Ahad, Januari 10, 2010

Travelog Kabur IIIES

Perjalanan IIIES kali ini sedikit pelik. Dan sedikit kabur.
Bermula dengan bas yang lambat tiba pada hari yang tidak sibuk.
Kemudian aku terlihat kelibat patung teddy anjing hitam putih yang diletakkan di atas tong sampah.
Tanpa ada orang lain sedarinya.
Patung anjing itu seolah-olah hidup dalam minda abstrak aku.
Lebih dramatik ia duduk di atas tong sampah itu.
Dan pandangan dari dalam bas nampak kabur.
Suasana selepas hujan.
Dengan bau hujan yang seronok.


Bas bergerak dengan perasaan aku seperti menonton filem buatan Malaysia yang tidak mengikut kehendak pasaran seperti Muallaf, Sell Out atau pun Pensel.
Tidak ramai orang. Banyak tempat duduk kosong. Dan aku boleh saja pindah duduk suka hati. Kalau aku mahu. Tetapi bukanlah tabiat aku sebegitu. Aku akan duduk di tempat duduk yang aku dapat. Dari awal perjalanan hingga tiba destinasi. Itulah aku. Dan itulah huruf K dalam nama aku.

Dengan perasaan itu, mata aku melewati seorang perempuan tua bertubuh kecil yang memegang payung besar berlatarbelakangkan seorang lelaki tua yang sedang mengayuh basikal.
Sekali lagi minda abstrak aku mentafsir sesuatu. Kenapa orang kecil suka benda besar. Dan orang besar suka benda kecil.
Tidak jauh dari situ, sekilas aku pandang pada tukang kasut Jalan Rogayah.
Ya memang karya terbaru yang aku sedang kerjakan sekarang ini terilham dari situ.
Pandangan masih kabur, simbolik perjalanan IIIES kali ini.





Orang memang suka benda percuma.
Tak kisah apa benda sekali pun. Orang bagi percuma, orang akan suka dan ambil.
Contohnya terapi percuma di kedai ini.



Bas sudah mula meluncur laju di atas jalan raya.
Lantas aku pun turut pantas menutup mata, fikiran aku laju meluncur dalam laluan khayalan yang membawa aku terus ke alam mimpi.

Sejuk. Dingin. Terjaga, aku sudah hampir tiba di kota besar itu.
Besarnya kota itu bukanlah kerana luasnya.
Besarnya kota itu kerana besarnya kemegahan dan kemajuan fizikalnya.
Sekurang-kurangnya begitulah pandangan aku.
Yang baru saja bangun tidur.
Yang masih kabur.

Aku sememangnya mengagumi bangku kayu.
Selepas aku menonton monolog Tok Janggut suatu masa dahulu.
Aku jadi amat menghargai tukang kayu yang mencipta bangku dan kerusi kayu.
Jadi sebab terlalu mengagumi dan menghargai, aku cemarkan bangku kayu itu dengan punggung aku.
Namun dek arus modenisasi yang tidak dapat diharung oleh manusia.
Bangku atau kerusi juga tidak dapat bertahan.
Yang kayu dan lesu jadi yang besi atau PVC dan merah jambu.

Bila tiba di bandaraya bersejarah itu aku sudah mencatat kejayaan pertama dalam tahun baru ini.
Sebenarnya aku teringin benar ingin berziarah ke Melaka sejak bulan November tahun lalu.
Tapi bulan ini baru aku dapat mencapainya.

Bagi diri aku ini, aku lihat semua yang tersergam di Melaka adalah sangat cantik dan menarik.
Pintu gerbangnya pun cantik.
Kubu-kubu pun cantik.
Meriam-meriam pun cantik.
Replika-replika pun cantik.
Beca-beca pun cantik.
Muzium-muzim pun cantik.
Pohon Melaka pun cantik.
Buah pohon Melaka pun cantik.
Dinding-dinding bangunan lama pun cantik.
Memorial-memorial pun cantik.
Keris-keris pun cantik.
Sungai pun cantik.
Dan Istana Kesultanan Melaka yang cantik, cantik dan cantik.
(Tak lupa juga peneman yang cantik)
Akhirnya nafsu seni aku dapat diredakan apabila dapat berziarah ke Istana Kesultanan Melaka tersebut.
Cadangnya aku hanya mahu ke Muzium Negara tempoh hari.
Tetapi lebih baik lagi aku diberikan peluang dan keizinan untuk menziarahi bandar Melaka yang aku boleh ibaratkan sebagai sebuah muzium mega.
Mungkin aku boleh tetapkan satu misi personal untuk singgah ke semua 22 buah muzium yang ada di Melaka itu.





Di Batu Pahat, tarikan utama tunas rasa pada lidah aku adalah ABC Pak 'O' Corner yang dahulunya terletak di Tingkat 2 Terminal Bas dan sekarang sudah terletak di tepi jalan dekat dengan terminal bas itu juga.
Dan masih ada satu lagi cawangannya di bekas terminal bas Jalan Omar.
Cendol Pak O juga boleh tahan seronoknya.
Namun Cendol Jam Besar di Melaka itu juga mampu menandingi keseronokan cendol Pak O.
Lebih-lebih lagi selepas bersiar-siar di bandar Melaka itu, sudah pasti gerai cendol Jam Besar itu akan sentiasa dikunjungi para pelancong tempatan mahupun asing.

Pak Cik Beca itu memang peramah orangnya.
Banyak info tentang tempat-tempat di sekitar bandar Melaka itu yang diterangkan olehnya.
Tidak lupa juga maklumat terkini tentang 5 tulang rangka manusia yang baru saja ditemui di bawah tanah.
Lihat gambar tanah yang dikorek.
Walaupun becanya tidak sehebat beca lain yang dihias dengan secara melampau lip lap merelit siap dengan kipas dan radio beserta sub-woof-woofer, namun layanan mesra dan ramah pak cik beca tu amat menyenangkan hati.
Pak cik beca tu minimalis agaknya.



Seharian berjalan. Sudah pasti meletihkan.
Namun kepuasan dan keseronokan yang diperoleh berbaloi dengan tenaga (dan juga wang ringgit) yang dikeluarkan.
Ada masa dan rezeki lagi nanti, akan datang pasti lebih banyak lagi tempat yang boleh diterokai.

Semasa perjalanan pulang IIIES kali ini.
Beberapa kilas pandang aku pada tukang sapu sampah.
Tidak jauh dari situ seorang monk.
Di kota besar itu senang untuk aku mendapat ilham.
Kerana banyak watak yang boleh wujud dalam penglihatan seni dalam radius yang kecil.
Langit Kuala Lumpur petang itu sedikit gelap.
Dan aku, sebagai musafir, seperti biasa, dengan bekal dua keping sandwich keju dan sekotak air milo, menaiki bas untuk pulang ke kampung halaman dan kembali...

...menulis sambil merindui.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan