Isnin, April 25, 2011

PRA 47 - Bangsawan Tasik Dayang: Watak Hitam Yang Putih?


Pada hari Jumaat, 22 April 2011 yang lalu saya sempat singgah menonton Bangsawan Tasik Dayang bersama dengan Najwa. Bangsawan ini adalah kali kedua dalam Program Semarak Bangsawan 2011 di bawah kelolaan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara. Kali ini Persatuan Seni Bangsawan Bintang Timur Kuala Lumpur menggalas tanggungjawab sebagai kumpulan produksi. Pengarah Artistik dan Penulis Skrip adalah Seniman Negara Rahman B yang juga Tokoh Bangsawan. Pengarah pula adalah Hussein A.S.

Bangsawan Tasik Dayang ini adalah adaptasi dari lagenda Tasik Dayang Bunting, Langkawi. Saya merasakan bahawa kisah lagenda ini masih belum diketahui ramai khususnya dikalangan golongan muda.

Sambutan terhadap bangsawan yang berkisarkan kisah-kisah sebegini lazimnya kurang mendapat perhatian orang ramai berbanding dengan bangsawan yang lebih moden seperti Bangsawan Aladdin atau Bangsawan Sinbad yang mampu menarik minat orang ramai khususnya kanak-kanak.

Apa pun terdapat beberapa perkara dari segi pementasan yang ingin saya keutarakan di dalam ulasan ini.

Kebiasaannya bila saya menonton bangsawan, perkara utama yang saya ingin lihat adalah tasmat atau kesan khas yang ada ditonjolkan. Tasmat ini juga saya anggap sebagai Faktor-X yang mampu membuatkan penonton berasa kagum dan akan mengingatinya selepas keluar dari panggung. Antara tasmat yang harus dipuji dalam bangsawan ini adalah pertarungan menggunakan pedang yang hampir realistik dengan bunyi pedang yang sebenar dan percikan api. Saya sendiri pun tidak pasti pedang apakah yang digunakan itu. Tasmat kedua adalah penggunaan teknik pencahayaan untuk membentuk sebuah bulan penuh pada latarbelakang suasana kampung di waktu malam. Tasmat ketiga adalah penyuluh (torch) yang dibuat daripada lampu - walaupun tidak nampak realistik dan kelakar, tetapi ianya adalah keunikan. Tasmat keempat pula adalah suara Putera Bunian yang bergema.

Bagi saya, bangsawan ini lengkap dengan elemen wajib bangsawan. Mana tidaknya kerana penasihatnya adalah Tokoh Bangsawan! Bukan setakat tasmat, tetapi kiuk (lenggok bahasanya), lagu tarik nasib, mahkota alam dan tirainya, kerawangnya, pakaiannya, tariannya, backdropnya, muziknya dan extra turnnya. Akan tetapi, kelemahan utama yang saya dapat lihat adalah dari segi pembentukan watak-wataknya.

Pembentukan watak-watak mendorong kepada pembentukan jalan cerita itu sendiri. Kebiasaannya, akan ada watak antagonis dan protagonis yang kukuh, masing-masing mempunyai motif dan matlamat tersendiri dalam cerita tersebut. Dalam bangsawan ini, watak antagonisnya lemah. Malah, tak salah jika saya katakan, tiada watak antagonis yang langsung. Semuanya watak yang baik-baik. Sisi antagonis mungkin cuba ditunjukkan pada watak Putera Bunian namun ianya tidak menjanjikan apa-apa. Watak Putera Bunian tiada motif yang jelas. Watak yang saya sangkakan 'hero' dalam cerita ini iaitu Nakhoda Malim juga tidak diangkat dengan kuat. Konflik cerita ini dibina dengan mudah, dan semudah itu juga ia dileraikan. Penyelamat cerita ini adalah apabila Putera Bunian membongkarkan rahsia tentang Puteri Dayang dan anak kandungannya yang telah gugur dan ditanam di dalam sebuah tasik yang dinamakan Tasik Dayang Bunting. Tamat.

Keseluruhan persembahan bangsawan ini menarik hanya kerana satu extra turn yang dijayakan oleh Rahim Kidol dan seorang lagi sidekick-nya. Extra turn lawak jenaka melalui nyanyian lagu yang telah diadaptasi daripada lagu "Apa Dah Jadi?" Tan Sri Dato S.M Salim. Extra turn ini sahaja yang buat saya terhibur, jika tiada extra turn ini dan tiada Rahim Kidol berlakon sebagai Pak Mat di dalam bangsawan ini, bangsawan ini akan menjadi sedikit mendatar dan bosan. Namun saya tidak maksudkan bosan dalam teater itu satu perkara yang negatif. Kerana ada sahaja teater yang bosan tetapi berisi intelektual serta spiritual. Bergantung kepada pandangan individu, seperti biasa.

Namun begitu, saya masih tertarik dengan babak prolog yang menggunakan pendekatan dramatari. Dan muzik latar juga boleh tahan asyiknya. Ah, bila sudah masuk di Panggung Bandaraya, mainan muzik pasti akan mengasyikkan. Set, props dan kostum berada pada paras sederhana. Mungkin ia sengaja diberi sentuhan klasik dan tradisional sebegitu dan tidak mahu terlalu moden. Dari segi lakonan pula, semua pelakon mampu berlakon pada tahap yang baik walaupun tidak cukup untuk menyentuh emosi saya pada babak-babak yang beremosi.

Sedikit nota kusut sebelum saya mengakhiri ulasan ini:

Watak hitam yang putih, watak antagonis yang protagonis. Semuanya ini tidak realistik. Walaupun hakikat asalnya manusia itu dilahirkan suci, akan tetapi sudah menjadi lumrah, yang suci akan kotor dan hitam dek hasutan dan godaan syaitan. Si Putera Bunian bernafsu kepada Puteri Dayang (kalau Lisa Surihani yang jadi Puteri Dayang, mesti pecah punggung panggung!), kerana nafsu dia membawa Dayang ke alam bunian, berkahwin di sana dan apabila Dayang didapati bunting di alam manusia, Dayang difitnah dan dipersalahkan. Nakhoda Malim yang tidak bersalah juga turut dituduh dan difitnah. MORAL: KALAU TAK ADA BUKTI, DAN TAK ADA SAKSI, JANGAN FITNAH YA! (Tidak ada kena mengena dengan isu politik tanah air)

Apa pun, syabas dan tahniah kepada Persatuan Seni Bangsawan Bintang Timur!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan