Khamis, Mac 17, 2011

PRA 38 - Nota Penerbit "Ash In The Ashes - The Mime Show"

Alhamdulillah selesai sudah produksi sulung The Qum Actors iaitu "Ash In The Ashes - The Mime Show" yang telah berlangsung pada 12 dan 13 Mac 2011 di Taman Budaya Kuala Lumpur. Sesungguhnya langkah pertama memang sukar. Namun tanpa ada langkah pertama, tiadalah langkah seterusnya.

Dari segi pementasan, saya amat berpuas hati dengan prestasi yang telah ditonjolkan oleh kedua-dua tunjang utama teater mime ini iaitu Asyraf Nazmie (Ash) dan Asyraf Maskan (Acab). Bagi saya, mereka berdua telah berjaya melakar sejarah tersendiri apabila berjaya melakonkan sebuah pementasan penuh mime yang membentuk sebuah cerita yang lengkap. Ash telah berjaya menjadi seorang watak wanita yang penuh dengan emosi. Sejujurnya sewaktu pertama kali saya melihat persembahan sewaktu raptai tempoh hari, saya berasa terkesan dan sebak dengan cerita Ash In The Ashes ini. Acab pula telah memainkan peranan yang baik lebih-lebih lagi dia telah membawa lebih daripada satu watak. Acab, dengan penampilannya tersendiri (rambut lah asetnya), berjaya memikat hati saya sebagai penerbit bersama teater mime ini.

Kredit juga harus diberikan kepada pengarah teater mime ini iaitu Dr.Shark yang telah berjaya memenuhi kehendak penerbit bagi mewujudkan kesesuaian cerita dengan tajuk "Ash In The Ashes" yang telah saya tetapkan dari awal penerbitan. Walaupun banyak piece lama yang telah dipentaskan semula, namun jalinan piece tersebut bagi membentuk jalan cerita yang baik harus diberikan pujian.

Sambutan terhadap pementasan teater mime ini kurang memberangsangkan. Pada malam pertama kami hanya menerima kunjungan 20 orang penonton manakala pada malam kedua hanya 3 orang penonton sahaja. Saya tidak sedih atau kecewa dengan situasi ini dan saya tidak perlu merasa malu. Saya juga tidak merasakan bahawa ini adalah kegagalan buat diri saya khususnya dan The Qum Actors, amnya. Bagi saya, show ini berjaya namun sudah pasti banyak lagi aspek-aspek yang perlu diperbaiki khususnya dari aspek pengurusan projek. Ya, pementasan ini mengalami kerugian dari segi wang ringgit dan saya merasakan antara faktor utama adalah seperti berikut:


1. Pengurusan projek yang kurang bagus.
Tiada pengurusan yang berstruktur. Tiada pembahagian tugas yang betul. Tiada sesiapa melantik sesiapa.


2. Pelan strategi promosi yang lemah.
Bergantung harap kepada promosi di internet seperti Facebook, blog, dan laman web seni malah iklan di surat khabar sekalipun tidak dapat menarik perhatian orang ramai kerana siapalah kami? Siapa The Qum Actors? Ya, profil TQA masih rendah dan oleh itu, pelan strategi yang unik dan sesuai perlu difikirkan pada masa akan datang.


Selesai projek show mime ini, saya semakin bersemangat hendak menerbitkan lebih banyak show untuk The Qum Actors. Produksi Nasi Lemak Seposen menanti, akan tetapi keputusan menangguhkan produksi ini yang sepatutnya berlangsung pada 9 April 2011 baru sahaja dibuat secara rasmi semalam dan dipersetujui oleh majoriti ahli produksi.

Hal ini menjadikan saya lebih bersemangat untuk mencari seberapa banyak ruang dan peluang untuk The Qum Actors menaikkan profilnya ke tahap yang lebih tinggi dalam bidang teater di Malaysia.

Saya dalam proses membuat persediaan dari segi bahan kertas kerja (proposal) untuk beberapa projek pada tahun ini. Saya juga sedang membuat kaji selidik terhadap tempat-tempat yang bersesuaian dengan program teater.


Saya mahu jadi seorang Penerbit Teater yang bagus. Tak hebat pun tak apa, yang penting bagus. Bajet bagus pun boleh lah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan