Isnin, April 11, 2011

PRA 43 - Suara Kebangkitan: Dari Zero Kepada Hero

Nota: Kritik ini hanya sekadar pandangan peribadi Akin Muhammad semata-mata. Seperti mana sifat seni itu sendiri yang subjektif, begitu juga dengan pandangan seseorang apabila menonton sesebuah teater. Ia subjektif kepada setiap individu.


Menulis ulasan dan kritikan selepas menonton sesebuah teater merupakan suatu praktis yang bagus buat aktivis teater. Secara peribadi, ia dapat membantu diri saya sendiri untuk belajar lebih memahami dan menghargai gaya serta pemikiran pengkarya teater yang lain. Selain itu juga ia dapat mengasah kebolehan untuk mengulas dan mengkritik teater orang lain secara membina.

Pada hari Sabtu yang lalu saya sempat menonton sebuah teater berjudul "Suara Kebangkitan" bersempena Program Amal "Jerit! Jilid 1: Untukmu Palestin" yang telah dijayakan oleh Tronoh Theatre Shop (TTS), UTP. Saya juga telah berpeluang untuk membaca sebuah puisi daif saya sendiri sebagai salah satu selingan pada malam pementasan itu. Teater "Suara Kebangkitan" adalah karya dan arahan Hissam yang juga merupakan Presiden TTS.

Keseluruhan pementasan itu mengambil konsep ala-ala bangsawan moden yang mana menyelitkan persembahan selingan atau 'extra turn' di antara setiap babak, cuma ianya bukan teater bangsawan tetapi teater moden. Antara extra turn yang ada termasuk deklamasi sajak oleh pelakon TTS sendiri, dendangan lagu oleh kumpulan nasyid In-Saff dan band muzik Morven. Turut diundang Space Gambus Experiment yang memainkan muzik eksperimental diiringi tayangan visual berkenaan Palestin, serta deklamasi sajak oleh wakil Aqsa Syarif, yang merupakan rakan kerjasama program amal Jerit! ini.

Secara peribadi, saya sedikit terkilan kerana TTS tidak menggunakan kelebihan dan keunikan persembahan mime sebagai salah satu selingan. Kebiasaannya, mime pasti akan ada. Dan orang ramai ternyata amat menggemari mime. Tetapi mungkin sahaja pihak produksi ada sebab tersendiri untuk tidak menampilkan mime sebagai salah satu elemen persembahan. Namun begitu ini hanya pendapat peribadi saya sahaja.

Teater "Suara Kebangkitan" mengisahkan tentang umat manusia yang bergelumang dengan maksiat dan kemungkaran di dunia yang kemudian ditimpa musibah dan akhirnya mereka semua insaf. Watak Kak Ros yang sudah tua di awal dan hujung cerita menunjukkan bahawa walaupun Kak Ros bergelumang dengan maksiat sewaktu usia mudanya menjadi 'mak ayam', namun dia sempat bertaubat dan sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun. Mesejnya mudah tetapi bermakna.

Pembinaan watak dalam teater ini kurang jelas kerana watak utama yang sebenar tidak dapat dikenalpasti secara langsung. Hanya bila sudah dipertengahan cerita, baru saya dapat mengetahui bahawa watak utama atau 'hero' dalam cerita ini sebenarnya adalah watak Hamas yang dilakonkan oleh Ammar. Hal ini mungkin terjadi kerana watak Dato' Baha yang lebih menyerlah lakonannya dengan sengaja menenggelamkan watak Hamas, simbolik kepada realiti isu Palestin kini. Jika ini niat sebenar pengarah, saya kira ianya berjaya.

Lakonan yang paling baik sekali dari setiap aspek lakonan seperti lontaran vokal, pembentukan karakter, dan olah tubuh telah ditunjukkan oleh watak Dato' Baha, Hamas, dan Man Kebana. Kak Ros kurang menyerlah jika hendak dibandingkan dengan wataknya yang sama iaitu Mak Ayam di dalam teater Mahkamah Lorong tempoh hari. Para pelakon sampingan yang lain juga (yang masih baru) perlu bekerja keras untuk menjadi pelakon yang bagus pada masa akan datang. Namun begitu, emosi para pelakon (semua watak) dilihat kurang menyerlah. Emosi adalah aspek lakonan yang sukar kerana ia perlu datang dari hati dan jiwa pelakon itu sendiri, dan ia hanya akan menjadi jika kita ikhlas dan jujur dalam lakonan kita.

Permulaan teater ini mengundang risiko permulaan sebuah teater yang hambar dan tidak bertenaga. Mesej-mesej tersirat seperti burung (kebebasan) dan bunga (???) tidak digarap dengan baik. Garapan ada, cuma ia kurang kuat. Kemunculan watak Shamsul juga masih tidak dapat menggembirakan hati saya kerana lakonannya yang tidak natural dan dibuat-buat. Babak seterusnya adalah babak 'penyelamat' di mana muncul sekumpulan penari breakdance (import pelajar luar negara?) yang merupakan satu-satunya Faktor-X di dalam teater ini.

Hamas merupakan pembantu peribadi Dato' Baha. Hamas berperwatakan nerd dan loser, lurus bendul orang Melayu kata. Hamas cuba menjadi hero apabila cuba menghalang mat-mat rempit dan samseng daripada menyentuh dan mengacau Tika, si budak sekolah. Hamas dibelasah. Tika yang akhirnya dirogol pula tidak mendapat belas simpati langsung daripada emak saudaranya sendiri, Kak Ros. Malah, Kak Ros ingin menjadikan Tika seorang pelacur. Ini menunjukkan realiti kehidupan sekarang yang tidak berperikemanusiaan.

Hamas pula semakin lama semakin bijak mempersoal dan mempertikai segala urusan dan tindak tanduk Dato' Baha yang mencurigakan. Tenggelam dengan duniawi, Dato' Baha, Kak Ros dan samseng-samseng semuanya berparti dan berseronok. Kemunculan askar-askar pengganas mengelirukan saya. Berpaksikan tema, konsep serta latar belakang cerita ini dari awal, saya keliru kenapa tiba-tiba ada sekumpulan askar pengganas menangkap dan mengurung tebusan di dalam sebuah gua (?) dan memberikan tempoh masa untuk mereka hidup sebelum dibunuh. Mungkin pengarah sengaja hendak memasukkan perlambangan terhadap isu sebenar di Palestin, tetapi entahlah, bagi saya ia kurang jelas dan seharusnya boleh diperjelaskan lagi.

Penamat teater ini menampilkan lembaga yang dihidupkan melalui pancaran lampu UV, yang muncul selepas adegan tsunami (pembalasan) yang kurang menjadi. Sebelum adegan tsunami itu, ditunjukkan satu adegan mereka semua yang dikurung di dalam gua masing-masing marah, kemudian mereka semua insaf atas kata-kata nasihat Hamas. Emosi babak kemuncak ini seharusnya dipergunakan sehabis baik untuk menunjukkan isi penting teater ini. Pengarah sudah menunjukkan adegan Hamas yang mengimamkan yang lain dan kemudian bangkit menentang askar-askar pengganas itu, akan tetapi babak-babak kemuncak sebegini seperti kurang garam, kurang perencahnya. Hampir semua adegan-adegan penting dipaparkan seperti mahu cepat habis. Terlalu cepat sehingga penonton tidak dapat menangkap rasa dan emosi babak itu. Dalam hal ini, pacing memainkan peranan dan perlu diteliti oleh pengarah pada masa akan datang. Berdasarkan pengalaman saya sendiri, pacing boleh disusun atur dan dirancang, tetapi ia harus bermula daripada feeling pengarah itu sendiri, baru ia betul-betul jujur dan menjadi. Seperkara lagi, dinamik persembahan juga menjadi salah satu kriteria aku dalam pengkaryaan teater. Misalnya dalam babak di dalam gua di mana masing-masing marah dengan musibah yang menimpa, tidak semestinya emosi marah itu disampaikan dalam nada yang tinggi sehingga menjerit-jerit sepanjang masa. Permainan dinamik pentas ini, jika dapat dilakukan, pasti mampu menyuntik satu elemen yang menarik dalam persembahan.

Ternyata pengkaryaan Hissam masih mentah seperti usianya yang masih muda dalam bidang teater. Namun begitu, sebahagian besar jalan cerita dapat disampaikan dengan baik walaupun sudah tentu adanya compang-camping dari pelbagai segi. Pengkarya dan penggiat teater seharusnya bekerja untuk menghasilkan sesuatu yang lebih baik menepati jiwanya dan dalam masa yang sama ingin mempamerkan yang terbaik untuk para penonton.

"Suara Kebangkitan" boleh jadi lebih lantang lagi dalam bersuara untuk membangkitkan umat Islam khususnya, dan kemanusiaan sejagat amnya daripada terus terleka dengan permainan duniawi yang tidak akan berkesudahan sehinggalah hari kiamat. Permainan duniawi seperti wang, pangkat dan wanita sememangnya suatu perkara yang amat menggoda manusia. "Suara Kebangkitan" ini adalah salah satu usaha TTS untuk memberi peringatan kepada manusia akan bahaya jika terlalu mengejar perkara duniawi tersebut. Teater sebegini mungkin dilihat sebagai klise, tetapi isinya relevan sehingga akhir dunia.

Walaubagaimana pun mutu dan persembahan ini, usaha TTS untuk menjayakan program amal ini amat dipuji. Semoga segala usaha dan penat lelah mereka semua diberkati Allah dan mendapat pahala. Dan yang pastinya, saya dapat merasakan bahawa TTS sudah berjaya melakukan yang terbaik untuk diri mereka dan para penonton semua. Syabas! Dan jangan pernah berputus asa, teruskan perjuangan seni teater keranaNya!


Rating teater "Suara Kebangkitan":

Keseluruhan - 5/10
Sinografi - 4/10
Lakonan - 4/10
Teknik - 4/10
Tatacahaya - 4/10
Tatabunyi - 5/10
Rekabentuk pentas - 5/10
Tatarias - 5/10
Skrip/Pengolahan Cerita - 5/10



Akin Muhammad.
11 April 2011.
Kuala Lumpur. 
 
p/s: Banyak yang aku kurang faham dan kurang jelas dengan teater ini, jadi mungkin kritik aku kurang betul atau kurang bagus. Maaf jika ada yang tersalah maklumat. Apa yang aku tulis adalah apa yang aku tengok dan faham, dan adalah sekadar interpretasi aku.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan