Rabu, Ogos 19, 2009

Poster-poster (Yang Buat Aku Serabut)



Pagi-pagi lagi dah dapat komplen jadi pagi-pagi itu juga aku terus buka perisian yang memberatkan komputer riba aku. Nasib juga aku bangun pagi tu.

Siap saja poster Wa Warna, aku sambung tidur. Bangun tidur terus menghadap komputer dan siapkan poster Teater 10 minit pula. Gambar latar poster-poster ni aku malas nak fikir dan buat. Jadi aku ambil saja gambar palet warna dari internet. Tengok link tu. Untuk poster 10 minit pula aku ambil stok gambar aku. Itu gambar dinding pintu masuk Panggung Sari Istana Budaya tingkat 3, kalau tidak silap, tingkat yang mana pintu masuk penonton yang beli tiket paling murah untuk satu-satu show.

Fuh, mudah-mudahan semua berjalan lancar.

Selasa, Ogos 18, 2009

Sesi Latihan Kelam & Kabut: Wa Warna

Serabut dengan shows.

Masalah aku bila aku dah berkarya, aku takut audiens tak faham. Lebih menggerunkan lagi, aku takut pelakon sendiri pun tak faham.

Bila kita nak buat show dan berkarya sebab atas jemputan/undangan daripada pihak lain, kita kena ikut kehendak pengundang tersebut. Memang dari dulu lagi TTS tidak tolak undangan show daripada pihak IW (Independence Week). Walaupun sejak Sampah Oh Sampah (2006), ada orang kata dia nak boikot buat show untuk IW. Tapi sampai 2009 ini, tiap tahun undangan tersebut diterima juga. Situasi dahulu berbeza. Undangan IW tahun 2005 dan 2006 adalah untuk buat satu show teater penuh, satu malam. Jadi satu malam itu memang TTS yang punya. Namun sejak 2007 hingga kini, TTS hanya diberikan slot 15-20 minit sebagai salah satu persembahan sama ada pada malam pembukaan atau malam apresiasi. Itu tidak menjadi masalah.

Yang menjadi masalah adalah apabila produser (pihak penganjur) tidak begitu mengerti tentang artis (pengkarya dan pelakon teater) dari segi process flow pementasan teater. Nak kena ikut tema, nak kena pelakon banyak gerak-gerak atas pentas dan seumpamanya. Sebagai artis, kami menghormati kehendak produser. Jadi kami buat saja apa yang boleh mengikut daya dan kemampuan kami. Maklumlah, kami dibayar. Nasib baik juga dibayar, kalau tidak dibayar sekalipun kami tetap akan berikan sebuah show yang terbaik, cuma tidak sebaik show yang dibayarlah barangkali. Dari segi kualiti lah...

(Dan apabila ada pihak penganjur yang berkali-kali memastikan, "Betul-betul ya tajuk teater ni? Wa Warna? Bukan penulis ni gagap ya? Bukan ya?")

Kadang-kadang show simple macam Wa Warna ni boleh jadi lebih susah nak terjemahkan atas pentas dengan baik. Pertama, ia skrip baru dan sangat-sangat baru. Kedua, ia gabungan dua skrip yang berbeza daripada dua orang yang berbeza. Jadi takut-takut wujud ketidaksinambungan cerita. Ketiga, pemain perlu bermain dengan sangat baik kerana show simple ini hanya mengharapkan lakonan pemain semata-mata tanpa ada bantuan teknikal. Audiens mungkin akan expect teater mesti ada muzik-muzik, gerak tari, bunyi audio dan seumpamanya. Audiens mungkin tidak pernah atau tidak begitu gemar menonton teater yang mana pelakonnya hanya berdiri di satu tempat dan hanya bergerak di sekitar tempatnya saja. Audiens mungkin tidak expect teater tersebut akan jadi tidak logik, dan tidak mudah untuk difahami.

Masalahnya adalah tahap pemahaman pengkarya dan penonton. Pengkarya perlu memahami tahap pemahaman penonton. Penonton perlu cuba memahami apa yang cuba disampaikan oleh pengkarya, bukan setakat menonton semata-mata, bukan setakat berhibur semata-mata. Pengkarya juga perlu cuba menyampaikan apa yang ingin disampaikan kepada penonton, bukan setakat syok sendiri, bukan setakat nak dapatkan bayaran lepas show, bukan setakat nak dapat sijil. Jadi, sebagai pengkarya, pastikan isi teater itu sampai secara berkesan melalui lakonan yang bagus. Sebagai penonton, pastikan minda anda dibuka seluas yang mungkin supaya dapat menangkap maksud tersirat dan tersurat.

Semalam petang baru mula latihan Wa Warna secara betul-betul. Dengan skrip tambahan lagi. SEFA kata dia nak spontan saja. Tapi kalau dia seorang saja tak apa lah. Ada pelakon lain juga yang tak biasa berlakon spontan. Apa pun, pendek kata semalam baru latihan pertama. Malamnya terus pihak penganjur hendak tengok kami rehearse. Kelam kabut sedikit aku. Kasihan budak-budak baru 10 minit aku. Datang tapi tak training apa-apa. Huhu. Lepas ni, pastikan kalau ada dua show yang dekat-dekat tarikhnya, jangan benarkan orang yang sama terlibat untuk kedua-duanya. Kasihan orang tu. Dan orang lain.

Namun, prioriti pada IW. Sebab sudah deal dengan pihak IW. Sudah deal untuk dapat bayaran.
Selepas itu barulah 10 minit. Sebab ini show dalaman TTS saja. Show waktu gathering TTS saja. Tujuan show adalah untuk pastikan skrip yang telah ditulis itu dalam durasi 10 minit (tambah tolak 2 minit) dan seterusnya dihantar menyertai pertandingan 'Kakiscript' yang kedua, anjuran Kakiseni.com.my sebelum 1 September 2009. Satu lagi tujuan adalah sudah pasti untuk beri peluang pada pelakon baru untuk berlakon bersama-sama dengan pelakon senior.

Okay. Cukup. Ada orang dah komplen blog TTS tak update. Switch account.

Isnin, Ogos 17, 2009

Ex

Sepanjang sejarah hidup 3S ni, aku jarang berkongsi cerita dan hal peribadi seperti kisah cinta, skandal, gosip, kisah duka lara. Ada tapi jarang-jarang. Kebanyakannya berkisar tentang kisah pentas, tentang teater. Memang membosankan. Maklumlah rakyat Malaysia tidak begitu menghargai teater. Kalau blog pasal artis seperti penyanyi, pelakon filem atau drama tu ya lah. Blog aku juga seperti tuannya. Blog bosan, tuannya juga bosan. Tapi tak dinafikan, blog ini ada audiensnya tersendiri. Sekurang-kurangnya aku ekpreskan idea dan fikiran serta perasaan aku melalui perkataan dalam blog ini. Sebab aku memang kurang bercakap di dunia sebenar. Jadi, aku ekpreskan kata-kata di dalam ni. Dan blog aku ni pun bukannya hidup segan mati tak mahu. Selalu jugalah dikemaskini.

Okaylah. Kali ni aku berkongsi sedikit cerita hidup aku. Jarang aku buat macam ni.

Petang Ahad tadi, aku dapat panggilan daripada bekas kekasih aku, atau lebih senang disebut sebagai ex. Bagi yang tak tahu, dia adalah kekasih aku yang pertama, yang mana aku betul-betul serius bercinta. Pendek kata, dia cinta pertama aku. Dan, nama dia Nanie. Aku rasa aku ada sebut nama ni dalam blog lama aku. Kalau tidak silap, masih boleh dilayari.

Jadi aku pun berbual dalam telefon dengannya tentang keadaan diri masing-masing. Sedang buat apa? Di mana? Pendek kata, bertanya khabar lah. Walaupun aku rasa sedikit ganjal dan ganjil, tetapi aku buat-buat biasa saja. Dan aku dapat dengar suaranya seperti takut-takut, segan-segan, pendek kata, nervous.

Perbualan di telefon tersebut tidak lama. Habis saja, aku terus sambung berSMS dengan jururawat peribadi aku. Aku tidak terus beritahu jururawat aku. Nanti dia fikir yang bukan-bukan. Dia pernah tanya pada aku kalau ex aku datang balik kepada aku, adakah aku akan pergi kembali kepadanya dan tinggalkan dia? Sudah pasti aku jawab TIDAK. Tapi aku akan beritahu juga padanya lepas ni. Cuma bukan sekarang. Perempuan ni kena tunggu masa yang sesuai untuk beritahu sesuatu yang boleh meng-trigger emosinya.

Terkejut juga aku. Ex aku boleh dapat nombor telefon aku yang terkini.

Walaupun begitu, aku tidak memikirkannya sangat. Buat apa aku nak fikirkan seseorang yang sudah mengecewakan aku dulu sehingga aku jadi separuh gila? Lagipun aku sudah ada misi. Sesuai dengan sifat aku yang setia, sudah pasti aku akan setia pada yang satu.

Bila sebut tentang cinta, sudah pasti terdapat pelbagai pandangan dan pendapat. Seperti dalam teater, aku anggap cinta juga punya banyak interpretasi dan setiap orang punya satu atau lebih yang berlainan.

Kepada diri aku sendiri, cepat-cepatlah berkahwin.

Sabtu, Ogos 15, 2009

Sesi 1 Latihan "Bab i"

Khamis lepas gua sudah selesai casting watak untuk teater 10 minit, "Bab i".
Jumaatnya pula sesi 1 latihan "Bab i".
Secara kasar, script reading adalah selama lebih kurang 10 minit. Sedang elok saja.
Jadi bila sudah pentaskan nanti, tambah tolak kurang lebih jadilah 12 minit paling maksimum.

Gua sudah dapat bayangan keseluruhan pementasan nanti.
"Bab i" gua ni memang eskperimen. Jadi ada yang mungkin jadi, ada yang tidak jadi hasilnya.
Tunggu dan lihat sajalah nanti.
Bahan-bahan eskperimen pun gua peroleh daripada pengalaman gua sepanjang di UTP dan di KL.
Gua rasa gua nak pergi jelajah tempat lain dan dapatkan pengalaman di sana.

Sesi 1 "Bab i" berjalan lancar. Semua budak-budak baru bersemangat hendak berteater, terutamanya si Adam. Selalu saja dia bertanya "Boleh ke saya buat tadi? Macam tak kena saja..".
Ya, gua akui memang banyak yang perlu dilatih pada budak-budak baru.
Sesi pertama ni diaorang baru nak kenal-kenal apa itu blocking dalam teater dan bagaimana nak lakukannya.
Belajar teater ni kena praktikal baru jadi. Setakat belajar teori saja tidak nampak bagaimana blocking itu dilakukan.
Dari segi lakonan, banyak lagi yang perlu diasah dan dilatih dari satu baris ke satu baris.
Gua cuma berharap, masa yang suntuk ni gua dapat gunakan sebaiknya untuk melatih mereka sampailah waktu show nanti.
Kalau ikutkan, ada 4 hari saja lagi. Show 10 minit ni hari Jumaat petang, 21 Ogos 2009. Malam 1 Ramadan tu.
Jadi 4 hari boleh jadi 8 sesi, kalau buat petang dan malam. Tapi, gua pun ada latihan show WA WARNA untuk IW-52. Sempat ke tidak ni? 19 Ogos ni show IW, Isnin ni baru nak mula latihan. Buat seminimal mungkinlah jawabnya. Nasib baik hanya 15 minit.

Oh ya, seorang pelakon "Bab i" gua iaitu Nik Nadia yang pegang watak BUDAK 3 tarik diri. Katanya dia tidak sesuai bawa watak tersebut dan rasanya lelaki lebih sesuai bawa watak tu. (Walaupun aku rasa direktor lebih tahu seseorang pelakon tu sesuai ke tak dengan watak yang dibawa. Kalau tak sesuai, buat apa aku pilih kan. Haha.)
Jadi, gua pun cari pengganti yang memang sesuai sangatlah, Azizi. Sebab BUDAK 3 tu bawa watak V.I.R.U.S, jantina lelaki dan perempuan.

Untuk show WA WARNA juga ada pelakon yang tarik diri. Dua orang sekali. Oleh sebab kesuntukan masa yang amat sangat, gua dan SEFA terpaksa jadi pengganti. Jadi untuk show IW nanti, yang akan berlakon adalah Atol, Azizi, Akin dan SEFA. 3A + 1 S.
Oh ya, skrip WA WARNA gua dah gabungkan dengan skrip TIANG gua. Skrip TIANG tu gua dah lama tulis tentang 'Rukun'. Jadi, tunggu dan lihat saja macam mana jadinya nanti.

Dalam masa yang sama, gua kena hafal dan latih berlakon dalam skrip 10 minit Dr Shark iaitu "Jebat: Versi Tu Tu".
Skrip ni kalau baca lapis keduanya, tentang Sultan menaruh hati pada Tuah, tapi Tuah memilih Jebat. Cerita gay ni. Sultan, Jebat dan Tuah adalah gay. Yeah.

Jadi, dalam masa 4 hari ini, gua sedikit sibuk dengan show.
Kalau sentuh bab pelajaran pula, gua sibuk dengan persediaan FYP dan FYDP. Nasib juga subjek lain tidak ada tugasan lagi.

Beginilah hidup seorang pelajar. Kena kerja keras sedikit. Kena kurangkan beri alasan pada orang lain dan diri sendiri. Kalau sudah tahu sibuk dan banyak kerja, tak payah gatal-gatal nak buang masa buat benda tak berfaedah. Berteater itu berfaedah, asalkan ikut batasan agama lah.

Lepas habis semua show minggu hadapan. Masuk saja bulan Ramadan, latihan ASYLUM pun akan bermula secara rasminya. Aduh, gua kena jadi Y.B la pulak. Direktor suruh gua set karaktor Y.B tu sebagai "loveable, huggable, cute dan.. jahat!".

Oleh sebab gua ada matlamat masa panjang, lepas habis belajar, dah kerja, dah kahwin sekalipun, gua nak teruskan berteater. Tak kira di mana. Gua cuma harap, bini gua nanti akan sokong matlamat gua. Haha.

Setakat di sini saja buat kali ini.

Jumaat, Ogos 14, 2009

Kualiti vs. Kuantiti

Minggu ni memang banyak show, terlalu banyak lebih-lebih lagi di KL.
Mungkin bulan ini bulan merdeka, mungkin juga semua nak buat sebelum Ramadan bermula.

TTS di sini juga apa kurangnya.
Ada show 10 minit. Ada 4 skrip.

"Jebat: The Other Version" oleh Dr Shark. (Walaupun skrip ni ada satu line Jebat ja)
"Berapa?" oleh SEFA.
"Bus Stop" oleh SEFA, idea oleh Dr Shark.
"Bab i" oleh aku.

Ada juga show untuk IW-52.
Skrip "Wa-Warna" oleh SEFA.

Ada mime show untuk majlis makan malam konvokesyen ke-9.

Dan dalam masa yang sama, ada latihan awal Asylum. Tapi prioriti perlu diberikan pada show paling dekat ni.

Tapi, macam yang aku pernah katakan sebelum ini, aku akan utamakan pelajaran aku terlebih dahulu. Aku akan cuba yang terbaik dalam teater, cuma jangan mengharap aku akan berlakon dengan mantap sebab aku bukan pelakon hebat. Nak natural bukan main payah. Masih ada constraint dalam diri. Masih ada insecurity. Tapi aku akan cuba sebaik mungkin. Walaupun payah dan sukar.

Apa yang aku khuatir adalah kualiti show.
Lebih-lebih lagi apabila tarikh show amat dekat, dan yang in charge show tersebut orang yang sama (macam tak ada orang lain kan).

Apa pun aku harapkan yang terbaik walaupun kualiti masih belum sampai tahap piawai.


Pelajaran aku pula sudah tidak ada masalah. Masalah tempoh hari sudah diselesaikan. Syukur Alhamdulillah. Sudah pasti ini menjadi pengajaran.
Projek tahun akhir aku menarik dan sesuai dengan minat dan citarasa aku.

"Economic Evaluation of CO2 Hydrate-based Technology: Separation Processes"

Jadi perlu buat terlebih dahulu rekabentuk konsep proses tersebut menggunakan perisian kegemaran aku, HYSYS dan barulah boleh buat analisa ekonomi.
Oh ya, supervisor projek aku ni Dr yang baru balik dari buat Ph.D dan aku selesa dengan caranya. Semoga aku gembira dengan projek tahun akhir aku ini!

Mati Mati

Tiap hari, malah tiap saat, pasti akan ada kematian.

Sejak kebelakangan ni banyak juga artis-artis yang telah dijemput oleh Tuhan.
Sudah tiba ajal mereka, sudah tertulis.

Dalam masa yang sama juga, wabak babi mengambil nyawa seorang demi seorang.
Sudah tiba ajal mereka, sudah tertulis.

Bila sebut pasal mati, reaksi manusia boleh jadi dua yang utama:
Takut mati. Berani mati.

Kadangkala manusia rasa yakin yang dia akan hidup lagi pada esok hari.
Jadi jika dia sedar dia ada buat dosa, dia tahu dia perlu bertaubat, dia tangguhkannya.

Jadi tanya ini pada diri kau orang semua:
Apa yang buat kau rasa yakin yang kau akan hidup pada esok hari?

Ini sekadar peringatan kepada manusia semua.

Biarlah blog ini tidak hangat dan tidak dikunjungi ramai.
Tetapi apa yang aku tulis sekurang-kurangnya bukanlah sesuatu yang boleh difikirkan.
Lagipun aku memang dah privatekan blog aku ni.
Untuk pembaca yang setia saja, dan pembaca yang mampu faham tulisan-tulisan seni aku saja.
Sebab aku faham, takkanlah aku nak expect budak engineer atau IT di sini dapat faham tulisan seni, kan?

Sekian buat kali ini.

Khamis, Ogos 13, 2009

Piggy?

Wo, hari ini baru aku boleh hela nafas lega.

Sejak aku mendapat khabaran buruk tempoh hari, hidup aku dihantui dengan bayang-bayang aku sendiri. Apa saja yang aku buat, di mana saja aku berada, bayang aku mengejar dan mengganggu fikiran aku, meresahkan hati dan sanubari.

Serabut, memang serabut.

Aku sudah dapat 4 orang pelakon bagi skrip "Bab I" aku. Semuanya budak baru. Dan semuanya perlu dilatih selama kurang daripada seminggu.

CIKGU - Adam

BUDAK 1 (B.A.B.I) - Hisyam

BUDAK 2 (N.Y.A.M.U.K) - Syahira

BUDAK 3 (V.I.R.U.S) - Nik Nadia


Aku terfikir untuk tulis skrip ni sebab wabak selesema babi yang melanda.
Dengan jumlah kematian yang meningkat.
Perhatian harus diberikan kepada frasa yang aku letakkan di awal dan di akhir, "Tidak diciptakan sesuatu kalau tidak ada maksud."
Itu intipatinya.
Bab I ini adalah salah satu eksperimen aku.
Siapa kata sains saja ada eksperimen? Seni pun ada eksperimen.
Kalau dapat, aku mahu penonton menangkap maksud yang aku cuba sampaikan:

Sifat-sifat pada babi yang harus dihindarkan daripada manusia 'mencontohinya'.


Sekian untuk kali ini.

Jumaat, Ogos 07, 2009

C.P.R: Cumbu Perempuan Rosak

Video seorang lelaki melakukan CPR kepada seorang lelaki.

Perempuan: Tengok tu. Zaman sekarang ni homoseksual seperti sudah menjadi perkara biasa.

Lelaki: Perempuan pun apa kurangnya. Tengok tu.

Video seorang perempuan melakukan CPR kepada seorang perempuan.

Perempuan: Habis tu, kita sekarang macam mana?

Lelaki: Kita normal.

Lelaki dan perempuan bercumbu.



Persoalan: Mana yang betul? Mana yang salah?





Klu: Medium interpretasi

Buka Pintu Pagar: Sedia, Lari!

Lif, Bab I dan Nasi Lemak 10sen
Sedia untuk dipentaskan.
Walaupun mood masih kosong sejak menerima khabar buruk tempoh hari.
Tetapi aku akan tetap teruskan.

Aku dan SEFA akan menjadi mentor utama untuk Akademi TTS.
Akademi TTS adalah nama khas yang diberikan untuk kelas teater bagi budak-budak baru.
Latihan asas akan diberikan.
Kelas dilakukan secara praktikal dan teori disampaikan sewaktu latihan praktikal tersebut.
Dan dalam masa lebih kurang seminggu, budak-budak baru akan berlakon dalam teater 10 minit.

Objektif utama adalah untuk memberikan peluang kepada budak-budak baru yang berminat untuk membuktikan yang mereka betul-betul berminat.
Lagipun mereka datang sebab nak jadi pelakon teater, jadi kita bagi mereka berlakon dalam show teater 10 minit. Show Asylum pun hampir semua watak sudah diisi.

Sebelum ini, mereka yang datang audition ramai yang berpotensi, tetapi kita tidak ada satu rancangan untuk mereka terus kekal dalam TTS. Jadi, mereka keluar dan hilang begitu sahaja. Yang tinggal biasanya seorang dua.

Jadi kali ini TTS tidak mahu berada di takuk yang lama. Perubahan perlu dilakukan. (Adakah termasuk perubahan sikap?)

Bila Orang Pandai Itu Bodoh Vise Versa

Bila orang pandai itu bodoh.
Bila orang bodoh itu pandai.

Apakah tindakan bodoh yang kau pernah lakukan?

Aku rela dan sedia
dihukum atas kesilapan manusia.
Asalkan
keadilan ditegakkan.
Kerana
bukan aku sahaja yang melakukan kesilapan itu.
Mereka
yang aku nampak di depan mata
terlepas begitu sahaja.
Mungkin
kerana nasib.
Yang pasti
itu bukan rezeki.

Apakah tindakan bodoh yang kau pernah lakukan?

Psikologi terumbang-ambing.
Dibawa arus negativiti.
Ke mana sahaja.
Bila masa sahaja.
Apa saja kita buat.
Suara-suara terngiang di ruang fikiran.
Implikasi pelbagai terpapar secara maya di mata.

Apakah tindakan bodoh yang kau pernah lakukan?

Ayat-ayat rekaan aku sememangnya menyindir aku.
Aku katakan manusia berhak mendapat peluang kedua.
Macam dalam filem fiksyen.
Peluang kedua itu pula bukan semudah yang disangka.
Cuma ini bukan fiksyen.
Ini betul-betul.

Apakah tindakan bodoh yang aku pernah lakukan?

Iaitu tidak sedar dan bersyukur dengan apa yang aku peroleh.
Nafsu sudah pasti menguasai diri. Hati dan fikiran.
Aku kira itu kesilapan biasa manusia biasa.
Tapi sudah namanya kesilapan, sudah pasti balasannya hukuman.

Apakah tindakan bodoh yang kau pernah lakukan?

Ianya lebih daripada sekadar penguatkuasaan.
Ianya berkaitan dengan psikologi pelaku.
Kenapa? bagi persoalan mengapa pelaku melakukan perlakuan.
Rasional hanya terletak pada fikiran pelaku yang rasional.
Pelaku perlu waras terlebih dahulu sebelum menjawab Kenapa?

Apakah tindakan bodoh yang kau pernah lakukan?

4 tahun ke belakang.
Hidup aku memang lancar.
Tiada masalah.
Tiada dugaan.
Berseronok.
Hingga lalai dan alpa.
Kali ini aku diduga dengan tindakan aku sendiri.
Tindakan yang tidak akan dilakukan oleh aku yang waras.
Tetapi sudah dilakukan oleh aku yang kurang siuman.

Apakah tindakan bodoh yang kau pernah lakukan?

Aku sering kali menganggap diri aku sedikit gila.
Aku banyak kali anggap orang itu gila, orang ini gila.
Dan aku juga anggap aku ini gila bila masa aku ini gila.
Dan akhirnya perasaan gila itu makin lama makin sebati.
Sehingga diri aku yang asal sudah hilang.
Ya. Ini pengakuan.

Apakah tindakan bodoh yang kau pernah lakukan?

Bodoh. Ini bodoh.
Benarlah kata pepatah.
Sesal dahulu pendapatan.
Sesal kemudian tidak berguna.
Sekarang hanya mengharapkan belas kasihan orang.
Kasihan.
Mana pergi semangat bukan loser?
Hilang.
Hilang bersama diri ini yang memang sudah hanyut dan hilang..

..sejak lama dahulu.

Aku pergi dulu.

Selamat tinggal.


ps: Aku rasa kalau keadilan benar-benar ditegakkan, semua yang 'terlepas' itu adalah ramai bilangannya. Dan ya, percayalah, semua itu berlaku tanpa keadilan. Apa boleh buat. Perkara sudah berlaku. Biarlah kalau orang lain sudah tidak percaya akan diri ini. Aku harap perkara ini menjadi peringatan buat orang lain, khususnya yang 'terlepas' itu.