Ahad, Januari 31, 2010

Ulasan Tak Rasmi Bangsawan Laksamana Cheng Ho

Sabtu, 30 Januari 2010. Lebih kurang 30 orang ahli TTS dari UTP dan KL pergi menonton teater bangsawan berjudul Laksamana Cheng Ho di Panggung Bandaraya KL. Ia merupakan produksi sulung alumni ASWARA yang diarahkan oleh Shahrul Mizad Ashari beserta bimbingan Seniman Negara Rahman B.

Tujuan kami semua menonton bukannya saja-saja atau suka-suka tetapi untuk menyaksikan sendiri bagaimana bangsawan tersebut dipentaskan kerana kami akan mementaskan sebuah bangsawan Jebat pada bulan April nanti. Dan sudah pasti setiap produksi yang berlainan akan tampil dengan cara dan gaya pementasan yang berlainan. Jadi kami semua mahu belajar daripada pemerhatian sendiri di samping pembacaan tentang teater bangsawan dari buku-buku atau artikel-artikel yang sedia ada. Jadi sebagai kumpulan teater yang punya pengalaman kosong dalam bangsawan, dan tanpa adanya pembimbing bangsawan yang berpengalaman, kami akan cuba mempelajari apa sahaja daripada persembahan bangsawan kumpulan lain.

Maka ulasan terhadap bangsawan yang ditonton ini hanyalah sekadar pendapat peribadi saya sendiri dan mungkin tidak berapa bagus pandangannya memandangkan ini hanya merupakan kali ketiga saya menonton bangsawan secara langsung. Saya akan ulas mengenai lakonan, set, kostum, make-up serta koreografinya, muzik dan teknikal terlebih dahulu sebelum membuat ringkasan komen saya terhadap keseluruhan cerita.



LAKONAN

Lakonan Que Haidar sebagai Cheng Ho saya rasakan berjaya dan berada pada tahap yang baik. Que sememangnya seorang pelakon drama TV dan filem yang sudah komersial tetapi ia merupakan lakonan pentasnya yang pertama. Ada sedikit olah tubuh Cheng Ho nampak sedikit kekok ketika berjalan mengikut blocking dan ketika bereaksi dengan Ang Di Po pada babak-babak awal namun begitu saya berpuas hati apabila ketegapan Cheng Ho berdiri tegak pada babak akhir adalah cukup kemas, jelas dan diisi dengan emosinya yang tetap dan teguh dengan pendiriannya dan kesetiaannya.

Ang Di Po pula bagi saya cukup cantik untuk menjadi seorang puteri bagi Maharaja Meng. Wataknya yang mencintai Cheng Ho nampak tulus dan ada satu ketika dia bertindak seperti mendesak Cheng Ho membalas cintanya. Jadi saya boleh katakan permainan emosinya berjaya. Tambahan pula lakonannya bersama Cheng Ho di babak akhir telah berjaya membuatkan air mata berlinangan di kelopak mata saya. Secara asasnya, berdasar pembelajaran saya baru-baru ini, lakonan bangsawan adalah lakonan improvisasi. Seperti mana ketika Puteri Ang Di Po tidak dapat mencari jarum sanggul di kepalanya, dia terus mengcekik lehernya sendiri. Dan saya percaya walaupun pada permukaannya, lakonan dalam bangsawan kali ini nampak lancar seperti mengikut skrip, tetapi asas improvisasi dalam bangsawan pasti ada.

Maharaja Meng yang didukung oleh Xavier Fong juga telah berjaya melakonkan wataknya dengan baik. Selain kefasihannya menuturkan dialog dalam Bahasa Melayu, dia juga berjaya mewujudkan satu karakter yang unik iaitu dari segi gaya olah tubuhnya. Walaupun adakalanya gaya kedua belah tangannya nampak statik, tetapi saya dapat menerimanya dan menganggapnya adalah karakter yang ingin diwujudkan oleh Fong. Perkara utama yang saya ingin sampaikan di sini ialah lakonan berkarakter bukannya berlandaskan kostum dan make-up semata-mata, tetapi perlu dibina daripada inisiatif pelakon sendiri di bawah bimbingan pengarah. Kalau lebih ramai lagi pelakon teater Melayu berbangsa Cina seperti Fong dalam sesuatu pementasan sebegini, sudah pasti saya akan berasa begitu kagum.

Begitu juga dengan watak Yang Lue Sai Sue iaitu ketua dayang dan pengasuh Puteri Ang Di Po yang tampil dengan karakternya tersendiri. Ini boleh dilihat pada Babak 2 di mana dia mengeluarkan suara high pitchnya untuk meredakan keadaan kucar-kacir orang ramai di pelabuhan. Dan dia melakukannya sebanyak dua kali yang mana bagi saya merupakan bilangan Faktor-WOW! yang paling optimum. Kalau buat banyak kali ia sudah jadi kebiasaan dan sudah hilang keasyikkan Faktor-WOW!nya. (Faktor-WOW! adalah istilah yang saya cipta sendiri, merujuk kepada Faktor-X, iaitu sesuatu yang unik dan significant dalam sesuatu persembahan yang boleh membuatkan penonton kagum dan ingat selepas keluar dari panggung.). Selain itu, saya juga berasa senang melihat aksi Yang Lue Sai Sue yang bersahaja, lontaran suara yang bagus, reaksi yang baik (dapat dilihat dengan jelas sewaktu dia mendengar khabar berita yang Cheng Ho akan pulang dari pelayaran), dan permainan emosi yang baik sebagai seorang sidekick Puteri Ang Di Po.

Lakonan watak-watak yang lain juga tidak kurang bagusnya. Cuma sudah pasti empat orang watak utama yang saya ulas di atas seharusnya lebih menonjol. Dan ini tidak bermaksud watak-watak yang lain boleh dihiraukan. Sebagai contoh, watak Ma Ta Hai yang bergandingan dengan Mei Fan telah beraksi dengan cukup baik dalam Babak 2, satu-satunya babak komedi dalam bangsawan ini.



SET, KOSTUM, MAKE-UP

Saya tidak arif tentang perihal perincian set, kostum dan juga make-up untuk bangsawan. Jadi saya tidak akan mengulas dengan lanjut mahupun memberi komen yang set atau kostum itu tepat atau tidak dan seumpamanya.

Namun begitu saya sifatkan set bangsawan ini sebagai simple tetapi menarik. Contohnya dalam Babak 1, hanya sebuah gendang dan platform rendah sahaja yang diletakkan di tengah-tengah pentas. Manakala dalam Babak 4 di kapal Cheng Ho pula, hanya backdrop dinding kapal serta kain besar beserta tali sahaja yang digunakan bagi mewujudkan suasana di atas kapal. Malah ada adegan di mana tiada satu pun props yang hadir di atas pentas (sudah dikeluarkan lebih awal) contohnya adegan Cheng Ho memotong kemaluannya dan adegan Maharaja Meng menulis watikah.

Kostum-kostum juga amat cantik dan terperinci pada pandangan saya. Relatif kepada kecantikan kostum itu, saya berharap dapat melihat singgahsana Maharaja Meng dalam balairong istana juga cantik-cantik tetapi harapan saya itu hanya tinggal sebuah harapan, set balairong istana bagi saya nampak seperti biasa sahaja.

Walaupun begitu, secara keseluruhannya, set bangsawan ini menarik kerana berwarna merah dan set lambang naga (berwarna emas) dengan (seolah-olah) bola naga yang juga berwarna adalah salah satu set yang harus dipuji dari segi rekabentuknya. Tidak kurang juga dengan rekabentuk kapal yang besar dan tinggi yang mana kepala kapal yang berbentuk naga juga sudah boleh dilihat di sebalik tabir bahagian belakang dari awal tirai dibuka. Mungkin ada yang perasan, mungkin ada yang tidak.



TEKNIKAL, MUZIK, KOREOGRAFI

Perkara yang paling saya suka dan hargai adalah kemampuan produksi bangsawan ini menggunakan elemen pencahayaan yang pelbagai bagi membantu memberikan mood dan mewujudkan lagi suasana pada babak-babak yang berlainan seperti babak romantik, babak sedih, gembira dan sebagainya.

Sepanjang pengalaman saya berteater, teknikal adalah satu kerja produksi yang sangat kritikal dari awal kerja produksi sehinggalah tirai ditutup pada pementasan terakhir. Malah kerja teknikal juga berisiko tinggi. Risikonya adalah technical glitches. Akibatnya, penonton akan kecewa walaupun kesilapan itu hanya kesilapan kecil yang sebenarnya boleh dimaafkan tetapi penonton tetap akan melahirkan rasa kecewa. Dan itulah yang telah berlaku apabila ada kesilapan teknikal ketika paparan visual watikah Maharaja Meng.

Teknik keluar-masuk props sewaktu babak sedang berjalan juga dilakukan dengan kemas menggunakan teknik yang saya biasa lihat ketika menonton apa-apa teater muzikal di Istana Budaya. Muzik latar juga digunakan hampir pada setiap masa walaupun pelakon sedang berdialog. Namun begitu, dialog yang ditutur oleh para pelakon tetap boleh didengari dengan jelas. Cuma masalah berlaku apabila Cheng Ho dan Puteri Ang Di Po menyanyi dalam babak awal yang mana nyanyian mereka tidak dapat didengari dengan jelas. Pilihan muzik latar juga sesuai dengan mood sesuatu babak itu dan yang paling berkesan adalah apabila muzik latar mencapai peak pointnya selari dengan adegan klimaks. Tidak lupa juga kesan bunyi di atas kapal yang menghampiri bunyi yang sebenar. Voice over dengan efek echo yang kemas pada babak terawal juga memberikan kesan yang baik.

Tentang koreografi pula, koreografi adegan terawal sekali sewaktu mantera seharusnya boleh dilakukan dengan lebih kemas dan bertenaga lagi. Saya dapat melihat asap nipis keluar dari kanan pentas yang sekaligus mewujudkan atmosfera dengan efek kabus. Saya anggap itu sesuatu yang telah dirancang, bukannya kesilapan teknikal sebab berdasarkan pengalaman saya berteater, mesin asap juga salah satu alat yang 'membunuh' dan merosakkan pementasan.

Seterusnya saya tertarik dengan teknik slow motion orang ramai pada Babak 2 di pelabuhan. Ia dilakukan dengan baik dan sudah pasti berjaya meraih jeritan penonton (kecuali saya yang sememangnya akan menjadi terlalu serius apabila mula menonton sebuah teater, saya tak tahu kenapa, tapi saya pasti saya memang begitu). Bila saya saksikan adegan slow motion itu, saya terus teringat adegan slow motion dalam teater Asylum, tekniknya sama cuma yang membezakan adalah pencahayaannya.

Koreografi Maharaja Meng menulis watikah juga menarik minat saya kerana ia simple, kemas dan sampai maksudnya (maksudnya, merujuk kepada aksinya, bukan maksud watikah yang ditulis itu). Lagipun watikah yang ditulis adalah dalam bahasa Cina. Kalau ia dipaparkan dengan lancar dan betul sekalipun, rata-rata penonton tidak akan dapat memahaminya. Ini kerana Babak 6 adalah kesinambungan adegan watikah itu yang mana membuatkan saya tertanya-tanya, apa rancangan Maharaja Meng untuk menyelesaikan masalah maruahnya itu?



KESELURUHAN

Pada dua babak terawal, saya berpendapat bahawa bangsawan ini mengadaptasikan gaya muzikal seperti Puteri Gunung Ledang The Musical kerana ada nyanyian, koreografi dan tiada dialog yang langsung. Namun bermula Babak 3, gaya muzikal tersebut tidak ditampilkan lagi.

Dialog-dialog dalam bangsawan ini juga puitis dan menepati expectation saya (atas dasar saya yang juga seorang puitis). Ceritanya sangat mudah dan konfliknya pun ringan. Tiada watak antagonis yang nyata seperti dalam kebiasaan cerita bangsawan yang lain.

Isu utama cerita ini juga kurang jelas bagi pandangan saya. Apakah kesetiaan Cheng Ho yang tidak berbelah bahagi? Atau cinta Ang Di Po yang tulus namun akhirnya membawa kepada masalah? Atau kebijaksanaan Maharaja Meng mentadbir kerajaannya? Atau pun jika dilihat dari sudut luar kotak, betapa tindakan tanpa fikiran itu membawa kepada kemusnahan alam? Mungkin semua yang saya sebut ini boleh menjadi isu cerita ini. Namun sudah pasti, propaganda media akan 'mengangkat' isu memotong kemaluan, atau disebut sebagai 'melenyapkan zuriat' dalam bangsawan ini, dan mencanang-canangkannya. Terpulang kepada persepi individu.

Persembahan extra turn juga adalah baik terutamanya daripada Aishah yang telah mendendangkan dua buah lagu. Kesemua persembahan extra turn bersesuaian dengan mood cerita yang dibina. Lawak jenaka yang disampaikan juga memang kena tepat masa waktu selepas Babak 2, iaitu satu-satunya babak yang komedi.

Maka haruslah saya mengiyakan pendapat mengatakan bahawa bangsawan Laksamana Cheng Ho ini adalah 'bangsawan orang-orang muda', iaitu lebih kepada bangsawan moden. Apa pun, yang penting, saya, sebagai seorang tradisionalis bak kata Dr Shark merasakan kepentingan meneruskan tradisi bangsawan tidak kira sama ada stail moden atau tradisional.

Khamis, Januari 28, 2010

seperti rezeki ada di mana-mana, kerlipan ilham ada di mana-mana

rasanya kali ini aku terasa nak luah perasaan aku.
berguna juga kalau pandai berlakon ni terutamanya dalam membentangkan hasil kaji selidik projek tahun akhir, misalnya.

sejak beberapa bulan yang lalu aku anggap dan merasakan apa-apa pembentangan atau peperiksaan sama ada yang rasmi atau tak rasmi itu sebagai sebuah show.

dalam aku sedang berusaha menyiapkan projek tahun akhir aku.
sudah pasti aku tak mahu abaikan kerja seni aku.

aku jadi penolong pengarah projek teater bangsawan Jebat di UTP untuk semester ini.
aku harap pengarah tak terlalu sibuk sangat dan dapat mengarah dengan lebih banyak masa.

juga aku harap pada audition untuk cari pelakon dan krew baru minggu depan, ada yang berbakat dan layak mendukung watak-watak utama

sebab utama ialah aku tak mahu berlakon watak utama iaitu tuah atau jebat.
mungkin sebab sejak aku mula pakai baju kuning dulu, dan selepas aku jadi Y.B Asylum, aku rasa aku 'melekat' dengan watak-watak yang ada 'authority'.
jadi oleh sebab itu kalau diberikan peluang, aku mahu pegang watak sultan.

waktu aku sedang duduk dan makan ada sekumpulan rakan-rakan berbangsa Cina menyambut hari jadi.
lantas aku terus terfikir satu idea.

waktu aku sedang menonton program tv Bersamamu.
kisah menyayat hati itu, terus, aku terfikir satu idea.

waktu aku sedang mula hendak mandi di shower.
aku terfikir satu idea bagaimana untuk jadikan cerita Tukang Kasut Jalan Rogayah itu sebuah drama tv.

waktu aku sedang duduk dana makan lagi aku melihat seorang makcik tukang sapu sampah menghalau anak kucing yang hendak bermain-main dengan penyapu makcik itu.
lalu aku terfikir satu idea lagi.

waktu aku mengidam nak makan coklat Snickers.
aku terfikir satu lagi idea.

waktu aku sedang terbayang seorang menggali lubang.
aku terfikir satu lagi idea.

dan aku tak dapat jelaskan lagi kenapa.
aku suka keluarkan idea teater berdasarkan makanan.

nasi lemak lah. kuih talam lah.
dan baru saja terfikir nak buat cerita daripada buah pisang.
tapi aku tak ada ilham apa-apa kalau fikir pasal epal.
mungkin epal itu kes khusus.

dan ya, memang, memang aku sengaja buat skrip teater yang ada banyak lapis interpretasi.
seperti nasi lemak 10 sen.
tak sangka sifu teater aku boleh fikir skrip itu sampai tahap political play.
mungkin dia belum baca lagi.

nak baca ke? tunggu buku Kakiscript tu dilancarkan lah ya! :)

Selasa, Januari 26, 2010

zon selesa ini membunuhku

aku di dalam zon selesa
aku rasa rata-rata pembaca terpelajar semua tahu maknanya

zon selesa ini membunuh aku dari dalam
insecurity juga membunuh aku dari dalam

manusia berubah
dan aku manusia

sebelum aku bergiat aktif dalam teater
aku memang bersemangat tinggi buat kerja engineering

memang sukar nak seimbangkan
dua bidang yang sangat berlawanan

tapi aku dah cuba
hasilnya akan jadi berat sebelah

memang susah nak seimbangkan
teater dan engineering

otak pun boleh jadi senget
sebab berat sebelah

tapi aku akan terus cuba
supaya hasilnya nanti tak akan jadi terlalu berat sebelah

insecurity dalam beberapa perkara juga adalah satu masalah psikologi
yang aku belum atasi lagi

seperti yang aku dah lalui sebelum ini dalam mengatasi masalah insecurity yang lalu
aku perlukan masa, ruang dan peluang

Isnin, Januari 25, 2010

kebangkitan

aku memang banyak isu
cuma aku BELUM bangkitkan saja lagi isu-isu tu
tapi aku DAH bangkitkan isu-isu tu dalam karya aku

macam Faisal Tehrani quote kata-kata Pak Samad Said dalam blognya:

"Bak kata Sasterawan Negara Dato A. Samad Said kepada saya ketika saya masih berumur 18 tahun di celah tiang Masjid Negara: 'Sal, karyalah yang akan berkata-kata untuk diri kita!'"

Ahad, Januari 24, 2010

HIATUS

HIATUS






p/s:

Draf pertama skrip teater Tukang Kasut Jalan Rogayah sudah pun siap.
27 muka termasuk muka depan.
Font Arial saiz 12, single spacing.
Durasi 1 jam 15 minit.
Dalam masa yang sama juga, aku sedang pitching idea skrip Tabung Uji.

Rabu, Januari 20, 2010

Sinopsis Nasi Lemak 10 Sen

Dah lama aku tak menulis.
Nafsu seni sedang reda.
Skrip baru hanya tambah satu baris hari ini.
Tambah satu atau dua lagi hari esok.
Dan begitulah keadaannya.

Semester baru akan tiba tak lama lagi.
Semester terakhir aku di universiti.
Aku akan cuba laluinya tanpa aku sedari.
Harap-harap bila aku sedar aku dah habis belajar dan sudah bertunang hendaknya.
Walaupun ada projek bangsawan yang mana minggu pertama sudah ada perjumpaan dan ujibakat.
Dan walaupun aku nampak seperti mengabaikan pelajaran aku.
Tetapi bagi diri aku, apa yang nampak di luar tidak 100% sama dengan apa yang sebenarnya di dalam.
Mungkin ada yang fikir pelakon itu hipokrit.
Walaupun sebenarnya sesiapa saja boleh jadi hipokrit.
Malah boleh saja jadi hipokrit atas tujuan yang baik.

Syukur skrip 10 minit yang aku hantar ke Kakiscript tempoh hari berjaya memenangi hati para pengadil.
Skrip berjudul Nasi Lemak 10 Sen.
Mendapat hadiah saguhati.
Dan tiada pemenang hadiah utama.

Nasi Lemak 10 Sen adalah skrip yang paling menepati tema pertandingan Kakiscript itu berbanding dua skrip yang lain iaitu L.I.F dan bab i.


SINOPSIS NASI LEMAK 10 SEN

Nasi Lemak 10 Sen mengisahkan seorang pengemis yang cuba mendapatkan 10 sen lagi (dah ada RM 1.40) untuk membeli nasi lemak yang diidam-idamkan yang dijual oleh Kak Zee. Pengemis meminta 10 sen daripada Orang Kaya(p) tetapi tidak berjaya walaupun meminta berkali-kali. Seorang lagi pengemis (Pengemis 2 - yang mana diri dia sendiri juga - lebih kepada imaginary pengemis seperti babak Jack Sparrow bercakap seorang diri dalam Jones' Locker dalam cerita Pirates of The Carribean - At World's End) mencadangkan Pengemis untuk buat persembahan tepi jalan. Orang Kaya(p) kemudian nampak dan merendah-rendahkan Pengemis. Kemudian Pengemis sedar, duit RM1.40 yang dimilikinya tadi dah hilang dan menyangka bahawa Pengemis 2 tadi yang mencurinya. (Pelik tak? Macam mana boleh hilang? Hehe). Pengemis kemudian marah dan menjadi agresif. Dia tetap mahukan nasi lemak Kak Zee tu. Kak Zee yang sangat berkira pun tak mahu bagi nasi lemaknya percuma. Akhirnya tindakan agresif itu membunuh Kak Zee dan Orang Kaya(p) yang cuba menghalangnya. Akhirnya Pengemis berjaya mendapatkan nasi lemak Kak Zee dan akhirnya menjualnya pada orang ramai dengan hanya harga 10 sen!

Jumaat, Januari 15, 2010

"SHIF"

BAHAGIAN I - PAGI

Pukul 6.20 pagi.

SUAMI
Sayang dah siap? Jom kita pergi kerja. Abang hantar sayang dulu.

ISTERI
Tunggu kejap lagi sayang siap. Abang sarapan dulu okay. Sayang ada buat cucur ikan bilis tadi.

SUAMI
Okay.

10 minit kemudian.

SUAMI
Abang dah sarapan.

ISTERI
Sayang pun dah siap. Jom!

SUAMI dan ISTERI berkucupan.

SUAMI
Sayang tak sarapan dulu ke?

ISTERI
Sayang dah makan tadi sikit.

SUAMI
Banyak lagi ni sayang, nanti siapa nak makan?

ISTERI
Kejap sayang masukkan dalam tupperware. Abang bawak bekal okay. Nanti boleh makan kat office.

SUAMI
Okay, abang tunggu kat dalam kereta okay.

3 minit kemudian.

ISTERI
Dah, jom. Nanti abang bawak bekal ni okay.

SUAMI
Okay!

5 minit kemudian tiba di tempat kerja ISTERI.

SUAMI
Sayang kerja elok-elok okay. Nanti balik jalan kaki hati-hati okay.

ISTERI
Jalan kaki! Abang ambik sayang lah.

SUAMI
Sayang.. abang kan masuk kerja balik pukul 2. Macam mana nak ambik sayang. Tak apa, nanti kalau sayang kerja malam abang hantar sayang kerja pergi balik okay.

ISTERI
Okay! Abang pun kerja elok-elok tau. Drive hati-hati okay. Dah sampai mesej sayang okay.

SUAMI
Okay. Abang pergi dulu tau.

SUAMI dan ISTERI berkucupan.

SUAMI
Love you, sayang.

ISTERI
Love you too, abang.


BAHAGIAN II - PETANG

Pukul 1.30 petang.

[SMS]

SUAMI
Abang dah makan, nak pergi solat pulak.

ISTERI
Sayang pun nak solat ni. Lepas tu nak pergi kerja.

SUAMI
Okay. Sayang pergi kerja hati-hati tau.

ISTERI
Okay, jom!


Pukul 5.30 petang.

[SMS]

SUAMI
Sayang, abang nak balik ni.

ISTERI
Okay, balik hati-hati tau.


Pukul 9.00 malam.

[SMS]

SUAMI
Abang dah sampai. Abang tunggu kat tempat biasa okay?

ISTERI
Okay, sayang tengah jalan keluar ni. Tunggu kejap.

5 minit kemudian.

ISTERI
Assalamualaikum abang.

SUAMI
Waalaikumussalam sayang. Sayang dah makan?

ISTERI
Belum.. lapar.

SUAMI
Nak makan kat luar? Dah lama tak makan kat luar.

ISTERI
Boleh jugak. Jom!


BAHAGIAN III - MALAM

Pukul 5.00 petang.

[SMS]

SUAMI
Abang balik kerja lewat sikit hari ni sayang. Ada kerja dateline esok.

ISTERI
Okay.. abang buat kerja elok-elok tau. Siapkan okay. Sayang tunggu abang balik.

SUAMI
Okay sayang. Tunggu tau.

ISTERI
Okay! Abang jangan lupa makan tau kalau dah lapar. Sayang dah masak. Nanti malam ni kalau abang dah balik rumah, abang makan okay.

SUAMI
Baik isteriku sayang.


Pukul 7.30 malam.

[SMS]

SUAMI
Sayang, abang nak solat dulu, lepas tu baru balik.

ISTERI
Okay boleh. Hati-hati balik nanti.

SUAMI
Okay!


30 minit kemudian.


SUAMI
Jam pulak jalan. Sayang dah siap nak pergi kerja?

ISTERI
Dah abang, tengah tengok TV sambil tunggu Isyak je ni. Abang hati-hati tau drive.


Pukul 8.45 malam.


ISTERI
Abang, sayang pergi kerja dulu tau.


3 minit kemudian.

SUAMI
Abang baru sampai. Sayang kerja elok-elok tau.

ISTERI
Okay. Abang, sayang dah panaskan lauk siang tadi. Abang makan okay. Sayang dah makan tadi.

SUAMI
Okay, boleh. Nanti abang makan.

ISTERI
Abang rehat elok-elok tau. Jangan sedih tau kena tinggal sorang-sorang. Hehe.

SUAMI
Okay.. boleh.. tak sedih..


Hari esoknya. Pukul 6.00 pagi.


SUAMI
Abang tengah siap nak pergi kerja.


Pukul 6.30 pagi.

SUAMI
Abang pergi kerja dulu tau sayang.


Pukul 7.00 pagi.

ISTERI
Abang, sayang baru nak balik.


Pukul 7.30 pagi.

SUAMI
Abang baru sampai. Sayang tidur lena-lena tau.


Pukul 2.00 petang.

SUAMI
Abang baru lepas solat. Dah makan tadi. Nak masuk kerja balik.


Pukul 3.00 petang.

ISTERI
Abang, sayang baru bangun...


Pukul 5.00 petang.

SUAMI
Abang balik lambat lagi hari ni tau.

ISTERI
Okay, dah lama tak jumpa abang. Hehe.

SUAMI
Itu lah, macam kelakar pulak. Abang balik kerja, sayang pergi kerja. Dua hari tau tak jumpa. Nasib baik lepas dua hari kerja malam sayang cuti. Hehehe.

Rabu, Januari 13, 2010

Monolog: HAHA HUHU HIHI HIDUP

"HAHA HUHU HIHI HIDUP"
Oleh: Akin Muhammad

Gelap.
Lampu sorot dinyalakan ke tengah pentas.
Seorang lelaki berpakaian putih yang lusuh dan comot sedang baring mengiring.
Muzik sedih dimainkan.
Lelaki tersebut tersedar dan terus menangis teresak-esak.
Muzik sedih dipadamkan sedikit-sedikit sekata dengan tangisan yang semakin reda.
Lelaki terus memulakan monolognya dalam keadaan bersimpuh, bersila dan pelbagai gaya.


LELAKI:

(Gelak) HA HA HA HA HA HA HA
(Menangis) HU HU HU HU HU HU HU
(Mengilai) HI HI HI HI HI HI HI

Ujian hidup untuk manusia hidup.
Bila kali terakhir kau diuji dengan ujian yang berat dan dugaan yang hebat?
Yang buat kau rasa sudah tiada harapan dan masa hadapan.
Yang buat kau rasa segala yang kau usahakan dalam hidup kau selama ni hancur berkecai begitu saja.
Yang buat kau menangis dan terus menangis mengharapkan Tuhan mendengar kata-kata hati dari doa tulus kau.
Bila?
Aku tanya kau, bila kali terakhir?
Kau masih ingat?
Apa yang kau buat?
Kau teruskan hidup kau, bukan?

Ujian hidup tidak berjadual.
Ujian hidup tidak berskala.
Ujian hidup tidak berskema.
Ujian hidup tidak bertemplat.
Ujian hidup tidak memilih jenis manusia.
Kerana kita tidak tahu semua tu.
Kerana bukan kita yang tahu semua tu.

Bila ujian berat menimpa kita, kita sedih dan menangis.
Seabnormal atau pelik mana pun manusia itu, dia tetap akan menangis bila ujian menimpa dirinya.
Bila rezeki dicurahkan kepada kita pula, kita gembira dan tersenyum.
Ada yang dapat ingat Tuhan dan bersyukur. Ada juga yang lupa Tuhan dan tidak bersyukur.
Bila?
Aku tanya kau, bila kali terakhir kau bersyukur pada Tuhan?
Kau ucap Alhamdulillah, ya, aku dengar kau ucap lafaz itu.
Kau maksudkannya dalam hati kau?
Apa yang kau maksudkan?
Atau kau hanya sekadar melafazkan apabila kau sendawa selepas kenyang makan?
Aku tanya kau ni, kau jawablah.
Kenapa kau diam?
JAWABLAH!!!
Kenapa kau diam... (menangis buat seketika sebelum menyambung monolog)

Umat akhir zaman ni hidup tak lama.
Ikut purata 60 tahun.
Tapi sekarang ramai dah mati muda.
Hidup tak lama.
Mana taknya? Main motor, bawak laju-laju, berlumba-lumba.
Main dadah, sedut, hisap, cucuk, sampai overdose.
Ada yang masih belasan tahun pun dah mati.
Kena rogol lepas tu kena bunuh.
Yang hidup membunuh masih hidup, hidup yang mati.
Yang mati dibunuh sudah mati, mati yang hidup.
Bila?
Aku tanya kau, bila kali terakhir kau hidup yang betul-betul hidup?
Kau hidup sebagai manusia, macam mana?
Kau ada khianat manusia lain tak?
Betul tak ada?
Kau ada mencela manusia lain tak?
Betul tak ada?
Siapa kita?
Siapa kita, manusia untuk mencela manusia lain?
Siapa kita?
Aku tanya kau ni, kau jawablah!
Kenapa kau tak jawab?!
Kau bisu?!
JAWAB!!!

Beratnya kaki aku untuk bangun dan berjalan.
Beratnya kepala aku untuk menoleh ke kiri dan ke kanan.
Akhirnya aku gagal untuk melintas jalan dengan selamat.
Aku lambat sangat nak jalan ke seberang. Kaki aku berat sangat.
Aku tak dapat nak lihat apa-apa halangan di sekeliling aku. Kepala aku berat sangat.
Sakit.. Ya, amat sakit untuk aku berjalan dengan kaki yang berat dan kepala yang berat ini.
Semuanya berat... Beratnya ujian ini.
Maha berat...
Kalau aku dapat satu peluang lagi. Satu peluang saja lagi.
Aku mahu hidup dengan hidup yang betul-betul hidup.
Aku nak jadi manusia yang hidup.
ARGH!!!
KARUT!
Karut semua tu!
Manusia memang selalu berkalau-kalau, bertapi-tapi.
Sekarang tubuh aku pula yang terasa sangat berat.
Macam mana aku nak teruskan hidup?
Kalau aku dah tak mampu bergerak?


Lelaki terlantar atas pentas.
Cuba bergerak tetapi terlalu berat.
Lelaki menjerit.
Pentas gelap serta-merta.
Selepas beberapa saat, lampu sorot dinyalakan kembali.
Kelihatan sekujur jenazah yang berbalut kain kapan.
Pentas gelap.
Dalam gelap, gelak, tangis dan hilai serentak.
(Gelak) HA HA HA HA HA HA HA
(Menangis) HU HU HU HU HU HU HU
(Mengilai) HI HI HI HI HI HI HI

TAMAT.

Ahad, Januari 10, 2010

Travelog Kabur IIIES

Perjalanan IIIES kali ini sedikit pelik. Dan sedikit kabur.
Bermula dengan bas yang lambat tiba pada hari yang tidak sibuk.
Kemudian aku terlihat kelibat patung teddy anjing hitam putih yang diletakkan di atas tong sampah.
Tanpa ada orang lain sedarinya.
Patung anjing itu seolah-olah hidup dalam minda abstrak aku.
Lebih dramatik ia duduk di atas tong sampah itu.
Dan pandangan dari dalam bas nampak kabur.
Suasana selepas hujan.
Dengan bau hujan yang seronok.


Bas bergerak dengan perasaan aku seperti menonton filem buatan Malaysia yang tidak mengikut kehendak pasaran seperti Muallaf, Sell Out atau pun Pensel.
Tidak ramai orang. Banyak tempat duduk kosong. Dan aku boleh saja pindah duduk suka hati. Kalau aku mahu. Tetapi bukanlah tabiat aku sebegitu. Aku akan duduk di tempat duduk yang aku dapat. Dari awal perjalanan hingga tiba destinasi. Itulah aku. Dan itulah huruf K dalam nama aku.

Dengan perasaan itu, mata aku melewati seorang perempuan tua bertubuh kecil yang memegang payung besar berlatarbelakangkan seorang lelaki tua yang sedang mengayuh basikal.
Sekali lagi minda abstrak aku mentafsir sesuatu. Kenapa orang kecil suka benda besar. Dan orang besar suka benda kecil.
Tidak jauh dari situ, sekilas aku pandang pada tukang kasut Jalan Rogayah.
Ya memang karya terbaru yang aku sedang kerjakan sekarang ini terilham dari situ.
Pandangan masih kabur, simbolik perjalanan IIIES kali ini.





Orang memang suka benda percuma.
Tak kisah apa benda sekali pun. Orang bagi percuma, orang akan suka dan ambil.
Contohnya terapi percuma di kedai ini.



Bas sudah mula meluncur laju di atas jalan raya.
Lantas aku pun turut pantas menutup mata, fikiran aku laju meluncur dalam laluan khayalan yang membawa aku terus ke alam mimpi.

Sejuk. Dingin. Terjaga, aku sudah hampir tiba di kota besar itu.
Besarnya kota itu bukanlah kerana luasnya.
Besarnya kota itu kerana besarnya kemegahan dan kemajuan fizikalnya.
Sekurang-kurangnya begitulah pandangan aku.
Yang baru saja bangun tidur.
Yang masih kabur.

Aku sememangnya mengagumi bangku kayu.
Selepas aku menonton monolog Tok Janggut suatu masa dahulu.
Aku jadi amat menghargai tukang kayu yang mencipta bangku dan kerusi kayu.
Jadi sebab terlalu mengagumi dan menghargai, aku cemarkan bangku kayu itu dengan punggung aku.
Namun dek arus modenisasi yang tidak dapat diharung oleh manusia.
Bangku atau kerusi juga tidak dapat bertahan.
Yang kayu dan lesu jadi yang besi atau PVC dan merah jambu.

Bila tiba di bandaraya bersejarah itu aku sudah mencatat kejayaan pertama dalam tahun baru ini.
Sebenarnya aku teringin benar ingin berziarah ke Melaka sejak bulan November tahun lalu.
Tapi bulan ini baru aku dapat mencapainya.

Bagi diri aku ini, aku lihat semua yang tersergam di Melaka adalah sangat cantik dan menarik.
Pintu gerbangnya pun cantik.
Kubu-kubu pun cantik.
Meriam-meriam pun cantik.
Replika-replika pun cantik.
Beca-beca pun cantik.
Muzium-muzim pun cantik.
Pohon Melaka pun cantik.
Buah pohon Melaka pun cantik.
Dinding-dinding bangunan lama pun cantik.
Memorial-memorial pun cantik.
Keris-keris pun cantik.
Sungai pun cantik.
Dan Istana Kesultanan Melaka yang cantik, cantik dan cantik.
(Tak lupa juga peneman yang cantik)
Akhirnya nafsu seni aku dapat diredakan apabila dapat berziarah ke Istana Kesultanan Melaka tersebut.
Cadangnya aku hanya mahu ke Muzium Negara tempoh hari.
Tetapi lebih baik lagi aku diberikan peluang dan keizinan untuk menziarahi bandar Melaka yang aku boleh ibaratkan sebagai sebuah muzium mega.
Mungkin aku boleh tetapkan satu misi personal untuk singgah ke semua 22 buah muzium yang ada di Melaka itu.





Di Batu Pahat, tarikan utama tunas rasa pada lidah aku adalah ABC Pak 'O' Corner yang dahulunya terletak di Tingkat 2 Terminal Bas dan sekarang sudah terletak di tepi jalan dekat dengan terminal bas itu juga.
Dan masih ada satu lagi cawangannya di bekas terminal bas Jalan Omar.
Cendol Pak O juga boleh tahan seronoknya.
Namun Cendol Jam Besar di Melaka itu juga mampu menandingi keseronokan cendol Pak O.
Lebih-lebih lagi selepas bersiar-siar di bandar Melaka itu, sudah pasti gerai cendol Jam Besar itu akan sentiasa dikunjungi para pelancong tempatan mahupun asing.

Pak Cik Beca itu memang peramah orangnya.
Banyak info tentang tempat-tempat di sekitar bandar Melaka itu yang diterangkan olehnya.
Tidak lupa juga maklumat terkini tentang 5 tulang rangka manusia yang baru saja ditemui di bawah tanah.
Lihat gambar tanah yang dikorek.
Walaupun becanya tidak sehebat beca lain yang dihias dengan secara melampau lip lap merelit siap dengan kipas dan radio beserta sub-woof-woofer, namun layanan mesra dan ramah pak cik beca tu amat menyenangkan hati.
Pak cik beca tu minimalis agaknya.



Seharian berjalan. Sudah pasti meletihkan.
Namun kepuasan dan keseronokan yang diperoleh berbaloi dengan tenaga (dan juga wang ringgit) yang dikeluarkan.
Ada masa dan rezeki lagi nanti, akan datang pasti lebih banyak lagi tempat yang boleh diterokai.

Semasa perjalanan pulang IIIES kali ini.
Beberapa kilas pandang aku pada tukang sapu sampah.
Tidak jauh dari situ seorang monk.
Di kota besar itu senang untuk aku mendapat ilham.
Kerana banyak watak yang boleh wujud dalam penglihatan seni dalam radius yang kecil.
Langit Kuala Lumpur petang itu sedikit gelap.
Dan aku, sebagai musafir, seperti biasa, dengan bekal dua keping sandwich keju dan sekotak air milo, menaiki bas untuk pulang ke kampung halaman dan kembali...

...menulis sambil merindui.

Selasa, Januari 05, 2010

III Piece Dalam III Minggu Dalam IIIES

KEJAMNYA PELAYAN CHICKEN CHOP ITU
Oleh Akin Muhammad


SINOPSIS

Mahmud Ghafur, seorang pelayan ‘chicken chop’ berusia 49 tahun didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup kerana membunuh Siti Muslihah, anak perempuannya berusia 15 tahun yang jatuh cinta dengan seorang pemuda Islam berlainan fahaman iaitu Khalil Zainal.

Hakim menjatuhkan hukuman terhadap Mahmud Ghafur, penjara minimum 22 tahun kerana kesalahan 'pembunuhan bermaruah' membabitkan anak perempuannya, Siti Muslihah. Beliau juga didapati bersalah menyerang teman lelaki anak perempuannya menggunakan pisau pemotong daging.

Polis percaya Siti Muslihah dibunuh di rumah keluarganya ketika mangsa bersendirian dengan bapanya. Teman lelakinya, Khalil Zainal melaporkan kehilangan teman wanitanya itu dua minggu kemudian ketika Mahmud Ghafur melakukan serangan terhadapnya menggunakan pisau pemotong daging.

Polis tidak dapat menentukan bagaimana Siti Muslihah dibunuh tetapi berkata kehilangannya cukup untuk mengisytiharkan kematian mangsa. Bukti yang muncul beberapa tahun selepas kehilangan Tulay membawa kepada penahanan Mahmud Ghafur dan dua abangnya. Ketiga-tiga mereka didakwa membunuh tetapi tuduhan terhadap kedua abangnya digugurkan.

Mahmud Ghafur menolak permintaan ahli keluarganya untuk menunjukkan di mana mayat Siti Muslihah. Sama ada Siti Muslihah masih hidup atau tidak, hanya Mahmud Ghafur dan Tuhan saja yang tahu.

Siti Muslihah terperangkap di tengah-tengah dua ‘dunia’ yang bersengketa.




BABAK 1
Mahmud Ghafur menyerang Khalil Zainal dengan pisau pemotong daging pada malam itu. Khalil Zainal dan Mahmud Ghafur berlawanan diselangi dengan dialog menikam lidah dan babak ini tergantung sebaik sebelum pisau Mahmud menusuk dada Khalil.
(Saja nak bagi suspens kan... Tips ni aku dapat dari Dr Shark juga, kalau nak tulis skrip lebih-lebih lagi skrip drama/filem, kena ada ‘cliff hanger’. ‘Scene grabber’ juga tidak dilupa.)


BABAK 2
Mahmud Ghafur dalam kandang tertuduh di mahkamah didakwa melakukan pembunuhan bermaruah? Wujudkah istilah tersebut dalam kamus hidup Mahmud? Kerana maruah Mahmud membunuh? Mahmud orang Islam dan membunuh adalah satu dosa besar. Mahmud diserang pelbagai persoalan dalam fikirannya tatkala pendakwa dan peguam bela berbicara bersama tuan hakim di dalam mahkamah.


BABAK 3
Siti Muslihah dan hubungannya dengan Khalil Zainal. Seperti biasa dan lumrah, pasangan bercinta ini pergi dating. Siti Muslihah melahirkan rasa bimbangnya takut-takut bapanya tidak merestui hubungan cinta mereka itu. Khalil pula cuba menenangkan hati Siti Muslihah dan berjanji akan cuba mengambil hati bapanya.


BABAK 4
Siti Muslihah bergaduh dengan Mahmud Ghafur tentang Khalil Zainal. Mahmud Ghafur melarang anaknya itu berjumpa dengan Khalil lagi kerana Khalil berlainan fahaman walaupun beragama yang sama, iaitu Islam. Jiwa muda Siti Muslihah menentang pendirian bapanya itu yang dianggap kolot dan tidak boleh diterima akal. Bapanya memberi amaran itu dengan keras. Jika tidak dia sanggup buat apa saja untuk menghalang percintaan anaknya itu daripada berterusan.


BABAK 5
Siti Muslihah melarikan diri berjumpa Khalil Zainal selepas bergaduh dengan bapanya. Khalil Zainal menasihati Siti Muslihah supaya balik semula ke rumah bapanya kerana perbuatan itu tidak elok. Siti Muslihah ikut nasihat Khalil.


BABAK 6
Khalil dan Siti Muslihah memang jarang berjumpa. Paling kerap pun dua minggu sekali. Dua minggu kemudian, Khalil diserang oleh Mahmud Ghafur. Seperti babak awal, Khalil dan Mahmud berlawan antara satu sama lain. Khalil dapat menewaskan Mahmud dan Mahmud melarikan diri.


BABAK 7
Khalil membuat laporan polis kerana mengesyaki sesuatu telah berlaku kepada Siti Muslihah. Polis kemudian menjalankan siasatan dan menahan Mahmud Ghafur kerana tidak dapat menunjukkan bukti bahawa anaknya masih ada dan masih hidup.


BABAK 8
Mahmud Ghafur menjalani kehidupan di penjara. Khalil pula sudah ada teman wanita yang baru. Mahmud enggan memberitahu pihak keluarga Siti Muslihah di mana mayat Siti Muslihah ketika dituntut di dalam mahkamah.
Hingga kini tiada bukti yang Siti Muslihah sudah mati. Mungkin juga dia masih hidup kerana mungkin ADA PERKARA YANG LEBIH BESAR daripada penangkapan Mahmud Ghafur yang dipenjarakan.



p/s:

Tiga skrip ini aku akan buat serentak.
Tamak kan aku?
Orang tamak selalu rugi kan?
Tak semua orang rugi tu orang tamak.

Isnin, Januari 04, 2010

He's The Tree

HE’S THE TREE
Oleh Akin Muhammad

SINOPSIS
Pokok itu bernama Utama, sebatang pokok sena. Dulu seorang manusia tetapi disumpah menjadi sebatang pokok kerana menderhaka kepada ibunya kerana tidak melayan ibunya dengan baik.
Utama mula hidup sebagai pokok dan berkenalan dengan pokok-pokok yang lain di sekitarnya. Pokok getah(Pembantu), pokok kelapa (Sampingan), dan pokok beringin (Tambahan).
Utama sudah mula dapat menyesuaikan diri dengan kehidupan barunya. Namun begitu, pada satu ketika hujan lebat turun tidak berhenti-henti selama beberapa minggu menyebabkan berlakunya banjir besar.
Pokok-pokok beringin, getah dan kelapa masing-masing cuba untuk menyelamatkan diri tanpa menghiraukan orang lain sehingga tercetus konflik di antara mereka. Namun Utama cuba untuk mengawal keadaan dan memastikan mereka semua selamat.
Cerita ini tiada penamat dan akan tergantung begitu sahaja.


BABAK 1
BATU TANGGANG, POKOK UTAMA
Jika kisah dongeng si Tanggang yang menderhaka kepada ibunya disumpah menjadi batu, Utama yang juga menderhaka kepada ibunya disumpah menjadi pokok. Utama menceritakan semula insiden yang mengguris hati ibunya itu sewaktu hendak memilih jurusan yang ingin dipelajari di universiti nanti. Ibu Utama mahukan anaknya mendalami ilmu agama, tetapi Utama membantah dan ingin mempelajari ilmu seni.
(Dem, tipikal sangat dah cerita macam ni. Hmmm.. nanti lah aku ubah kalau aku nak ubah. Ini hanya draf saja. Ha ha.)
Akhirnya ibu Utama kecil hati dan pada waktu itu juga Utama menjadi sebatang pokok.


BABAK 2
UTAMA SEBAGAI POKOK SENA
Utama mengambil sedikit masa untuk menyesuaikan diri hidup sebagai pokok. Semuanya berbeza berbanding hidup sebagai seorang manusia. Cara bernafas, makan, minum, tidur semuanya berbeza. Ternyata Utama amat kesal dengan tindakannya yang mengguris hati ibunya dulu. Namun begitu sesalan kemudian tidak berguna lagi. Hidup Utama perlu diteruskan. Dalam kesukaran itu, beberapa pokok yang lain sedar akan kehadiran Utama dan akhirnya mereka bertemu dan berkenalan.


BABAK 3
RAGAM POKOK-POKOK
Hidup keempat-empat pokok itu semakin hari semakin baik dan bertambah bahagia dan ceria. Masing-masing dengan ragamnya tersendiri. Ini sedikit sebanyak dapat membantu Utama yang baru saja hidup sebagai sebatang pokok. Dalam perkenalan itu, rupa-rupanya setiap pokok ada kisahnya tersendiri. Pokok getah ada kisah tragedinya, pokok kelapa ada kisah cintanya, pokok beringin pula ada kisah seramnya.


BABAK 4
TRAGEDISEMBER
Hari bersilih ganti, keempat-empat pokok itu hidup bahagia sehinggalah musim hujan tiba. Hujan yang mencurah-curah tidak berhenti selama beberapa minggu menyebabkan berlakunya banjir. Kesemua pokok itu ingin menyelamatkan diri, tetapi mereka tetap pokok dan tidak dapat berganjak ke mana-mana, akar memasakkan mereka pada tanah. Mereka bertikam lidah, (walaupun pokok tak ada lidah.)
Utama sedar tiada apa yang dapat dilakukan lagi melainkan berzikir mengingati Tuhan pencipta, seperti pokok-pokok yang lain, bukannya bergaduh tentang bagaimana hendak menyelamatkan diri.
Dalam masa yang sama, ada manusia yang dihanyutkan arus deras air banjir. Getah, kelapa dan beringin masih tidak sebulu. Utama kemudiannya sedar kenapa takdirnya dijadikan sebagai pokok, iaitu untuk menyelamatkan manusia. Kerana Utama sedar, itulah tujuan pokok – untuk alam sekitar dan untuk manusia hidup dengan selesa.
Utama menjadi penyelamat kepada manusia yang hanyut itu.
(Tiba-tiba pulak ada manusia hanyut kan...)


BABAK 5
PENAMAT YANG TERGANTUNG
Kesudahan cerita ini tergantung selepas adegan Utama menyelamatkan manusia itu. Ternyata, he’s THE tree. Utama adalah penyelamat manusia.
Ditunjukkan pokok-pokok itu masih hidup selepas banjir surut, kemudian ditunjukkan pokok-pokok itu sudah mati, kemudian ditunjukkan pula manusia menebang pokok dan akhirnya ditunjukkan melalui projection pada layar putih (atau dengan cara yang lain), daripada sebutir benih, daripada akar, ke batang pokok, ke dahan, ke ranting dan ke daun-daunnya (dan ke buah-buah kalau ada). Kemudian sehelai daun gugur ke atas tanah.

Ahad, Januari 03, 2010

Tak Habis-habis Tentang Loser

Petang hari ini hujan masih turun.
Lebat.
Mujur juga hujan hanya pada waktu petang.
Kalau hujan juga pagi, petang ke malam sudah pasti paras air akan meningkat.

Ada satu sebab utama kenapa aku tulis Aku Bukan Loser!
Supaya orang yang rasa dirinya loser tidak terus menjadi loser.

Banyak juga filem yang menceritakan tentang kisah hidup seorang loser.
Dan bagi yang selalu nonton filem, akan tahu penamat tipikal cerita loser tersebut.
Ya, loser itu akan jadi winner juga akhirnya.
Dan orang yang rasa diri dia winner sebelumnya jadi seorang yang rasa loser.

Namun begitu filem hanya sebuah filem.
Tidak semestinya hidup sebenar juga sebegitu.
Kita manusia hanya merancang dan Tuhan menentukan.
Boleh jadi juga loser tetap akan jadi loser sampai bila-bila.
Kerana mungkin hidup sebegitu adalah yang terbaik buat dirinya.
Dan mungkin juga dia tidak merasakan dirinya loser, cuma orang lain saja yang anggap dan pandang dia sebagai loser.
Tapi dalam dirinya, dia bersemangat winner.

Cukup tentang Aku Bukan Loser!

Sekarang tentang satu lagi karya aku berjudul "He's The Tree"
Secara peribadi, aku paling suka karya ini kerana ia sangat bersubteks.
Banyak lapisan yang boleh diterokai melalui karya ini.
Walaupun ia belum ditulis lagi. Ha ha.

Cerita ni terilham daripada entri aku sebelum ini.

Sinopsis, konsep dan babak-babak "He's The Tree" akan aku siarkan bersama dengan KPCCI nanti.
Oh, dan "He's The Tree" bukannya karya berbahasa Inggeris.
Berbahasa Melayu, cuma judulnya saja. Sengaja. Nak nampak komersial, kononnya.

Dan aku baru terfikir tentang Siti Musliha sewaktu menulis nama watak Siti Muslihah dalam KPCCI aku tu!
Malah terfikir tentang Siti Sifir, Ela & Eli sebagai tukang umpat Rogayah dalam Tukang Kasut Siti Rogayah.

Fuh. Letih juga sebenarnya. Tapi berbaloi juga mengisi masa lapang menulis.
Malah khutbah Jumaat yang lepas memesan anak-anak supaya menggunakan masa cuti dengan sebaiknya bersama keluarga sebelum naik sekolah.

Dan anak buah aku Firaz Adam sudah pandai bercakap dalam telefon.
Makin ligatlah dia nanti.
Tak sabar nak main-main dengan anak-anak buah lagi..

Dan esok atau lusa aku kena keluar rumah juga.
Untuk apa?
Jawapan biasa orang seni: Nak cari ilham.

Sabtu, Januari 02, 2010

Aerosol (Bukan Gas Pemedih Mata) Semut-semut

bila hujan sudah mula turun dengan lebat
dan setiap hari pun begitu
semut-semut pun mula naik ke atas rumah manusia
membuat sarang di dalam rumah manusia

tapi manusia sudah siap sedia dengan sebotol aerosol

apalah daya seekor semut untuk melawan manusia
malah kalau beratus ekor semut sekalipun
masih tidak dapat melawan manusia yang bersaiz tera
semut memang kecil tetapi kita tidak tahu sebesar mana semangatnya

tapi manusia masih memegang sebotol aerosol

semut-semut cepat-cepat buat sarang dalam rumah manusia
sebenarnya sarang tak besar mana pun
tak akan mengganggu atau mengacau ketenteraman manusia dalam rumah pun
tetapi mungkin kehadiran semut-semut dalam kuantiti yang banyak menggelikan mata manusia

tapi manusia sudah tidak tahan lagi dengan kegelian lantas menyembur aerosol

semut-semut yang selamat
yang sempat melarikan diri dan sembunyi
semut-semut yang kurang bernasib baik
mati begitu saja tanpa ada pusara berbatu nisan

dan manusia meletakkan sebotol aerosol di atas almari yang tinggi



p/s:

karangan ringkas di atas ini
boleh dijadikan simbolik kepada
negara-negara kecil yang ditindas oleh kuasa-kuasa besar
(seharusnya aku tak bagitahu apa niat aku menulis karangan ringkas ini tapi nanti ramai yang komplen tak faham dan mengkonklusikan tulisan aku sebagai merepek, merapu dan menggelikan.)

Jumaat, Januari 01, 2010

010110 (Tukang Kasut Jalan Rogayah)

Dinihari ini aku hirup udara segar tahun baru 2010.

Tanpa banyak kata, aku siarkan sinopsis pendek dan babak-babak dalam "Tukang Kasut Jalan Rogayah"

"Kejamnya Pelayan Chicken Chop Itu" tergendala kejap sebab aku ada rasa tak best dengan ceritanya sekarang.

Kena ubah, kena ubah, kena ubah.

Macam biasa, bila dah tulis sekali, memang jadi draf dan akan jadi draf sampai siap.
Jadi mungkin cerita akan berubah bila skrip siap nanti.



“TUKANG KASUT JALAN ROGAYAH”
Oleh Akin Muhammad


Cinta si tukang kasut, Jefri terhadap Rogayah, penjaja kuih, mula berputik sejak perempuan idamannya itu datang untuk membaiki kasut kesayangannya itu. Rogayah memang sayang sangat pada kasutnya itu. Tukang kasut pula sayang sangat pada Rogayah.
Rasa sayang mereka telah merubah mereka berdua menjadi obsesif. Rogayah obses pada kasutnya yang buruk itu. Tukang kasut obses pada Rogayah. Hinggakan, mereka berdua sanggup buat apa saja kerana kasih sayang.


BABAK 1
ROGAYAH SI PENJUAL KUIH TALAM DAN KASUT KESAYANGANNYA
Pelanggan datang membeli kuih talamnya yang sedap. Sedang sibuk melayan pelanggan, kasut yang dipakainya terkoyak bibir kasutnya. Kasutnya itu memang sudah lama dan lusuh tetapi tetap dipakainya kerana ada kisah di sebalik kasut tersebut.

BABAK 2
PERJALANAN ROGAYAH KE KAKI LIMA TUKANG KASUT
Dalam perjalanan Rogayah ke tempat si tukang kasut, ramai orang-orang sekeliling yang mengumpatnya, mengata yang Rogayah memang terkenal dengan talamnya, lalu difitnah yang dia adalah talam dua muka; dan seri mukanya, lalu difitnah yang dia ada pakai susuk. Rogayah tidak melayan kata-kata orang kerana ada kisah di sebalik perniagaan yang laris dan tiba-tiba jadi tak laris.

BABAK 3
JEFRI MENUNGGU PELANGGAN TIBA
Jefri yang hanya membaiki kasut di kaki lima tidak selalu didatangi pelanggan. Tetapi Rogayah adalah pelanggan tetapnya. Kasut kesayangan Rogayah masih boleh dipakai kerana Jefri yang selalu membaikinya bila rosak. Sambil menunggu, Jefri meluahkan perasaannya terhadap Rogayah seorang diri dan cuba berlatih untuk memberitahu perasaannya terhadap Rogayah pada hari itu.

BABAK 4
ROGAYAH DAN JEFRI BERTEMU DI KAKI LIMA ITU
Seperti biasa Rogayah akan hantar kasutnya untuk dibaiki oleh Jefri dalam masa satu jam. Rogayah juga biasanya akan bawa sekali kuih talamnya dan makan bersama-sama Jefri. Kaki lima itu seperti restoran untuk pasangan bercinta. Semasa sedang membaiki kasut, Jefri dan Rogayah berbual-bual dan Jefri semakin menuju ke topik untuk memberitahu perasaannya terhadap Rogayah.
Jefri belum sempat memberitahu isi hatinya yang sebenar, Rogayah seperti sudah boleh mengagak dan terus memberhentikan perbualan tentang topik tersebut. Rogayah tidak mahu Jefri bercinta dengannya. Jefri sudah pasti tetap mahukan jawapan, kenapa?
Akhirnya Rogayah memberitahu bahawa dia lebih cintakan kasutnya itu. Ya, kerana memang ada kisah di sebalik kasut kesayangannya itu.

BABAK 5
OBSES PADA KASUT DAN ROGAYAH
Jefri tidak dapat menerima kenyataan itu. Jefri sebenarnya sudah obses pada Rogayah dan memang terlalu hendak memiliki Rogayah. Rogayah pula terlalu obses pada kasutnya itu dan terpaksa mengecewakan dan mematahkan niat Jefri untuk bercinta dengannya.
Oleh sebab terlalu obsesif, Jefri bertindak agresif. Jefri mengugut tidak mahu menyiapkan kasut yang sedang dibaikinya malah akan merosakkannya lagi. Rogayah pula terpaksa menjaga kasutnya itu dan pergaduhan berlaku. Akhirnya Jefri membunuh Rogayah dalam keadaan diri yang sudah tidak waras. Sebelum Rogayah menghembuskan nafas terakhir, dia sempat memberitahu pada Jefri supaya membaiki kasutnya itu, kerana... ya, memang ada kisah tentang kasut itu.

---------------------------

Dan mungkin lepas ni aku kena tonton kembali filem P Ramlee "Sabarudin Tukang Kasut".
Atau hanya sekadar memerhati tukang kasut di kaki lima yang ada.



ps:

The Cobbler Tools? Hm?