau ucap Alhamdulillah, ya, aku dengar kau ucap lafaz itu.
Kau maksudkannya dalam hati kau?
Apa yang kau maksudkan?
Atau kau hanya sekadar melafazkan apabila kau sendawa selepas kenyang makan?
Aku tanya kau ni, kau jawablah.
Kenapa kau diam?
JAWABLAH!!!
Kenapa kau diam... (menangis buat seketika sebelum menyambung monolog)

Umat akhir zaman ni hidup tak lama.
Ikut purata 60 tahun.
Tapi sekarang ramai dah mati muda.
Hidup tak lama.
Mana taknya? Main motor, bawak laju-laju, berlumba-lumba.
Main dadah, sedut, hisap, cucuk, sampai overdose.
Ada yang masih belasan tahun pun dah mati.
Kena rogol lepas tu kena bunuh.
Yang hidup membunuh masih hidup, hidup yang mati.
Yang mati dibunuh sudah mati, mati yang hidup.
Bila?
Aku tanya kau, bila kali terakhir kau hidup yang betul-betul hidup?
Kau hidup sebagai manusia, macam mana?
Kau ada khianat manusia lain tak?
Betul tak ada?
Kau ada mencela manusia lain tak?
Betul tak ada?
Siapa kita?
Siapa kita, manusia untuk mencela manusia lain?
Siapa kita?
Aku tanya kau ni, kau jawablah!
Kenapa kau tak jawab?!
Kau bisu?!
JAWAB!!!

Beratnya kaki aku untuk bangun dan berjalan.
Beratnya kepala aku untuk menoleh ke kiri dan ke kanan.
Akhirnya aku gagal untuk melintas jalan dengan selamat.
Aku lambat sangat nak jalan ke seberang. Kaki aku berat sangat.
Aku tak dapat nak lihat apa-apa halangan di sekeliling aku. Kepala aku berat sangat.
Sakit.. Ya, amat sakit untuk aku berjalan dengan kaki yang berat dan kepala yang berat ini.
Semuanya berat... Beratnya ujian ini.
Maha berat...
Kalau aku dapat satu peluang lagi. Satu peluang saja lagi.
Aku mahu hidup dengan hidup yang betul-betul hidup.
Aku nak jadi manusia yang hidup.
ARGH!!!
KARUT!
Karut semua tu!
Manusia memang selalu berkalau-kalau, bertapi-tapi.
Sekarang tubuh aku pula yang terasa sangat berat.
Macam mana aku nak teruskan hidup?
Kalau aku dah tak mampu bergerak?


Lelaki terlantar atas pentas.
Cuba bergerak tetapi terlalu berat.
Lelaki menjerit.
Pentas gelap serta-merta.
Selepas beberapa saat, lampu sorot dinyalakan kembali.
Kelihatan sekujur jenazah yang berbalut kain kapan.
Pentas gelap.
Dalam gelap, gelak, tangis dan hilai serentak.
(Gelak) HA HA HA HA HA HA HA
(Menangis) HU HU HU HU HU HU HU
(Mengilai) HI HI HI HI HI HI HI

TAMAT.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan