Jumaat, April 15, 2011

PRA 44 - Buku

Aku pernah tulis satu teater pendek senyap berjudul "Buku". Secara ringkasnya, teater senyap "Buku" itu aku tulis kerana kurangnya budaya ingin tahu dan ingin mencari ilmu di kalangan orang-orang sekeliling aku. Nak kata budaya mencari ilmu ini kurang dalam kalangan orang Melayu, aku rasa macam tak berasas. Tapi mungkin ada benarnya juga.

Aku bukanlah seorang pembaca buku yang tegar macam abang nombor dua aku. Malah, dahulu aku memang tidak suka membaca buku dan di sekolah aku tidak suka mata pelajaran yang perlukan pembacaan yang banyak. Mungkin sebab itu aku lebih cenderung kepada nombor-nombor.

Tak banyak buku yang aku pernah baca dan habis baca. Yang aku betul-betul habis baca seperti buku-buku motivasi H.M Tuah Iskandar dan satu buku novel drama Faisal Tehrani "Bila Tuhan Berbicara" yang ada aku ada teringin nak pentaskan satu fragmen daripada novel drama itu. Bukunya "Nama Beta Sultan Alauddin" aku ada adaptasikan sedikit dahulu.

Pesta Buku Antarabangsa akan berlangsung tidak lama lagi bermula 22 April hingga 1 Mei di PWTC, Kuala Lumpur. Apa yang menarik perhatian aku untuk datang singgah nanti adalah ini:

Diambil daripada blog rasmi Faisal Tehrani: http://tehranifaisal.blogspot.com/  

Dah lama aku tak beli buku dan baca buku. Mungkin kali ini aku harus beli buku dan baca buku. Aku lebih senang baca novel drama berbanding novel biasa kerana jiwa aku lebih cenderung ke arah drama dan teater. Apa pun, membaca itu jambatan ilmu. Oleh sebab aku tidak dapat pendidikan teater secara formal, aku lebih rajin membaca apa-apa bahan bacaan berkenaan teater dan aku juga pergi menonton teater orang lain. Itu sahajalah cara aku boleh belajar fasal teater.

Jadi kepada junior-junior TTS sekalian, rajin-rajinkanlah diri mencari dan membaca bahan rujukan teater dan rajin-rajinkanlah diri pergi menonton teater orang lain. Jikalau berkesempatan dan berpeluang lah. Apa pun semoga kita semua terus berjaya dan tak lupa dari mana kita datang, dan ke mana kita akan pergi.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan