Selasa, Mei 25, 2010

Personal Artwork #2.1-2.5

Sedang aku bosan-bosan belajar untuk periksa esok, aku teringat aku perlu buat sesuatu. Apa lagi, tangan capai apa-apa yang ada dekat atas meja.

Mula-mula masih guna latar belakang warna plain dan Artwork #1 aku Humanusia. Dan aku patahkan (memang dah patah dua pun) dan selitkan satu piece batang putih boleh lentur untuk buat bentuk macam reben AIDS tu.

 
Personal Artwork #2.1


Dan selit-selit beberapa helai kertas warna-warni sebagai latar kepada latar.
Personal Artwork #2.2

 Kemudian serabut dengan aneka bahan-bahan sedia ada. Yang aku ada sebut sebelum ini.
Personal Artwork #2.3

Dan ini adalah antara yang terbaik pada perasaan aku. Guna Jibbitz Crocs.
Personal Artwork #2.4

Maka lahirlah sebuah artwork ini yang aku kira sudah siap.
Personal Artwork #2.5


BONUS: Kunci rumah sewa aku sewaktu di KL dan juga telefon bimbit lama Najwa, adalah antara contengan tekapan bentuk objek pada dinding ini.
Contengan Dinding di Annexe Gallery, Central Market yang kini masih ada.


Kredit pada tuan punya kamera, Ijat Kancil.

Isnin, Mei 24, 2010

Katakan "Tak Dapat Datang" Kalau Tak Dapat Datang

Sudah tengah malam Isnin 24 Mei 2010.
Pagi Ahad semalam seharusnya ada latihan teater THJ.
Aku sendiri pun terlewat bangun pada pukul 10 pagi.
Malangnya sampai pukul 12 tengah hari ramai lagi pelakon yang tak hadir. Jadi aku batalkan latihan pada pagi itu dan satu-satunya latihan pada hari itu. Nasib juga malam Sabtu ada latihan. Walaupun tak berapa serius latihannya tetapi sekurang-kurangnya sesi latihan itu dapat memberi ruang untuk para pelakon refresh balik dialog dan karakter serta aku dan krew produksi kreatif dapat melihat apa-apa pengubahsuaian dari segi set, props, kostum dan teknikal.

Pagi tu memang ramai tak datang latihan.
Asalnya aku memang nak call sorang-sorang suruh datang latihan.
Tapi aku hanya hantar SMS berbunyi:
"Nak training tak? Sebab aku dan beberapa orang je ni dah tunggu dari pukul 9 pagi tadi" kepada pelakon yang tak datang, kecuali pelakon yang ada minta kebenaran untuk tidak datang.
Dan ramai yang membalas dan menjawab yang mereka lambat bangun dari tidur.
Aku terima sahaja jawapan mereka itu semua. Biasalah, masing-masing penat perah otak belajar dan jawab exam. Jadi, logiklah kalau lambat bangun. Lagipun memang pelajaran itu lebih penting daripada teater. Cuma kalau boleh lain kali kalau dah kata nak datang latihan, datanglah. Ini tidak, malam semalam tak dapat datang lepas tu bagitahu akan datang latihan esoknya tapi latihan esoknya pun tak datang. Aku rasa sesiapa saja yang jadi direktor pun akan bengang dengan perangai macam tu. Kan? Keh keh keh.

Apa pun, selamat beramal!



ps: Sebagai penghargaan kepada yang datang latihan pagi tu walaupun latihan batal, aku dan Stage Manager aku belanja budak-budak ni makan nasi ayam periuk besar berhampiran TESCO Pengkalan. Nah, tak rugi pun datang latihan walaupun tak ada latihan. Kan? Keh keh keh.

Khamis, Mei 20, 2010

Apa Ada Dalam Sa Buah LIF?

Seperti biasa yang aku lakukan. Suka untuk aku berkongsi apa yang ada dalam fikiran aku sewaktu menulis skrip teater pendek L.I.F yang akan dihidupkan pada 4 dan 5 Jun nanti.

Idea asal / niat sebenar L.I.F ditulis selain daripada menjelmakan hantu pada watak Ahh Mad (yang mana ini hanyalah niat yang timbul selepas ditulis dan dibaca semula) adalah untuk memaparkan watak Mad yang diperkosa oleh Chong dan Singh. Bukanlah bermaksud diperkosa secara zahiriah. Banyak yang boleh dihurai lagi selepas dibaca berkali-kali. L.I.F tidaklah kuat mana pun. Cukup untuk tampung beberapa orang saja.

Ya. Itu idea asalnya. Tapi aku fikir hendak potong babak awal dan akhir untuk festival merdeka itu nanti. Babak awal Mad diperkosa. Babak akhir Mad Salih pula yang datang masuk lif. cuba untuk tunjukkan yang cerita ini akan berterusan, atau lebih tepat lagi 'DILEMA' Melayu akan berterusan. kah kah kah.

Dilema yang berterusan ini juga merujuk kepada judul L.I.F yang mana setiap huruf berasingan dan hanya dihubung dengan titik-titik. Apa yang aku fikir adalah walaupun ketiga-ketiga bangsa dalam cerita ini ada dalam satu lif yang sama, akan tetapi di luar lif itu, mereka akan terpisah semula, malah walaupun dalam lif yang sama, racial tension tetap akan wujud dan perkara ini akan berterusan. apa yang boleh berlaku mungkin sahaja adanya titik-titik (yang aku cuba maksudkan sebagai solusi yang solid) bersifat sementara untuk menghubungkan ketiga-tiga bangsa itu. tiada maksud yang aku cuba sorokkan melalui singkatan L.I.F itu. ia tetap memberi maksud dan disebut sebagai LIF.

isi dan intipati dalam dialog L.I.F adalah longgar dan tidak kuat. dialog dalam cerita ini hanya cuba mencetuskan idea tentang sesuatu perkara dan isu yang aku cuba ketengahkan pada permukaan sahaja.

walaupun secara realistiknya cerita ini seharusnya berlaku di dalam sebuah lif, namun aku tidak memikirkan untuk mementaskannya betul-betul dalam lif macam betul-betul dalam lif. watak SUARA boleh dimainkan oleh sesiapa, malah oleh apa-apa (suara mesin, katakan). aku juga terfikir untuk tempatkan pemain watak SUARA di satu sudut di atas pentas, duduk atau berdiri, dan kalau pemain SUARA itu orang, dia sebut dialognya guna pembesar suara yang boleh pegang tu, apa orang kata, hand loudspeaker? kalau ada lah benda tu. kalau tak ada, tak payah lah. kemudian, lantai lif itu aku fikirkan tidak rata. kalau berdiri atas platform kecil, ada 3 atau 4 platform kecil dan tidak sama tinggi. tapi kalau semua sama tinggi, tak apalah, berdiri sajalah atas platform sama tinggi tu.

proses kreatif penulis skrip dan pengarah setakat ini yang aku rasakan adalah berbeza, lebih-lebih lagi kalau penulis dan pengarah orang yang tak sama. tapi masa aku tulis L.I.F ini pun aku tak terbayang pun macam mana nak pentaskan, tangan aku hanya menaip papan kekunci komputer ikut rasa dan jiwa dan imaginasi. ha ha ha. baru teringat, aku tulis skrip pasal situasi dalam lif sebab masa aku praktikal dulu aku duduk di pangsapuri Sri Nilam dekat Ampang Jaya, lifnya memang banyak buat hal, walaupun sebenarnya orang yang naik lif tu yang buat hal. dan sebab banyak perkara yang menarik menolak jiwa aku membuatkan aku ingin menulis sebuah skrip yang berlaku di dalam lif.

rasanya ramai saja orang yang punya cerita dan pengalaman tersendiri bila naik dan turun lif...


p/s:
mahu buat artwork personal yang kedua: guna stress ball (dan kotak silver yang terbuka), rainbow plastic spring (dan kotak hitam yang terbuka), gelang plastik glow-in-the-dark, jibbitz untuk kasut Crocs, dan mainan Shrek yang masih dibungkus dalam plastik hadiah Happy Meal McDonald. dan mungkin juga ada beberapa lagi material tambahan ikut sedap rasa.

Isnin, Mei 17, 2010

Puisi: Humanusia

Human, manusia
berusia, sia-sia humaniti
meniti bilahan besi mati
berguna-guna pula
merentas tetasan polisterin hidup
disentuh panas bilahan rambut besi
mencorak pancaindera dalam luahan mata usia sia-sia
manusia yang human.

Humaniti kini terpadam
oleh sabut karbon yang kasar
humaniti terpatah
oleh jejari besi kasar
satu tapak keras menekap
corak arca yang lembut
memberi kesan
satu tapak lembut menekap
corak arca yang keras
kesan terkesan
seputih kain baru
sehijau daun segar
humaniti yang hidup
oleh haba jejari besi yang kasar dan mati
oleh dingin kuku besi
oleh haba batu api
oleh hangat pancaran mata laser
meruap berasap ke udara
mencair tanah merah
menjadi lumpur
humaniti dititi oleh humanusia
sebegitulah..

Aura Guru Sampai Ke Sini, Ke Kini

Aku makan nasi goreng
berlaukkan ayam goreng
berkuahkan sos ala-ala Thai
aku duduk makan berseorangan
teman sudah jauh hanya di telefon bimbit berhubungan
meja makan itu, bersih
dan amat dingin
tinggi kelajuan kipas penghawanya
tapi suhu sejuk itu bagus
tahan lama ais minumanku
tepat bertentangan dengan tubuhku
selang beberapa meja
sa orang kurang upaya duduk makan
cuba menyuap nasi dengan sudu
sa cara kurang upaya
ditinggalkannya sebentar kerusi berodanya di sisi
secara kurang daya, mengunyah nasi sehingga habis
terima kasih sudu dan kerusi beroda.

aku hampir selesai makan, hampir juga dia padaku
katanya dia ingin menanyakan sesuatu
lalu aku sudikan mindaku
dipegangnya lenganku lembut
dan tenang
setenang raut wajahnya dan tutur bicaranya
dikeluarkan sebuah hasil kraftangan dari begnya
dan jiwa seni aku amat menghargai kraftangan itu
aku membayarnya dengan nilai sehelai kertas lima ringgit
ucapan terima kasih pertama; dipujinya bulu mata aku, disifatkan cantik
aku balas dengan senyuman terbuka
"memang orang ramai kata bulu mata awak cantik?"
ucapan terima kasih kedua dan sama-sama kasih; lalu beredar

terusku berasa dan berfikir akan tajam derianya, teliti matanya, melihat mata yang lain dengan terperinci
dan punya instinct yang tinggi
bagi aku, kau sudah jadi guruku buat hari ini, mendidik aku membuka mata melihat orang-orang seperti kamu, walaupun kamu berlainan bangsa, tapi aku amat gembira menghulur tangan padamu
kerana aku dapat merasa tulus luhur jiwamu,
kurangnya daya dan upaya tubuhmu, tapi
kami lebih daya dan upaya jiwa dan peri humanitimu
ya, kamulah guruku, guru humanusia yang aku cari-cari


16 Mei 2010, 12.30 tgh hari
KL Sentral

Selasa, Mei 11, 2010

Kalung Segi Tiga Di Dada

7 Mei 2010.

Pukul 8.30 malam. Ada Malam Fiesta TTS.
Dalam malam tu ada majlis penghargaan produksi semester Januari 2010. Ada majlis penghargaan bakal graduan dan intern. Dan ada majlis perlantikan Jawatan Kuasa Tinggi TTS yang baru buat Sesi 2010/2011.

Aku siap-siap.
Pakai baju Melayu.
Kain dari Siam.
Tapi kena curi setengah meter.
Tak dapat buat seluarnya.
Tak berseluar.
Berseluar hitam kena.
Berkasut hitam pula.
Membawa karakter Y.B pun ada.
Aku pakai songkok ala-ala Y.B.
Dah memang songkok itu juga yang watak Y.B Asylum pakai.
Karakter lekat, memang begitu aku.
Fokus kurang sewaktu mendukung Sultan Melaka.
Lekatnya karakter Y.B aku lagi.
Itu masalah aku.
Dan aku belum unleash sisi lembut aku.

Malam itu aku tidak nantikan apa-apa.
Kecuali aku mahu lihat nama siapa yang naik untuk dipilih menjadi Jawatan Kuasa Tinggi TTS.
Selepas perbincangan antara aku, Dr Shark, Eh Ahmad PG dan Che Mad Haris. Kami semua sudah capai kata sepakat.

Presiden - Hissam (Kisas)
Kisas dipilih kerana kredibilitinya sebagai seorang ketua. Dia memang Presiden FASA (wakil pelajar bagi budak-budak foundation). Dia komited dalam TTS. Minatnya dalam TTS memang menonjol sejak dari aku temuduganya dulu. Waktu bagi ucapan pengenalan selepas dilantik pun, lagaknya seperti seorang pemimpin. Ya, pilihan terbaik untuk Presiden adalah Hissam (Kisas)!

Naib Presiden - Esah
Memang Esah adalah yang paling berpengalaman sekali dalam barisan Jawatan Tinggi TTS ini. Ditanya kepada aku kenapa bukan Esah yang jadi Presiden? Jawapannya cukup mudah. Seorang Presiden perlu ada sisi tegas, sisi garang, sisi serius, sisi authority yang significant. Esah ada, cuma aku khuatir ahli-ahli TTS sudah terbiasa mempermain-mainkan Esah dan bergurau senda dengannya. Lagipun, cukuplah dia pening kepala jadi Setiausaha selama ini, jadi Naib Presiden lagilah pening kepala. Eh, kau tak pernah jadi Presiden, kau tak tahu. Kalau Presiden tu pun jadi Pengarah sebuah teater, lagilah berganda-ganda pening kepalanya, jadi aku tak dapat bayangkan, bagaimanalah tahap pening kepala Aini dulu?

Setiausaha I - Fatina
Ya, Fatina baru masuk TTS semester ini. Tetapi aku yakin dan percaya dengan kemampuannya dalam kerja-kerja event dan produksi. Komitmennya dalam BTHJ tempoh hari telah membuktikan kebolehannya. Lagipun aku tak perlu risau, Fatina boleh dapatkan tunjuk ajar daripada ramai ahli TTS yang ada pengalaman setiausaha seperti Esah, Daus, Syira dan Nuzul.

Setiausaha II - Syafril
Spesis terpelik sepanjang sejarah TTS yang baru ditemui semester ini. Syafril punya pengalaman dalam selok belok kerja setiausaha, jadi tiada masalah baginya.

Bendahari - Ammar
Jawatan ni diberi kat Ammar supaya dia kurang sikit serabutnya. Lagipun Ammar jenis tak kisah. Buktinya waktu aku suruh dia datang MPH untuk clearkan stage untuk orang kerja pasang flying bar, dia datang ja lepas habis kelas dan bila ada kelas dia pergi lepas tu datang balik MPH. Komitmen sebegitu cukup untuk meyakinkan aku yang Ammar layak menduduki jawatan tinggi TTS.


Aku kalungkan kalung segi tiga.
Bersinar di dada.
Kerana dalam ada itu.
Harus ada sinar.
Hah!

Gambaragenda

Tak payah banyak cerita. Gambar-gambar yang diletakkan adalah agenda-agenda hidup aku dalam masa terdekat ini.


 
Masa singgah K.R. Rahmath, aku ternampak majalah ini lantas jiwa sarkastik aku menyuruh aku untuk membelinya.


 
Lalu aku cari di internet fasal majalah ini dan aku terlihat sesuatu yang menarik jiwa sarkastik aku, lagi sekali dan kali ini, yang tahu kisah payung tahulah kenapa. 


 
Kemudian cubaan aku untuk menjadi orang normal yang aku rasakan akan gagal pada hari Rabu. Diikuti dengan sidang media Festival Teater Anugerah Merdeka pada petang Khamis. Dan hari ini petang Selasa ada audition untuk tiga skrip teater yang terpilih, L.I.F, MAR - day dan Jiwa Merdeka.


 
Hujung minggu ini pula aku akan baca beberapa buah puisi atau naskhah. A.Noisef juga akan turut sama menemani aku. Dan mungkin juga Jumaat ini aku akan singgah dan jenguk-jenguk apa yang ada dalam K3G (Karnival Kerjaya & Keusahawanan Graduan ) di PWTC. Dan mungkin juga minggu hadapan selepas selesai peperiksaan Pengurusan Operasi aku akan cari ubat tahan sakit di Taman Budaya KL.


 
Hujung bulan ini pula aku akan ke kampung halaman aku dan menonton teater buat pertama kali di Johor. Dan sudah pasti aku tidak mahu melepaskannya. Dah tempah tiket pun.


 
Mudah-mudahan juga tiada aral melintang aku seperti temuduga berstruktur syarikat minyak dan gas penaja aku belajar selama ni pada hari Pekan Frinjan ini. Kalau ada temuduga pun, minta-minta bukan pada petang 5 Jun nanti.


 
Tronoh Theatre Shop (TTS) dan The Qum Actors (TQA) akan beraksi di Kuala Lumpur membawa naskhah kami bertiga.


Ini semua adalah gambaragenda aku sepanjang bulan ini.
Sebelum terlupa, Selamat Hari Pekerja, Selamat Hari Ibu, Selamat Hari Guru, Selamat Hari Kanak-kanak.. dan SELAMAT HARI JURURAWAT! HAH!

Teater: L.I.F

Akan datang di Festival Teater Anugerah Merdeka DBP.
Bersama dengan "MAR - day" oleh SEFA.
Dan "Jiwa Merdeka" oleh Dr Shark.


SINOPSIS

Mengisahkan tiga orang pemuda berlainan bangsa iaitu Ahh Chong, Ahh Singh dan Ahh Mad menaiki sebuah lif pada satu malam. Mereka bertiga saling tidak mengenali walaupun duduk di sebuah apartmen yang sama. Lif apartmen itu sudah uzur dan bergerak dengan perlahan. Sepanjang menaiki lif, mereka bertiga berborak-borak sambil mengenali antara satu sama lain. Mereka berbual tentang negara, bahasa dan cinta. Kadang-kala topik perbualan mereka menyentuh sensitiviti dan lantas bertikam lidah walaupun baru saja berkenalan. Kadang-kala juga mereka bertiga bagaikan kawan rapat, saling menyayangi antara satu sama lain. Ini berlaku apabila lif tersebut rosak dan tiba-tiba berhenti. Apabila ada pegawai keselamatan datang, Ahh Chong dan Ahh Singh terkejut bila mengetahui bahawa Ahh Mad tiada lagi dalam lif itu.


KONSEP

Teater ini mempunyai banyak lapis interpretasi dan terbuka kepada sebarang tafsiran. Sebagai contoh, watak Ahh Mad yang diwujudkan sebagai ‘hantu’ yang disedari oleh Ahh Chong dan Ahh Singh boleh membawa maksud bahawa jati diri masyarakat Melayu lebih-lebih lagi generasi muda kini semakin hilang. Cerita ini juga rawak, topik perbualan Ahh Mad, Ahh Chong dan Ahh Singh juga adalah rambang.


WATAK-WATAK

PENGARAH        Pengarah teater ini

SUARA               Suara mesin lif / Suara pegawai penyelamat

AHH MAD           Seorang Melayu yang bodoh, hodoh dan lembab

AHH CHONG      Seorang Cina yang dengar lagu Melayu

AHH SINGH        Seorang India yang baru kehilangan ibunya

MAD SALIH        Seorang warga asing

Jumaat, Mei 07, 2010

Puisi T.T.S

"Titis Tinta Sakti"
Oleh Akin Muhammad (sempena Malam Fiesta TTS pada 7 Mei 2010)

tanpamu
tertutup
sanubariku

tetap dalam longlai lemah jasad ini
tatapan waktu layu dan sepi
suasana dipukul-pukul ke kanan ke kiri ke atas ke bawah

tak perlu aku patah balik untuk aku kutip
tercicirnya butir butir emas dan perak keringat
sebab bukan untuk beli nama, glamour, popular, pangkat, duit mahu pun perempuan

tirai itu merah warnanya
tertutup rapi dan kemas tatkala pentas sunyi
siapa saja yang tahu apa ada di sebalik tirai itu

tirai itu boleh jadi putih, hitam, biru, kuning, hijau, jingga malah hitam warnanya
terbuka bila manusia memainkan peranannya
sampaikan pesanan dan ingatan pada mereka yang memerlukan

tangga dan platform jadi hiasan dalam hati
tepatnya spacing, blocking, grouping dan pacing jadi igauan dalam sanubari
sistem audio dan cahaya jadi sinar dalam jiwa

terkapai-kapai aku dipukul gelora jiwa ini
tanpa director dan stage manager di sisi
serta rakan-rakan sepentas yang lain yang mengisi kekosongan jiwa ini

tak sangka aku sudah terlalu lama berjalan seorang diri
tanpa ada teman di sisi hanya berbekalkan sebatang lilin ini (menyalakan lilin)
syyyy... api, aku ingin jadi kawanmu, rakanmu, sahabatmu, temanku, kekasihku...

tabir masih terbuka
tatkala ada manusia yang sedang alpa dengan kelalaian dunia
sentiasa akan terbuka buat mereka yang masih ada jiwa yang boleh disentuh

tak mampu lidah lisanku menangisi pemergian ini
tak mungkin mata dan hidung hatiku melupakan butir-butir kenangan
sehingga menjadi sebatang lilin yang kini hidup menyala membakar di hadapan mataku

titis titis daripada batang lilin ini yang mencair adalah ibarat
titis titis tinta sakti jiwa seni ini
seni yang asalnya tidak mengalir dalam salur darah ini

titis
tinta
sakti

titis
tinta
seni

titis
tinta
sayu

titis
tinta
senyum

titis
tinta
sanubari

titis
tinta
satu

t
t
s

tetap
tersemat
selamanya

tuan-tuan dan puan-puan semua
tak perlu risau kalau aku hilang
sebab kau pasti akan dapat cari aku di mana lagi kalau bukan di atas pentas

tamatlah sudah kata-kata
teramat sukar untuk aku sembunyikan perasaan ini
sedih sebak sayu dan pilu ini

(meniup api lilin)

selamat malam
kekasihku,

tronoh
theatre
shop