Ahad, Januari 30, 2011

Theatre of the Oppressed "Jom Pergi Solat" - Percubaan Pertama

Malam semalam aku pergi menonton show TTS sempena Karnival ForTeen anjuran SaifulIslam Training & Consultancy. Show tersebut dibuat di perkarangan Masjid Bukit Indah, Ampang. Teater yang dibuat oleh TTS berbentuk interaktif - mengaplikasikan Theatre of the Oppressed, salah satu teknik lakonan improvisasi Boal yang turut sama mengajak penonton menjadi sebahagian daripada pelakon dalam teater itu bagi memberi penyelesaian kepada permasalahan terhadap situasi kehidupan realiti. Aku hanya pernah belajar teknik ini sekali sahaja dahulu dibawah tunjuk ajar Dr.Shark yang mana berpengalaman dalam improvisasi Boal sewaktu beliau di USA dulu. Dan TTS belum pernah buat teater dengan teknik ini di khalayak ramai sebelum ini, dan malam semalam, adalah yang pertama kali, dan pertama kali buat show di kawasan masjid. Mungkin lepas ini boleh buat show di DALAM masjid pula.

Situasi yang diwujudkan untuk teater itu adalah tentang seorang pemuda yang bernama Bedul yang hendak pergi solat Maghrib di masjid dan terserempak dengan tiga orang anak muda yang lain yang sedang melepak dan merancang apa yang hendak dibuat pada malam itu. Tiga orang anak muda itu menghasut dan mengajak Bedul supaya tidak pergi solat di masjid sebaliknya melakukan aktiviti yang tidak bermanfaat dan berfoya-foya. Penonton perlu menghentikan perjalanan teater itu dengan mengatakan 'STOP!' dan memberikan cadangan apa yang perlu dibuat oleh Bedul supaya dia tidak terperdaya dengan hasutan anak-anak muda yang lain itu dan mengajak mereka pergi solat di masjid, dan penonton itu akan menggantikan tempat Bedul sebagai pelakon. Tiga penonton bertuah telah berjaya memberikan cadangan yang baik dan juga pada hemah aku, berjaya memberikan jalan penyelesaian yang sewajarnya.

Para pelakon TTS yang rata-ratanya masih muda (tahun pertama pengajian) juga telah memainkan peranan yang bagus dalam teater interaktif itu. Lakonan spontan bukanlah mudah. Ia memerlukan pengalaman, fokus dan daya kreativiti yang tinggi. Namun begitu aku percaya, bila dah berada di hadapan penonton, bila dah namanya pelakon, lakonan spontan tidak menjadi masalah. (Dah naik syeikh)

Selepas selesai theatre of the oppressed, ada sedikit sketsa Dia yang kemudian diiringi dengan monolog Haram Jadah SEFA. Oleh kerana aku asyik memikirkan tentang festival teater, banyak idea yang keluar sewaktu aku menonton monolog itu - tentang bagaimana hendak meningkatkan kualiti monolog itu ke tahap yang bagus dan tinggi. Monolog pada malam itu sedikit berlainan berbanding yang aku tonton waktu majlis konvo tempoh hari. Mungkin banyak yang telah diolah.

Tahniah buat team TTS untuk show ini. Bagi aku, ia berjaya, kerana aku dapat rasakan kesannya terhadap diri aku sendiri, dan aku pasti, terhadap sesiapa yang menontonnya dengan penuh perhatian. Tahniah kepada Dr.Shark, SEFA, Hissam, Izzat, Najmi dan juga Hazim. The Qum Actors yang hadir pula adalah aku, Pacel dan Am.


p/s: Baru dan dapat kenal Al-Farabi Band. Catchy juga lagu-lagunya.

Khamis, Januari 27, 2011

PRA 30 - Interpretasi Nasi Lemak Seposen

Interpretasi 1:
Nasi lemak adalah simbolik kepada NAFSU manusia. Nafsu seks, nafsu makan, nafsu wang. Dan jika manusia menjadi hamba nafsu, ia akan 'membunuh' jiwa manusia. Nafsu manusia perlu dipupuk dan dikawal.

Interpretasi 2:
Drama kehidupan biasa. Tak ada apa-apa tersirat. Dengki, khianat, cemburu. Yang kaya makin kaya. Yang miskin makin hina.

Interpretasi 3:
Kak Zee adalah seorang pemimpin paling tinggi dalam kerajaan. Kini perempuan juga boleh jadi pemimpin dan pegang kuasa pemerintahan. Kak Zee seperti sebuah 'kerajaan' yang hanya mementingkan wang ringgit dalam urusan pentadbiran. Kronism juga menjadi salah satu 'polisi' tidak rasmi. Sedangkan rakyat biasa (Pengemis) terus berusaha mencari sesuap nasi untuk sara hidup supaya tidak mati cepat.

Interpretasi 4:
Nikmat dan rahmat. Untuk makan nasi lemak (yang penuh nikmat dan rahmat) bukannya mudah. Pengemis (pencari nikmat dan rahmat) bersusah payah mengumpul wang dan dipandang hina dan diduga sebelum memperoleh nikmat dan rahmat itu. Interpretasi ini wujud bila mana Penamat 4 digunakan.


Interpretasi berlainan ini dapat dijelaskan melalui pengolahan dan konsep yang berbeza.



Aku ada buat dua penamat cerita ini. Dan yang ketiga dan keempat aku tak tulis secara rasmi dalam skrip.

Penamat 1: Pengemis membunuh Kak Zee.

Penamat 2: Pengemis dituduh membunuh Kak Zee dan ditangkap.

Penamat 3: Tiada siapa yang bunuh Kak Zee, tetapi APA yang 'bunuh' Kak Zee. (Yang mana aku rasa Penamat 3 lebih menarik bagi aku.)

Penamat 4: Kak Zee tidak terbunuh. Semua orang selamat. Dan Pengemis dapat makan nasi lemak. (Penamat ini juga menarik bagi aku.)


AKAN DATANG
(dalam masa 5 tahun)

Nasi Lemak 0.1 - The Short
Filem pendek. Tak tahu mana nak cari alat perakam.

Nasi Lemak Seposen - The Monologue
Adegan monolog yang telah dipotong. Ha ha!

Nasi Lemak Seposen - Animalism
Ada falsafah mengatakan bahawa manusia itu sebenarnya haiwan! Jadi, ini akan jadi kisah eksperimen membuktikan adakah manusia itu sebenarnya haiwan?!

Forum "Nasi Lemak Seposen - Antara Kemajuan Fizikal dan Kemajuan Spiritual"
Hakikat bahawa dahulu memang nasi lemak boleh didapati hanya dengan 10 sen sahaja. Namun zaman semakin berubah moden dan maju, harga barang makin naik serta sara hidup makin tinggi. Membincangkan kemajuan fizikal dan spiritual Malaysia, adakah kedua-duanya selari? Atau hanya maju fizikal sahaja, tetapi spiritual makin mundur? Aku sebagai moderator akan menjemput Dr.Shark, Faisal Aziz dan SEFA. Ha ha!


AKAN DATANG
(dalam masa 10-30 tahun)

Nasi Lemak Seposen - The Musical
Tunggu aku belajar muzik dulu. Tunggu aku belajar menari dulu. Ha ha!

Nasi Lemak 0.1 - Feature Film
Filem penuh. Nak tayang kat layar gangsa je kalau bukan kat layar perak.



Dah. Tu saja kot. Dah cukup berangan dah.

PRA 29 - Perkara-perkara Yang Mendorong Pengarah Teater Menjadi Seorang Yang Celaka

Perkataan kegemaran aku sekarang adalah CELAKA. Dan aku mengaku aku memang pengarah yang celaka.


Perkara #1: Pelakon tak datang latihan tanpa khabar berita.

Perkara #2: Pelakon kata boleh datang latihan tetapi tidak muncul waktu latihan.

Perkara #3: Pelakon yang ada macam-macam alasan bila tak dapat datang latihan.

Perkara #4: Pelakon yang sebaya dengan pengarah, beriya-iya pula nak mengarah pelakon lain (mengarah lain dengan memberi cadangan ya. kalau memberi cadangan tak mengapa, malah bagus sekali) - tapi bila disuruh jadi pengarah tak mahu.

Perkara #5: Pelakon tak datang full rehearsal tanpa sebab dan tak beritahu dia tak dapat datang.


Cukuplah 5 perkara. Sebenarnya kalau semua pelakon elok sahaja datang latihan pada sesi yang ditetapkan, tak adalah pengarah nak jadi celaka. Kalau tak dapat datang, senang sahaja - beritahu lah. Kalau dah kata nak datang pula, datanglah. Kalau ada emergency minit-minit terakhir, beritahu juga lah.

Kita buat baik pada orang lain, orang lain akan balas buat baik pada kau. Kalau sebaliknya, sebaliknya lah balasannya.

Dapat? Tidak?

Celaka. Ha ha!

Isnin, Januari 24, 2011

PRA 27 - Termenung Di Tengah Tangga

hendak aku turun tangga
dari tingkat aku kini

tidak aku mahu menuruni lif
kerana aku ada dua belah kaki yang bergerak
walaupun kaki aku tegang ototnya

aku turun satu anak tangga
demi satu anak tangga

aku termenung di tengah tangga
berdiri tegak tangan di sisi
di hadapanku tingkap lutsinar
aku boleh lihat panorama kota

tingkap di hadapan
pintu di sisi

tingkap boleh dibuka
pintu boleh dibuka

tingkap dibuka - boleh keluar dan terjun - pergi mati
pintu dibuka - boleh keluar dan masuk ke tingkat yang lain

diputar masa ke belakang

aku masih berdiri di tengah tangga
termenung lama
merenung masa hadapan
yang tiada di pengetahuan

sekarang masa untuk berjalan ke belakang
mencari kesilapan yang tercicir



p/s: akan M.I.A (missing in action) dalam beberapa ketika. tapi bukan hiatus.

Ahad, Januari 23, 2011

PRA 28 - Jujur

sejak kebelakangan ini aku dalam mood terbuka dan jujur.
aku tak pendam apa yang terbuku dalam hati.
aku luahkan dan tulis pada laman sosial sahaja.

hari ini aku sedikit letih.
ada event di klpac. dr.shark's mime workshop dan ash mime show.
sempena klpac open day.

asalnya nak buat scriptreading nasi lemak seposen.
tapi tak jadi.
lambat sampai dan bila dah habis event dah penat.
salah aku juga sebab tak disiplin dengan masa.

sejujurnya aku masih merasakan ada antara pelakon untuk nasi lemak seposen tu tak yakin dengan skrip aku tu dari awal lagi.
aku perasan sejak dari waktu bincang-bincang dalam e-mel nak bawa skrip apa nanti.
tapi dr.shark pula yang cadangkan nasi lemak seposen yang penuh tu.
walaupun sebenarnya dalam hati aku rasa tak sedap sebab aku rasa budak-budak lebih suka buat skrip dr.shark. lebih best berbanding skrip aku. ya lah, dah banyak pengalaman kan.
tapi dr.shark masih tetap cadangkan skrip nasi lemak seposen tu.
jadi aku pun tulislah yang penuh sampai siap.
kemudian bagi dr.shark baca untuk aku jelaskan lagi pengolahan cerita.
sampailah siap sepenuhnya baru-baru ini.

tapi tadi perasaan demotivated itu datang lagi.
aku rasa skrip aku tak bagus dan tak best. dan pelakon pun macam tak berapa suka.
lebih-lebih lagi bila aku tak buat versi binatang.
entahlah. aku ada pandangan dan interpretasi aku sendiri.
tapi sebab aku tengah demotivated sekarang ni, membuatkan aku tak tetap pada pandangan dan pendirian aku sendiri.

entahlah. kadang kala malas nak handle apa-apa projek. kalau boleh nak goyang kaki sahaja.
lagipun aku memang tak reti sangat nak hiburkan orang ni.
macam event tadi pun aku rasa aku project manager yang macam haram dan tak bertanggungjawab.

entahlah.
tengah demotivated sekarang ni.
semua nak salahkan diri sendiri.

tapi.. inilah yang aku rasa sekarang. rasa yang jujur dari dalam hati aku.

Selasa, Januari 18, 2011

"BUKU" - Sebuah Teater Senyap

"BUKU"
Sebuah 'silent theatre' pendek.
Oleh Akin Muhammad


WATAK-WATAK:

1.AKU
2.DINDING-DINDING HITAM
3.DINDING-DINDING PUTIH
4.RADIO


Lagu Maenam oleh Jami Sieber.
AKU berdiri tegak dari dalam gelap sehingga lampu dari malap menjadi cerah.

Di kawasan itu ada sebuah tempat tinggi.
Ada sebuah bangku pendek.
Ada sebatang k ayu pendek.
Ada tong sampah kecil.
Ada sebuah radio.


AKU tersedar dari tidur berdirinya.
AKU hendak berjalan tetapi tidak boleh.
AKU kemudian sedar dan menanggalkan kakinya dari kasutnya yang terlekat pada lantai itu.
AKU melihat tapak kasut itu terkena getah chewing gum.
AKU menyalahkan orang yang tiada sivik makan dan buang getah chewing gum merata tempat.
AKU duduk di atas bangku.
AKU termenung.
AKU bosan. Dia tiada berbuat apa-apa. Dia sedar, dia perlu buat sesuatu supaya dapat terus hidup dan tidak mati dalam kebosanan.
AKU pergi mendapatkan radio dan cuba memasangnya tetapi tidak berjaya.

AKU ternampak sebuah buku lama.
AKU mengambil sebuah buku yang asalnya terletak di atas satu tempat yang tinggi.
AKU terpaksa menggunakan pelbagai cara untuk mengambil buku tersebut.
AKU menggunakan kerusi dan memanjat kerusi tetapi tetap tidak sampai.
AKU menggunakan batang kayu tetapi tidak cukup panjang.
AKU mencari barang lain tetapi tiada barang lain yang boleh digunakan.
Yang ada hanya satu bangku pendek dan batang kayu pendek.
AKU duduk termenung memikirkan cara untuk mendapatkan buku itu.
AKU kemudian menanggalkan bajunya dan menggumpalkannya menjadi seperti tali. AKU cuba untuk mengambil buku itu dengan bajunya itu tetapi masih gagal. AKU cuba mengikat bajunya pada batang kayu tadi dan cuba mengambil buku tetapi masih gagal. AKU terfikir untuk menanggalkan seluarnya pula tetapi dia teringat, dia perlu menutup aurat dan tidak jadi menanggalkan seluarnya.
AKU geram kerana tidak dapat mengambil buku itu.
AKU membaling kayu dan bangku itu ke arah tempat tinggi itu. AKU terlihat tempat tinggi itu bergegar dan buku yang terletak di atasnya bergerak sedikit.
AKU terus mendapat idea untuk menggegarkan tempat tinggi itu dan akhirnya buku lama itu jatuh ke atas lantai.

AKU kegembiraan.
AKU terus mengambil buku itu dan membuka buku itu.
AKU kecewa kerana semua muka surat buku itu kosong.
AKU mencampak buku itu.

AKU pergi semula ke arah radio cuba untuk memasangnya.
Kali ini cubaannya berjaya.
AKU menukar siaran radio dari satu ke satu siaran yang lain.
Siaran Radio 1: Lagu nyanyian sumbang William Hung
Siaran Radio 2: Lagu rap yang tak sedap
Siaran Radio 3: Lagu heavy metal yang menjerit-jerit
Siaran Radio 4: Ceramah tentang pendidikan yang mana penyampainya mempunyai nada yang membosankan
Siaran Radio 5: Lagu trance yang memperdengarkan bunyi orgasm
Siaran Radio 6: Lagu nasyid moden
Radio terhenti siarannya.

AKU bosan semula.
AKU duduk di bangku dan tidur.

MALAP.
Lagu Maenam yang dimainkan secara ke belakang.
TERANG.

AKU terjaga dari tidurnya di atas bangku.
Di tangan AKU memegang sebatang pensil.

Radio mengeluarkan suara: Bacalah! Tulislah! berulang-ulang kali.

AKU pelik kerana tiada apa yang hendak dibaca pada buku yang kosong itu.
AKU cuba menulis tetapi pensil itu hanya sebatang kayu.

AKU bosan.
AKU cuba keluar dari ruang itu tetapi dia seperti ditolak oleh lembaga hitam dan putih yang menjadi dinding ruang itu.
AKU bertambah bosan.
AKU memikirkan idea bagaimana hendak hilangkan kebosanannya itu dengan buku yang tiada berguna itu.
AKU mendapat idea lalu mengoyakkan satu muka surat buku itu.
AKU melipat kertas dan membentuk sebuah origami Swan.
AKU kemudian mengoyak lagi satu muka surat buku dan membentuk origami Kapal Terbang.
Kemudian, origami Sampan, origami Topi, dan origami Perempuan Ballerina.
Tanpa AKU sedari, AKU telah menggunakan kesemua muka surat buku itu.
AKU akhirnya gembira dan tidak bosan.
Tetapi AKU menjadi bosan semula apabila kertas sudah habis.
Lalu AKU mengumpulkan semua origami itu dan membuangnya ke dalam tong sampah kecil.

AKU berdiri ditengah-tengah pentas.
Dan AKU tidur.

MALAP.

Dinding hitam dan putih yang dari awal tadi menjadi dinding merupakan lembaga yang kemudian terus mengikat tubuh badan AKU yang sedang tidur.
Dinding-dinding membisikkan kalimah Bacalah! Tulislah! Jangan tidur! berulang-ulang kali secara bertindan sehingga selesai membalut tubuh badan AKU.

TERANG.

AKU terjaga dari tidur.
AKU tersedar badannya sudah dibalut dengan kehitaman dan keputihan yang bergelodak.
AKU ingin menjerit meminta tolong tetapi dia tidak dapat bercakap.

PROJECTION Sebuah buku yang besar muncul di belakang AKU.
AKU menghadap kebelakang dan takut dengan buku besar itu yang cuba memakan AKU.
Buku besar memakan AKU.
AKU hilang dari pentas.

PROJECTION Teks: Huruf arab ’Ain, Lam dan Mim tidak bersambung.
PROJECTION Teks: BUKU

Sabtu, Januari 15, 2011

PRA 26 - Buta

sedikit kata-kata klise tentang orang buta;


orang buta itu bertongkat
kasihan
orang buta memang asal buta
kurang satu derianya
lebih satu derianya

orang buta itu menjual tisu di tepi jalan
mencari sesuap nasi
kais pagi makan pagi
kais pagi makan petang
kasi pagi makan malam

orang buta itu ingin melihat
hijaunya pokok
birunya langit
putihnya awan
jernihnya air

orang buta itu hanya melihat kegelapan di hadapan
namun orang buta tiada berdosa mata
tiada melihat kezaliman

orang buta itu dapat lebih merasa
di mana pintu dia harus tuju
di mana tangga dia harus naik dan turun
di mana kerusi dia harus duduk
di mana tanah dia harus menapak

orang buta tidak dapat memandu kereta
orang buta tidak dapat menunggang sikal (teringat babak Pacel yang kena prank dengan Bang Bang Boom untuk tolong orang buta naik motosikal lepas tu orang buta tu terus pecut dengan motosikalnya. Pacel, ketika itu memakai baju T oren yang dia selalu pakai sewaktu pengajiannya di UTP)
orang buta banyak kurang upayanya
tapi Allah itu Maha Adil
dia lebihkan upayanya dalam hatinya dan derianya
sedar atau tidak
kekurangan itu satu kelebihan


sepatutnya sewaktu aku mendukung watak Putra yang buta dahulu aku buat latihan penguatan deria supaya aku lebih mendalami watak, tapi waktu itu pun aku masih jagung lagi. mungkin aku boleh buat sesi latihan penguatan deria untuk pelakon nanti.


p/s: ada orang kata juri (AJL 25) itu buta seni kerana memilih Ana Raffali sebagai juara. aku hanya menggeleng kepala. aku rasa pernyataan itu kurang wajar. apa pun, sudah semakin banyak pemuzik yang berasal daripada kelompok indie yang semakin diangkat dan dibawa masuk ke mainstream. ah, aku kira muzik tiada masalah hendak naik kerana muzik digemari oleh semua orang. yang aku rasa bermasalah, cabang seni yang lain? aku dah lama tak pergi istana budaya tonton teater sebab dulu aku dah banyak sangat tonton muzikal-muzikalnya dan aku dah boleh agak macam mana gaya persembahan dan kualitinya. aku paling pantang kalau muzikal ada dialog selingan yang panjang. kalau setakat satu dua line sahaja tak apalah. kalau dialog dah nak dekat satu babak itu teater muzikal apakejadahnya? semi-musical? quarter-musical? tiga-suku-muzikal? kalau nak buat dialog selingan panjang pun boleh sahaja tetapi dilagukanlah macam yang aku tengok dalam Musical "Rent" yang sangat menarik!

PRA 25 - Rasis Di Dalam Bas

Dalam perjalanan aku menaiki bas dari Batu Pahat ke Kuala Lumpur tempoh hari.
Ada dua orang wanita Cina yang sudah agak berusia.
Mereka berdua berborak dengan suara yang agak kuat. Satu bas boleh dengar.
Aku tidak kisah dan tidak hirau sangat. Sebab aku dah faham orang Cina khususnya dari Batu Pahat memang suka berborak dalam bas dengan suara yang kuat. Jadi sebab aku tak kisah dan tak hirau, aku layan sahaja tidur dalam bas sehingga hampir sampai ke Kuala Lumpur.
Biasanya bas akan singgah di salah sebuah perhentian sebelah di lebuh raya untuk beri peluang kepada penumpang dan pemandu basnya sendiri membuang air kecil atau besar atau hisap rokok atau beli makanan atau minuman ringan.
Biasanya bila bas berhenti aku secara automatis akan tersedar dari tidur. Dan selepas itu aku tak akan sambung tidur kecuali aku terlalu letih atau kurang sihat.

Wanita Cina tadi pun terus sambung berborak dengan suara yang masih kuat.
Lalu seorang lelaki muda yang duduk di hadapan aku tiba-tiba menegur dua wanita Cina itu dari tempat duduknya.
Sedikit pertengkaran berlaku tanpa diganggu oleh orang lain.

Kalau nak cakap perlahan sikit boleh tak? Dari BP sampai dah nak dekat KL tak henti-henti bercakap. Satu bas boleh dengar?!

[Pause]

Tak boleh cakap ka? Kalau tak nak dengar orang cakap naik teksi lah!

You lah pergi naik teksi!

[Pause] Lelaki muda Melayu itu tadi mengomel sendirian. Dua wanita Cina itu juga merungut sesama sendiri dengan suara yang sudah perlahan.

Nasib baik pertengkaran tidak berpanjangan. Mungkin kerana jarak antara mereka agak jauh. Kadang-kadang orang bila terlalu dipandu oleh emosi tidak sedar dan tidak kisah walaupun ramai orang di sekeliling.

Babak yang aku kira hanya sedikit masalah toleransi antara manusia, bukan kerana rasis. Mungkin orang boleh pandang ianya bersifat rasis tetapi jika yang bercakap kuat itu juga orang Melayu, mungkin akan ada orang Melayu lain yang menegur dan pertengkaran yang serupa juga boleh berlaku.

Kesudahannya, wanita Cina tadi terus berborak dengan nada suara yang sudah diperlahankan. Dan lelaki muda Melayu tidak berkata apa-apa hingga sampai di destinasi. Nah, itu adalah salah satu gambaran realiti dalam negara ini. 

Bertengkar, bergaduh, bertekak antara bangsa yang berlainan, tetap kita semua akan duduk di dalam satu negara (di dalam satu bas yang sama), suka atau tidak kita, benci atau tidak kita, kita tetap teruskan perjalanan hingga sampai ke destinasi (yang terakhir....).

Ada juga peristiwa di mana aku melihat kereta seorang wanita berbangsa India rosak dan tidak dapat dihidupkan enjinnya ketika berhenti di hentian sebelah di lebuh raya. Kemudian ada orang berbangsa Melayu datang melihat cuba untuk menolong. Kemudian datang pula orang berbangsa Cina datang melihat untuk cuba memberikan pertolongan.

Jika ada yang rosak, ada juga yang baik.


Selasa, Januari 11, 2011

PRA 24 - bila kura-kura bergerak laju

hidup ini laju.
emas dan hartanah laju.
keretapi makin laju.
langkah kaki manusia makin laju.
deras pasir makin laju.
tangga bergerak makin laju.
kura-kura pun makin laju.

kura-kura,
yang tak bertuan.
yang makan tak keruan.
yang tak berhaluan.
yang tak dialu-alukan.
yang tak ada wang simpanan
yang tak ada perut simpanan
yang tak berTuhan?

kura-kura itu masih hidup,
hidup ini kian pantas.
hidup ini tiada lagi pentas.
tiada lagi kura-kura
yang menyanyi kerana seni.
yang menulis kerana seni.
yang menari kerana seni.
yang berlakon kerana seni.
yang hidup
kerana seni.
kerana kura-kura makin laju.

seperti kura-kura.

kura-kura bergerak makin pantas
kura-kura sudah tidak lagi menyorok
di dalam cengkerang
kura-kura kini sudah bogel
dibogelkan
oleh arnab yang diam tapi bongkak
yang laju tapi tiada bergerak
ditipunya kura-kura akan keputihan arnab

kura-kura dibogelkan, dicabul, dirogol, diperkosa.
cengkerang keras pun pecah.

arnab di situ terlompat-lompat, berehat, malas, dan makan lobak.

Ahad, Januari 09, 2011

PRA 23 - Kalau Dah Tak Tahan Nak Lepas, Lepaslah. Tapi Biar Lah Bertempat

Aku tiba-tiba jadi suka hati bila pentaskan skrip teater pendek aku "L.I.F" sewaktu Festival Teater Pendek Anugerah Merdeka tahun lalu yang dibuat di Dewan Bahasa dan Pustaka. Idea aku secara lantang tapi senyap menyatakan bahawa "Melayu telah hilang kemelayuannya.". Mungkin cara lantang tapi senyap aku itu tidak berkesan. Tapi bila cara lantang sangat nanti jadi kes kena ugut minta maaf pula (kau tahu lah kan?). Kerana itu, itu adalah idea utama teater pendek "L.I.F". Tambahan pula, aku sengaja meletakkan watak hantu pada watak yang dimainkan oleh pelakon Melayu. Ya, karya aku ini menyentuh sensitiviti. Malah sewaktu ia dipentaskan tempoh hari, aku perasan Dr.Shark telah "perbetulkan" satu dialog yang amat sensitif. Namun memandangkan karya aku itu hanya bermain di sekitar arena teater di Malaysia yang tidak popular dan tidak sampai pada khalayak pada skala yang ramai, aku kira, karya aku ini tidak cukup hangat untuk menjadi isu. Mungkin jika ia telah dijadikan novel yang digunapakai dalam pelajaran (seperti kes novel Interlok), mungkin boleh jadi isu. Ah, sedangkan dalam masa yang sama sudah banyak pergerakan alternatif dalam kelompok indie dalam arena teater berprofil rendah di Malaysia. Malah ada yang sangat sangat lantang. Cuma kewujudan mereka masih tidak disedari!

Mungkin kebenaran itu pahit untuk ditelan. Bagi aku yang sudah lali dengan parasitamol. Tiada masalah.

Aku bangga jadi rakyat Malaysia. Aku juga bangga aku anak bangsa Melayu. Aku juga paling bangga aku dilahirkan dalam Islam. Tetapi sebagai manusia aku tak seharusnya terus berbangga-bangga kerana sifat itu bakal merosakkan hati seorang manusia sedikit demi sedikit. Boleh sahaja berbangga dengan diri sendiri kerana memang kejayaan yang kita kecapi itu datang dari hasil penat lelah kita. Tetapi siapa kita untuk merasa bangga akan nikmat dan kurnia agama, bangsa dan  negara ini? Ada sahaja manusia yang tidak punya agama, tidak punya bangsa, dan tidak punya negara.

Kalau betul-betul dah tak tahan nak lepas, lepaslah.
Tapi biarlah bertempat.

Sensitiviti perkauman bukanlah isu baru. Bagi aku ia akan sentiasa menjadi sebuah dilema. Malah dilema dalaman sesebuah kaum juga akan sentiasa menjadi isu. Konflik adalah satu elemen yang pasti ada dalam sebuah drama realiti kehidupan.

Seperti mana payung.

Payung ada pelbagai jenis. Ada payung parti politik yang telah dipadam logonya. Ada payung Zunar (payung kartun politik) yang telah digam. Ada payung berbentuk botol minuman. Ada payung macam topi pakai di kepala. Ada payung yang dah karat-karat tapi tetap dicuri oleh orang. Dan macam-macam lagi jenis payung.

Tapi ada benarnya. Tata Bahasa Melayu aku pun tidak betul sepenuhnya. Tetapi aku masih tetap gemar dan cuba menulis blog atau skrip menggunakan perkataan Bahasa Melayu yang penuh. Ia salah satu usaha aku untuk lebih menghargai dan mengangkat martabat Bahasa Melayu yang seharusnya dicintai oleh semua orang berbangsa Melayu. Kalau nak cakap Bahasa Melayu baku memang macam susahlah. Lebih praktikal menggunakan bahasa Melayu pasar. Akan tetapi, jika menulis, adalah elok kita menggunakan Bahasa Melayu yang betul. Dahulu aku suka menggunakan istilah cedukan yang menceduk istilah Bahasa Inggeris menjadi Bahasa Melayu seperti yang ada pada nama aku sendiri: Aspirasi, Konsistensi, Inspirasi. Jika diikutkan, itu bukan perkataan Melayu. Semuanya cedukan dari perkataan Inggeris. Bagi pejuang Bahasa Melayu, mungkin boleh menimbulkan kemarahan. Akan tetapi, aku tetap sedar bahawa perkataan cedukan itu memang aku ceduk, dan aku masih tahu istilah dan erti Bahasa Melayunya.

Kerana itu pentingnya ilmu pengetahuan. Pentingnya mencari kekayaan ilmu, kekayaan budi, lebih daripada mencari kekayaan harta benda. Hidup orang berjaya yang seimbang sudah pasti kaya ilmu, kaya budi, kaya harta, kaya pahala. Kaya pahala itu hanya Allah sahaja tahu. Kaya yang lain itu kita boleh ukur sendiri.

Akhir kata, sediakan payung sebelum hujan.