Jumaat, Oktober 05, 2007

Suara Akin II - Episod 35 - Malam Muram Malam Suram Malam Magik

Malam ini, saya berasa sedikit muram dan suram.
Mengenangkan kembali apa yang telah saya lakukan dalam minggu ini.
Sesungguhnya ingin sahaja saya kembali ke masa silam membetulkan kesilapan jika kuasa seperti fiksi Hiro Nakamura dalam siri Heroes itu ada pada diri manusia.
Tetapi apalah daya dan kuasa manusia biasa.
Hanya hamba kepadaNYA.

Walaupun malam ini muram, malam ini suram, malam ini jadi magik.
Detik-detik terjejak, terasa pula di pipi saya akan desir angin pagi di halaman desa yang dingin.
Tersejatnya embun pada dedaun, rumput-rumput menghijau segar, ke atas jasad saya lantas memberi gambaran, sinaran dan harapan baru.
Entah bila gambaran itu kan muncul dalam bayangan paling kurang pun.
Entah bila pula sinaran itu akan terpancar menyilau pandangan mata.
Dan entah bila pula harapan itu akan membungkus himpunan titik-titik kelabu, hitam sejurus itu ternoktahlah segala ketidakyakinan.

Gambaran, Sinaran, Pergilah Sayang.
Itu judul sebuah lagu yang saya pernah cipta suatu masa dahulu.
Liriknya ada, cuma rekodnya saja entah ke mana.
Apa pun saya masih ingat lagi lagunya.
Barangkali jika ada sesiapa yang sudi menyumbangkan sentuhan tangan alat musik saya cukup berbesar hati.

Monolog "Magik 7" saya sudah hampir siap.
Perlu dipendekkan lagi nampaknya memandangkan ada had masa 7 minit.
7 itu hanyalah satu nombor ganjil.
Tetapi banyak dalam hidup ini yang ada 7.
Paling mudah sekali adalah jumlah hari dalam satu minggu.
Ada 7 tingkat Syurga dan Neraka.

Dengan idea itulah saya tampil dengan Magik 7 saya.
Mahu sinopsis?
Tidak boleh. Kena saksikan sendiri pertandingan monolog itu selepas cuti raya nanti.

Tetapi bukanlah seperti obsesnya seorang lelaki detektif akan nombor 23 seperti dalam filem The Number 23.
Disangkanya nombor itu mengejar dirinya, mengusai dirinya sehingga mendorong dirinya membunuh diri sendiri.
Lalu setelah gagal membunuh diri lahir sebagai seorang yang baru.
Kembali dikuasai semula setelah terjumpa buku obsesnya pada seketika dahulu.

Ia hanya nombor.
Yang ada kuasa cuma Tuhan Pencipta.

2 ulasan: