Jumaat, April 15, 2011

PRA 44 - Buku

Aku pernah tulis satu teater pendek senyap berjudul "Buku". Secara ringkasnya, teater senyap "Buku" itu aku tulis kerana kurangnya budaya ingin tahu dan ingin mencari ilmu di kalangan orang-orang sekeliling aku. Nak kata budaya mencari ilmu ini kurang dalam kalangan orang Melayu, aku rasa macam tak berasas. Tapi mungkin ada benarnya juga.

Aku bukanlah seorang pembaca buku yang tegar macam abang nombor dua aku. Malah, dahulu aku memang tidak suka membaca buku dan di sekolah aku tidak suka mata pelajaran yang perlukan pembacaan yang banyak. Mungkin sebab itu aku lebih cenderung kepada nombor-nombor.

Tak banyak buku yang aku pernah baca dan habis baca. Yang aku betul-betul habis baca seperti buku-buku motivasi H.M Tuah Iskandar dan satu buku novel drama Faisal Tehrani "Bila Tuhan Berbicara" yang ada aku ada teringin nak pentaskan satu fragmen daripada novel drama itu. Bukunya "Nama Beta Sultan Alauddin" aku ada adaptasikan sedikit dahulu.

Pesta Buku Antarabangsa akan berlangsung tidak lama lagi bermula 22 April hingga 1 Mei di PWTC, Kuala Lumpur. Apa yang menarik perhatian aku untuk datang singgah nanti adalah ini:

Diambil daripada blog rasmi Faisal Tehrani: http://tehranifaisal.blogspot.com/  

Dah lama aku tak beli buku dan baca buku. Mungkin kali ini aku harus beli buku dan baca buku. Aku lebih senang baca novel drama berbanding novel biasa kerana jiwa aku lebih cenderung ke arah drama dan teater. Apa pun, membaca itu jambatan ilmu. Oleh sebab aku tidak dapat pendidikan teater secara formal, aku lebih rajin membaca apa-apa bahan bacaan berkenaan teater dan aku juga pergi menonton teater orang lain. Itu sahajalah cara aku boleh belajar fasal teater.

Jadi kepada junior-junior TTS sekalian, rajin-rajinkanlah diri mencari dan membaca bahan rujukan teater dan rajin-rajinkanlah diri pergi menonton teater orang lain. Jikalau berkesempatan dan berpeluang lah. Apa pun semoga kita semua terus berjaya dan tak lupa dari mana kita datang, dan ke mana kita akan pergi.


Memperkenalkan: THE PRIMAS



Akan datang di Kuala Lumpur.

Isnin, April 11, 2011

PRA 43 - Suara Kebangkitan: Dari Zero Kepada Hero

Nota: Kritik ini hanya sekadar pandangan peribadi Akin Muhammad semata-mata. Seperti mana sifat seni itu sendiri yang subjektif, begitu juga dengan pandangan seseorang apabila menonton sesebuah teater. Ia subjektif kepada setiap individu.


Menulis ulasan dan kritikan selepas menonton sesebuah teater merupakan suatu praktis yang bagus buat aktivis teater. Secara peribadi, ia dapat membantu diri saya sendiri untuk belajar lebih memahami dan menghargai gaya serta pemikiran pengkarya teater yang lain. Selain itu juga ia dapat mengasah kebolehan untuk mengulas dan mengkritik teater orang lain secara membina.

Pada hari Sabtu yang lalu saya sempat menonton sebuah teater berjudul "Suara Kebangkitan" bersempena Program Amal "Jerit! Jilid 1: Untukmu Palestin" yang telah dijayakan oleh Tronoh Theatre Shop (TTS), UTP. Saya juga telah berpeluang untuk membaca sebuah puisi daif saya sendiri sebagai salah satu selingan pada malam pementasan itu. Teater "Suara Kebangkitan" adalah karya dan arahan Hissam yang juga merupakan Presiden TTS.

Keseluruhan pementasan itu mengambil konsep ala-ala bangsawan moden yang mana menyelitkan persembahan selingan atau 'extra turn' di antara setiap babak, cuma ianya bukan teater bangsawan tetapi teater moden. Antara extra turn yang ada termasuk deklamasi sajak oleh pelakon TTS sendiri, dendangan lagu oleh kumpulan nasyid In-Saff dan band muzik Morven. Turut diundang Space Gambus Experiment yang memainkan muzik eksperimental diiringi tayangan visual berkenaan Palestin, serta deklamasi sajak oleh wakil Aqsa Syarif, yang merupakan rakan kerjasama program amal Jerit! ini.

Secara peribadi, saya sedikit terkilan kerana TTS tidak menggunakan kelebihan dan keunikan persembahan mime sebagai salah satu selingan. Kebiasaannya, mime pasti akan ada. Dan orang ramai ternyata amat menggemari mime. Tetapi mungkin sahaja pihak produksi ada sebab tersendiri untuk tidak menampilkan mime sebagai salah satu elemen persembahan. Namun begitu ini hanya pendapat peribadi saya sahaja.

Teater "Suara Kebangkitan" mengisahkan tentang umat manusia yang bergelumang dengan maksiat dan kemungkaran di dunia yang kemudian ditimpa musibah dan akhirnya mereka semua insaf. Watak Kak Ros yang sudah tua di awal dan hujung cerita menunjukkan bahawa walaupun Kak Ros bergelumang dengan maksiat sewaktu usia mudanya menjadi 'mak ayam', namun dia sempat bertaubat dan sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun. Mesejnya mudah tetapi bermakna.

Pembinaan watak dalam teater ini kurang jelas kerana watak utama yang sebenar tidak dapat dikenalpasti secara langsung. Hanya bila sudah dipertengahan cerita, baru saya dapat mengetahui bahawa watak utama atau 'hero' dalam cerita ini sebenarnya adalah watak Hamas yang dilakonkan oleh Ammar. Hal ini mungkin terjadi kerana watak Dato' Baha yang lebih menyerlah lakonannya dengan sengaja menenggelamkan watak Hamas, simbolik kepada realiti isu Palestin kini. Jika ini niat sebenar pengarah, saya kira ianya berjaya.

Lakonan yang paling baik sekali dari setiap aspek lakonan seperti lontaran vokal, pembentukan karakter, dan olah tubuh telah ditunjukkan oleh watak Dato' Baha, Hamas, dan Man Kebana. Kak Ros kurang menyerlah jika hendak dibandingkan dengan wataknya yang sama iaitu Mak Ayam di dalam teater Mahkamah Lorong tempoh hari. Para pelakon sampingan yang lain juga (yang masih baru) perlu bekerja keras untuk menjadi pelakon yang bagus pada masa akan datang. Namun begitu, emosi para pelakon (semua watak) dilihat kurang menyerlah. Emosi adalah aspek lakonan yang sukar kerana ia perlu datang dari hati dan jiwa pelakon itu sendiri, dan ia hanya akan menjadi jika kita ikhlas dan jujur dalam lakonan kita.

Permulaan teater ini mengundang risiko permulaan sebuah teater yang hambar dan tidak bertenaga. Mesej-mesej tersirat seperti burung (kebebasan) dan bunga (???) tidak digarap dengan baik. Garapan ada, cuma ia kurang kuat. Kemunculan watak Shamsul juga masih tidak dapat menggembirakan hati saya kerana lakonannya yang tidak natural dan dibuat-buat. Babak seterusnya adalah babak 'penyelamat' di mana muncul sekumpulan penari breakdance (import pelajar luar negara?) yang merupakan satu-satunya Faktor-X di dalam teater ini.

Hamas merupakan pembantu peribadi Dato' Baha. Hamas berperwatakan nerd dan loser, lurus bendul orang Melayu kata. Hamas cuba menjadi hero apabila cuba menghalang mat-mat rempit dan samseng daripada menyentuh dan mengacau Tika, si budak sekolah. Hamas dibelasah. Tika yang akhirnya dirogol pula tidak mendapat belas simpati langsung daripada emak saudaranya sendiri, Kak Ros. Malah, Kak Ros ingin menjadikan Tika seorang pelacur. Ini menunjukkan realiti kehidupan sekarang yang tidak berperikemanusiaan.

Hamas pula semakin lama semakin bijak mempersoal dan mempertikai segala urusan dan tindak tanduk Dato' Baha yang mencurigakan. Tenggelam dengan duniawi, Dato' Baha, Kak Ros dan samseng-samseng semuanya berparti dan berseronok. Kemunculan askar-askar pengganas mengelirukan saya. Berpaksikan tema, konsep serta latar belakang cerita ini dari awal, saya keliru kenapa tiba-tiba ada sekumpulan askar pengganas menangkap dan mengurung tebusan di dalam sebuah gua (?) dan memberikan tempoh masa untuk mereka hidup sebelum dibunuh. Mungkin pengarah sengaja hendak memasukkan perlambangan terhadap isu sebenar di Palestin, tetapi entahlah, bagi saya ia kurang jelas dan seharusnya boleh diperjelaskan lagi.

Penamat teater ini menampilkan lembaga yang dihidupkan melalui pancaran lampu UV, yang muncul selepas adegan tsunami (pembalasan) yang kurang menjadi. Sebelum adegan tsunami itu, ditunjukkan satu adegan mereka semua yang dikurung di dalam gua masing-masing marah, kemudian mereka semua insaf atas kata-kata nasihat Hamas. Emosi babak kemuncak ini seharusnya dipergunakan sehabis baik untuk menunjukkan isi penting teater ini. Pengarah sudah menunjukkan adegan Hamas yang mengimamkan yang lain dan kemudian bangkit menentang askar-askar pengganas itu, akan tetapi babak-babak kemuncak sebegini seperti kurang garam, kurang perencahnya. Hampir semua adegan-adegan penting dipaparkan seperti mahu cepat habis. Terlalu cepat sehingga penonton tidak dapat menangkap rasa dan emosi babak itu. Dalam hal ini, pacing memainkan peranan dan perlu diteliti oleh pengarah pada masa akan datang. Berdasarkan pengalaman saya sendiri, pacing boleh disusun atur dan dirancang, tetapi ia harus bermula daripada feeling pengarah itu sendiri, baru ia betul-betul jujur dan menjadi. Seperkara lagi, dinamik persembahan juga menjadi salah satu kriteria aku dalam pengkaryaan teater. Misalnya dalam babak di dalam gua di mana masing-masing marah dengan musibah yang menimpa, tidak semestinya emosi marah itu disampaikan dalam nada yang tinggi sehingga menjerit-jerit sepanjang masa. Permainan dinamik pentas ini, jika dapat dilakukan, pasti mampu menyuntik satu elemen yang menarik dalam persembahan.

Ternyata pengkaryaan Hissam masih mentah seperti usianya yang masih muda dalam bidang teater. Namun begitu, sebahagian besar jalan cerita dapat disampaikan dengan baik walaupun sudah tentu adanya compang-camping dari pelbagai segi. Pengkarya dan penggiat teater seharusnya bekerja untuk menghasilkan sesuatu yang lebih baik menepati jiwanya dan dalam masa yang sama ingin mempamerkan yang terbaik untuk para penonton.

"Suara Kebangkitan" boleh jadi lebih lantang lagi dalam bersuara untuk membangkitkan umat Islam khususnya, dan kemanusiaan sejagat amnya daripada terus terleka dengan permainan duniawi yang tidak akan berkesudahan sehinggalah hari kiamat. Permainan duniawi seperti wang, pangkat dan wanita sememangnya suatu perkara yang amat menggoda manusia. "Suara Kebangkitan" ini adalah salah satu usaha TTS untuk memberi peringatan kepada manusia akan bahaya jika terlalu mengejar perkara duniawi tersebut. Teater sebegini mungkin dilihat sebagai klise, tetapi isinya relevan sehingga akhir dunia.

Walaubagaimana pun mutu dan persembahan ini, usaha TTS untuk menjayakan program amal ini amat dipuji. Semoga segala usaha dan penat lelah mereka semua diberkati Allah dan mendapat pahala. Dan yang pastinya, saya dapat merasakan bahawa TTS sudah berjaya melakukan yang terbaik untuk diri mereka dan para penonton semua. Syabas! Dan jangan pernah berputus asa, teruskan perjuangan seni teater keranaNya!


Rating teater "Suara Kebangkitan":

Keseluruhan - 5/10
Sinografi - 4/10
Lakonan - 4/10
Teknik - 4/10
Tatacahaya - 4/10
Tatabunyi - 5/10
Rekabentuk pentas - 5/10
Tatarias - 5/10
Skrip/Pengolahan Cerita - 5/10



Akin Muhammad.
11 April 2011.
Kuala Lumpur. 
 
p/s: Banyak yang aku kurang faham dan kurang jelas dengan teater ini, jadi mungkin kritik aku kurang betul atau kurang bagus. Maaf jika ada yang tersalah maklumat. Apa yang aku tulis adalah apa yang aku tengok dan faham, dan adalah sekadar interpretasi aku.

PRA 42 - Puisi: Persia Nikmat Percuma

Persia Nikmat Percuma


aku berselindung di sebalik tirai keamanan
bersembunyi di dalam kepulan asap kekayaan
aku melompat-lompat di atas tanah kemerdekaan
bertepuk tampar pada tilam dan selimut kesihatan
melelehkan air liur pada deras jalur masa yang melebar lalu
aku memukul perut pada lebihan kekayangan
bersesak-sesak nafas pada lebihan udara keimanan
berhimpit-himpit nazak pada lebihan udara keislaman
yang mengalir dalam darah seorang penyembah Yang Esa

aku menidakkan yang iya
mengiyakan yang tidak
menganggukkan yang tertunduk
menggelengkan yang mendongak
aku mengharamkan yang halal
menghalalkan yang haram
membatilkan yang hak
menghakkan yang batil
aku melupakan yang mengingatkan
mengingatkan yang mengalpakan
aku mensyukuri yang salah
mempersia yang betul
aku senyum ketawa bila aku senang
aku sumpah seranah bila aku susah

aku membuta mata pada yang buta
berlari pada yang berkerusi roda
memanjang tangan pada yang kudung
bergelak ketawa pada yang bisu
menjerit galak pada yang pekak
mengendahkan hidayah pada yang tercari-cari

keamanan, kekayaan, kemerdekaan
kesihatan, kelapangan
keimanan, keislaman
aku hilangkan bila senang
aku resahkan bila hilang
aku meminta-minta semula bila tiada
aku mempersia-sia bila ada
aku berdiri bila diminta bersujud
aku duduk bila diminta berdiri
aku menyanyi bila diminta berzikir
aku menyombong bila diminta-minta
aku menunduk sujud bila meminta-minta
aku menyombong kembali bila diberi-beri
dan begitulah dalam satu pusingan kecil kehidupan
sehingga tamat
sehingga mati, sehingga mati, sehingga mati

aku meminta dikembalikan ke dunia
aku mempersoal kemurahanNya yang Maha
aku mempertikai kasihNya yang Maha
lantas aku terus ditampar hebat oleh imbasan kehitamanku
melihat diriku dalam cermin yang retak
setiap anggota tubuh menuntut hak
lidah yang kering dengan puji-pujian
mata yang kering dengan keindahan
telinga yang kering dengan kebaikan
hati yang kering dengan kelembutan
tangan dan kaki yang kering dengan kebajikan
Islam yang kering dengan keislaman
Iman yang kering dengan keimanan
lantas sesal akan kebebalan
persoalan demi persoalan yang sama
"maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?"

akulah manusia itu yang gagal
akulah manusia itu yang loser dan tewas diakhirnya
meskipun aku winner dan menang di dunia

akulah hambaMu itu yang tidak bersyukur
yang mengkufurkan nikmat percumaMu itu



Akin Muhammad.
Ditulis pada 5 April 2011.
Dibaca pada 9 April 2011, sempena pementasan teater Suara Kebangkitan dalam program amal Jerit! Jilid 1: Untukmu Palestin, UTP.

Ahad, April 03, 2011

PRA 41 - Perkongsian: Syarat Hiburan Islam

Hujung minggu kali ini, aku sempat singgah di sebuah karnival bersempena International Muslim Youth Week di Kompleks Perdana Siswa, Universiti Malaya. Kemudian ke Mid Valley. Nak pergi pameran pengantin di PWTC tapi tak jadi. Aku bersama tunang aku banyak menghabiskan masa petang itu di kedai buku MPH. Aku belek-belek dan baca sedikit buku ROJAK tulisan Amir Muhammad. Macam tak boleh nak masuk pula jiwa aku baca certot-certot (cerita-cerita ketot) dia. Aku lebih suka tonton filem teks dia. Dan aku miliki DVD 6horts dia. Kemudian Najwa belek-belek majalah pengantin sambil aku belek-belek buku fasal warisan Mak Yung. Teruja dengan kecantikan pelamin pengantin ada dalam majalah itu. Tapi aku percaya tukang ambil gambar dan sunting gambar sangat bijak memanipulasi mata. Minggu depan kena pergi pameran pengantin di Mid Valley. Selepas pulang dari Jerit! pada 9 April.

Sebelum keluar dari kedai buku MPH, aku ternampak Ashraf Muslim di kulit muka Majalah i. Tumpuan utama Majalah i isu ke-102 April 2011 ini adalah "Industri Lakonan & Perspektif Islam". Aku belek-belek dan baca sedikit fokus utama itu dan wah, ini apa yang aku jumpa dan suka untuk aku kongsikan:

Berikut dinyatakan hukum hiburan lakonan dibenarkan dengan bersyarat:

  • Tidak sesekali dan tidak berlakon sebagai nabi dan para sahabat.
  • Tidak boleh berlakon menjadi syaitan.
  • Tidak dibenarkan memegang watak sebagai seorang kafir.
  • Tidak boleh berlakon sebagai watak berlawanan jantina (contohnya lelaki menjadi perempuan dan sebaliknya).
  • Tidak boleh melakonkan perkara yang diharamkan seperti menipu, mengumpat dan lain-lain.
  • Tidak boleh melakonkan praktikal ibadah secara tidak betul atau salah.


(Dipetik daripada artikel berjudul "Industri Lakonan & Perspektif Islam" oleh Mohd Adib Mohd Sidek, Majalah i, Bil. 102 April 2011.)


Aku ingin biarkan perkara-perkara di atas terbuka terlebih dahulu. InsyaAllah akan aku ulas kemudian.

Aku tak jadi pergi tonton teater Tanah Bernanah di Muzium Negara malam itu. Terlambat sedikit pulang dari Mid Valley. Tidak mengapa kerana BANYAK GILA TEATER DI KOTA LUMPUR ini pada masa akan datang!


p/s: Aku masih belum terbuka hati lagi untuk menonton apa-apa teater di Istana Budaya. Kali terakhir adalah "Muzikal" Mahsuri yang telah menutup pintu hati aku untuk terus menonton teater di Istana Budaya. Alah, lagipun tahun 2011 ini lebih banyak konsert di Istana Budaya.

Ahad, Mac 27, 2011

PRA 40 - Sehelai Tisu Untuk Mengelap

sehelai tisu untuk mengelap
disimpan kemas di dalam kotak
rapat-rapat bersama tisu-tisu yang lain
dibungkus cantik
dipamer cantik
dijual cantik
dibeli oleh orang yang cantik
dan yang tiga suku cantik
dan yang separuh cantik
dan yang suku cantik
dan juga yang tak cantik

tisu dijual oleh orang buta di tepi-tepi jalan
tisu dijual oleh orang buta yang berjalan di pimpin oleh orang celik
tisu dijual dan dibeli dan diletak di dalam tandas tempat orang buang najis
tisu diguna oleh makhluk bertandas
tisu diguna untuk mengelap kekotoran
dan bekas najis makhluk bertandas

yang kotor sudah bersih
tisu dibuang di dalam tong sampah
dibiar kotor dan hina
tetapi kehinaan itu satu kemuliaan
tisu sudah berbakti kepada makhluk bertandas

apakah makhluk bertandas akan berbakti kepada tisu?

Jumaat, Mac 25, 2011

PRA 39 - Teater Untuk Semua

Show Nasi Lemak 10 Sen di UTP sempena Jerit! 9 dan 10 April ini tak jadi. Ditangguhkan. Sebab utamanya komitmen yang sederhana serta persediaan yang masih lemah dan perlahan. Aku setuju. Tapi ada juga sebahagian daripada aku yang kurang bersetuju. Sebahagian itu ego yang yakin menggunung tinggi. Namun majoriti telah bersuara.

Tanpa berfikir panjang, aku terus usahakan untuk mementaskan juga teater ini. Sebenarnya banyak peluang  yang ada untuk buat teater, cuma hendak atau tidak, berani atau tidak untuk memanfaatkan peluang yang ada itu. Bagi diri aku, kalau nak buat, buat betul-betul. Pastikan benda yang kau nak buat tu dibuat. Berjaya atau tidak itu perkara nombor dua. Yang penting, kau kena buat apa yang kau cakap kau nak buat. Sebab itu aku tak mahu batalkan show Nasi Lemak 10 Sen tu, sebaliknya menangguhkannya.

Dan semalam aku dah hantar dua kertas kerja cadangan produksi teater. Maklumatnya aku ingin rahsiakan terlebih dahulu sehingga cadangan itu lulus. Lepas ini pula aku hendak sediakan dua lagi kertas kerja untuk produksi yang lain. Projek rahsia.

Dalam masa yang sama juga aku sedang siapkan dokumen pelan pemasaran untuk memohon apa-apa sumbangan atau tajaan daripada mana-mana pihak. Untuk ini aku perlu ambil lebih masa. Terima kasih pada Fauzan kerana menolong dengan memberi sedikit nasihat dan tunjuk ajar serta cadangan. Walaupun sepatutnya dia yang kena buat pelan pemasaran tu! Ha!

Berlakon teater memang syok. Pancaran lampu profil atau sorot memang mengasyikkan. Bertambah syok apabila penonton memberikan reaksi spontan apabila melihat aksi pentas para pelakon.

Mengarah teater memang syok. Dua kali ganda syok berbanding jadi pelakon. Kerana pengarah syok apabila pelakon dapat beraksi seperti yang pengarah nak dan pengarah akan bertambah syok apabila pelakon berasa syok. Dan pengarah bertambah syok apabila penonton syok menonton.

Menerbit teater memang syok berganda-ganda. Penerbit syok bila seluruh ahli produksi syok, penonton syok dan duit pun syok (sudah tentulah bahagian keuntungan Penerbit paling tinggi!)

Bagaimana dengan Penulis Skrip? Syok atau tidak?

Sedang aku buat sedikit kaji selidik di internet tentang arts, performing arts, performance arts, visual arts untuk persiapan projek rahsia aku tu, aku terjumpa satu rujukan yang menarik.

Diambil daripada http://www.english.emory.edu/DRAMA/newmap.htm

Peta di atas menunjukkan perkembangan pergerakan dan pengaruh seni khususnya teater. Yang menjadi tumpuan aku adalah pergerakan pengaruh Dadaism yang seterusnya mempengaruhi bentuk teater surrealism dan absurdism (memandangkan memang ini niat aku untuk bentukkan Nasi Lemak 10 Sen).

Apa pun aku masih perlu belajar banyak lagi tentang Dadaism, surrealism dan absurdism kalau aku nak buat bentuk teater macam tu.

Jangan putus asa.

Jangan berhenti buat teater. (Tak mengapa untuk berasa kecewa, lemah semangat - ia akan terubat secara mudah dengan hanya berehat!)

Jangan berhenti belajar buat teater. Jangan berhenti untuk mencuba.

Dan.. jangan cakap sahaja pandai. Buatnya tidak.

Buat! Buat! Buat! Kah kah kah!


Yang gila,

Akin Muhammad
Diktator Agung
The Qum Actors
(001848149-M)

Khamis, Mac 17, 2011

PRA 38 - Nota Penerbit "Ash In The Ashes - The Mime Show"

Alhamdulillah selesai sudah produksi sulung The Qum Actors iaitu "Ash In The Ashes - The Mime Show" yang telah berlangsung pada 12 dan 13 Mac 2011 di Taman Budaya Kuala Lumpur. Sesungguhnya langkah pertama memang sukar. Namun tanpa ada langkah pertama, tiadalah langkah seterusnya.

Dari segi pementasan, saya amat berpuas hati dengan prestasi yang telah ditonjolkan oleh kedua-dua tunjang utama teater mime ini iaitu Asyraf Nazmie (Ash) dan Asyraf Maskan (Acab). Bagi saya, mereka berdua telah berjaya melakar sejarah tersendiri apabila berjaya melakonkan sebuah pementasan penuh mime yang membentuk sebuah cerita yang lengkap. Ash telah berjaya menjadi seorang watak wanita yang penuh dengan emosi. Sejujurnya sewaktu pertama kali saya melihat persembahan sewaktu raptai tempoh hari, saya berasa terkesan dan sebak dengan cerita Ash In The Ashes ini. Acab pula telah memainkan peranan yang baik lebih-lebih lagi dia telah membawa lebih daripada satu watak. Acab, dengan penampilannya tersendiri (rambut lah asetnya), berjaya memikat hati saya sebagai penerbit bersama teater mime ini.

Kredit juga harus diberikan kepada pengarah teater mime ini iaitu Dr.Shark yang telah berjaya memenuhi kehendak penerbit bagi mewujudkan kesesuaian cerita dengan tajuk "Ash In The Ashes" yang telah saya tetapkan dari awal penerbitan. Walaupun banyak piece lama yang telah dipentaskan semula, namun jalinan piece tersebut bagi membentuk jalan cerita yang baik harus diberikan pujian.

Sambutan terhadap pementasan teater mime ini kurang memberangsangkan. Pada malam pertama kami hanya menerima kunjungan 20 orang penonton manakala pada malam kedua hanya 3 orang penonton sahaja. Saya tidak sedih atau kecewa dengan situasi ini dan saya tidak perlu merasa malu. Saya juga tidak merasakan bahawa ini adalah kegagalan buat diri saya khususnya dan The Qum Actors, amnya. Bagi saya, show ini berjaya namun sudah pasti banyak lagi aspek-aspek yang perlu diperbaiki khususnya dari aspek pengurusan projek. Ya, pementasan ini mengalami kerugian dari segi wang ringgit dan saya merasakan antara faktor utama adalah seperti berikut:


1. Pengurusan projek yang kurang bagus.
Tiada pengurusan yang berstruktur. Tiada pembahagian tugas yang betul. Tiada sesiapa melantik sesiapa.


2. Pelan strategi promosi yang lemah.
Bergantung harap kepada promosi di internet seperti Facebook, blog, dan laman web seni malah iklan di surat khabar sekalipun tidak dapat menarik perhatian orang ramai kerana siapalah kami? Siapa The Qum Actors? Ya, profil TQA masih rendah dan oleh itu, pelan strategi yang unik dan sesuai perlu difikirkan pada masa akan datang.


Selesai projek show mime ini, saya semakin bersemangat hendak menerbitkan lebih banyak show untuk The Qum Actors. Produksi Nasi Lemak Seposen menanti, akan tetapi keputusan menangguhkan produksi ini yang sepatutnya berlangsung pada 9 April 2011 baru sahaja dibuat secara rasmi semalam dan dipersetujui oleh majoriti ahli produksi.

Hal ini menjadikan saya lebih bersemangat untuk mencari seberapa banyak ruang dan peluang untuk The Qum Actors menaikkan profilnya ke tahap yang lebih tinggi dalam bidang teater di Malaysia.

Saya dalam proses membuat persediaan dari segi bahan kertas kerja (proposal) untuk beberapa projek pada tahun ini. Saya juga sedang membuat kaji selidik terhadap tempat-tempat yang bersesuaian dengan program teater.


Saya mahu jadi seorang Penerbit Teater yang bagus. Tak hebat pun tak apa, yang penting bagus. Bajet bagus pun boleh lah.

Selasa, Mac 08, 2011

Ash In The Ashes / Debu Dari Debu-Debu

Aku dan rakan-rakan pentas aku dari The Qum Actors dan juga Tronoh Theatre Shop akan berfoya-foya di atas, bawah, tepi, depan dan belakang pentas pada hujung minggu ini.




Show ini juga merupakan show pertama terbitan The Qum Actors, menggunakan nama syarikat untuk menerbitkan persembahan, berbanding sebelum ini di mana kami hanya 'menumpang' show yang diterbitkan atas nama Tronoh Theatre Shop. Oleh sebab itu, bagi pihak TQA sendiri, aku ingin memohon maaf atas sebarang kekurangan dari segi pengurusan projek ini. Di sebalik kekangan masa saya dan rakan-rakan TQA yang sibuk dengan kerja masing-masing, kami tetap usahakan yang terbaik bagi melangkah tapak pertama TQA menerbitkan show pertama kami. Sudah tentu, kami tidak akan dapat merealisasikan projek ini tanpa bantuan TTS.

Sejak minggu lepas aku sibuk di tempat kerja. Banyak tuntutan datelines kerja yang perlu dituruti. Adakalanya aku rasa sangat penat tapi aku nak buat kerja teater ni tapi tak terbuat sebab tak bertenaga. Namun sebab itulah wujudnya sifat manusia iaitu TIDUR.

Untuk show hujung minggu ini, aku tak jangkakan show akan full house atau tiket habis dijual. Cukuplah sekadar ramai yang datang dapat lebih mengenali bentuk persembahan mime ini.

Dalam masa yang sama juga aku perlu berikan perhatian kepada perkembangan latihan Nasi Lemak Seposen aku yang masih bergerak perlahan. Biasanya aku akan rasa amat risau bila persediaan buat show tak cukup, tapi kali ini aku rasa macam aku masih boleh relaks. Sama ada aku terlalu yakin akan kemampuan pelakon-pelakon aku, atau aku memang tak terniat nak buat latihan berat-berat.

Cukuplah sekadar di sini. Kepada kawan-kawan aku di KL khususnya, jemputlah datang menonton show mime ni nanti ya!

Isnin, Mac 07, 2011

era kejatuhan itu sesuatu yang berlaku

bayangkan kalau

sebatang pokok

tiba-tiba akar dia hilang entah ke mana, begitu sahaja

apa akan jadi?

pokok jatuh?

pokok tumbang?

pokok mati?

atau pokok terapung-apung?

hanya Allah Maha Tahu

dan kalau sebatang pokok itu adalah aku?

jeng jeng