Jumaat, April 30, 2010

CARAP (Catatan Rawak Pagi)

Pagi-pagi begini. Suka untuk aku berkongsi apa yang bermain-main di ruang fikiran.

  1. Aku kira hidup manusia adalah untuk manusia mencari diri yang sebenar. Contoh terdekat adalah diri aku sendiri. Tak payah bagi contoh pasal orang lain. Aku kini sedar, aku tidak bagus dalam kerja engineering. Belajar engineering boleh saja, tapi bila kena buat kerja engineering, aku memang tidak bagus. Boleh buat, tapi hasilnya sampah. Tapi kalau bidang seni, hasil karya sampah itu boleh jadi sesuatu yang agung.
  2. Kalaulah penulis skrip / pembikin cerita itu dewa, pengarah pula adalah raja, pengurus-pengurus pula adalah para pembesar, maka pelakon adalah rakyat biasa. Tapi kalau rakyat biasa didahulukan, maka rakyatlah yang dapat kebaikan yang lebih. Itu secara idealnya. Namun aku kira, tiada taraf dalam kerja seni seharusnya, tetapi ada jenis / kategori penggiat seni. Ada pembikin, ada penggerak, ada penonton sahaja. Yang penting berikan jiwa sehabis baik, sejujur hati dalam berkerja seni. Kalau nak berlakon sahaja, tidak mengapalah, yang penting berlakonlah sehabis baik, sejujur jiwa. Kalau nak mengarah sahaja, tidak mengapalah, mengarahlah sehabis baik, sejujur jiwa, (tapi kena tahu lah selok-belok pengarahan). Kalau nak belakang tabir sahaja, tidak mengapalah, tapi kerjalah sehabis baik, seikhlas hati. Semuanya tentang bagaimana kita berikan yang terbaik dalam apa yang kita lakukan dalam hidup kita. Kalau hasil kerja engineering aku sampah, maka memang itulah yang aku mampu berikan yang terbaik mengikut kemampuan dan kebolehan engineering aku berdasarkan jiwa engineering aku yang makin luput dek seni ni. Kah kah kah.
  3. Kalau kau buat benda tak baik pada orang yang tak bersalah dan tak pernah buat apa-apa kat kau, lambat laun mesti kau akan ditimpa benda yang tak baik juga yang setimpal. Contoh paling mudah, kalau kau ambil barang orang tanpa izin dan tuannya masih tidak halalkannya, satu hari nanti mesti barang kau juga akan 'hilang' dengan cara-cara yang sepatutnya.
  4. Kalau manusia berperangai buruk dengan manusia lain, secara logiknya dah tentu manusia lain tak mahu jalinkan hubungan yang baik dengan kau. Kalau ya pun, hubungan itu tidak jujur dan mereka masih tidak suka jalinan perhubungan itu. Kau sendiri akan dapat rasa dalam hati, cuma kau masih DENIAL untuk berubah.
  5. Apa-apa pun, ia tetap berbalik semula kepada kita. Kita jadi diri kita dan berikan yang terbaik terhadap apa-apa pun yang kita lakukan. Kalau tak dapat jadi diri sendiri lagi, apa kata kita cari diri kita yang sebenar?
Mari?

Khamis, April 29, 2010

Humanusia


Aku judulkan gambar ini "Humanusia"
Dalam gambar ini adalah sebuah artwork aku yang sulung yang aku hasilkan.
Juga berjudul "Humanusia"
Masih mentah lagi. Tiada warna. Dan mungkin akan jadi begitu sahaja.
Simbolik manusia yang baru lahir. Ya lah, ini artwork aku yang pertama berbentuk arca.
Dan mungkin saja arca aku ini tidak layak dipanggil arca.
Macam biasa, aku buat benda ni ikut rasa dan jiwa aku.
Dan beginilah hasilnya. Gambar ini dari pandangan atas. Kalau tengok arca ni dengan mata sebenar lagi seronok perasaannya. Mungkin aku seorang sahaja yang seronok dengan menatang ni. Entahlah. Tapi aku memang suka ambil masa yang sedikit lama menatap apa-apa artwork di galeri seni sewaktu aku praktikal di Kuala Lumpur dulu. Mahu cari apa yang cuba disampaikan oleh pengkarya melalui karyanya.

Latarbelakangnya hijau. Menyerlah dengan warna putih artwork.
Dah bosan kalau hitam mesti putih. Apa kata kalau putih mesti hijau atau vice versa.
Bahan yang aku guna adalah saki baki polisterin untuk buat set pentas bangsawan tempoh hari.
Layan perasaan buat menatang macam ni seronok juga kadang kala.

Mungkin lepas ni kalau bosan-bosan aku buat puisi "Humanusia" pula.


Isnin, April 26, 2010

Kah Kah Kah

Sudah masuk hari Isnin. 26 April 2010.
Sudah masuk minggu kedua terakhir kuliah.
Minggu ulangkaji akan bermula 10 Mei nanti.
Dan minggu peperiksaan menyusul seminggu selepasnya.
Namun peperiksaan aku hanya pada 25 dan 26 Mei saja.

Hujung minggu ini aku nak pergi cari ubat tahan sakit.
Teater Asy-syura pada 30 April.
Monolog Denyut pada 1 Mei.
Muzikal Teratak Minang pada 1 Mei.
Teater Selamat Jalan Anak Kafir pada 1 Mei.
Bangsawan Syakuntala pada 1 Mei.
Tak akan hadiri semua kerana akan ke Melaka pula, ambil barang tertinggal sewaktu ke Melaka waktu cuti dulu.
Kalau tak sesat, sampai di majlis walimatul urus seorang lagi bekas ahli TTS iaitu Khairul Anuar Md Hatta atau lebih popular dikenali sebagai Polo.
Aku sempat berlakon dengannya dalam Sampah Oh Sampah dan Asylum.
Ex-TTS kedua yang mendirikan rumah tangga. Alhamdulillah dan tahniah buat Polo nanti.

6 Mei seharusnya akan ada test run untuk teater Tuah Hang Jebat (THJ). Minta-minta jadi lah.
Nak tukar dari bangsawan kepada teater. Satu kerja juga tu.
15 dan 16 Mei pula aku akan keluar dari kepompong.
Lorong Seni di Putrajaya. Busking arts.
Baca puisi yang mana ada. Yang mana boleh. Yang mana terdaya.
29 dan 30 Mei pula aku akan ke Johor Bahru.
Teater Imam Bukhari.
Tidak harus dilepaskan peluang menonton. Jika tiada aral, akan sampai jua nanti ke JB.
Setelah agak lama aku tidak ke sana walaupun ia ibu negeri aku sendiri.

InsyaAllah akan selesai pembentangan projek tahun akhir selewat-lewatnya 11 Jun.
Yang mana 11 hingga 13 Jun pula akan ada raptai teater THJ di UTP terlebih dahulu, sebelum raptai di Taman Budaya KL pada 14 dan 15 Jun.
Pementasannya pula pada 16 dan 17 Jun nanti.
Dalam tempoh masa yang sama juga, pada 12 dan 13 Jun nanti akan ada program ARTS FOR GRABS, program seni wajib di Annexe Central Market.
Tak dapat nak hadir kerana raptai THJ di UTP.
12 dan 13 Jun itu juga ada monolog Nur Issandra di Taman Budaya KL.
Juga tidak dapat hadir.
Difahamkan juga ada niat salah satu penganjur Lorong Seni untuk busking arts juga di Central Market dalam bulan Jun itu.

The Qum Actors juga aku perlu beri perhatian.
Tapi tak boleh cerita lebih, tunggu saja rakan-rakan kongsi menjadi rasmi, dan Board of Directors wujud secara rasmi.

Dan pada satu sisi yang lain, aku masih terperangkap dalam gaung kejuruteraan.

Kah kah kah! (Menulis gelak sebegini gaya mengingatkan aku pada ibunda di rumah, kerana ia mengingatkan aku pada seorang budak di tadika tempat mak aku kerja sambilan, budak itu gelak sebegitu gayanya sewaktu melihat sebuah motorsikal buruk milik seorang wak.)

Kah kah kah! Lagi sekali.


Sabtu, April 24, 2010

"Pop Ular" / "Ular Pop"

Seekor ular yang disuntik 'Pop'
Oleh Akin Muhammad



Jarum suntik
Pada celahan kaki
Tersuntik seekor ular
Yang bernama Uncle Pop

Pop!

Ular menyisir
menyalar dalam semak
menyergap dalam samun
memagut
dalam senyap
ular memati
seekor makhluk
berkaki
bersayap
bertanduk

Pop!

Ular makan makhluk
Jadi seekor makhluk yang lain
Ular kini berkaki bersayap bertanduk
Ular cabut lari
Dengan kaki barunya
Ular terbang tinggi
Dengan sayap barunya
Ular serang merpati
Dengan tanduk barunya

Pop!

Ular kenyang
Buncit makan merpati
Ular duduk berehat bawah pohon misteri
Tidur lena dalam mimpi
Ular sedar
Emas berlian intan permata membanjiri ular
Pohon memang misteri

Pop!

Ular melompat-lompat
Dipakainya segala yang ada
Ular kini bertatahkan segala jenis kekaratan emas
berlian emas permata
Ular terus melangkah dengan kaki selajunya
melompat dengan kaki setingginya
Lantas terus terbang dengan sayap selebarnya
Menanduk awan yang menongkat langit sekasarnya

Pop!

Ular mendarat atas pelantar berlubang-lubang sekeratnya
Rata dan licin sekeratnya
Pecah dan runtuh sekeratnya
Ular berkaki-kaki menari
Mengikut rentak pop
Maka bermulalah konsert
Stereo ke kanan
Stereo ke kiri
Boom boom pop
Pop boom boom
Meletup gegendang telinga segala isi alam
Bertaburan pop corn atas tanah yang diinjak-injak kaki-kaki makhluk yang lain-lain
Popiah kering jadi basah
Popiah basah jadi sayur
Pop! Populasi kini merebak
Makin bingit dipenuhi pop pet pop pet
Pop! Populasi bakteria berganda-ganda eksponensial dalam perut ular-ular yang dulu hanya cacing-cacing, malah siput-siput
Pop! Ular menyalar
Pop! Ular mengular
Pop! Ular sekelar sekular
Pop! Ular seks jantan jantan betina betina
Pop! Ular ular
Pop! Ular buncit makin buncit
Pop! Makin kembung makin besar kembung menggelembung bak kulit melecur bernanah
Pop! Seperti molekul yang sangat rapat menolak-nolak satu sama lain
POP! LETUPAN BESAR BERLAKU
Memecah rekod Hiroshima Nagasaki
Lalu seekor ular yang memerhati
Yang masih hidup
Kerana tidak meletup
Mencatatkan sesuatu pada tanah sewaktu perjalanannya pulang
Dengan kulitnya yang sedang disalin
Pada kulitnya yang ditinggal
"Konsert pop ular meletup! Dan benar-benar meletup mati."


------------------------------------------------

Maaf kalau puisi aku ini bukan puisi.
Hanya karutan dan carutan biasa yang aku lakukan.

Andai ular dipentaskan.
Aku letakkan dua cermin satah.
Satu di depan ular.
Satu di belakang ular.
Ular nampak seekor ular yang lain.
Uncle Pop nampak Bo Dhoh.
Uncle Pop nampak Som Bhong.
Dan banyak lagi ular-ular yang Uncle Pop nampak.

Cermin sebuah objek berkuasa pembunuh.
Kalau tidak percaya, ambil cermin, dan kelar pergelangan tanganmu.

Isnin, April 19, 2010

Sekelumit Cinta Dari Rasa Jiwa Yang Tiada Kesinambungan Dan Tiada Peduli



Aku layan main-main dengan Google dengan kata kunci 'theatre'. Dan aku masuk satu sesawang ArtFilms.com, terus aku teruja melihat betapa banyaknya sub-sub dibawah satu perkara iaitu THEATRE.


Acting and Directing
Drama Therapy
Physical / Visual Theatre
Acting Shakespeare
Puppetry
Backstage & Scenography
Healing Art
Scriptwriting
History
Singing & Vocal Training
Circus & Mime
Installation & Performance
Stage Fight
Make-up and SFX
Comedy & Commedia
Masks
World: American Theatre
World: Asian Theatre
Devising Theatre
World: European Theatre


Aku memang berniat nak belajar teater lepas ni. Sebab aku rasa ilmu teater aku hanya sebesar zarah saja jika nak dibandingkan dengan orang yang berpeluang belajar teater secara lanjut. Sekarang pun aku masih dalam peringkat pembelajaran teater secara tak rasmi. Masih banyak lagi benda yang boleh dipelajari dan diterokai. Belajar teater dalam kelas Co-Q pun tak seberapa sangat. Tapi syukur juga, sekurang-kurangnya aku sudah tahu serba sedikit tentang sejarah perkembangan teater dan juga genre-genre seperti realism, surrealism dan experimentalism. Dan aku kira, banyak lagi genre yang belum aku belajar. Dan aku kira pun, wajar juga aku fikir yang masih banyak lagi genre teater yang belum diterokai!

Dan entri ini tiada kesinambungan. Dan tiada peduli.

Cerita aku di kafe.
Aku gemar duduk bersendiri di kafe untuk mencari ilham.
Kalau kafe tidak ramai orang, lagi bagus. Lebih tenang dan damai.
Kini aku selalu membawa buku nota kecil yang aku boleh selitkan ke dalam kocek seluar.
Aku bawa ia ke mana-mana.
Ke kafe, ke dewan, ke kelas, malah ke tempat karaoke pun.
Aku perlu sentiasa bersedia. Kerana ilham boleh terpacul keluar bila-bila masa sahaja ikut suka tanpa ada warning.
Aku duduk, makan, minum, termenung, tengok orang lalu-lalang, merasai angin, didatangi orang yang bersejarah, tambah minuman, termenung, tengok orang lalu-lalang, dan aku capai buku nota kecil itu, sebatang pena tak cantik yang seharusnya ia begitu, lalu aku mula menulis:

kebanyakannya berpunca daripada perkataan ironik.

maka wujudlah pelbagai pecahan kata hingga membabitkan oksigen dan emas entah beberapa karat. gigi pun terlibat sama akhirnya.

maka akan wujudlah cerita yang entah apa-apa, tapi entah kenapa aku menulisnya nanti.

Sabtu, April 17, 2010

TERO PING PONG

TERO PING PONG
Oleh Akin M.

SINOPSIS
Dalam satu sistem, ada tiga elemen; TERO, PING dan PONG. PING dan PONG akan sentiasa bermain permainan ping-pong tanpa henti. TERO pula akan sentiasa menyorok di bawah meja ping-pong. Bila TERO keluar dari meja, sistem tersebut akan jadi tidak stabil. Apabila sistem tidak stabil, PING hilang. Bila PING hilang, PONG tidak dapat teruskan permainan ping-pong. Permainan ping-pong terhenti. Sistem juga terhenti.
TERO dan PONG perlu mencari PING. Dalam pencarian itu, setiap abjad dan angka yang dijumpai oleh TERO dan PONG menjadi klu untuk mencari PING. Klu-klu yang dijumpai telah membuka mata TERO dan PONG tentang kekacauan yang berlaku akibat kegagalan sistem itu berfungsi. Setelah kesemua klu berjaya dijumpai, TERO dan PONG berjaya mencari PING, akan tetapi PING perlu dilahirkan semula. TERO dan PONG berusaha mencari jalan untuk melahirkan semula PING supaya sistem kembali stabil.


Aku ada ceritakan konsep karya ini dengan seorang rakan sekelas aku dan genrenya? ABSTRAK!

Mendera Bendera

Aku tanya nak buat skrip genre apa? Realism ke.. surrealism ke.. experimentalism ke.. dia pergi jawab genre aksi. Aduhhh. Kau orang ni belajar apa dalam kelas? Oh baru teringat. Ini UTP! Heh heh heh.

Bukan senang nak buat teater. Bukan senang nak buat skrip teater. Senang nak reka-reka cerita. Senang nak buat-buat cerita. Tapi bukan senang nak bentukkan cerita itu ke dalam bentuk skrip yang perlu dihidupkan oleh pengarah kemudiannya.

Aku baru saja siapkan sebuah karya pendek terbaru, khas untuk teater anugerah merdeka anjuran DBP. Judulnya "MENDERA BENDERA". Sengaja aku buat tajuk yang ada ritma. Tajuk yang catchy juga penting untuk menarik perhatian pembaca dan penonton nanti. Tapi terpulanglah pada pengkarya, ada saja yang tidak kisah akan judul karyanya. Main letak sahaja. Judul sebuah karya boleh jadi perkara terakhir, dan boleh jadi juga perkara pertama! Contohnya karya teater penuh aku TERO PING PONG, aku aplikasikan backwriting, iaitu daripada adanya tajuk baru aku buat cerita, baru aku buat watak-watak.

Karya-karya aku tunggu masa saja untuk dipentaskan. Kalau dalam TTS mungkin susah nak dipentaskan kerana kena ikut kehendak produser juga. Nak buat karya yang islami, aku belum cukup kemampuan lagi. Maklumlah, aku pun bukannya orang yang islami sangat. Jarang pergi masjid. Solat pun kadang-kadang tertinggal. Banyak buat dosa lain lagi. Aku tak mahulah tulis karya yang tak jujur dengan jiwa aku. Apa yang aku tulis adalah apa yang aku tahu, apa yang aku lihat, apa yang aku rasa. Kalau karya aku hitam dan negatif, maknanya memang aku hitam dan banyak dosa lah tu. Dan juga aku cuba luahkan pemikiran negatif aku memandangkan aku selalu berfikiran positif saja. Jadi dalam karya, bolehlah aku tonjolkan pemikiran negatif aku. Mungkin sebab itu banyak juga karya aku yang diakhiri dengan pembunuhan dan keganasan, contoh paling mudah, Nasi Lemak 10 sen itu sendiri.

Berbalik kepada MENDERA BENDERA. Aku cuba tunjukkan perangai manusia yang aku ertikan sebagai mendera sebuah bendera yang mana kita, sebagai seorang rakyat, perlu hormati. Macam kalau kita terbalikkan bendera tu, kita pijak bendera tu dan seumpamanya, aku ertikan sebagai mendera bendera lah. Satu contoh lain juga seperti membalut tubuh dengan bendera. Atau menjadikannya baju-T atau seluar dalam.

Ada empat watak:

MEN
Pengawas tukang naik bendera dan juga tukang buat laporan

BEN
Murid biasa, budak nakal yang tak suka undang-undang dan juga penghisap rokok

CEK
Cikgu disiplin bersuara kecil yang selalu batuk-batuk sewaktu sedang berucap

WAK
Tukang kebun yang tak banyak cakap tapi serba tahu


Cukuplah sekadar aku berkongsi watak-wataknya. Ceritanya nanti-nantilah!

Jumaat, April 16, 2010

Merangkak Dalam Hujan

Aku merangkak dalam hujan
usai gemalai kering
sebah basah merintang mata
pedih dingin menghawa rasa
tanah yang dipijak kini lumpur yang merosak
pada siapa yang angkuh untuk mengelak
pada mana mata menongkat
pada masa tangan di tapak
kaki diinjak
dagu dipasak
pada saat tubuhku jadi kotor
berpakaian benang lumpur
yang mengundang takbur
pada basah yang menjatuhkan
ku tetap merangkak
sejengkal tiada gerak
saat kusam basah bergelak tawa
berpuas rasa pada keringnya jiwa
si perangkak hidup
yang kini basah dalam kering
sudah pasti
tiap satu ada dua
dan tiada dua bagi sa
bagiNya



Kafe USM, UTP
5.15 petang, 16 April 2010

Selasa, April 13, 2010

Gua Sudah Dapat Sinar!



Mahkota Alam sudah pun diturunkan.
Panggung juga telah dikosongkan.
Yang hanya tinggal adalah hantu-hantu, roh-roh dan semangat-semangat.
Biarkan mereka semua bersemadi di situ.

Mahkota Alam, walaupun sudah rosak.
Tetapi tetap cantik pada pandangan aku.
Terima kasih pada yang tukang buat.
Aku hanya mampu menikmati keindahannya.

Isnin yang lalu (semalam) selepas selesai bangsawan, selesai segala-galanya.
Aku pancit. Memang pancit habis. Tiada kudrat hendak berbuat apa-apa mahupun berfikir apa-apa. Hanya rebahkan diri. Tidur mati.

Hari ini aku sudah dapat sinar.
Sinar untuk aku kembali menjadi lebih waras.
Mungkin sebelum ni aku gila.
Jadi hari ini aku sedikit waras.

Aku mahu menulis skrip.
Aku mahu berpuisi.

Aku tidak dapat berkomen apa-apa tentang pementasan bangsawan tempoh hari.
Kerana aku tidak menontonnya.
Yang aku dapat katakan adalah aku hanya dapat merasanya dari belakang pentas.

Dah, sudah.

Niat Penulis: Nasi Lemak 10 Sen

Dulu aku ada beritahu yang aku nak kongsi sedikit tentang Nasi Lemak 10 Sen.
Jadi selepas ianya dipentaskan pertama kali oleh The Qum Actors (TQA) pada Sabtu dan Ahad yang lalu sebagai pre-show bangsawan Tuah Hang Jebat, suka untuk aku kongsi apa yang aku fikirkan dan apa niat sebenar aku menulis karya pendek ini.

Pertama sekali, karya aku ini memang aku bentangkan menjadi sebuah karya yang terbuka kepada sebarang interpretasi. Aku tidak khususkan latar masanya, latar tempatnya, mahupun konsepnya. TQA tempoh hari mementaskannya dengan konsep binatang. Menarik!

Namun begitu, sudah pasti ada sesuatu yang membuatkan aku menulis karya ini. Sudah pasti ada niat penulis yang sebenar.

Aku tulis skrip ini sewaktu aku praktikal di KLCC mula hujung tahun 2008 hingga Julai 2009.
Dan sememangnya apa yang ditulis adalah berdasarkan pengalaman dan pemerhatian aku sepanjang berada di kota besar Kuala Lumpur itu.

Oleh kerana skrip ini ditulis untuk tujuan pertandingan Kakiscript yang bertemakan Conflict/Resolution, sudah pasti aku akan pastikan karya aku ini bertepatan dengan tema dan selari dengan keperluan dan kehendak seni itu sendiri.

Waktu aku rehat makan tengah hari di gerai makan sekitar KLCC, begitu banyak sekali orang yang mengemis atau meminta derma, meminta sedekah dan seumpamanya sewaktu orang sedang makan. Nah, perihal kejadian itu adalah kunci penggerak utama kepala otak aku untuk menghasilkan skrip ini, tentang pengemis.

Aku perhatikan pengemis itu. Aku persoalkan: Kenapa mereka mengemis? Sedangkan fizikal mereka sempurna? Nah, persoalan inilah yang mendorong aku untuk menulis.

Lalu aku cipta dan masukkan bayangan watak-watak yang berlawanan dengan pengemis (sebab nak ikut temanya KONFLIK).

PENGEMIS

ORANG KAYA(P)

Watak ORANG KAYA(P) sengaja dilabel sebegitu. Ia boleh jadi ORANG KAYA, ORANG KAYA (PEREMPUAN), ORANG KAYAP dan apa-apa sahaja interpretasi lain yang boleh masuk dalam kurungan huruf 'P' itu.

Dan KAK ZEE.

Nama KAK ZEE yang terlintas di kepala otak sebab waktu tu aku tengah muat turun lagu Zee Avi. He he he.

KAK ZEE adalah peniaga nasi lemak tersebut.

Situasi cerita ini memang tipikal dan simple.

Akan tetapi tugas pengkarya untuk menjadikannya unik dan tidak terlalu stereotaip.

Imaginasi aku wujudkan satu lagi watak PENGEMIS 2 yang sebenarnya pada imaginasi aku PENGEMIS 2 hanyalah imaginari! Tidak wujud! Hanya wujud dalam fikiran PENGEMIS.

Kemudian aku persoalkan lagi. Adakah pengemis yang miskin itu lebih mulia daripada orang kaya dan peniaga? Dan adakah orang kaya dan peniaga itu lebih mulia daripada pengemis?

Sudah tentu, persoalan itu tiada jawapan yang khusus.

Aku amat gembira apabila Zhafran ada bertanya tentang karya aku ini tempoh hari.

Tempoh hari juga Faisal Aziz ada berkongsi interpretasinya.

PENGEMIS ditonjolkan dalam watak ANJING.

ORANG KAYA(P) pula KAMBING.

KAK ZEE pula KUCING. Kerajaan - yang beri kekayaan pada KAMBING.

PENGEMIS 2 pula GAGAK. Opportunist.

Karya Nasi Lemak 10 Sen ini aku buat tanpa fikir, tanpa ada plan, tanpa ada pitching, tanpa ada treatment, tanpa ada draf. Main buat saja ikut rasa dan jiwa. Ya, memang begitulah karya seni. Ikut rasa dan jiwa!

Kenapa nasi lemak?

Sebab nasi lemak begitu sinonim dengan masyarakat di Malaysia sebagai makanan sarapan pagi. Dan boleh jadi juga kau orang nak jadikan waktu sarapan pagi itu sebagai latar masa? Terpulanglah pada interpretasi kau orang...

Kenapa 10 sen?

Aku ada jelaskan pada Acab di hadapan Fatina dan Farah tempoh hari di gerai makan Nasifah!

Bangsawan THJ : Tammat

Syukur pada Allah.

Aku tidak minta apa-apa balasan.

Aku hanya mahu sampaikan pesan.

Kerja teater bukan kerja senang.

Pengorbanan.

Kerja keras.

Produksi besar kali ini cukup untuk merubah diri aku.

Mungkin ia jadi satu titik pusing dalam hidup aku.

Aku jadi makin kurang berkata-kata.

Sudah terlalu lama.

Aku tidak menulis.

Aku tidak berpuisi.

Meja aku sudah lama tidak berkemas.

Memang terlalu lama rasanya.

Terlalu banyak penghargaan yang ingin aku berikan pada semua yang terlibat.

Tanpa kerjasama semua pihak, show ini pasti tidak akan menjadi.

Aku akui.

Banyak lagi kekurangan yang boleh diperbaiki dari pelbagai segi.

Aku bukanlah sesiapa.

Aku hanya menghargai seni itu sahaja.

Ya itu sahaja.

Aku hormati seni itu sendiri.

Lantas aku hormat pada mereka yang betul-betul seorang seniman.

Sewaktu aku menanggalkan make-up selepas selesai show terakhir itu.

Aku berkata pada diri sendiri.

Menghadap cermin.

Memandang diri sendiri mengucapkan.

Yang ini bukanlah yang terakhir.

Tetapi ini adalah permulaan bagi kareer seni aku yang lebih luas dan mencabar di luar sana.

Ya di luar kampus.

Inilah jalan yang akan aku pilih.

Jalan seorang seniman.

Biarpun aku terpaksa menjadi pekerja di syarikat minyak dan gas sekalipun.

Aku akan tetap memandang diri aku sebagai seorang...




seniman.


Dengan izin Allah.

Izinkan aku mengundur diri dari Tronoh Theatre Shop.

Semoga rakan-rakan sepentas sekalian dapat belajar teater sepanjang penglibatan dalam TTS.

Jangan lupa mereka yang telah banyak berjasa kepada kita.

Hargailah.

Hormatilah.

Hayatilah.


Seni.

Selasa, April 06, 2010

Bangsawan THJ : Kata-kata Terakhir

Hening pagi.
Dingin.
Tekak kering.
Dahaga.
Dahagakan soda.
Karbon dioksida.
Lalu pergi.

Tiada apa yang hendak aku katakan lagi.
Produksi bangsawan Tuah Hang Jebat sudah pun memasuki fasa terakhir.
Fasa terakhir yang menduga.
Mencabar.

Aku makin kurus, ya.
Aku makin tak terurus, ya.
Sakit kepala sudah datang setiap hari.
Bilik sudah tidak bersih.
Sisa air dadah aku 3 minggu yang lalu masih tergantung di situ.

Apa lagi yang dapat aku gambarkan?

Aku alu-alukan semuanya.

Yang baik biarlah baik.
Yang buruk biarlah buruk.

Tiada kata yang tepat atau betul.

Selain.

Sa.

Kepada semua pelakon dan krew produksi bangsawan Tuah Hang Jebat:

SELAMAT BERJAYA aku ucapkan. Siapkan semua yang perlu disiapkan. Buat yang terbaik terdaya mampu. Jaga diri dan hati.

Maaf atas salah dan silap terkasar bahasa seumpamanya. Terima kasih atas sokongan dan kerjasama yang telah diberikan selama ini. Ini adalah pementasan terakhir aku di UTP dan aku ingin jadikannya penuh dengan pelbagai rasa.

Pentas itu nanti akan aku amat rindui. Di situlah aku lahir dan meneruskan nafas aku.

Assalamualaikum...


Pelakon/Pengarah,
Bangsawan Tuah Hang Jebat.